Cerpen “Tanah Terbiar”

Jalan raya

Jalan raya ( Pok Rie )

Matahari kelihatan bersinar indah.
Cahaya matahari yang terang benderang
kelihatan menyinari seluruh kampung.

Angin yang datang dari arah bukit yang subur lagi menghijau bertiup perlahan dan nyaman. Pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumah Sidin kelihatan menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak irama tiupan angin.

“Tadi Orang Kaya Bakar dari bandar tu datang jumpa aku di kedai,” dia memberitahu isterinya.

“Hah! Ada apa dia jumpa, abang?” tanya isterinya pula.

“Dia nak beli tanah terbiar yang banyak terdapat di kampung ni,” dia menjawab.

“Baguslah tu. Tentu abang akan dapat habuannya nanti. Kalau dia dapat membelinya,” kata isterinya lagi dengan rasa penuh gembira.

“Memang lumayan. Tapi abang kena buat kerja dulu,” jelasnya pula.

“Kerja? Kerja apa pulak?” isterinya lalu berasa hairan.

“Dia suruh abang gunakan Tok Ketua supaya memujuk orang-orang kampung bersetuju menjualkan semua tanah mereka pada dia,” dia membalas.

“Hah! Apalagi? Abang pujuklah. Kalau kita dapat ganjaran daripada Orang Kaya Bakar tu nanti hah bertambah senanglah hidup kita,” ucap isterinya.

“Memang betul kata kau tu. Inilah peluang untuk kita menambahkan lagi harta kekayaan. Aku akan pastikan. Orang-orang kampung akan menjualkan semua tanah mereka pada Orang Kaya Bakar!” nekadnya.

Isterinya lalu tersenyum apabila mendengar apa yang dikatakannya itu. Dalam fikiran Sidin sudah terbayang akan duit yang bertimbun-timbun yang akan diperolehinya nanti. Hasil daripada habuan yang diperolehi daripada Orang Kaya Bakar. Apabila berjaya mempengaruhi Tok Ketua memujuk orang-orang kampung menjual kesemua tanah mereka yang terbiar.

Apa yang ada tak pernah cukup. Kalau boleh nak harta bertimbun-timbun. Melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir. Itulah yang sentiasa bersarang dalam fikiran Sidin. Siang dan malam. Asyik memikirkan untuk mengumpulkan harta kekayaan. Habuan lumayan yang dijanjikan Orang Kaya Bakar dari bandar itu sentiasa terbayang-bayang di fikirannya.

Dia akan berusaha habis-habisan untuk mempengaruhi Tok Ketua agar memujuk orang-orang kampung menjualkan semua tanah mereka yang terbiar dan tidak dikerjakan itu kepada Orang Kaya Bakar. Perbualan rancak Tok Ketua dan isterinya lantas terhenti. Apabila kedengaran suara orang memberi salam daripada bawah rumah. Tok Ketua lalu bangun dan mengatur langkah menuju ke muka pintu. Untuk melihat siapa yang datang.

“Hah! Kau rupanya, Sidin. Naiklah!” pelawa Tok Ketua.

Sidin lalu naik ke atas rumah dan bersalaman dengan Tok Ketua. Tok Ketua kemudian mempersilakannya duduk di atas kerusi ruang tamu rumah. Dia juga menyuruh isterinya agar menyediakan minuman. Isterinya lalu segera masuk ke dapur.

“Saya datang ni pasal tanah-tanah terbiar tu, tok,” dia berkata.

“Kenapa pulak, Sidin? Apa kaitannya dengan kau?” tanya Tok Ketua pula yang duduk berhadapan dengannya.

“Begini, tok. Ada orang nak beli,” jelasnya lagi.

“Siapa?” soal Tok Ketua lagi.

“Orang Kaya Bakar,” ujarnya.

“Yang dari bandar tu,” pantas Tok Ketua mencelah.

“Hah! Siapa lagi kalau bukan dia!” angguk Sidin pula sebaliknya.

Sekali-sekala terasa angin menerobos masuk melalui jendela rumah Tok Ketua yang terbuka luas. Bunyi kelepak kelepuk pelepah pisang di belakang rumah Tok Ketua ditiup angin juga jelas kedengaran. Begitu juga dengan rumput-rumput yang menghijau bagaikan menari-nari apabila ditiup angin.

Mak Tijah isteri Tok Ketua kemudian muncul sambil membawa dulang yang berisi dua cawan air teh ‘o’ dan sepinggan kuih lapis. Dia kemudiannya lalu meletakkannya perlahan-lahan di atas meja. Setelah meletakkannya dia masuk semula ke dapur sambil membawa dulang yang telah kosong.

“Hah! Jemputlah, minum!” pelawa Tok Ketua pula.

Mereka lalu perlahan-lahan menghirup air teh ‘o’ yang masih lagi panas itu. Sebaik-baik sahaja selesai menghirup minuman yang disediakan isteri Tok Ketua itu Sidin menyambung semula perbualan yang terhenti buat seketika.

“Berapa saja harganya dia sanggup beli, tok,” beritahunya.

“Tanah-tanah tu semua masih ada pemilik lagi,” kata Tok Ketua.

“Itu saya tahu, tok. Tok pujuklah orang-orang kampung supaya menjualkan tanah-tanah mereka yang terbiar tu. Tok dan saya akan dapat habuannya nanti.” Sidin lalu menjalankan jarumnya.

“Sidin! Sidin!” Tok Ketua sebaliknya lalu menggeleng-gelengkan kepala.

Ternyata dia tidak mudah termakan dengan pengaruh Sidin itu. Wajah Sidin lantas berubah. Apabila usahanya untuk mempengaruhi Tok Ketua supaya memujuk orang-orang kampung menjual tanah milik mereka kepada Orang Kaya Bakar menemui kegagalan.

“Tak semudah itu mereka akan menjualkannya. Lagipun orang-orang kampung dah sepakat untuk mengusahakan tanah yang terbiar tu dengan projek tanaman sayur,” jelasnya lagi.

“Projek tanaman sayur?” Dia berasa amat terkejut apabila mendengarnya.

“Ya!” balas Tok Ketua dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku setuju sangat tanah yang terbiar tu diusahakan dengan projek tanaman sayur,” tambahnya lagi.

“Tanah macam tu mana boleh keluarkan hasil, tok. Kan lebih baik dijual aje!” Sidin sebaliknya membantah.

“Berbudi pada tanah pasti akan dapat hasilnya, Sidin. Kan lebih elok diusahakan. Daripada dijual kepada orang kaya tu. Hasilnya dapat jugak dinikmati orang-orang kampung,” kata Tok Ketua lagi.

“Sudahlah, tok! Saya balik dulu! Nanti saya datang lagi!” Sidin lalu bingkas bangun dan meninggalkan rumah Tok Ketua.

“Eh, Sidin! Nanti dulu. Aku tak habis cakap lagi ni …!” Tok Ketua cuba menahannya.

Namun tak diendahkannya. Dia kemudian lalu menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan rumah Tok Ketua. Bersama dengan rasa marah dan kecewa. Kemarahannya pada Shukri semakin memuncak. Shukri nampaknya mahu menghalang hasratnya untuk menambah harta kekayaan. Melalui habuan lumayan yang dijanjikan Orang Kaya Bakar. Sekiranya dia dapat membeli semua tanah milik orang-orang kampung.

Tak lama kemudian Mak Tijah muncul. Dia melihat suaminya sedang menggeleng-gelengkan kepala. Tentu ada yang tak kena apabila Sidin datang berjumpa dengannya. Tambah pulak dia mendengar suara Sidin yang tidak berpuashati sewaktu berbual dengan suaminya. Ketika dia sedang berada di dapur.

“Kenapa dengan Sidin tu, bang? Macam marah aje nampaknya,” ucapnya.

“Entahlah, Tijah …!” jawab Tok Ketua pula sebaliknya sambil merengus.

“Dia suruh abang pujuk orang-orang kampung supaya menjualkan tanah mereka yang terbiar tu pada Orang Kaya Bakar dari bandar tu. Sekiranya abang dapat memujuk mereka abang dan dia akan mendapat ganjaran daripada orang kaya tu. Sedangkan orang-orang kampung dah sepakat nak usahakan projek tanaman sayur di tanah yang terbiar tu. Kan ke itu yang lebih elok,” dia menjelaskan pada isterinya dengan penuh panjang lebar.
“Sampai begitu sekali?” Terperanjat Mak Tijah apabila mendengarnya dan kemudian lalu menggeleng-gelengkan kepala.

“Dah kaya nak kaya lagi,” katanya lagi.

“Orang tak pernah bersyukur dengan apa yang ada macam tulah, Tijah,” ulas Tok Ketua pula.

Dia kemudian bingkas bangun dan memberitahu isterinya hendak ke Pekan Kuala Pilah kerana ada urusan. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke muka pintu dan menuruni anak tangga. Dia kemudiannya lalu menghidupkan enjin motosikal dan bergerak meninggalkan rumah. Isterinya lalu mengutip cawan serta pinggan di atas meja dan membawanya ke dapur.

Marah! Itulah yang mengiringi sepanjang perjalanan Sidin pulang ke rumah. Dia menghentak-hentak stering kereta. Sebagai tanda untuk melepaskan kemarahan terhadap Shukri. Umpama gunung berapi yang meletup dan memuntahkan lahar.

“Jahanam!” dia bertempik dengan sekuat-kuat hati sebaik-baik sahaja masuk ke rumah.

“Kenapa ni? Angin tak ada ribut tak ada. Balik-balik aje mengamuk tak tentu pasal,” tegur isterinya.

“Ah! Kau jangan nak naikkan darah aku!” tengkingnya.

Teguran isterinya itu menaikkan lagi api kemarahannya. Menyala-nyala. Seperti api yang marak membakar.

“Apa yang dah terjadi ni? Macam orang yang kena rasuk aje abang ni,” balas isterinya pula.

“Tadi aku pergi rumah Tok Ketua. Nak suruh dia supaya pujuk orang-orang kampung jualkan tanah mereka pada Orang Kaya Bakar. Tapi jawapannya membuatkan aku naik angin!” Kemarahannya masih lagi belum reda.

“Apa yang membuatkan abang naik angin?” tanya isterinya lagi.

“Dia bagitau yang orang-orang kampung dah capai kata sepakat nak usahakan projek tanaman sayur di tanah yang terbiar tu!” jawabnya.

“Jadi, sebab tulah abang balik mengamuk?” isterinya membalas.

“Aku takkan biarkan kemahuan aku dihalang. Aku akan pastikan orang-orang kampung akhirnya menjualkan tanah mereka pada Orang Kaya Bakar. Ini Sidin la. Sanggup lakukan apa saja. Asalkan dapat duit!” tekadnya.

Isterinya hanya mendiamkan diri sahaja. Rasa marah dan geram jelas kelihatan di wajah Sidin.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik Orang Kaya Bakar. Hawanya termampan pada dinding batu yang dicat dengan warna putih. Biliknya yang mewah itu dihiasi dengan perabot mewah. Setaraf dengan kedudukannya sebagai orang yang amat berada.

Baginya wang adalah segala-galanya. Dengan wang dia boleh membeli apa sahaja yang diinginkannya. Termasuk merampas hak orang lain dan menjadikannya sebagai hak kepunyaannya. Dia berasakan amat berkuasa apabila hidup dibanjiri dengan wang yang banyak dan bertimbun-timbun. Orang Kaya Bakar kelihatan duduk tersandar di atas kerusi pusing sambil menghisap rokok.

“Hah! Macam mana?” dia mengangkat kepala tinggi sambil menyoal Sidin.

Sidin yang duduk berhadapan dengannya kelihatan diam. Tidak terjawab olehnya pertanyaan yang diajukan orang kaya. Takut dan serba salah. Jelas kelihatan di wajahnya itu.

“Aku tanya macam mana! Kenapa kau diam?” ulang Orang Kaya Bakar lagi sambil membuang habuk rokok dalam bekas berbentuk bulat yang terletak di atas mejanya itu.

“Susah, orang kaya …,” dia sebaliknya menjawab perlahan.

“Hah, susah! Apa yang susah?” Terkejut dia apabila mendengar apa yang dikatakan Sidin itu.

“Orang-orang kampung nak usahakan tanaman sayur di semua tanah yang terbiar tu,” jelasnya.

“Macam mana kau buat kerja ni! Kau cakap kau akan dapat mempengaruhi Tok Ketua supaya memujuk orang-orang kampung supaya menjual tanah mereka!” Orang Kaya Bakar mengeluarkan nada suara yang berbunyi marah.

“Betul, orang kaya! Saya dah suruh Tok Ketua agar memujuk orang-orang kampung. Tapi tak berhasil,” terangnya lagi.

“Dah tu? Kau nak suruh aku pulak yang pujuk dia. Begitu?” Dia memandang wajah Sidin dengan rasa penuh marah dan berang.

“Jangan bimbang, orang kaya. Saya akan pastikan orang-orang kampung menjual tanah mereka pada orang kaya,” janjinya.

“Baiklah!” Orang Kaya Bakar membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dan menghisap rokok.

“Aku pegang janji kau!” dia berkata lagi.

Sidin kemudiannya lalu beredar meninggalkan bilik Orang Kaya Bakar. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dia asyik memikirkan cara yang harus digunakannya untuk mempengaruhi Tok Ketua agar berjaya memujuk orang-orang kampung menjualkan tanah mereka.

Cuaca cerah menyinari seluruh kampung. Langit kelihatan bersih. Angin bagaikan bernyanyi-nyanyi riang. Pohon-pohon kelihatan bagai terbuai-buai ditiup angin. Begitu juga dengan daun-daun mengeluarkan irama yang sungguh mengasyikkan dan menghiburkan jiwa.

“Tok cakap. Berapa yang tok nak. Asalkan tok dapat pujuk orang-orang kampung.” Sidin terus berusaha untuk memujuk Tok Ketua.

“Sidin, sebagai seorang ketua di kampung ini aku harus menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” dia membalas sebaliknya.

“Itu saya tahu, tok. Tapi orang kaya tu berharap sangat. Janganlah hampakan dia, tok,” pujuknya lagi.

“Orang-orang kampung semua dah pun mencapai kata sepakat. Jabatan pertanian pun dah bersetuju untuk beri bantuan. Projek tanaman sayur yang akan diusahakan ini banyak faedahnya kepada kita semua di kampung ni,” ujar Tok Ketua.

“Tanah tu tak akan mengeluarkan hasil. Tok tengok ajelah nanti. Buang masa aje. Lebih baik aje dijual pada Orang Kaya Bakar tu. Dah pasti orang-orang kampung termasuk tok sekali akan dapat duit yang banyak. Tak payah nak bersusah payah nak mengusahakan tanaman sayur tu,” katanya.

“Mana kau tahu tanah tu tak boleh mengeluarkan hasil, Sidin. Kalau kita rajin mengusahakannya pasti akan dapat hasilnya nanti,” Tok Ketua berkata.

“Tok fikirlah masak-masak. Peluang macam ni jangan ditolak. Buatnya orang kaya tu tawar hati tok dan orang-orang kampung jugak yang akan menyesal nanti,” tegas Sidin pula sebaliknya.

“Tak ada ruginya bagi aku dan orang-orang kampung, Sidin. Rugi bagi aku dan orang-orang kampung ialah bila tanah yang terbiar macam tu tak diusahakan,” balas Tok Ketua.

“Tak apalah, tok. Nanti saya datang lagi pujuk tok!” Dia bingkas bangun bersama dengan rasa marah dan kecewa.

Gagal lagi nampaknya untuk memujuk Tok Ketua. Tika itu juga dia terbayang akan wajah Orang Kaya Bakar. Sudah pasti dia akan melenting dan berang di atas kegagalannya itu.

“Sidin, kalau kau bagi aku sekolam emas sekali pun tak akan dapat mengubah pendirian aku,” Tok Ketua bersuara pula sebaliknya.

Semakin memuncak kemarahannya. Kalau Tok Ketua dapat mempengaruhi orang-orang kampung supaya menjualkan tanah mereka sudah pasti habuan yang lumayan akan diterimanya.

Tak lama kemudian Rubiah muncul. Dia lalu memandang ayahnya yang sedang duduk di kerusi.

“Apahalnya Abang Sidin tu selalu datang jumpa ayah?” soalnya.

“Dia suruh ayah pujuk orang-orang kampung supaya jual tanah mereka yang terbiar tu kepada orang kaya di bandar tu. Sedangkan semua dah setuju untuk mengusahakannya dengan projek tanaman sayur. Bantuan pun dah dapat daripada jabatan pertanian,” jawab Tok Ketua.

“Rubiah pun tak fahamlah, ayah. Orang macam Abang Sidin ni. Sepatutnya dia menyokong dan bersama-sama dengan orang-orang kampung untuk menjayakan projek tu. Ini tidak menentang pulak perkara yang mendatangkan kebaikan kepada kita semua di kampung ni,” dia berkata dengan penuh panjang lebar.

“Sama-samalah kita berdoa, Rubiah. Semoga satu hari nanti dia akan berubah dan bersama dengan kita semua untuk memajukan kampung ni,” harap Tok Ketua.

Rubiah sebaliknya diam. Memang benar sepertimana yang dikatakan ayahnya itu. Harus sentiasa mendoakan yang terbaik kepada seseorang itu. Walaupun dia telah menyakiti hati dan tidak pernah berbuat baik kepada kita.

“Mak kau mana, Rubiah?” ayahnya bertanya.

“Dia ke rumah Mak Cik Kiah kejap. Ayah nak minum ke?” soalnya pula.

“Ya! Tolong buatkan air!” pintanya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Baiklah, ayah!” Dia kemudiannya lalu beredar masuk ke dapur.

Beberapa bulan kemudian kedengaran berita yang Orang Kaya Bakar telah ditangkap kerana menipu penjualan tanah. Sidin benar-benar berasa terkejut apabila mendengarnya. Rupa-rupanya Orang Kaya Bakar telah lama terlibat dengan kes menipu dalam penjualan tanah. Cuma pihak polis tidak dapat mendakwanya kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Namun akhirnya dia terjerat juga. Seperti yang disebut orang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Sidin benar-benar menyesal. Kerana mengejar habuan yang dijanjikan Orang Kaya Bakar dan tamakkan duit dia hampir tertipu. Bukan sahaja dia malu di mana hendak meletakkan muka malahan dia bersama-sama dengan Orang Kaya Bakar akan diheret oleh orang-orang kampung ke muka pengadilan.

Sudah pasti dia akan dijatuhkan hukuman dan merengkuk dalam penjara bersama-sama dengan Orang Kaya Bakar. Mujurlah tidak terjadi ke atas dirinya. Kalau tidak dia tidak dapat membayangkan akan nasib yang akan menimpa ke atas isterinya dan anak-anaknya nanti apabila dia disumbatkan ke dalam penjara.

“Saya tak sangka, tok. Orang Kaya Bakar tu penipu besar …,” ujar Sidin dengan rasa penuh penyesalan.

“Barulah saya sedar, tok. Selama ni saya dan Abang Sidin terlalu asyik mengejar kemewahan hidup. Sehingga sanggup melakukan apa saja. Mujurlah sesuatu yang buruk tak berlaku pada Abang Sidin dan saya …,” kata isterinya pula.

“Saya mintak maaf, tok. Kerana selalu mendesak tok supaya mempengaruhi orang-orang kampung supaya menjualkan tanah mereka. Tapi nasib baik saya tak terheret sama ke dalam penjara dengan si penipu tu,” tambahnya lagi.

“Sudahlah tu, Sidin, Milah!” Tok Ketua memandang wajah Sidin dan isterinya silih berganti.

“Bersyukurlah. Kerana Allah SWT telah memberikan hidayah dan petunjuk supaya kamu berdua insaf dan sedar. Bahawa tidak boleh terlalu mengejar kekayaan sehingga lupa yang Dia berkuasa ke atas segala-galanya,” ucap Tok Ketua.

“Saya benar-benar insaf, tok. Saya seharusnya bersyukur dengan apa yang ada. Saya akan bersama-sama dengan orang-orang kampung untuk mengusahakan projek tanaman sayur di tanah yang terbiar tu, tok. Saya juga akan bantu dari segi kewangan demi untuk memastikan projek tu berjaya. Segala harta yang saya ada akan saya gunakan sepenuhnya ke jalan yang dituntut Allah SWT. Membantu mereka yang tidak berkemampuan di kampung ni,” dia berjanji.

“Baguslah macam tu!” Tok Ketua sebaliknya lalu tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *