Cerpen “Rumusan Hasil Perbualan Di Rumah Pak Umar”

Pokok Hijau

Pokok Hijau ( Karen )

Matahari kelihatan
bersinar dengan begitu indah sekali.
Sinaran cahayanya yang terang-benderang
menerangi seluruh kampung yang indah dan damai.

Angin yang datang daripada arah bukit bertiup perlahan dan nyaman. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke arah kanan dan sekejap beralih ke arah kiri.

“Tak ada gading yang tak retak. Tak ada cawan yang tak pecah. Tak ada bumi yang tak ditimpa hujan. Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap,” kata Pak Umar.

“Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sebagai manusia. Tapi bagi aku seharusnya kita belajar daripada kesilapan yang telah kita lakukan untuk memperbaiki kelemahan diri,” balas Pak Salleh.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Leh!” celah Pak Dollah pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri dan menjadikan kesilapan yang telah kita lakukan sebagai satu hikmah,” dia menyambung lagi.

“Memang kita harus menerima setiap ketentuan yang berlaku ke atas diri kita sebagai satu hikmah dan menerimanya dengan penuh redha,” tambah Pak Umar pula sebaliknya.

Angin yang tadinya bertiup nyaman dan perlahan tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang. Pokok mangga yang tumbuh di halaman rumah Pak Umar kedengaran bernyanyi-nyanyi riang apabila ditiup angin. Daun-daun kering dan buah-buah mangga yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan di atas permukaan tanah.

Tak lama kemudian Mak Yam isteri Pak Umar muncul sambil membawa dulang yang berisi tiga cawan air teh yang masih lagi panas dan sepinggan kuih lepat pisang. Dia kemudian lalu meletakkannya perlahan-lahan di atas meja yang berbentuk empat segi dan beralaskan dengan kain yang berwarna biru muda.

Pak Umar, Pak Salleh dan Pak Dollah hanya memerhatikan sahaja Mak Yam meletakkan cawan yang berisi dengan air teh dan pinggan yang berisi dengan kuih lepat pisang di atas meja. Asap nipis yang keluar daripada air teh kelihatan seperti menari-nari naik ke atas dan kemudian lalu menghilang. Selesai sahaja meletakkan hidangan di atas meja Mak Yam kemudiannya lalu beredar pergi sambil membawa dulang yang telah kosong.

“Hah! Jemputlah minum. Rezeki kau orang berdua ni,” pelawa Pak Umar pula sebaliknya.

Pak Salleh dan Pak Dollah lalu menghirup perlahan-lahan air teh.

“Rezeki ni ditentukan oleh Allah. Ada orang rezekinya di bandar. Ada orang rezekinya di kampung,” kata Pak Dollah sebaik-baik sahaja selesai meneguk air teh.

“Walau di mana pun kita berada kita seharusnya berasa bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan Allah. Bukannya mengeluh atau merungut. Bila tengok orang lain hidup senang. Sedangkan kita hidup susah,” celah Pak Dollah.

“Sikap yang sedemikian harus kita buang jauh-jauh daripada diri kita. Kita mesti bersangka baik dengan Allah,” ujar Pak Umar sambil minum air teh.

“Memang itulah yang perlu kita tanam dalam diri kita!” angguk Pak Dollah dengan pantas.

“Rezeki tak akan datang bergolek kalau tak kita sendiri yang mencarinya,” dia menyambung lagi.

“Kalau kita rajin berusaha pasti kita akan mendapat ganjaran. Tapi kalau kita malas berusaha tak ke mana jadinya,” ucap Pak Salleh.

“Allah menjadikan bumi ini luas untuk kita mencari rezeki. Macam di kampung ni macam-macam boleh kita buat. Macam yang kau katakan tadi, Leh. Pokok pangkalnya rajin dan berusaha. Pasti kita akan berjaya,” celah Pak Umar pula.

Pohon nyiur di halaman rumah Pak Umar kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Begitu juga dengan pelepah pisang di belakang rumah Pak Umar kedengaran berkelepak-kelepuk disapu angin. Daun-daun hijau yang terbuai-buai dan bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa apabila didengar.

“Anak-anak muda sekarang lebih gemar memilih untuk bekerja di bandar. Bagi mereka tak ada apa yang boleh menjamin kehidupan mereka di kampung ni. Berbanding dengan bandar besar di Kuala Lumpur tu yang boleh menjadikan hidup mereka senang. Maklumlah kat sana gaji yang ditawarkan kepada mereka adalah tinggi dan lumayan,” kata Pak Dollah dengan penuh panjang lebar.

“Sebab itulah anak aku Sazali mengambil keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur daripada bekerja di kebun kelapa aku tu,” ulas Pak Salleh pula sebaliknya.

“Dah lama juga dia kerja kat Kuala Lumpur tu ya, Leh,” balas Pak Umar pula sebaliknya sambil menghabiskan sisa-sisa air teh.

“Hampir 20 tahun, Mar!” angguknya pula dengan pantas.

“Lama jugak tu,” sampuk Pak Dollah.

“Sejak lepas daripada sekolah dia kerja kat Kuala Lumpur tu. Aku selalu nasihatkan dia. Supaya sentiasa menjaga diri dan ingat pada Allah selalu. Sebarang perkara yang mendatangkan kepada keburukan dan kejahatan hendaklah dijauhi. Dalam pada itu aku ingatkan dia juga supaya tidak lupa pada asal usul,” ucap Pak Salleh lagi dengan penuh panjang lebar.

“Baguslah kalau macam tu, Leh!” sokong Pak Umar sambil mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Sebagai seorang ayah kau telah melaksanakan tanggungjawab. Untuk mendidik dan mengingatkan anak kau Sazali agar sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama. Tambahan pulak hidup di bandar besar macam Kuala Lumpur tu penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran,” ujar Pak Dollah.

“Kalau dia berpegang kuat pada ajaran agama pasti akan dapat menghindarkan dia daripada terjebak ke kancah kemungkaran,” kata Pak Umar pula.

“Alhamdulillah!” balas Pak Salleh dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Setakat ni dia mendengar nasihat aku tu,” sambungnya lagi.

“Aku kenal anak kau Sazali tu. Baik budaknya dan sentiasa hormat pada orang tua. Kau sentiasalah berdoa, Leh. Semoga dia tak berubah dan tidak lupa asal usulnya,” ucap Pak Umar.

“Ya, Leh! Walaupun dia dah berjaya hidup di Kuala Lumpur tu tapi dia tak boleh lupa tempat di mana dia dilahirkan dan dibesarkan,” celah Pak Dollah.

Desiran angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyusup masuk melalui celah-celah atap zink rumah Pak Umar. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyapu seluruh rumah Pak Umar yang diperbuat daripada kayu itu.

Pohon cili api, ubi kayu, puding, limau dan serai di belakang rumah Pak Umar kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sesekali kedengaran bunyi ranting jatuh bergemertap ditiup angin dan menimpa permukaan tanah yang kering.

Memang agak lama juga hujan tidak turun. Hampir 3 bulan lamanya. Rumput yang menghijau bertukar warna menjadi keperangan. Bahang panas yang memijar terasa menyelubungi seluruh kampung. Namun bukanlah menjadi rintangan dan halangan kepada orang-orang kampung untuk bekerja dan mengusahakan kebun masing-masing yang menjadi punca utama rezeki kepada mereka.

Tiga buah cawan di atas meja yang tadinya penuh berisi dengan air teh kini telah pun licin. Begitu juga dengan kuih lepat pisang di dalam pinggan. Bagi Pak Umar, Pak Salleh dan Pak Dollah memang seronok dapat berbual-bual dengan rancak sambil menikmati air teh dan kuih lepat pisang.

“Kita seharusnya bangga datang daripada kampung dan bukannya berasa malu,” ujar Pak Umar.

“Aku setuju sangat dengan apa yang kau cakapkan tu, Mar. Kenapa harus malu dan tak mahu mengaku datang daripada kampung. Sedangkan kita memang berasal daripada kampung,” sokong Pak Salleh pula sebaliknya.

“Mungkin kerana kita seronok dan leka hidup di bandar menjadikan kita lupa asal usul,” tambah Pak Dollah.

“Itu memang tidak dapat dinafikan. Keseronokan dan kenikmatan hidup bukan sahaja membuatkan kita lupa pada tempat kita dilahirkan dan dibesarkan tetapi juga pada Tuhan,” kata Pak Umar.

“Sebab itulah apabila kita lupa pada Tuhan akan menyebabkan kita mudah untuk melakukan perkara yang tidak baik dan mendatangkan dosa,” ucap Pak Dollah.

“Kita boleh lupa pada Tuhan. Tapi Tuhan tak pernah lupa pada kita. Itulah sebabnya apabila sesuatu atau musibah yang berlaku pada kita harus kita ambil ikhtibar sebagai peringatan Tuhan kepada kita. Agar kembali semula ke pangkal jalan setelah kita sesat dan hidup dalam kemungkaran,” ujar Pak Salleh pula dengan panjang lebar.

“Itu tandanya Tuhan masih sayangkan kita dan tidak mahu kita terpesong lebih jauh lagi dan seterusnya terjerumus ke lembah kehancuran,” kata Pak Umar.

“Bayangkanlah kalau kita dah terlambat dan tak sempat nak bertaubat. Neraka yang penuh dengan azab pedih dan seksaan adalah tempat buat kita,” balas Pak Dollah.

“Selagi kita masih hidup penuhkanlah dengan amal dan ibadat. Sebagai bekalan kita untuk akhirat nanti,” kata Pak Salleh pula.

“Sama-samalah kita berdoa agar menjadi insan yang benar-benar bertakwa dan beriman kepada Allah SWT. Agar mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat,” ucap Pak Umar.

Pepohonan yang menghijau dan merendang yang kelihatan mengangguk-angguk apabila ditiup angin seolah-olah menyatakan persetujuan dan sokongan terhadap apa yang dikatakan oleh Pak Umar, Pak Salleh dan Pak Dollah itu.

Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit biru. Awan putih kelihatan begitu menebal sekali. Cuaca kelihatan amat cerah. Tidak kelihatan sedikit pun tanda-tanda hujan akan turun. Jalur-jalur cahaya matahari yang panas terik kelihatan menembusi celah-celah dedaunan yang menghijau.

Masa begitu pantas berlalu. Hari telah pun masuk tengah hari. Pak Salleh dan Pak Dollah lalu beredar meninggalkan rumah Pak Umar. Banyak yang dapat dikongsi oleh mereka bertiga melalui tajuk perbualan yang bermula sejak dari pagi tadi sehinggalah ke tengah hari ini. Terutamanya hubungan sebagai seorang manusia dengan Allah SWT yang menciptakan manusia dan seluruh alam semesta itu. Justeru itu maka sebagai seorang manusia hendaklah taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang ditegah dan dilarang-Nya. Itulah rumusan hasil daripada perbualan Pak Umar, Pak Salleh dan Pak Dollah pada hari ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *