Cerpen “Akhirnya Bertaut Kembali”

Lantai Besi

Lantai Besi ( Nikko Tan )

Suara angin yang bergemersikan
dan bernyanyi-nyanyi riang jelas kedengaran menyelubungi seluruh kampung yang diulit dengan penuh keindahan dan kedamaian. Pohon-pohon yang menghijau dan rendang kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin.

“Apa? Kamu nak kahwin dengan budak Hafiz anak Leman tu?” soal Pak Deris dalam nada suara yang terperanjat.

“Ya, ayah …!” jawab Sofia dengan mengangguk perlahan.

“Kalau budak Hafiz tu yang nak menjadi menantu ayah, ayah tak setuju!” tolaknya dengan keras.

“Dah jodoh anak kita bang, terima ajelah,” celah Mak Bedah.

Rasa kemarahan Pak Deris semakin memuncak apabila mendengar kata-kata isterinya itu.

“Amboi sedapnya awak bercakap!” dia membalas sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Suruh terima aje! Dah jodoh! Saya kata tak nak! Tak nak!” tegasnya lagi.

“Saya tak faham la dengan abang ni. Tak habis-habis bermusuh dengan Abang Leman. Ingatlah, bang. Kita ni makin tua. Sudah-sudahlah tu,” ingat isterinya pula.

“Sudah!” potong Pak Deris dengan meninggikan suara.

“Awak jangan nak menaikkan darah saya! Saya tetap dengan keputusan saya. Tak nak berbisan dengan Leman tu. Faham!” katanya lagi dan kemudian berlalu pergi. Meninggalkan isteri dan anak gadisnya itu di ruang tamu rumah. Sambil membawa api kemarahan yang panas dan membara.

Pak Leman juga naik radang apabila mendengar Hafiz anaknya ingin memperisterikan Sofia anak Pak Deris, seterusnya.

“Tak ada gadis lain ke kamu nak jadikan isteri, Fiz?” tanyanya dalam nada suara yang keras.

“Kami dah suka sama suka, ayah,” dia sebaliknya menjawab.

“Suka sama suka!” Ternyata dia tidak dapat menerima penjelasan yang diberikan oleh anak lelakinya itu.

“Itu namanya jodoh, bang,” sampuk isterinya, Mak Leha.

“Itu namanya jodoh, bang!” ulang Pak Leman pula sebaliknya sambil mencemikkan muka dan menggeleng-gelengkan kepala, mengajuk cakap isterinya itu.

“Senang aje awak bercakap! Kan Deris tu musuh ketat saya. Awak tak paham-paham lagi ke?” sambungnya lagi.

“Kenapa ayah bermusuh dengan Pak Deris?” soal Hafiz pula sebaliknya.

“Itu kamu tak perlu tahu. Fiz. Kalau kamu benar-benar nak kahwin biar ayah carikan gadis yang lain. Asalkan jangan dengan anak gadis Deris tu!” putusnya dengan begitu tegas sekali.

+++++++

Cuaca kelihatan begitu cerah sekali. Sinaran matahari yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang permai dan indah di pandangan mata. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup membangkitkan lagi keindahan kampung yang penuh dengan rasa kedamaian dan ketenangan.

“Macam mana ni, bang? Ayah Sofia tak setuju kita kahwin,” beritahu Sofia pada lelaki yang amat dicintainya itu.

Hafiz sebaliknya hanya mampu untuk mendiamkan diri sahaja. Kemudian dia lalu menarik nafas yang panjang.

“Abang dengar tak apa Sofia cakap ni?” ujarnya apabila melihat kekasihnya itu hanya diam membisu seribu bahasa.

Fikiran Hafiz sebenarnya rungsing. Memikirkan ayahnya tidak merestui dia berkahwin dengan gadis yang dicintainya itu. Semuanya kerana ayahnya bermusuhan dengan Pak Deris ayah kekasih hatinya itu.

“Malaslah bercakap dengan abang ni. Penat aje orang cakap. Dia buat tak tahu aje …!” rungut Sofia pula sebaliknya dengan menunjukkan muka yang kecewa dan merajuk.

Hafiz kemudian lalu memandang wajah Sofia. Walaupun dalam keadaan merajuk wajahnya masih lagi jelita dan cantik apabila disapu oleh angin yang bertiup perlahan dan halus. Kecantikan dan kejelitaan paras wajahnya itu semakin terserlah apabila mengenakan tudung yang berwarna hijau muda menutupi kepalanya dan berbaju kurung berwarna merah jambu.

“Abang dengar apa yang Sofia cakap.”

“Habis tu? Kenapa diam?”

“Abang sebenarnya buntu, Sofia.”

“Buntu? Kenapa pulak?”

“Kita sebenarnya senasib,” jelas Hafiz.

“Maksud abang, ayah abang pun tak setuju kita kahwin,” balas Sofia pula.

“Ya …!” angguknya dengan perlahan.

Sofia lalu terdiam. Pohon-pohon yang mengangguk-angguk lemah apabila ditiup angin seakan-akan turut sama menghulurkan simpati kepada pasangan kekasih itu. Hafiz kemudian lalu memandang wajah kekasihnya itu yang sedang dibalut dengan rasa kesedihan dan kepiluan.

“Tentu Sofia tahu kan kenapa jadi begini,” dia berkata.

“Tahu, bang!” angguk Sofia pula dengan pantas.

“Sebab ayah Sofia dan ayah abang berseteru,” sambungnya lagi.

“Tapi abang akan pastikan kita akan berkahwin juga akhirnya,” kata Hafiz.

“Abang …. Sofia tak setuju kalau kita kahwin lari. Malu ayah dan mak kita nanti. Kita kan ada agama dan adat,” balasnya.

“Bukannya kahwin lari. Sofia ni cepat sangat la sangka yang bukan-bukan,” ujar Hafiz pula sebaliknya.

“Abang nak gunakan cara apa sebenarnya?” dia menyoal sambil memandang wajah Hafiz.

“Sofia tengok ajelah nanti. Abang yakin. Cara yang akan abang gunakan nanti pasti akan dapat melembutkan hati ayah Sofia dan ayah abang untuk merestui kita berkahwin.” Demikianlah jawapan yang diberikan oleh Hafiz terhadap pertanyaan yang diajukan oleh kekasih pujaan hatinya itu.

Mereka berdua kemudiannya lalu pulang ke rumah masing-masing. Kerana tak lama lagi senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam. Lagipun tidak manis dipandang orang apabila melihat mereka berdua-duaan ketika waktu begini.

Tingkah laku dan nama baik keluarga perlu dijaga. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak elok dan mendatangkan nama buruk kepada keluarga sudah tentu akan membangkitkan kemarahan kepada Pak Deris dan Pak Leman yang bermusuhan dengan begitu ketat sekali.

Selepas menikmati makan malam, Pak Deris dan Mak Bedah duduk di anjung rumah sambil menghirup angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Memang enak rasanya apabila dapat menghirup angin yang segar dan dingin setelah menikmati hidangan yang begitu sedap dan menyelerakan.

“Sofia kat mana?” tanya Pak Deris pada isterinya.

“Kat dapur tu. Berkemas,” jawab Mak Bedah.

“Bang …. Saya tanya boleh tak …?”

“Apa dia yang awak nak tanya.”

“Begini, bang. Kenapa abang marah sangat kat Abang Leman tu?” soal isterinya.

“Perlu ke saya jawab,” balas Pak Deris pula.

“Saya saja nak tahu aje. Takkan la dengan saya pun abang nak berahsia,” desak isterinya lagi.

Pak Deris sebaliknya hanya diam sahaja. Tidak menjawab sepatah pun. Bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan jelas kedengaran memecah kegelapan malam yang hitam dan pekat.

Mak Bedah kelihatan tetap setia menunggu jawapan daripada suaminya. Pak Deris kemudian lalu memandang wajah isterinya itu.

“Abang dengan dia berkawan baik sejak dari kecil. Sama-sama bersekolah. Sama-sama keluar daripada kampung ni untuk mencari kerja,” katanya.

Isterinya kelihatan begitu tekun sekali mendengar kisah silamnya dengan Pak Leman.

“Kami bekerja di tempat yang sama. Tinggal serumah. Tapi segala-galanya berubah. Bila nasib dia baik dapat naik pangkat. Dia sombong dan bongkak. Sebab dia rasakan gaji dia dah tinggi dan ada kuasa untuk arahkan abang buat macam-macam kerja. Kalau abang lambat buat dia tengking dan herdik abang. Abang lalu naik radang. Seolah-olah abang makan gaji dengan dia. Kami bertengkar besar. Sehingga abang cakap pada dia kalau beginilah sikap dia selepas naik pangkat maka putuslah persahabatan akrab abang dengan dia,” katanya dengan penuh panjang lebar.

Mak Bedah kemudian lalu mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda mengerti punca sebenar suaminya berseteru dengan Pak Leman. Manakala Pak Deris pula hanya berdiam diri sahaja sambil melemparkan pandangan dengan sejauh-jauhnya ke arah luar rumah yang diwarnai dengan suasana gelap. Pengalaman yang pernah dilaluinya sewaktu bersama-sama dengan sahabat karibnya itu masih lagi segar dan jelas terbayang di ingatannya.

+++++++

Sinaran cahaya bulan dan kerlipan bintang yang indah bersinar jelas kelihatan menghiasi awan yang hitam. Angin malam yang bertiup perlahan dan nyaman daripada arah bukit menyusup masuk melalui celah-celah dinding papan rumah Pak Leman. Pelepah pohon nyiur di halaman rumah Pak Leman mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa apabila ditiup angin.

“Dia sepatutnya hormat pada abang. Bukannya lawan cakap abang,” kata Pak Leman.

“Betul, bang!” balas Mak Leha pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi abang kenalah cakap elok-elok,” dia menyambung lagi.

“Sebagai ketua abang kena tegas. Tak boleh beri muka dan berlembut dengan orang macam dia tu. Nanti dipijaknya kepala abang!” ucap Pak Leman pula sebaliknya.

“Leha faham, bang. Tapi sebagai ketua abang juga perlu menjaga hati dan perasaan dia,” tambah Mak Leha.

“Yang awak ni beria-ia sangat nak membela dia, kenapa? Hah? Sepatutnya awak sebelahkan saya. Saya ni suami awak. Bukannya dia!” Pak Leman mengeluarkan nada suara yang tinggi dan bercampur dengan rasa marah.

Dia kemudiannya lalu bingkas bangun daripada kerusi dan meninggalkan ruang tamu rumah bersama-sama dengan api kemarahan yang jelas kelihatan di wajahnya itu. Memang dia tidak boleh mendengar nama Pak Deris yang pernah menjadi sahabat baiknya dan sama-sama mencari rezeki di Kuala Lumpur pada satu ketika dahulu.

Mak Leha hanya mampu berdiam diri sahaja. Baginya itu adalah yang lebih baik. Daripada terus menyimbahkan api kemarahan suaminya. Tak lama kemudian Hafiz muncul daripada bilik dan terus menghampiri ibunya yang masih lagi duduk di atas kerusi.

“Kenapa dengan ayah tu, mak? Marah sangat nampaknya,” dia berkata sambil mengangkat muka memandang wajah ibunya.

“Entahlah, Fiz …. Tak habis-habis marahnya pada Pak Leman,” jawab ibunya pula.

Hafiz sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar apa yang dikatakan oleh ibunya itu.

“Kamu faham ajelah perangai ayah kamu tu. Kalau dia dah marah dan benci pada seseorang tu bawak sampai ke mati,” tambah ibunya lagi.

Dia terus diam.

“Dahlah! Mak nak ke dapur,” ujar ibunya sambil bingkas bangun daripada kerusi.

Hafiz memerhatikan sahaja ibunya berlalu pergi meninggalkan ruang tamu rumah dan terus menuju ke dapur.

+++++++

Pagi. Matahari masih lagi belum kelihatan meninggi di kaki langit biru. Angin yang bertiup dalam nada irama perlahan dan mendayu-dayu menembusi tingkap dapur rumah Pak Leman yang terbuka luas. Pepohonan hijau kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila ditiup angin kedengaran bernyanyi-nyanyi riang.

“Kamu tak kerja hari ni, Fiz?” soal Mak Leha.

“Tak, mak. Fiz ganti cuti. Kerja hari Sabtu dan Ahad lepas,” jawabnya.

Dia kemudiannya lalu menuangkan air kopi ‘o’ panas ke dalam cawan.

“Ayah mana, mak?” tanya Hafiz sambil menjamah nasi goreng yang disediakan oleh ibunya sebagai hidangan sarapan pada pagi ini.

“Dia ke bandar. Ada urusan katanya,” jawab ibunya pula.

“Mak …!” kata Hafiz setelah selesai menikmati nasi goreng dan meneguk air kopi ‘o’.

“Ada apa, Fiz?” soal ibunya.

“Mak boleh tolong tak,” pintanya.

“Pasal kau nak kahwin dengan Sofia, kan?” balas Mak Leha pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan dan memandang wajah anak lelakinya itu.

“Mak pergilah jumpa Mak Bedah tu. Mak dan Mak Bedah carilah jalan supaya saya dapat berkahwin dengan anaknya, Sofia. Saya juga mintak mak dan Mak Bedah carilah jalan untuk mendamaikan semula ayah dengan Pak Deris. Kita tak boleh biarkan mereka berdua terus berseteru. Kita pun akan turut sama berdosa nanti,” ucapnya dengan penuh panjang lebar.

Mak Leha lalu terdiam apabila mendengar kata-kata anak lelakinya itu.

“Mak …. Fiz mintak maaf kalau apa yang Fiz cakap membuatkan mak tersinggung dan terasa. Tapi apa yang kita lakukan ini adalah demi untuk kebaikan kita bersama,” ujarnya lagi.

Wajah Hafiz kemudian lalu dipandang dalam-dalam oleh Mak Leha.

“Memang betul kata kamu tu, Fiz. Demi untuk kamu dan Sofia dan kebaikan kita semua mak akan berjumpa dengan Mak Bedah untuk menyelesaikan masalah ini,” dia berkata.

“Terima kasih, mak. Kerana memahami perasaan saya dan Sofia. Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT akan merestui dan memberkati apa yang kita lakukan ini,” tambah Hafiz.

“Perkara yang baik pasti akan direstui oleh Allah SWT,” ujarnya pula.

Mak Leha lalu berjumpa dengan Mak Bedah.

“Aku tak fahamlah, Leha. Masing-masing dah tua. Tapi perangai masih lagi tak berubah. Keras hati dan keras kepala,” kata Mak Bedah.

“Disebabkan perangai dia orang tu anak kita jadi mangsa. Sedangkan niat mereka baik. Untuk mendirikan rumah tangga,” ulas Mak Leha pula sebaliknya.

“Begini ajelah, Leha. Kita jumpa orang yang paling dihormati dalam kampung ni. Tok Ketua. Mintak dia damaikan dia orang berdua ni,” ucap Mak Bedah.

“Elok sangatlah tu, Bedah. Sekarang jugak kita jumpa Tok Ketua,” dia membalas.

“Mari!” ajak Mak Bedah.

+++++++

Suasana petang disinari dengan cuaca cerah. Pokok rambutan, mangga, jambu dan betik yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua kelihatan seperti meliuk-liuk apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup.

“Aku dengar mereka dah lama berseteru. Sejak bekerja di Kuala Lumpur lagi,” kata Tok Ketua yang memakai songkok dan berbaju kemeja berlengan panjang berwarna kelabu.

“Sebab itulah kami berdua ni datang jumpa tok. Nak mintak tok tolong selesaikan masalah ini,” pinta Mak Bedah.

“Ya, tok!” angguk Mak Leha.

“Dah puas kami nasihatkan dia orang, tok. Tapi dia orang tak endahkan langsung. Kami dimarahnya balik. Sedangkan apa yang kami lakukan adalah perkara yang baik,” dia menyambung lagi.

“Kesian Sofia dan Hafiz. Sebab dia orang bergaduh, mereka berdua tak dapat kahwin,” luah Mak Bedah.

“Kamu berdua bersabarlah. Semua ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk kamu berdua termasuk Hafiz dan Sofia,” balas Tok Ketua dalam nada suara yang penuh tenang. Setelah mendengar luahan daripada Mak Bedah dan Mak Leha.

“Sebagai ketua di kampung ni, ini sudah menjadi tanggungjawab aku untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan anak-anak buah aku. Insya-Allah. Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT akan membukakan pintu hati mereka berdua untuk berdamai semula,” ujarnya lagi.

Tak lama kemudian isteri Tok Ketua muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi dan dialas dengan kain yang berwarna hijau pucuk pisang. Tok Ketua kemudiannya lalu mempelawa Mak Bedah dan Mak Leha untuk menikmati minuman yang disediakan oleh isterinya itu.

Tok Ketua lalu mengadakan pertemuan dengan Pak Deris dan Pak Leman.

“Sebagai ketua di kampung ni aku tak boleh biarkan anak-anak buah aku bersengketa sesama sendiri. Tak baik kamu berdua memutuskan hubungan silaturrahim. Kita hidup di kampung ni hendaklah berbaik-baik dan bermuafakat. Sepertimana yang menjadi amalan datuk nenek moyang kita yang dahulu,” kata Tok Ketua.

Pak Deris dan Pak Leman sebaliknya hanya tunduk dan diam. Kata-kata nasihat Tok Ketua itu benar-benar menyusup ke dalam hati mereka berdua.

“Tiada gunanya kita menyimpan perasaan dendam dan marah. Hidup kita tak akan tenang dan tenteram. Kalau kita sentiasa bersikap demikian. Sebaliknya kita perlu sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim. Sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam. Barulah hidup kita berkat di dunia mahupun akhirat,” ingat Tok Ketua lagi.

Pak Deris dan Pak Leman hanya diam membisu. Tidak keluar perkataan walau sepatah pun daripada mulut mereka berdua. Dari raut wajah Pak Deris dan Pak Leman jelas kelihatan bahawa mereka berdua sedang menghayati dan mendalami sepenuhnya nasihat yang amat berguna daripada Tok Ketua itu.

“Aku harap kamu lupakanlah apa yang telah berlaku. Bukalah lembaran baru dengan berdamai semula. Lebih-lebih lagi Hafiz dan Sofia telah menyatakan hasrat untuk membina kehidupan bersama. Restuilah mereka berdua. Aku juga mintak maaf. Kalau apa yang aku katakan membuatkan kamu berdua berasa tersinggung. Tapi apa yang aku lakukan adalah demi untuk kebaikan kita bersama,” ujar Tok Ketua.

Pak Deris kemudian lalu memandang wajah Tok Ketua.

“Tok …. Terima kasih kerana telah menyedarkan saya bahawa apa yang saya lakukan selama ini adalah berdosa dan tidak sepatutnya ada dalam diri saya sebagai seorang Islam …,” dia bersuara dalam nada yang perlahan.

“Saya pun begitu jugak, tok …. Saya juga berjanji mulai hari ini saya akan berubah …,” kata Pak Leman pula.

Mereka berdua kemudian lalu berpandangan.

“Leman …. Aku mintak maaf ….”

“Aku pun begitu jugak, Deris ….”

Pak Deris dan Pak Leman kemudian lalu bersalaman dan berpelukan.

“Syukur alhamdulillah. Kamu berdua dah berdamai,” ujar Tok Ketua dengan rasa penuh gembira.

“Kalau tak kerana tok dah tentu kami akan terus berseteru. Mungkin hingga ke akhir hayat kami,” balas Pak Leman.

“Semua ini adalah atas kehendak Allah SWT yang telah membuka pintu hati kamu berdua untuk menjalinkan hubungan silaturrahim semula,” sambut Tok Ketua.

“Alhamdulillah. Abang dan Abang Leman dah berbaik-baik semula,” celah Mak Bedah.

“Syukur alhamdulillah, Bedah. Allah SWT telah memakbulkan doa kita,” tambah Mak Leha.

“Inilah hari yang paling gembira dalam hidup saya. Bila melihat ayah dan Pak Deris dah berdamai semula,” kata Hafiz.

“Sofia pun begitu jugak. Rasa gembira sangat-sangat. Bila tengok ayah dan Pak Leman bersalaman dan mintak maaf,” ulas Sofia pula sebaliknya.

“Nampaknya berbesan la kita, Deris,” ujar Pak Leman sambil ketawa.

“Alhamdulillah. Dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang telah kita bina sekian lama,” balas Pak Deris dengan tersenyum gembira.

“Lepas ni bolehlah kita bincangkan tarikh dan persiapan untuk majlis anak kita nanti,” kata Pak Leman.

“Hah! Eloklah tu. Perkara yang baik harus disegerakan,” ucap Pak Deris.

Rasa kegembiraan jelas terpancar di wajah Tok Ketua, Pak Deris, Pak Leman, Mak Bedah, Mak Leha, Hafiz dan Sofia.

“Berbual-bual jugak. Hah! Minumlah air tu. Nanti sejuk tak sedap pulak,” pelawa Tok Ketua.

Mereka lalu menikmati hidangan air teh dan kuih lapis yang disediakan oleh isteri Tok Ketua dengan begitu penuh berselera sekali. Cuaca cerah bersama-sama dengan angin yang bertiup merdu dan segar turut berkongsi rasa gembira apabila Pak Deris dan Pak Leman berdamai semula.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *