Cerpen “Bukan Menjadi Halangan”

Pokok Getah

Pokok Getah ( Faisal Akram / CC BY-SA )

Suasana pagi diselubungi
dengan cuaca cerah. Angin yang datang
daripada arah bukit bertiup lemah-gemalai.

Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti melenggok-lenggok apabila ditiup angin. Daun-daun pula nampak terbuai-buai disapu angin dan mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa ketika bergeseran antara satu sama lain.

“Assalamualaikum!” Haida memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Akimi.

“Maafkan saya kerana mengganggu ketenangan awak,” tambah Haida lagi.

“Oh, tak mengapa!” geleng Akimi pula sebaliknya.

“Jauh nampaknya awak termenung. Apa yang sedang awak fikirkan,” kata Haida.

Akimi hanya mendiamkan diri sahaja sambil menarik nafas yang panjang. Angin yang tadinya bertiup lemah-gemalai lalu bertukar menjadi kencang. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyapu seluruh kampung yang indah dan permai.

“Kalaulah keluarga saya orang yang berada tentu saya dah dapat masuk universiti …,” ujar Akimi dalam nada suara yang perlahan.

“Jangan jadikan kemiskinan sebagai halangan untuk awak tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” balas Haida.

“Saya terima dengan apa yang telah ditentukan terhadap diri saya,” ucap Akimi.

“Awak tak boleh kata begitu, Akimi,” kata Haida.

“Tapi ini adalah kenyataan,” potong Akimi dengan pantas.

“Benar!” angguk Haida pula.

“Tak semestinya orang yang berada sahaja yang dapat masuk universiti. Orang yang miskin juga boleh masuk universiti. Tidak ada jurang yang memisahkan antara kaya dan miskin dalam mengejar impian dan cita-cita untuk berjaya dalam hidup ini,” sambungnya lagi.

Sekali lagi Akimi terdiam apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Haida itu. Dia kemudiannya lalu melemparkan pandangan ke arah pohon-pohon yang kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin. Seolah-olah menyatakan sokongan dan persetujuan dengan kata-kata Haida itu.

Sampai sahaja di rumah dia mengelamun jauh. Memang betul kata Haida. Aku ni masih muda lagi. Pelajaran amat penting untuk menjamin kehidupan aku pada masa depan. Dengan pelajaran yang tinggi aku akan mendapat pekerjaan yang bukan sahaja dapat menjamin hidup aku malah membawa keluarga aku daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu selama ini. Tapi …. Macam yang aku beritahu pada Haida. Aku bukannya daripada keluarga yang berada. Tambah pulak ayah dah lama tak ada. Siapa yang nak menjaga emak dan menanggung perbelanjaan adik-adik yang masih lagi bersekolah. Kalau bukan aku sebagai anak yang sulung dalam keluarga! Demikianlah detik hati kecilnya.

Akimi kemudian lalu menarik nafas yang panjang. Suara angin yang bertiup perlahan jelas kedengaran dan menyusup masuk melalui celah-celah dinding papan rumah pusaka peninggalan arwah nenek sebelah ibunya.

“Apa yang Akimi menungkan tu?” tegur ibunya.

Lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti.

“Tak ada apa-apa, mak!” gelengnya dengan pantas.

“Waktu zuhur pun dah masuk. Pergilah solat. Kejap lagi adik-adik kamu balik dari sekolah. Boleh kita makan sama,” arah ibunya.

“Baiklah, mak!” dia menjawab.

+++++++

Matahari yang meninggi di kaki langit biru kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali. Rasa bahang terik matahari yang bersinar bersama-sama dengan cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung.

“Ini duitnya, Akimi,” kata Pak Daud.

“Terima kasih, Pak Daud!” balasnya pula sambil menyambut wang yang dihulurkan oleh Pak Daud itu.

“Nasib baiklah kamu ada. Kalau tak siapa yang nak menoreh getah di kebun aku tu. Aku ni dah tua. Dah tak larat lagi. Nak harapkan anak-anak aku semuanya lari ke bandar cari kerja,” ucap Pak Daud.

“Saya pun berterima kasih pada Pak Daud. Dengan duit hasil menoreh getah di kebun Pak Daud dapatlah saya menyara emak dan adik-adik saya yang masih lagi bersekolah tu,” dia membalas pula sebaliknya.

“Akimi …. Maafkan aku. Kalau aku bertanya ….”

“Tanya apa, Pak Daud?”

“Kamu kan dapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kamu tak nak masuk universiti ke?”

Dia lalu terdiam. Bunyi gemertap ranting patah jatuh ditiup angin dan menimpa tanah jelas kedengaran membelah suasana kebun getah kepunyaan Pak Daud itu. Daun-daun kering yang berguguran sehelai demi sehelai disapu angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan tanah yang kering.

Akimi kemudian lalu memandang wajah Pak Daud yang kian dimamah usia itu. Kalau arwah ayahnya masih hidup tentu usianya sebaya dengan Pak Daud.

“Saya tak mampu, Pak Daud …!” dia menggeleng-gelengkan kepala dengan lemah.

“Aku faham, Akimi!” angguk Pak Daud pula dengan pantas.

“Disebabkan kemiskinan dan tanggungjawab pada keluarga menyebabkan kamu tak dapat masuk universiti. Tapi bagi aku itu tak boleh kamu jadikan sebagai alasan. Kamu telah berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan layak masuk universiti. Kamu tak seharusnya melepaskan peluang ini. Demi untuk masa depan dan seterusnya membela keluarga kamu,” ujarnya lagi dengan penuh panjang lebar.

Dia sebaliknya hanya diam apabila mendengar kata-kata Pak Daud itu.

“Akimi …,” ucap Pak Daud dalam nada suara yang lembut.

“Aku minta maaf. Kalau apa yang aku cakapkan tadi membuatkan kamu berasa tersinggung,” tambahnya.

“Tak mengapa, Pak Daud!” geleng Akimi pula dengan pantas.

“Aku dah anggap kamu macam anak aku sendiri. Kamu pandai dalam pelajaran. Tapi sayang tak masuk universiti. Aku nak tengok kamu berjaya dalam hidup. Dengan memiliki segulung ijazah,” kata Pak Daud.

+++++++

Malam. Bulan dan bintang kelihatan begitu amat indah sekali menghiasi dada awan yang menghitam. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup menambahkan lagi keindahan suasana malam yang hening dan tenang.

Akimi asyik teringatkan kata-kata Pak Daud. Alangkah ruginya kalau aku tidak mengambil peluang dengan keputusan cemerlang yang diperolehi dalam peperiksaan. Pintu universiti memang terbuka luas untuk aku. Tidak seharusnya aku tutup. Kerana kemiskinan dan kesusahan keluarga yang aku hadapi. Aku harus mengubah nasib diri dan keluarga mulai sekarang. Tak akan selama-lamanya aku menyara kehidupan keluarga dengan mengambil upah menoreh getah di kebun kepunyaan Pak Daud! Kata-kata yang penuh dengan motivasi panjang lebar itu tak henti-henti bermain di benaknya.

+++++++

Suara gemersik angin yang berhembus jelas kedengaran membelah seluruh kampung yang diwarnai dengan penuh kedamaian dan ketenangan. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Akob kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Lambaian pepohonan nyiur itu seolah-olah mengajak anak-anak muda yang sedang mencari rezeki di bandar besar iaitu Kuala Lumpur agar pulang semula ke kampung halaman untuk menaburkan bakti dan tenaga.

“Memang betul kata awak. Saya tak boleh jadikan kemiskinan hidup sebagai punca utama saya tak dapat masuk universiti,” dia berkata sambil memandang wajah Haida yang cantik dan jelita itu.

Keayuan wajah Haida semakin terserlah apabila tudung yang berwarna biru muda menutupi rambutnya bersama-sama dengan baju kurung yang berwarna merah.

Haida lantas tersenyum apabila mendengar kata-kata Akimi itu.

“Baguslah! Bila awak dah berfikiran begitu!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Pak Daud pun nak melihat saya berjaya dalam hidup,” tambah Akimi lagi.

“Awak sebenarnya layak masuk universiti. Tapi awak takut dengan bayang-bayang kemiskinan dan penderitaan hidup keluarga awak,” ulas Haida pula sebaliknya.

“Memang saya tak nafikan dengan apa yang awak katakan itu!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Mujurlah awak telah menyedarkan saya bahawa anggapan itu adalah salah semata-mata,” dia menyambung lagi.

“Seperti juga Pak Daud saya ingin melihat awak berjaya,” ucap Haida.

“Terima kasih, Haida! Awak telah memberikan semangat kepada saya.”

“Seorang kawan sejati akan sentiasa memberikan galakan dan semangat kepada kawannya.”

“Syukur alhamdulillah! Kerana saya mempunyai seorang kawan yang benar-benar sejati macam awak.”

“Saya pun akan mohon masuk universiti bersama-sama dengan awak.”

“Betul ke ni?” soal Akimi pula.

Dia berasa antara percaya dengan tidak. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Haida itu.

“Betul!” jawab Haida dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Takkan saya nak bohong dengan awak pulak!” dia menyambung lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala dan tersenyum.

Senyuman yang diukirkannya itu begitu menawan dan indah sekali. Tambah pulak apabila disapu oleh angin yang bertiup nyaman dan perlahan.

“Alhamdulillah! Ada jugak kawan masa di universiti nanti. Taklah saya seorang,” sambut Akimi dengan rasa penuh gembira.

“Itu kalau saya dapat masuk universiti. Kalau saya tak dapat nanti awak seorang ajelah kat sana nanti,” dia membalas pula sebaliknya.

“Insya-Allah! Awak akan dapat masuk universiti. Keputusan peperiksaan awak cemerlang,” kata Akimi.

“Tapi taklah secemerlang awak,” ujarnya.

“Bagi saya semua tu sama aje. Yang penting sekarang kita sama-sama mohon untuk masuk universiti. Ada rezeki dapatlah kita nanti,” ucap Akimi.

“Amin!” balas Haida.

Akimi lalu memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk menyambung pelajaran di universiti. Ibunya berasa begitu amat gembira sekali apabila mendengarnya.

“Alhamdulillah! Mak doakan semoga kau berjaya!”

“Mudah-mudahan dengan berkat doa mak Akimi akan berjaya masuk ke universiti dan memperolehi segulung ijazah.”

“Mak sentiasa mendoakan yang terbaik buat Akimi dan anak-anak mak yang lain.”

“Dengan doa dan semangat yang mak berikan itu Akimi akan belajar bersungguh-sungguh. Apabila keluar daripada universiti nanti Akimi akan mencari pekerjaan yang setanding dengan kelulusan yang Akimi dapat dan seterusnya membela nasib keluarga kita.”

Kata-kata Akimi itu lalu membuatkan ibunya tersenyum.

Dia dan Haida kemudian lalu memohon untuk masuk ke universiti. Alhamdulillah. Permohonan mereka berdua telah diterima.

“Syukur ke hadrat Allah SWT. Kita diterima masuk ke universiti,” kata Akimi.

“Syukur sangat-sangat. Akhirnya impian dan cita-cita kita selama ini tercapai juga,” balas Haida.

“Apabila di universiti nanti kita belajar bersungguh-sungguh untuk lulus dengan jayanya. Sepertimana yang diharapkan oleh keluarga kita,” ingat Akimi lagi.

“Ya! Betul kata awak tu!” angguk Haida dengan pantas.

“Tujuan utama kita masuk ke universiti adalah untuk belajar dan memenuhi impian keluarga kita. Untuk melihat kita berjaya dalam hidup ini,” sambungnya lagi.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT memakbulkan hasrat dan impian kita,” kata Akimi pula sebaliknya.

Haida lalu membalas dengan mengangguk-angguk diam.

Ketika di universiti Akimi dan Haida belajar bersungguh-sungguh. Demi untuk mencapai impian dan cita-cita yang telah ditanamkan ke dalam diri mereka berdua. Walaupun telah berjaya melanjutkan pelajaran di universiti namun Akimi tetap mengambil upah menoreh getah di kebun Pak Daud setiap kali dia pulang bercuti untuk membantu menambah pendapatan keluarganya.

“Macam mana dengan pelajaran kamu di universiti tu?” tanya Pak Daud setiap kali bertemu dengan Akimi.

“Alhamdulillah, Pak Daud. Semuanya berjalan dengan baik dan lancar,” dia sebaliknya menjawab.

Pak Daud lalu tersenyum apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Akimi itu.

“Baguslah macam tu!” angguk Pak Daud.

“Semoga kamu berjaya menamatkan pengajian dengan mendapat ijazah yang cemerlang,” sambungnya lagi.

“Terima kasih, Pak Daud. Kerana mendoakan yang terbaik buat saya,” ujarnya.

Ibunya juga sering memberikan perangsang dan dorongan agar dia belajar bersungguh-sungguh setiap kali dia pulang bercuti.

“Siang dan malam mak tak putus-putus berdoa semoga Akimi berjaya dalam pelajaran di universiti.”

“Terima kasih banyak-banyak, mak. Atas doa mak itu. Akimi akan belajar bersungguh-sungguh demi untuk mak dan adik-adik yang lain.”

Kata-kata itu membuatkan senyuman gembira lalu terukir di wajah tua ibunya itu.

+++++++

Beberapa tahun berada di universiti Akimi dan Haida akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Dengan kelulusan yang diperolehi Akimi telah berjaya menjawat jawatan sebagai seorang pegawai kerajaan di salah sebuah jabatan di Kuala Lumpur. Manakala Haida pula menjadi seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di Kelang.

Akimi juga mengotakan janjinya dengan mengubah nasib keluarganya. Dia menyara ibu dan persekolahan adik-adiknya. Rumahnya yang dulunya penuh dengan kedaifan telah ditukar dengan yang baru. Akimi dan Haida juga telah berkahwin atas dasar cinta sama cinta sewaktu menuntut di universiti dan telah dikurniakan dengan 5 orang anak iaitu 3 lelaki dan 2 perempuan. Kehidupan mereka berdua dipenuhi dengan warna-warna kebahagiaan.

Demikianlah kisah yang bukan sahaja untuk dikongsi bersama malahan juga dijadikan sebagai contoh dan teladan kepada kita semua bahawa kemiskinan dan kepayahan bukanlah menjadi halangan untuk menggapai impian dan cita-cita dalam hidup ini. Selain daripada itu, kepayahan dan kemiskinan keluarga akan menjadi suntikan semangat dan kesedaran kepada kita untuk mengubah segala-galanya.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *