Cerpen “Kalau Dah Jodoh”
Angin yang datang daripada arah bukit
bertiup nyaman dan perlahan.
Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti melenggang-lengguk apabila ditiup angin. Matahari yang meninggi di kaki langit biru kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali. Cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang indah dan permai.
“Baru balik, bang!” tegur Mak Limah sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Ya, Mah!” jawab Pak Abbas.
“Rajin betul budak Halim tu. Macam-macam kerja dia buat. Menoreh, menebas dan berkebun,” dia berkata lagi.
“Tingkahlakunya pun baik. Hormat pada orang tua,” tambah Mak Limah.
“Kawan-kawan yang sebaya dengan dia semuanya bekerja di bandar. Tapi dia lebih senang untuk memilih bekerja di kampung ni,” ujar Pak Abbas.
“Apa kata kalau kita jodohkan Lina dengan dia,” cadang isterinya.
“Abang setuju sangat kalau dia jadi menantu kita!” angguk Pak Abbas.
“Tapi sebelum tu awak tanyalah Lina dulu. Nak ke dia kalau dijodohkan dengan Si Halim tu,” sambungnya lagi.
“Baiklah, bang!” angguk Mak Limah pula dengan pantas.
“Kalau dia setuju nanti abang akan beritahu Halim,” ucapnya.
“Mudah-mudahan ada la jodoh mereka berdua,” harap isterinya.
“Insya-Allah, Mah!” Sama-samalah kita berdoa!” angguk Pak Abbas pula sebaliknya.
@@@@@@@
Petang. Cuaca kelihatan redup. Angin bertiup lemah-gemalai. Daun-daun kelihatan terbuai-buai apabila ditiup angin. Sementara menunggu masuk waktu Asar, Halim dan ibunya duduk di anjung rumah sambil berbual-bual.
“Tadi semasa pergi beli barang dapur di kedai Pak Leman mak berjumpa dengan Mak Cik Limah isteri Pak Abbas. Teringat pulak mak yang kau ambik upah menebas di kebun dia. Dah siap ke kerja yang dia suruh buat tu?” ibunya bertanya.
“Dah, mak!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Besok Pak Abbas akan bayar upahnya,” ucapnya lagi.
“Alhamdulillah!” ibunya membalas.
“Lim …. Kau tak teringin ke nak ikut macam kawan-kawan kau yang lain. Bekerja kat Kuala Lumpur tu,” ujar ibunya pula.
“Kat kampung ni kan macam-macam boleh buat, mak. Tak semestinya kena pergi ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Lagipun kalau saya pergi ke sana nanti siapa yang nak jaga mak. Ayah dah tak ada. Nak harapkan adik-adik semuanya masih bersekolah lagi,” katanya.
“Itu mak tahu. Tapi mak lebih gembira apabila melihat kau berjaya macam kawan-kawan kau yang bekerja di Kuala Lumpur tu,” sambut ibunya pula sebaliknya.
“Berjaya? Maksud, mak?” dia menyoal sambil memandang wajah ibunya yang semakin dimamah usia.
“Yalah. Gaji besar. Kereta pun besar,” jawab ibunya.
“Biarlah, mak. Itu dah rezeki dia orang. Rezeki saya pulak di kampung ni,” katanya lagi.
Ibu tua itu sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Dalam hatinya berasa amat bersyukur kerana mempunyai seorang anak yang baik dan menunaikan tanggungjawab menjaga dirinya setelah suaminya meninggal dunia.
“Dah asar pun. Mak …. Saya nak ke masjid,” dia memberitahu ibunya.
“Yalah …!” angguk ibunya pula dengan perlahan.
@@@@@@@
Rasa kedinginan terasa membungkus suasana pagi. Mungkin kesan daripada hujan yang turun lebat malam tadi. Dekat nak masuk waktu subuh baru hujan berhenti. Memang sudah lama hujan tidak turun. Hampir berbulan-bulan lamanya. Langit kelihatan berwarna kelabu. Matahari langsung tidak kelihatan memancarkan sinarnya seperti biasa. Apabila setiap kali pagi menjelma.
Pohon-pohon dan daun-daun kelihatan basah. Begitu juga dengan rumput yang menghijau. Manakala tanah pula ditakungi dengan lopak dan becak. Angin bertiup perlahan. Menambahkan lagi rasa kesejukan yang menyelubungi seluruh kampung. Titis-titis air hujan kelihatan membasahi atap zink rumah Pak Abbas.
“Ayah mana, mak?” tanya Lina.
“Dia dah keluar. Lepas aje hujan teduh tadi. Jumpa Halim. Nak bayar upah menebas kebun,” jawab ibunya.
Mak Limah kemudian lalu memandang wajah Lina. Dari raut wajah yang ditunjukkan oleh ibunya itu Lina sudah pun dapat menduga. Tentu ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh ibunya.
“Lina …. Mak adahal nak cakap ….”
“Apa dia, mak?”
“Mak dan ayah nak jodohkan Lina dengan Halim. Lina setuju ke?”
Lina sebaliknya hanya diam sahaja. Ibunya kelihatan tenang dan sabar menanti jawapan yang akan diberikannya. Bunyi rintik-rintik air hujan yang jatuh daripada atap zink dan menimpa permukaan tanah di halaman rumah jelas kedengaran.
Dia kemudian lalu menarik nafas yang panjang. Dari raut wajahnya yang masih lagi gadis itu jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan tentang hasrat ayah dan ibunya yang ingin menjodohkannya dengan Halim. Pemuda yang sekampung dengannya.
Dia kenal sangat dengan pemuda yang bernama Halim itu. Anak arwah Pak Hassan dan Mak Bedah. Berpendidikan sehingga ke Tingkatan 6 dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Tetapi tidak mahu melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kemiskinan keluarga. Seorang yang rajin dan bekerja kuat untuk menyara ibu dan adik-beradik yang ramai dan masih lagi bersekolah. Itulah yang dia tahu tentang pemuda yang ingin dijodohkan oleh kedua-dua ibu bapanya itu.
“Kalau dah jodoh Lina dengan dia, Lina terima aje, mak,” ujarnya.
“Alhamdulillah!” ibunya membalas dengan rasa penuh gembira.
Matahari kembali bersinar semula. Awan putih dan langit biru kelihatan cerah semula. Angin bertiup kencang. Pohon-pohon yang merendang seperti menari-nari riang apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri. Mengikut rentak dan irama angin yang bertiup.
Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan di atas tanah. Seperti yang dijanjikan Pak Abbas lalu pergi berjumpa dengan Halim untuk membayar upah menebas kebunnya.
“Terima kasih, Pak Abbas!”
“Sama-sama! Lim …. Aku ada perkara nak cakap dengan kau.”
“Perkara apa, Pak Abbas?”
“Begini, Lim. Aku tengok kau ni rajin dan kuat berusaha. Jadi, aku nak jodohkan kau dengan anak aku, Lina. Sekurang-kurangnya kau dapat menjaga dan mengusahakan kebun aku tu nanti. Aku dah tua. Dah tak larat. Nak harapkan anak-anak lelaki aku yang lain semuanya bekerja di Kuala Lumpur.”
“Pak Abbas …. Nak jodohkan saya dengan Lina …?”
“Ya, Lim! Aku harap kau sudi untuk menjadi menantu aku.”
Halim sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja.
Sampai sahaja di rumah dia lalu duduk termenung. Memikirkan tentang hasrat Pak Abbas untuk menjadikannya sebagai menantu.
“Jauh nampaknya kau termenung. Apa yang kau pikirkan tu?” ibunya yang tiba-tiba muncul daripada dapur lalu menyoal.
Dia kemudian lalu memandang wajah ibunya.
“Entahlah, mak …,” dia membalas dalam nada suara yang perlahan.
“Mak tengok macam ada sesuatu yang berat yang sedang kau pikirkan. Bagilatau, mak. Apa dia? Mungkin mak boleh tolong,” ujar ibunya.
“Pak Abbas nak jodohkan saya dengan anak dia Lina,” dia memberitahu ibunya.
“Jadi, kau terimalah,” ucap ibunya pula sebaliknya.
“Mak pulak macam mana?” dia bertanya sambil memandang ibunya yang duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang.
“Kalau dah jodoh kau dengan dia mak terima dan tumpang gembira,” jawab ibunya sambil tersenyum.
Halim hanya mampu untuk mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kata ibunya itu.
@@@@@@@
Suara cengkerik yang bersahut-sahutan jelas kedengaran membelah susana malam yang tenang dan dingin. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pelepah nyiur di halaman rumah Pak Abbas kedengaran mengalunkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa. Apabila bergeseran antara satu sama lain. Di kaki langit hitam bulan dan bintang kelihatan begitu indah bersinar dan cantik sekali apabila dipandang.
“Ayah dan mak berasa amat gembira apabila Lina bersetuju untuk dijodohkan dengan Halim,” kata Pak Abbas.
“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati hidup kau berdua, nak,” tambah Mak Limah pula sebaliknya.
“Kalau itu yang ayah dan mak fikirkan yang terbaik buat Lina, Lina terima dengan rasa penuh kesyukuran,” ucapnya.
“Alhamdulillah!” balas Pak Abbas.
“Macam mana pulak dengan Halim, bang? Abang dah tanya ke?” tanya Mak Limah.
“Sudah!” angguk Pak Abbas dengan pantas.
“Dia diam aje. Selalunya diam tanda dia setuju,” katanya lagi.
Suara angin yang bertiup jelas kedengaran membelah seluruh kampung. Pepohonan yang menghijau lagi merendang seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Bunyi gemersik pepohonan ditiup angin menambahkan lagi rasa ketenangan dan kedamaian di desa yang tercinta.
“Betul Lina nak kahwin dengan abang?” soalnya.
“Betul, bang …!” dia membalas dengan penuh sopan sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Walaupun abang hanya membuat kerja kampung sahaja?” tak henti-henti dia menyoal Lina.
“Lina tak pandang semua tu, bang …!” gelengnya.
“Bagi Lina yang penting kita direstui oleh kedua-dua orang tua kita dan hidup bahagia …,” dia menyambung dalam nada suara yang lemah-lembut dan sesuai dengan ciri-cirinya sebagai seorang gadis kampung.
Halim hanya mendiamkan diri dan menarik nafas yang panjang apabila mendengar kata-kata yang diluahkan oleh gadis yang bakal menjadi isterinya. Dia kemudiannya lalu memandang wajah Lina.
“Kalau dah jodoh abang dengan Lina, abang terima dengan penuh ikhlas dan seadanya.” Demikianlah katanya sambil memandang wajah Lina yang cantik dan jelita apabila disapu oleh angin yang bertiup segar dan perlahan.
Mereka kemudiannya lalu sama-sama mengukir senyuman.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~
niat nak berjinak dengan cerpen, saya tak tahu adakah novel ini hebat atau tidak. tetapi saya enjoy sangat baca cerpen ni, terima kasih.