Sudah Ditakdirkan Tiada Jodoh Antara Kita
Panahan Hati ( Arcane87 )
Suara desiran ombak jelas kedengaran..
..sayup-sayup membelah suasana.
Angin yang datang daripada arah laut bertiup dalam nada sepoi-sepoi bahasa. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa membelah seluruh kawasan pantai.
Pohon-pohon yang tumbuh di tepi pantai kelihatan seperti menari-nari inang apabila ditiup angin. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Mengikut irama angin yang bertiup.
Buih-buih memutih kelihatan berapungan membasahi gigian pantai. Adaketikanya timbul dan adaketikanya hilang apabila ditolak dan ditarik ombak.
Di kaki langit biru matahari kelihatan bersinar indah. Bersama awan tebal yang memutih. Butiran pasir yang memutih kelihatan berkilauan umpama mutiara di dasar lautan.
Apabila disinari matahari yang memancar terik dan menerangi seluruh alam semesta. Dengan cahaya yang terang-benderang.
♥♥♥♥♥♥♥
“Sudah menjadi ketentuan. Setelah sekian lama terpisah akhirnya kita bertemu semula,” aku berkata.
“Kau masih seperti dulu. Tak banyak berubah,” balas Ros. Nada suaranya tenggelam bersama desiran ombak yang tidak putus-putus menghempas pantai.
“Kau jugak begitu. Masih cantik. Tentu kau bahagia dengan suami kau sekarang,” ujarku.
“Untuk pengetahuan kau suami aku dah meninggal …,” dia bersuara perlahan.
“Maafkan aku, Ros. Aku benar-benar bersimpati dengan kau,” ucapku.
“Tak mengapa, Lan. Berapa anak kau sekarang?” tanya Ros padaku.
“2 orang. Dua-dua lelaki. Kau pulak?” aku menyoal sambil memandang wajahnya yang semakin cantik dan ayu apabila disapu bayu laut.
“Seorang. Perempuan,” jawabnya.
♥♥♥♥♥♥♥
Sekali-sekala kedengaran suara daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila dibuai angin yang berhembus.
Irama daun-daun yang bergeseran sungguh merdu dan menghiburkan jiwa. Daun-daun kering pula berguguran sehelai demi sehelai jatuh menimpa permukaan pasir yang memutih apabila ditiup angin.
Demikianlah diibaratkan perjalanan usia kita di atas dunia ini. Tidak akan kekal buat selama-lamanya. Pasti akan jatuh berguguran menimpa tanah.
Cuma lambat atau cepat sahaja yang tidak diketahui. Semuanya adalah di atas tangan Tuhan Yang Esa.
Daun-daun hijau yang kelihatan terbuai-buai apabila ditiup angin juga mengingatkan aku bahawa perjalanan usia dalam hidup ini tidak semestinya menjadi muda sentiasa.
Satu hari nanti pasti akan berubah menjadi tua. Seperti daun yang kekeringan dan berwarna keperangan.
♥♥♥♥♥♥♥
Dari jauh kelihatan sebuah kapal sedang berlayar mengharungi lautan biru yang luas sambil membawa bekalan. Destinasi yang ditujunya sudah pasti pelabuhan.
Melihatkan kapal yang sedang berlayar itu mengingatkan aku bahawa sesungguhnya hidup ini adalah ibarat sebuah pelayaran dengan membawa bekalan yang cukup menuju ke pelabuhan yang abadi sebagai destinasi perhentian yang terakhir.
Aku terus melemparkan pandangan ke arah laut yang membiru. Kemudian aku lalu menarik nafas yang panjang.
Setelah memandang laut dengan agak lama aku kemudian lalu memandang semula wajah Ros.
Tudung yang menutupi kepalanya kelihatan mengerbang sedikit apabila ditiup angin yang berirama perlahan. Dia kemudian lalu pantas membetulkan kain tudungnya itu.
♥♥♥♥♥♥♥
“Sudah ditakdirkan tidak ada jodoh di antara kita,” aku bersuara perlahan sambil menghirup udara laut yang nyaman dan dingin.
“Takdir juga telah menentukan kita jatuh cinta dan bukan untuk membina hidup bersama,” Ros menambah.
“Aku berasa amat gembira kerana kita dapat bertemu semula,” luahku pula sebaliknya.
“Begitu jugak dengan aku, Lan. Walaupun kita telah ditakdirkan untuk tidak hidup bersama namun aku berharap kita akan terus berkawan,” ujar Ros.
Aku sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Angin laut yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang.
Pohon-pohon kelihatan seperti mengangguk-angguk. Seolah-olah turut sama bersetuju dengan apa yang dikatakan Ros itu.
♥♥♥♥♥♥♥
“Aku harap kau hidup bahagia dengan isteri dan anak-anak kau sekarang,” dia berkata sambil membetulkan duduk.
“Alhamdulillah, Ros!” aku lalu pantas membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Hidup aku dengan isteri dan anak-anak bahagia. Aku harap kau jugak hidup bahagia bersama dengan anak kau,” sambungku lagi.
Ros sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang.
“Alhamdulillah, Lan. Aku tetap bahagia bersama dengan anak aku. Walaupun tanpa suami di sisi,” dia membalas.
“Aku harap kau kuat dan tabah dalam mengharungi kehidupan ini,” aku berkata.
“Menjadi sebagai seorang ibu tunggal memang banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi,” jelasnya padaku.
“Bukan hidup namanya kalau tidak menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang datang,” ulasku pula sebaliknya.
Dia kemudian lalu tersenyum apabila mendengar kata-kataku itu.
“Ternyata kau masih seperti dulu. Pandai bermadah dan bermain kata. Sehingga aku terpikat dengan kau,” dia bersuara.
“Aku sekadar nak berkongsi pengalaman dengan kau. Tak salah, kan,” tambahku pula sebaliknya.
♥♥♥♥♥♥♥
Kesenyapan lalu mengambil tempat dengan tiba-tiba.
Entah mengapa!
Aku dan Ros enggan berbicara. Kami sebaliknya melayan fikiran masing-masing. Hanya kedengaran suara ombak yang membelai pantai.
Di kaki langit biru matahari semakin meninggi. Jalur-jalur cahaya yang lurus kelihatan terpantul di atas permukaan dan menembusi celah-celah dedaunan hijau.
Aku kemudian memandang semula laut yang membiru. Begitu juga dengan Ros.
Matanya bagaikan lekat memandang laut biru yang terbentang luas. Hidup kita sebagai manusia di dunia ini umpama air laut.
Pasang dan surut silih berganti. Dalam erti kata lain penuh dengan warna-warna suka dan duka. Manis dan pahit.
Hidup ini juga tak ubah seperti putaran roda. Ada waktunya kita berada di atas. Ada waktunya kita berada di bawah.
Hari ini kita berasa gembira. Tapi esok belum pasti lagi. Kerana bukan kita yang menentukan semuanya itu.
Sebaliknya adalah di tangan Tuhan Yang Esa. Yang berkuasa ke atas segalanya dan menciptakan kita termasuk alam fana ini.
♥♥♥♥♥♥♥
Aku tidak mahu kesenyapan terus berpanjangan.
“Ros …,” aku bersuara perlahan.
Dia lantas mengalihkan pandangan daripada memandang laut yang membiru dan sebaliknya memandang aku.
“Maafkan aku bertanya?” ujarku.
“Apa dia?” balasnya dengan pantas.
“Tidakkah kau mahu mencari pengganti suami kau?” tanyaku dengan jujur.
Dia sebaliknya diam. Kemudian dia mengangkat kepala memandang semula laut yang membiru. Dari raut wajahnya itu aku telah pun dapat membaca.
Dia sedang memikirkan dan mencari jawapan pada pertanyaan yang aku lontarkan itu.
Terfikir jugak dalam hati kecil aku. Hal yang peribadi tak seharusnya aku tanyakan pada dia. Tapi tak tahulah. Dengan tiba-tiba sahaja ia terkeluar daripada mulutku.
Dia kemudian lalu memandang aku yang setia menunggu jawapan.
♥♥♥♥♥♥♥
“Sebelum tu boleh aku tanya kau?” dia menyoalku pula sebaliknya.
“Boleh!” anggukku.
“Apa dia?” aku menyambung sambil mengangkat kepala tinggi sedikit.
“Kenapa kau bangkitkan pertanyaan itu?” tanya Ros.
“Kalau terlalu menyentuh hal peribadi kau lebih baik kau abaikan sahaja,” aku menjawab.
Ros sebaliknya lalu tersenyum. Wajahnya bertambah cantik dan jelita apabila disapu angin laut yang bertiup halus dan perlahan.
Ditambah pula dengan kulitnya yang putih dan lembut. Rasa segar angin yang bertiup jelas terasa menyelubungi seluruh kawasan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson.
Kawasan peranginan yang masyhur dan terkenal. Sering menjadi buah mulut di kalangan pelancong tempatan dan luar.
Keindahan pantainya yang semula jadi dan udaranya yang bersih menjadi daya tarikan utama mereka berkunjung ke pantai yang terletak dalam Negeri Sembilan ini.
♥♥♥♥♥♥♥
“Kau masih tetap tak berubah,” kata Ros lagi.
“Dah berulang kali aku mendengar kau mengulang perkara yang sama,” aku membalas.
“Kenyataan!” celahnya pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Walaupun usia aku sentiasa meningkat tapi pendirian hidup aku tetap tidak berubah,” kataku pula.
“Aku hormati pendirian hidup kau, Lan. Lagipun aku dah lama kenal kau. Sejak kita bercinta dulu. Jawapan pada pertanyaan kau tentang untuk mencari pengganti arwah suami aku apa yang dapat aku katakan adalah buat masa ini aku belum terfikir lagi akan hal itu,” ujarnya dengan penuh panjang lebar.
“Kau terlalu sayang pada dia, bukan?” potongku dengan pantas.
“Benar, Lan!” dia menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Dia juga terlalu sayang pada aku. Sehingga nyawa pun sanggup dia memberikannya pada aku. Tapi dia pergi dulu …,” dia bersuara perlahan bersama rasa pilu dan sedih jelas kelihatan di wajahnya itu.
♥♥♥♥♥♥♥
Serentak dengan itu jugak angin bertiup lemah dan seakan-akan tidak bermaya. Bagaikan turut sama menghulurkan rasa simpati dan berkongsi rasa hiba dengan Rosnah.
Matanya kelihatan seperti bergenang. Namun dia masih lagi dapat menahannya daripada jatuh menitis membasahi pipi.
Aku mengerti dengan perasaan yang dialaminya. Kalau aku berada di tempat Ros sudah pasti aku juga akan merasa begitu.
Memang sukar untuk menerima hakikat kehilangan orang yang paling kita sayangi dalam hidup ini.
♥♥♥♥♥♥♥
“Bersabarlah, Ros. Semua ini sudah takdir …,” aku menenangkannya.
Dia sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Dari apa yang ditunjukkannya aku jelas dapat membaca. Bahawa dia menerima apa yang aku katakan itu dengan penuh redha.
“Ros …. Sebagai seorang kawan aku sentiasa mendoakan yang terbaik buat kau …,” aku bersuara tenang dan perlahan.
“Terima kasih, Lan!” dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Aku juga mendoakan yang terbaik buat kau. Lebih-lebih lagi dalam kerjaya kau sebagai seorang penulis,” ucapnya lagi.
Aku sebaliknya hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar kata-katanya itu.
Dia kemudian lalu memandang aku dengan pandangan yang penuh tajam. Terasa seperti sewaktu bercinta dahulu.
Tapi aku perlu membuang semua itu jauh-jauh. Kerana aku telah pun berkeluarga.
Buat apa diungkit kisah silam.
Kalau sekadar hanya mahu menyakiti dan menyimbahkan luka yang pedih di hati isteri yang aku sayangi di dunia mahupun akhirat.
Cinta itu indah..
Memang dahulu aku dan Ros menjadi pasangan kekasih. Pernah berjanji sehati dan sejiwa malah lebih daripada itu sehidup dan semati.
Lautan api pun sanggup direnangi. Andainya karam basah berdua. Itulah janji-janji yang aku lafazkan bersama-sama dengan Ros di bawah pepohonan rendang.
Dengan Pantai Teluk Kemang ini menjadi saksi. Sambil kugenggam erat jari-jemarinya yang halus dan lembut itu.
Seolah-olah sukar untuk melepaskan dia pergi dari sisi.
Sememangnya cinta itu amat indah sekali. Cinta adalah anugerah daripada Tuhan untuk makhluk ciptaannya. Cinta hakikatnya tidak mengenal usia tua mahupun muda.
Pasangan yang bercinta akan merasakan dunia ini umpama bunga-bunga yang mekar mewangi dan indah berseri. Tiada dikenali erti duka dalam kamus dunia percintaan.
Namun ada yang mengibaratkan cinta ibarat embun pagi yang akan kering apabila terbit mentari. Dalam erti kata lain cinta hanya hadir seketika sahaja dalam hidup ini.
Bila hati terluka pedihnya seperti ditikam sembilu yang tajam. Sukar untuk dilupakan sepanjang hayat.
Tinggal kenangan..
Demikianlah pelbagai tafsiran mengenai cinta.
Tapi bagi aku dan Ros semuanya kini telah tinggal menjadi kenangan. Kami sekarang sudah mempunyai haluan hidup masing-masing.
Benar juga seperti kata orang. Bercinta berhabis-habisan tapi penyudahnya bercinta dengan orang lain.
Itulah yang terjadi pada aku dan Ros.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~