Cerpen “Persatuan Alam Sekitar Kita”
Angin yang datang daripada
arah laut bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Pohon-pohon menghijau yang tumbuh di tepi pantai
kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin laut.
Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri.
Mengikut rentak angin yang bertiup.
Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali. Butiran pasir yang halus kelihatan berkilauan umpama mutiara di dasar lautan apabila disinari matahari yang terik. Desiran ombak tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih memutih yang berapungan membasahi gigian pantai.
Hari ini Persatuan Pencinta Alam Sekitar Kita mengadakan program membersihkan pantai. Program ini bukan sahaja disertai oleh ahli persatuan malahan juga masyarakat setempat. Selain daripada menjadi antara aktiviti utama persatuan program ini juga adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran di kalangan masyarakat betapa pentingnya menjaga alam sekitar.
“Alhamdulillah. Program yang kita adakan ini nampaknya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ramai yang hadir untuk bersama-sama dengan kita untuk menjadikan pantai ini sentiasa bersih dan indah,” kata Rahim, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Kita.
“Tanggungjawab untuk memastikan pantai ini sentiasa menarik dan indah harus kita pikul bersama-sama. Barulah timbul rasa cinta dan sayang dalam diri kita sebagai masyarakat terhadap alam sekitar,” ujar Zainal, Timbalan Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Kita.
“Memang betul kata kau tu, Zainal!” angguk Hisham, Setiausaha Persatuan Pencinta Alam Sekitar Kita pula sebaliknya.
“Siapa lagi yang harus menjaga alam sekitar ini kalau bukan kita yang memikulnya secara bersama-sama,” sambungnya lagi.
Suara desiran ombak yang menghempas pantai jelas kedengaran. Walaupun dibakar terik matahari Rahim, Zainal, Hisham dan peserta program yang lain tetap bersemangat untuk memastikan pantai bersih dan segar.
Rasa nyaman dan dingin angin laut yang bertiup jelas terasa menyelubungi seluruh kawasan pantai. Daun-daun yang berwarna keperangan dan kering yang jatuh berguguran apabila ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan pasir yang memutih dan halus.
“Tapi aku rasa sedih jugak. Bila ada yang sanggup dan tergamak melakukan pencemaran terhadap alam sekitar,” luah Zainal.
“Itulah akibatnya apabila tiada mempunyai rasa kesedaran dan betapa pentingnya menjaga alam sekitar,” celah Hisham.
“Alam sekitar adalah anugerah Tuhan kepada kita yang diberikan secara percuma. Seharusnyalah kita hargai dan jaga seperti harta yang amat berharga dan bernilai,” ucap Rahim pula.
Demikianlah rancaknya mereka berbual-bual sambil membersihkan kawasan pantai. Angin yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon yang tumbuh di sekitar kawasan pantai kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin yang datang daripada arah laut yang membiru.
Aktiviti seumpama ini memang selalu diadakan oleh Persatuan Pencinta Alam Sekitar Kita. Program yang diadakan bukan sahaja tertumpu di kawasan pantai tetapi juga di sungai. Ini sejajar dengan objektif utama penubuhan persatuan untuk memastikan alam sekitar terutamanya pantai dan sungai sentiasa bersih dan terhindar daripada sebarang ancaman yang bukan sahaja membawa kepada pencemaran malahan juga kemusnahan.
“Sebab itu kita perlu mengadakan program ini secara berterusan. Supaya masyarakat faham dan sedar mengapa kita tidak boleh mengabaikan alam sekitar,” kata Hisham.
“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Hisham!” sampuk Zainal pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Melalui usaha berterusan yang kita lakukan akan dapat meningkatkan lagi kesedaran di kalangan masyarakat akan betapa pentingnya untuk melindungi dan menjaga alam sekitar ini,” dia menyambung lagi.
“Tumpuan kita bukan sahaja setakat pada laut dan sungai. Tetapi juga pada kawasan rekreasi. Sebagai tempat orang ramai untuk berkunjung bersama-sama dengan keluarga apabila bercuti,” tambah Rahim.
“Selain daripada itu, kita juga harus ingat bahawa kawasan pantai dan rekreasi turut menyumbang kepada daya tarikan utama produk pelancongan,” celah Zainal.
“Itu memang tidak dapat dinafikan!” balas Rahim pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Kawasan pantai dan rekreasi yang bersih bukan sahaja akan menjadikan kita dapat menghirup udara yang segar malahan juga menjadi daya tarikan utama pelancong untuk datang,” ujarnya lagi.
Sememangnya pantai dan kawasan rekreasi yang bersih menjadi antara faktor utama untuk menggamit kedatangan pelancong terutamanya daripada luar. Selain daripada itu, suasana yang bersih dan cantik juga turut menjadi buah mulut kepada mereka untuk dibawa pulang nanti dan menceritakannya kepada kaum keluarga dan sahabat handai.
Ini secara tidak langsung akan menarik minat kaum keluarga dan sahabat handai mereka untuk datang melancong sambil menikmati keindahan dan kecantikan kawasan peranginan terutamanya pantai yang terdapat di negara kita.
Harus kita ingat bahawa sesuatu yang baik akan sentiasa menjadi sebutan pada setiap waktu dan ketika. Lebih-lebih kawasan pantai yang sentiasa menjadi tempat pelancong untuk beristirahat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Seharusnyalah usaha murni yang dilakukan oleh Persatuan Alam Sekitar Kita disokong. Demi untuk bukan sahaja memastikan kawasan pantai bersih daripada sebarang kekotoran dan pencemaran malahan diangkat dan tertera dalam peta pelancongan dunia.
“Kita seharusnya berasa gembira dan bangga apabila kawasan pantai yang terdapat di negara kita sentiasa mendapat tempat di hati pelancong,” kata Zainal.
“Pelbagai usaha perlu kita lakukan. Untuk memastikan masyarakat bukan sahaja terlibat dalam program seumpama ini. Tetapi juga dalam program yang lain,” ulas Hisham.
“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Hisham!” sokong Rahim pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Sebenarnya tidak cukup dengan sekadar masyarakat hanya menyertai program sepertimana yang kita anjurkan ini. Mereka juga perlu terlibat dalam program seperti ceramah, seminar, bengkel, pertandingan menulis puisi, esei dan lain-lain lagi. Untuk meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan mereka mengenai alam sekitar,” dia menyambung lagi dengan penuh panjang lebar.
Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit. Cahayanya yang terang-benderang menerangi seluruh kawasan pantai. Bahang matahari yang semakin panas memijar sedikit pun tidak melemahkan semangat peserta yang menyertai program sejak daripada awal pagi tadi.
Bagi mereka cuaca panas yang melanda pantai bukannya menjadi halangan mahupun rintangan sepanjang menyertai program ini. Tetapi yang paling utama adalah untuk memastikan alam sekitar terutamanya kawasan pantai sentiasa bersih dan sedap apabila mata memandang. Sepertimana yang ditekankan Rahim dalam ucapan alu-aluan sebelum program bermula tadi.
“Bagus sekali cadangan kau tu, Rahim. Nanti aku bantu kau buat kertas cadangan berserta dengan bajetnya sekali,” sambut Hisham pula sebaliknya.
“Kita bentangkan jugak dalam mesyuarat persatuan minggu depan. Kita mintak pandangan ahli-ahli yang lain,” celah Zainal.
“Insya-Allah!” angguk Rahim.
“Perkara yang baik pasti akan dipersetujui. Sama-samalah kita berdoa. Semoga apa yang telah kita rancangkan akan terlaksana dengan sepenuhnya,” dia berkata lagi.
Rahim kemudian memandang ke seluruh kawasan persekitaran pantai. Kelihatan begitu amat bersih dan indah sekali. Dalam hatinya berasa begitu amat gembira sekali. Dengan komitmen dan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh ahli persatuan bersama-sama dengan peserta yang lain dalam menjayakan program ini.
Jam sudah menunjukkan pukul 12:00 tengah hari. Dia kemudiannya meminta Hisham untuk membuat pengumuman dengan meminta para peserta program untuk berkumpul di bawah khemah. Untuk majlis penutupan dan penyampaian sijil yang akan disempurnakan oleh Rahim dan seterusnya diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~