Kisah Cinta Anuar & Rohana
Kisah cinta Anuar dan Rohana.
Inilah kisah yang ingin aku kongsikan bersama.
Anuar bekerja di syarikat penerbitan buku di Kajang. Sebagai penolong editor. Setiap hari dia berulang-alik dari rumahnya di Seremban ke Kajang. Dengan menaiki bas Foh Hup. Pada satu hari ada seorang gadis duduk di sebelahnya.
Gadis itu lalu menegurnya.
Namanya Rohana.
Panggilan mesra Ana.
Ana bekerja sebagai guru tadika di Mantin. Setiap hari dia akan turun di Mantin. Jadi Anuar hanya dapat berbual sekejap dengan Ana. Dari sehari ke sehari hubungan Anuar dan Rohana semakin mesra.
Memandangkan hubungan mereka semakin mesra dan intim lalu pada satu hari Anuar mengajak Ana keluar. Pada mulanya Ana seperti keberatan untuk menerima pelawaan Anuar itu. Maklumlah baru saja kenal belum lagi kenal hati budi lelaki itu dah ajak dia keluar. Itu sebablah agaknya dia seperti amat berat untuk keluar dengan Anuar.
Mungkin kerana Anuar pandai main ayat akhirnya dia bersetuju untuk keluar dengan lelaki yang dikenalinya dalam bas itu. Maka pada hari Sabtu selepas habis kerja Anuar dan Rohana pun bertemu di Terminal Bas Seremban. Mereka pun berjalan-jalan di sekitar Bandar Seremban.
Setelah penat berjalan mereka kemudiannya lalu duduk di satu tempat. Tangga panggung wayang Ruby. Sebagai lelaki Anuar lalu mencurahkan perasaannya pada Ana. Sambil membelai lembut jari-jemari Ana. Macam pasangan yang dah lama bercinta. Tapi macam bertepuk sebelah tangan saja.
Rohana berat untuk menerima lelaki itu.
Sebenarnya dia takut.
Bukan apa dia baru saja putus cinta.
Anuar terus meyakinkan Rohana bahawa dia benar-benar suka dan jatuh cinta dengan Rohana. Akhirnya Rohana menerima juga lelaki yang bernama Anuar itu dengan seadanya.
Setelah lama memadu kasih di tangga panggung wayang Ruby mereka pun berjalan semula ke Terminal Bas Seremban. Untuk menaiki bas pulang ke rumah. Anuar tak ada kenderaan. Gajinya berapa banyaklah sangat nak beli motor atau kereta. Jadi kenalah naik bas. Tambah pulak jarak antara Seremban dengan Kajang bukannya dekat. Anuar dan Rohana tinggal dengan keluarga.
Anuar tinggal di Senawang.
Manakala Rohana pula tinggal di Jalan Tembak.
Sambung balik cerita tadi. Sambil berjalan menuju ke Terminal Bas Seremban Rohana memegang tangan kekasihnya itu dengan rasa penuh cinta dan sayang yang amat mendalam. Macam lautan biru yang luas. Memang Rohana ini seorang gadis yang romantik bila bercinta. Dah tuah badan Anuar. Dapat kekasih hati macam Rohana. Atau dalam erti kata lain dah rezeki dia.
Anuar kemudiannya lalu mengajak Rohana minum di restoran yang terletak tidak jauh dari Terminal Bas Seremban. Biasalah lelaki nak tunjuk dia ada duit. Jadi dia belanjalah awek dia minum. Sambil minum mereka bertentang mata. Antara satu sama lain.
Memang benar cinta itu lahir daripada pandang pertama. Bermula daripada mata kemudian perlahan-lahan turun ke hati. Tika itu hidup dipenuhi dengan warna-warna indah dan berseri. Bersama haruman dan mekar mewangi umpama bunga-bunga di taman.
Mulai dari pertemuan yang indah itu cinta Anuar dan Rohana semakin kuat berputik. Hanya surat-surat dan gambar menjadi pengubat rindu bila tak bertemu. Atau mendengar suara melalui telefon untuk memadamkan rindu yang membara. Andainya karam basah berdua. Ke lautan api pun sanggup mereka renangi. Sehati dan sejiwa. Itulah lafaz cinta mereka.
Setiap kali bertemu mahupun dalam bait-bait ayat yang ditulis dalam surat. Yang menjadi pengganti diri bila berjauhan. Dengan kesibukan tugas masing-masing. Menjadi halangan untuk bertemu. Mengukir bicara dan melepaskan rindu dendam yang membara. Demikianlah hebatnya cinta.
Ini bukan saja dialami Anuar dan Rohana. Malahan juga pada pasangan yang lain. Cinta zahirnya tidak dapat dipisahkan dalam hidup manusia. Ia tidak mengenal usia. Tua mahupun muda. Cinta adalah lambang dua hati antara seorang lelaki dan seorang wanita yang bersatu menjadi satu. Kemuncak cinta berakhir di jinjang pelamin. Berkongsi hidup dan bahagia sehingga ke akhir hayat.
Itulah yang diimpikan dan diidamkan setiap pasangan yang menempuhi alam yang dinamakan sebagai percintaan.
Bagi Anuar Rohana adalah wanita yang pertama dan terakhir dalam hidupnya. Dia tak boleh hidup sehari tanpa wanita yang bernama Rohana itu. Kalau sehari tak menatap wajah Rohana dia terasa tak bermaya untuk meneruskan hidup ini. Rohana adalah suri dalam hidupnya. Gadis yang bernama Rohana hanya satu dalam hidupnya. Tidak mungkin ada dua mahupun tiga. Biarpun ramai gadis jelita bagaikan puteri yang datang dalam hidupnya namun cintanya hanya tumpah pada Rohana seorang saja.
Seperkara lagi Anuar juga adalah seorang penulis. Banyak menulis cerpen dan puisi yang jiwang-jiwang. Almaklumlah orang yang hangat bercintalah katakan. Nama Rohana sentiasa terpahat dalam cerpen dan puisi yang ditulisnya. Tak kiralah cerita atau puisi itu kisah suka mahupun duka. Itulah yang digambarkannya tentang rasa kasih dan sayang dia pada Rohana. Dia mengimpikan untuk melayarkan bahtera cinta bersama dengan Rohana. Menuju ke pulau impian dan di sana nanti hidup dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan.
Rohana ada membaca curahan perasaan dalam puisi dan cerpen yang ditulis lelaki yang dicintainya itu. Terdetik juga Rohana bertanya pada Anuar. Apa akan terjadi sekiranya cinta mereka terputus di tengah jalan? Anuar sebaliknya hanya mendiamkan diri saja. Apabila Rohana menghulurkan soalan cepu emas itu kepadanya. Dalam diam Anuar berkata jodoh pertemuan adalah di tangan Tuhan. Sebagai manusia dia hanya mampu merancang. Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Kalau ditakdirkan jodohnya dengan Rohana dia bersyukur. Tapi kalau bukan Rohana yang menjadi jodohnya dia akur dan pasrah menerimanya. Dengan hati yang penuh terbuka. Bahawa semua ini bukan kehendak dia mahupun Rohana. Walaupun mereka saling menyintai dan berjanji untuk melayarkan bahtera kehidupan bersama. Kerana semua ini adalah ketentuan Tuhan. Dan mereka hanyalah hamba yang lemah dan tidak mampu menolak apa yang telah ditakdirkan Tuhan terhadap cinta yang mereka bina bersama.
Bagi Rohana lelaki yang bernama Anuar adalah yang pertama dan terakhir dalam hidupnya. Dia tak sanggup berpisah dengan Anuar. Rela sehidup semati. Walau apa terjadi sekalipun termasuk dipukul ribut dan gelombang ganas di lautan. Rohana beritahu Anuar kalau dah jodoh mereka tak akan ke mana. Sama jugak macam rezeki. Cuma cepat atau lambat saja dengan izin Tuhan.
Rohana ini hobinya tengok wayang. Bila bertemu dengan Anuar dia akan ajak pakwenya itu tengok wayang. Anuar menurut saja ajakan makwenya itu. Walaupun dia tak begitu minat tengok wayang. Tapi nak jaga hati awek punya pasal dia ikut ajelah.
Kalau tak tengok wayang mereka akan duduk di restoran. Sambil makan dan minum mereka akan bercerita hal kerja masing-masing. Selain daripada berbicara mengenai hubungan cinta mereka.
Ternyata jiwa Anuar dan Rohana berbeza. Anuar jiwanya menulis. Rohana pulak hiburan dengan menonton wayang. Tapi hati dan perasaan mereka disatukan dalam cinta yang sejati. Satu hal lagi yang boleh puji mereka berdua ini ialah mereka tak pernah bergaduh. Tak macam sesetengah pasangan lain yang hangat bercinta. Hal sikit pun boleh bergaduh sehingga putus. Anuar pun tak cemburu. Bila melihat Rohana berbual dengan lelaki lain.
Satu hari Rohana beritahu Anuar yang ibunya nak menjodohkan dia dengan anak jirannya. Anuar sebaliknya tenang apabila mendengar apa yang dikatakan Rohana itu. Lagipun dia dah bersedia menerima kenyataan. Kalau ditakdirkan Rohana bukan jodohnya. Tapi semua itu tak menjadi kenyataan. Selepas itu senyap macam tu aje. Tak tahulah kenapa. Ingatkan hubungan cinta mereka dah berakhir. Tapi rupanya tidak.
Dalam diam-diam rupanya ada seorang gadis yang menaruh hati pada Anuar. Dia pun selalu naik bas. Dari rumahnya di Beranang ke tempat kerjanya di Kajang. Tapi Anuar anggap dia sebagai kawan saja. Tak lebih dari itu. Sebab hatinya adalah pada Rohana. Gadis tu betul-betul kecewa. Apabila cintanya tak dibalas Anuar. Semenjak dari hari itu dia lalu menjauhkan diri daripada Anuar. Ibu bapa Anuar tahu yang dia sudah ada pilihan hati.
Sepatutnya dia beritahu ibu bapanya. Supaya mereka masuk meminang Rohana.
Tapi tak tahulah kenapa Anuar tidak menyatakan hasratnya pada kedua-dua ibu bapanya.
Sebenarnya ibu Anuar nak menjodohkan dia dengan gadis lain. Tapi Anuar menolak sebab hati dia sudah terpaut pada Rohana. Lagipun zaman dah berubah. Bukan macam zaman ayah dan ibunya dulu. Jodoh diaturkan ibu bapa. Bagi Anuar dia tetap memilih Rohana sebagai pasangan hidupnya. Dia yakin bersandarkan kejujuran dan kesetiaan dalam hubungan cinta yang dibinanya bersama dengan Rohana dia akan hidup bahagia. Sehingga ke anak cucu.
Anuar belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga. Sebab kedudukan kewangannya belum kukuh. Tambahan pula ibunya telah mensyaratkan bahawa selagi belum matang dan kedudukan kewangan belum teguh lagi selagi itulah ibunya tidak akan membenarkan dia berkahwin.
Sebab kahwin ini bukannya sehari dua. Kematian saja yang dapat memisahkan. Lagipun bila berkahwin tanggungjawabnya besar sebagai ketua keluarga. Mesti pastikan semua cukup untuk isteri dan anak-anak. Makan, pakai, duit dan bermacam-macam lagi. Perkahwinan ini ibarat melayarkan bahtera di tengah lautan biru yang luas. Sebagai nakhoda Anuar harus memastikan bahtera yang dikemudinya kuat. Supaya tidak tenggelam di lautan perceraian.
Anuar juga seorang anak yang taat dan patuh pada kedua-dua ibunya. Disebabkan takut mahligai perkahwinan yang didirikannya bersama dengan Rohana atas dasar cinta runtuh maka sebab itulah dia belum lagi bersedia untuk menempuh kehidupan yang baru.
Rohana menasihatkan Anuar agar menerima saja gadis pilihan ibunya itu. Jangan lukakan hati ibu dan menjadi anak yang derhaka. Ingat Rohana lagi pada Anuar. Namun dia mendiamkan diri saja. Kata Rohana lagi Anuar sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga memang sewajarnyalah ibunya mengambil berat soal calon isterinya. Anuar sebaliknya hanya mendiamkan diri saja.
Pernah satu hari Anuar menelefon Rohana. Waktu itu pada Hari Raya Aidilfitri. Dia nak memberitahu yang dia hendak datang beraya di rumah. Tapi ibunya yang menyambut panggilan telefon. Dia beritahu nak cakap dengan Rohana. Tapi sebaliknya ibu Rohana memberitahu maaf ini bukan rumah Rohana. Tak tahulah kenapa ibunya tidak memberi dia bercakap dengan Rohana.
Seperti biasa bila keadaan mengizinkan mereka lalu bertemu. Kali ini Rohana memberitahu yang adik angkatnya dah jatuh hati padanya. Namun Rohana memberitahu yang dia dah ada pakwe. Dalam erti kata lain dia menolak cinta adik angkatnya itu. Selepas dari itu mereka jarang bertemu sehinggalah Anuar mendapat pekerjaan di salah sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Lama-kelamaan hubungan mereka semakin terputus.
Sehinggalah pada satu hari mereka bertemu di Terminal Bas Seremban.
Rohana ada memberi nombor telefon pada Anuar. Tapi Anuar tidak menghubunginya. Sebaliknya hanya mengutus surat saja pada Rohana. Namun Rohana tidak membalasnya.
Cinta Anuar pada Rohana masih lagi menebal. Siang dan malam dia tak henti-henti merisik khabar kekasihnya itu. Pada satu hari dia telah menemui jawapan yang dicarinya selama ini. Rohana telah pun berkahwin. Tak lama kemudian Anuar pun berkahwin. Dengan gadis pilihan keluarganya yang berasal dari Kelantan dan kini telah dikurniakan dua orang anak lelaki. Tapi takdir telah menentukan mereka bertemu semula di Port Dickson.
Rohana memberitahu Anuar yang mereka tak ada jodoh. Bagi Anuar pula dia tetap menerima Rohana sebagai seorang kawan. Selepas itu sehingga kini mereka tidak bertemu lagi.
Moral yang ingin aku sampaikan di sini adalah bercinta bagaikan nak rak tapi berkahwin dengan orang lain. Sebab itulah yang dinamakan sebagai jodoh.
*******
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~
Sedihnya
Sama cam saya