Siapakah Yang Memiliki Hatinya Kini?

Kerusi Bas

Kerusi Bas ( Public )

Tahun 1999..

Aku bertukar daripada Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala Lumpur ke Muzium Lukut, Port Dickson.

Aku bertukar atas permintaan aku sendiri.

Sebab jarak antara rumah aku di Seremban ke Kuala Lumpur agak jauh.

Walaupun tinggal dengan keluarga namun kasar jugak belanja aku apabila setiap hari berulang-alik dengan menaiki bas SKS.

Bukan itu sahaja malahan awal pagi lagi dah bangun. Nak kejar bas. Kalau tertinggal bas alamatnya lewatlah sampai ke tempat kerja.

Aku kena jaga juga prestasi pada waktu itu. Sebab baru berkhidmat sebagai penjawat awam.

Kalau tak jaga prestasi jawabnya tak dapatlah pengesahan dalam jawatan. Ketika itu aku memegang jawatan sebagai Pembantu Muzium.

~ Pergi Balik Tidur ~

Berbalik kepada cerita berulang-alik setiap hari dari Seremban ke Kuala Lumpur memang memenatkan.

Apa tidaknya dahlah bangun sebelum matahari terbit balik ke rumah pulak bila dah matahari terbenam. Dalam erti kata lain keluar gelap balik ke rumah pun gelap.

Bila dah macam tu keadaannya bila dalam bas jawabnya pergi tidur balik pun tidur. Bukan setakat aku seorang sahaja.

Penumpang-penumpang yang lain pun sama. Kadang-kadang aku berasa lucu juga apabila aku terjaga dari tidur.

Terdengar bermacam-macam bunyi dengkuran. Maklumlah mereka pun sama macam aku jugak. Keletihan dan mengantuk.

Sebab berulang-alik ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari rezeki. Geli jugak hati aku apabila melihat pemandu bas membawa penumpang yang tidur.

Itulah secebis kisah yang dapat aku ceritakan tentang pengamalan berulang-alik dari Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

~ Aku Balik Kampung ~

Kembali semula kepada kisah pertukaran aku ke Muzium Lukut. Waktu itu Muzium Lukut baru dibuka dan memerlukan penempatan seorang pegawai Kumpulan C.

Aku pun lalu memohon atas dasar sebagai anak jati Negeri Sembilan untuk berkhidmat di negeri kelahiranku sendiri.

Syukur alhamdulillah. Permohonanku telah diluluskan. Tahniah, Asrul! Dapat balik semula ke kampung. Semoga terus berjaya dan cemerlang di tempat baru.

Demikian kata kawan-kawan yang sama bertugas dengan aku di Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala Lumpur.

Tidak kurang juga yang berkata, Jangan ingat kau akan duduk di Lukut buat selama-lamanya mungkin satu hari nanti kau akan balik semula ke Kuala Lumpur.

Namun aku tak ambil endah kata-kata itu.

Lagipun aku faham. Kalau kerja di bawah jabatan peringkat persekutuan ini akan ditukar ke mana-mana sahaja. Termasuk Sabah dan Sarawak.

Lebih-lebih lagi bila dah naik pangkat. Aku akur dengan semua itu. Kerja ikut arahan macam tulah. Lainlah kalau kerja sendiri.

Tapi kerja sendiri ni nasib tak menentu. Berbanding dengan kerja kerajaan terjamin sampai pencen.

~ Nak di Jadikan Cerita ~

Walaupun tempat kerja aku dah dekat di Lukut, Port Dickson namun aku masih naik bas lagi.

Kalau dulu semasa berulang-alik ke Kuala Lumpur naik bas SKS tapi sekarang naik bas Park May pula.

Yang sekarang ini dikenali sebagai City Liner.

Nak dijadikan cerita semasa naik bas Park May aku sering berulang-alik dengan seorang gadis. Cantik dan jelita wajahnya.

Dengan bertudung dan berbaju kurung terserlah sifat-sifat wanita Melayu dalam dirinya. Aku sekadar meminatinya dari jauh.

Nak bertegur sapa belum lagi terbuka pintu hati aku untuk berbuat demikian. Mungkin kerana sifat malu dan segan yang membuatkan aku jadi begitu.

~ Ke Mana Dia Pergi? ~

Selalunya waktu pergi kerja saja aku dan dia sama naik bas. Tapi bila waktu balik aku tak jumpa pulak dia naik satu bas dengan aku.

Dari sehari ke sehari aku asyik teringatkan dia. Kalau sehari dia tak naik bas mulalah hati aku tertanya-tanya.

Ke mana pulak dia pergi hari ni?

Aku dah jadi meminati dia diam-diam. Sehinggalah ke satu hari aku berpeluang bercakap dengannya di dalam bas.

Dia beritahu aku yang dia bekerja di bank MBF, Port Dickson. Rumahnya di Paroi Jaya.

Bila dia dah bukak cerita apalagi aku pun balaslah. Aku beritahu dia yang aku bekerja di Muzium Lukut.

“Lukut ada muzium rupanya, ya!” katanya.

“Ya, baru buka!” aku mengangguk-anggukkan kepala.

“Apa yang ada di Muzium Lukut tu?” dia menyoal lagi.

“Sejarah mengenai kegemilangan pemerintahan Raja Jumaat dan Lukut sebagai kawasan perlombongan bijih timah yang masyhur pada suatu ketika dahulu.” Demikianlah jawapan yang aku berikan.

Dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-angguk diam.

“Datanglah,” pelawaku.

Maklumlah kerja dengan muzium ni kenalah ramah dan mesra untuk tarik orang datang. Ternyata dia seorang yang ramah.

Kami rancak berbual-bual macam dah lama kenal.

Lagipun kami dah kenal satu sama lain. Maklumlah boleh dikatakan hari-hari sama naik satu bas. Cuma tak berkesempatan aje untuk bertegur sama.

“Dah lama ke kerja muzium?” dia tanya aku lagi.

“Baru 3 tahun. Sebelum saya bertugas di Kuala Lumpur dan baru berpindah ke Lukut,” jawabku.

“Kenapa pulak pindah ke Lukut? Kan elok duduk kat Kuala Lumpur. Senang naik pangkat,” ujarnya lagi.

Aku sebaliknya lalu tersenyum.

“Tak larat nak berulang hari-hari. Lagipun ada kosong kat Lukut. Saya pun mintak tukarlah,” aku membalas sebaliknya.

~ Termenung Sendirian ~

Sedar-sedar bas yang aku naiki pun dah sampai Lukut.

Aku beritahu dia yang aku turun dulu. Ada masa nanti kita bersembang lagi. Dia sebaliknya hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum.

Sepanjang hari itu aku asyik teringatkan akan kemesraan dan keramahannya.

Sehingga aku termenung dan tersenyum sendirian. Maklumlah dapat bercakap dengan gadis yang aku minati dari jauh dan dalam diam selama ini.

“Hai, Rul! Termenung aje nampak hari ni!” tegur Abang Md Zin rakan sekerjaku.

Agaknya dia perasan yang aku asyik termenung aje semenjak daripada pagi tadi.

“Tak ada apa-apalah, bang!” aku berdalih dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Mesti ada apa-apa ni. Teringatkan buah hati ke?” katanya lagi sambil tersenyum.

“Hish, abang ni. Ke situ pulak perginya. Mana ada buah hati,” jawabku.

“Habis? Yang kau termenung dan tersenyum aje abang tengok bukan teringat buah hati namanya tu,” ucapnya.

“Teringat kisah-kisah lalu, bang,” aku berkata.

~ Aku Tak Tahu Nama ~

Keesokan harinya aku berpeluang lagi berbual-bual dengannya.

Kali ini sebelum naik bas. Dia beritahu aku yang umurnya muda setahun daripada aku dan dahulu bersekolah di Sekolah Menengah Vokasional Ampangan.

Kampungnya di Alor Gajah. Anehnya aku tidak memberitahu nama aku dan dia tidak memberitahu namanya.

Entahlah!

Kenapa masing-masing tidak memperkenalkan diri.

Tak lama kemudian bas pun sampai. Kami lalu menaiki bas dan duduk berasingan. Jadi, kami tak dapatlah nak meneruskan perbualan.

Semenjak daripada hari itu aku jarang berjumpa dengan dia.

Macam biasalah. Hatiku selalu tertanya-tanya.

Kenapa dah lama tak nampak dia?

Risik-risik punya risik dia rupanya belum berkahwin. Aku tahu daripada Abang Razali pemandu bas.

Aku selalu berbual-bual dengan Abang Razali.

Jadi, terbukaklah cerita yang dia tu belum berkahwin. Selalu jugak dia naik bas yang dipandu Abang Razali dan bercerita akan perihal dirinya pada pemandu bas itu.

~ Gadis Dari Kelantan ~

Lama-kelamaan aku dah tak teringatkan dia lagi. Sebab aku akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis yang berasal daripada Kelantan tak lama lagi.

Dah jodoh aku dapat orang jauh. Jadi, buat apa diingatkan dia.

Tapi satu hari ketika membeli barang hantaran di salah sebuah pusat membeli-belah di Seremban aku berjumpa dengan dia. Kami hanya tersenyum saja.

Lagipun arwah emak dan kakak aku ada sama masa tu. Takkan aku nak berbual mesra dengan dia. Nanti apa pulak kata arwah emak dan kakak aku.

Selepas berkahwin pada satu hari aku berjumpa sekali lagi dengan dia. Kali ini sewaktu aku membeli barang dapur di salah sebuah kedai di Paroi Jaya.

Jadi, kami pun lalu berbual hanya seketika sahaja. Lepas aje kahwin aku lalu membeli kereta dan tidak menaiki bas lagi ke tempat kerja.

Maklumlah dah kahwin. Dulu lain bujang.

Tambah pulak tak lama lagi aku akan ada anak. Jadi, kenalah pakai kereta. Takkan nak naik bas pulak.

Bila dah pakai kereta aku dah tak nampaklah dia lagi. Tak macam sebelum ini. Sama naik satu bas ke tempat kerja.

Cuma dipisahkan aku turun di Lukut manakala dia pula turun di Port Dickson.

~ Pada Satu Hari ~

Arwah ayah aku mintak tolong aku bayarkan kad kredit dia di bank MBF Seremban. Sekali lagi aku berjumpa dengan dia.

Dia beritahu yang dia dah tukar Seremban. Aku pulak beritahu dia yang aku masih lagi bertugas di Lukut.

“Mungkin dah rezeki saya di Lukut. Tak tukar ke mana-mana. Untunglah awak. Dekat dengan rumah,” kataku.

Seingat aku selang beberapa bulan kemudian aku nampak dia sedang menunggu bas di Terminal Bas Seremban untuk pulang ke rumah.

Waktu itu aku nak ambil adik aku dari Kuala Lumpur. Semenjak dari hari itu sehinggalah ke hari ini aku tak berjumpa dengan dia lagi.

Dalam pada itu aku telah ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Pembantu Muzium Kanan.

Namun aku menolak kerana aku mahu kekal di Muzium Lukut dan tidak mahu berpindah semula ke Kuala Lumpur.

Oleh kerana aku mahu kekal buat selama-lamanya di negeri kelahiranku maka pada tahun 2006 aku telah memohon jawatan sebagai Penolong Kurator di Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Aku kemudiannya telah dipanggil temuduga untuk jawatan tersebut.

~ Alhamdulillah ~

Pada tahun 2007 aku telah pun dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kurator dan berkhidmat di Lembaga Muzium Negeri Sembilan sehingga kini.

Dah rezeki aku dan kekal buat selama-lamanya di negeri kelahiran aku yang terkenal dengan Adat Perpatih.

Selain daripada Muzium Negeri, Seremban aku juga telah berkelana ke Muzium Rembau dan Teratak Za’ba.

Sekarang aku ditempatkan di Unit Adat Perpatih yang pejabatnya di Muzium DiRaja Seri Menanti. Setiap hari aku berulang-alik dari rumah aku di Taman Desa Ros, Ampangan ke Seri Menanti.

Lagipun jaraknya dekat dan ditambah pulak jalan Bukit Putus dah lurus sekarang dan bukan macam dulu banyak selekoh. Setengah jam sampailah ke tempat aku bekerja.

~ Demikian Secebis Kisah ~

Akhir sekali sebelum mengundur diri buat dia yang aku ceritakan dalam kisah ini andainya membaca coretan yang kutuliskan ini akan berasa terhibur dan teringat pada diriku hendaknya sebagai seorang teman.

Aku juga sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya. Kalau dia sudah berkeluarga aku mendoakan kebahagiaan buat dia dan keluarga buat selama-lamanya.

Kehadiran walaupun cuma seketika namun bagi aku adalah kenangan yang indah.

Sudah ketentuan Tuhan bahawa dia bukan menjadi pasangan hidup aku.

Namun melalui coretan ini apalah kiranya sebagai seorang teman aku merisik khabar tentang dirinya. Lebih-lebih lagi siapakah yang memiliki hatinya sekarang.

Demikianlah secebis kisah dariku untuk dikongsi bersama.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *