Pengalaman Aku Sebagai Pembantu Editor Semasa Bekerja Di Masa Enterprise
Buku-Buku ( Eli )
Tahun 1992 aku melangkah ke alam yang baru.
Alam pekerjaan ketika aku berumur 22 tahun waktu itu.
Aku mendapat pekerjaan sebagai pembantu editor di syarikat penerbitan buku. Masa Enterprise itulah nama syarikat tempat aku bekerja yang terletak di Kajang.
Dalam fikiran aku terbayang-bayang jugak. Tentang tugas sebagai seorang pembantu editor.
Aku masih ingat lagi pesanan kedua-dua arwah ayah dan arwah ibu ketika aku hendak memulakan hari pertama bekerja.
“Kerja elok-elok. Ikut arahan ketua dan peraturan yang telah ditetapkan,” ingat ayah.
“Dapat duit gaji simpan. Jangan habiskan tak tentu arah. Ingat masa depan.” Demikian pesan ibu pula.
“Baiklah, ayah! mak!” aku sebaliknya membalas.
Mula Bekerja..
Aku kemudiannya lalu menuju ke perhentian bas Seremban dan mengambil bas untuk ke Kajang. Bas Foh Hup.
Itulah nama bas yang aku naiki. Setibanya di tempat aku akan memulakan kerja aku lalu melaporkan diri pada Encik Ma’arof bin Saad, pengurus syarikat.
“Selamat datang ke Masa Enterprise. Semoga awak akan komited dan menyumbangkan kejayaan kepada syarikat ini,” katanya.
“Terima kasih, Encik Ma’arof. Kerana menerima saya bekerja di syarikat ini. Saya berjanji akan bekerja dengan baik dan penuh komited,” janjiku pula.
Dia sebaliknya lalu tersenyum dan mengangguk apabila mendengar kata-kataku itu. Aku kemudiannya lalu diperkenalkan kepada kakitangan yang lain.
Mereka menerima aku dengan baik dan mesra.
Aku seterusnya diajar cara membaca pruf iaitu menyunting dan menyemak manuskrip sebelum diterbitkan menjadi sebuah buku.
Mula-mula agak kekok jugak aku dan banyak terlepas pandang pada kesalahan manuskrip setelah ditaip oleh pengatur huruf.
Maklumlah pertama kali membuat kerja sebegini.
Aku berterima kasih kepada rakan-rakan sekerjaku yang banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepadaku.
Lama-kelamaan aku pun menjadi mahir dan tidak lagi melakukan kesilapan.
Gaji Pertama..
Encik Ma’arof juga sering mengingatkan aku agar tidak meninggalkan solat dan bekerja dengan penuh disiplin.
“Ingat. Kalau dah masuk waktu solat, solat. Tinggalkan semua kerja dulu. Jadikan kerja itu sebagai satu ibadah. Datang dan balik mesti ikut peraturan. Barulah berkat gaji yang kita dapat,” ingatnya pada aku dan kakitangan yang lain setiap kali mesyuarat.
Beberapa bulan kemudian aku pun mendapat gaji yang pertama RM 500.00. Waktu itu RM 500.00 besar berbanding dengan sekarang.
Cukup untuk menampung perbelanjaan aku pada ketika itu. Tambah pulak aku masih lagi bujang.
Jadi, dengan gaji sebanyak itu aku buat belanja dan selebihnya aku simpan sepertimana yang dipesan oleh arwah ibu aku.
Selalunya macam-macam manuskrip yang aku edit. Buku dewasa, buku remaja, buku kanak-kanak, buku teks, majalah dan sebagainya.
Memang seronok apabila membacanya. Ada yang menggembirakan dan tidak kurang pula yang menyedihkan.
Seperkara lagi yang paling menyeronokkan adalah pada bulan Ramadhan. Encik Ma’arof memberi kelonggaran kepada kami kakitangan balik awal daripada waktu biasa.
Katanya untuk memberi peluang kepada kakitangan terutama aku yang tinggal jauh untuk sampai awal ke rumah dan dapat berbuka puasa bersama dengan keluarga.
Manakala yang perempuan pula dapat menyediakan hidangan berbuka puasa dan tidak terkejar-kejar.
Pernah juga dia belanja kami berbuka puasa di salah sebuah hotel di Seremban.
Menjelang hari raya dia akan memberikan kami bonus sebagai keperluan untuk membeli baju raya dan barangan lain.
Memang dia amat mengambil berat akan kebajikan pekerja. Dia juga mengadakan rumah terbuka untuk menjamu kakitangannya.
Baginya inilah peluang terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan antara dia dan kakitangan.
Tegas & Disiplin..
Aku dan kakitangan yang lain amat seronok sekali bekerja dengan Encik Ma’arof.
Keperihatinan dan kemesraan beliau menjadikan aku dan kakitangan yang lain menganggap dia tak ubah seperti bapa kami sendiri.
Dia jugak begitu. Menganggap kami macam anaknya sendiri. Tapi dalam soal kerja dia amat tegas dan berdisiplin.
Katanya itulah kunci utama untuk menjadi seorang pekerja yang berjaya dan cemerlang.
“Kerja kita buat dengan teliti dan sungguh-sungguh. Jangan campuradukkan hal-hal lain ketika sedang bekerja. Barulah kerja yang kita buat tak silap dan berkualiti. Kalau kita datang awal kita balik awal. Kalau kita datang lambat balik lambat. Ganti kelewatan kita lewat hadir bekerja. Kita bekerja dibayar gaji dan mengikut peraturan.” Demikian pesanannya pada aku dan rakan-rakan sekerja yang lain.
Seperkara lagi dia amat gemar bercerita tentang pengalaman hidup yang pernah dilaluinya.
“Awak semua beruntung. Zaman sekarang semua serba moden. Berbanding dengan zaman saya dahulu. Kalau buku tu silap cetak alamatnya lewat pagilah baru balik. Bukan itu sahaja sebelum saya ada kereta saya naik bas berjumpa dengan pengarang untuk mendapatkan manuskrip untuk diterbitkan. Awak sekarang beruntung. Ada kereta tak perlu susah payah naik bas,” katanya.
Ilmu di Dada..
Kalau ada kerja yang perlu diselesaikan dengan segera dia akan mengarahkan kami agar menyiapkannya hari itu jugak. Sehinggakan kami terpaksa balik lewat.
Bila hujung bulan dapat gaji akan dibayar sekali dengan kerja lebih masa yang telah dibuat. Dia tidak mahu kami membuat kerja bertangguh.
Kerana katanya kerja bertangguh tak akan menjadi dan takut akan datang kerja yang lain pulak.
Sepanjang bekerja dengan beliau sekalipun kami tak pernah lewat dibayar gaji. Cukup tarikh aje gaji kami akan dibayar.
Katanya gaji pekerja mesti dibayar mengikut tarikh. Kerana masing-masing mempunyai tanggunggan terutama yang telah berkeluarga.
Dia juga sentiasa menggalakkan kami agar sentiasa banyak membaca untuk menambah ilmu di dada.
“Dalam bekerja bukan sahaja buat apa yang disuruh tapi juga mesti berilmu pengetahuan.” Itulah antara pesannya kepada aku dan kakitangan yang lain.
Kelas Agama..
Selain daripada itu, pada setiap petang Jumaat aku dan rakan-rakan sekerja termasuk Encik Ma’arof mengikuti kelas agama yang diadakan di pejabat.
Dia telah membayar seorang ustaz untuk mengajar kami hal-hal yang berkaitan dengan tauhid, fekah dan tafsir Al-Quran.
Baginya dunia dan akhirat perlu seimbang agar mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.
Aku dan rakan-rakan sekerja semakin rasa seronok bekerja di bawah beliau kerana diberi peluang untuk belajar hal-hal yang berkaitan dengan agama.
Tengok Dunia Luar..
Satu hari aku telah dipanggil oleh Encik Ma’arof masuk ke biliknya. Sebelum masuk ke biliknya hati aku tertanya-tanya jugak.
Kenapa aku dipanggil dengan tiba-tiba?
Aku ada buat salah ke? Detik hati kecilku tak putus-putus.
Aku kemudiannya lalu melangkah masuk ke dalam biliknya.
“Besok saya nak awak ikut bahagian pemasaran ke Johor. Tengok bagaimana cara mereka menghantar buku teks ke sekolah-sekolah. Saya tak mahu awak asyik terperap aje di pejabat ni dengan mengedit manuskrip. Sesekali awak perlu jugak tengok dunia luar,” beritahunya.
“Baiklah, Encik Ma’arof!” aku pantas membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya akan ikut apa yang Encik Ma’arof arahkan,” sambungku lagi.
Keesokan harinya aku pun mengikut kakitangan bahagian pemasaran ke Johor.
Seronok juga melihat bagaimana cara mereka mengedarkan buku teks ke sekolah-sekolah. Satu ilmu pengetahuan yang baru buatku.
Mana tahu satu hari nanti aku akan ditukarkan ke bahagian pemasaran. Jadi, tak kekoklah aku nanti bila ada sedikit ilmu dan pengetahuan.
Sepertimana yang diinginkan Encik Ma’arof pada bukan aku sahaja malahan kakitangan yang lain.
Mereka Bentuk Buku..
Beberapa bulan kemudian sekali lagi dia memanggil aku masuk ke biliknya.
“Mulai dari hari ini selain daripada mengedit dan membaca pruf saya nak awak belajar menjadi pengatur huruf dan merekabentuk buku. Saya mahu awak tidak tertumpu kepada satu bidang sahaja malahan juga bidang-bidang yang lain dalam syarikat ini,” dia berkata.
Nada suaranya tenggelam dalam deruan kesejukan alat penghawa dingin yang mengepung seluruh ruang bilik.
Hawanya terasa termampan pada dinding batu yang dicat dengan warna putih.
“Baiklah, Encik Ma’arof. Saya akan buat apa yang Encik Ma’arof suruh,” aku sebaliknya menjawab.
Dia kemudian lalu membalas dengan senyuman. Sebagai tanda gembira apabila mendengar jawapan yang aku berikan itu.
Aku pun belajar menjadi pengatur huruf dan membuat reka bentuk buku.
Walaupun aku ada asas menaip namun bukannya mudah untuk membuat reka bentuk buku kerana memerlukan kekreatifan dan kesabaran.
Bagi aku membuat reka bentuk buku sama seperti seorang jurutera yang membuat pelan bangunan.
Encik Ma’arof terus memberikan aku perangsang dan galakan agar tidak jemu dan berputus asa untuk menimba ilmu sebagai seorang pengatur huruf dan membuat rekabentuk buku sehingga ke peringkat cetakan.
Aku akui hanya sedikit sahaja ilmu yang aku perolehi dalam bidang yang berkaitan dengan proses merekabentuk buku.
Mungkin kerana aku tidak mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam bidang tersebut. Kerana setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Berhenti Kerja..
Setelah 4 tahun bekerja dengan beliau akhirnya pada tahun 1996 aku pun berhenti kerana menerima tawaran jawatan sebagai Pembantu Muzium di Jabatan Muzium dan Antikuiti di Kuala Lumpur.
Dia melepaskan aku pergi demi masa depan yang lebih terjamin. Aku berterima kasih kepada beliau kerana telah mendidik aku menjadi pekerja yang komited dan berdisiplin.
Dia juga banyak memberi peluang dan ruang kepada aku untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan dalam bidang penerbitan buku.
Kini semuanya telah tinggal menjadi kenangan. Encik Ma’arof telah pun kembali ke rahmatullah. Alfatihah.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.
Sekali lagi aku berterima kasih kepada beliau. Kerana telah mendidik aku menjadi seorang pekerja yang komited terhadap tugas dan berdisiplin.
Hasilnya aku telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sewaktu berkhidmat di Jabatan Muzium dan Antikuiti dan sekarang di Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~