Cerpen “Dalam Memilih Kawan”
Hidup ini tak ubah
seperti air laut yang membiru.
Pasang dan surut silih berganti.
Penuh dengan warna-warna suka dan duka.
Kehidupan umpama roda yang berputar. Sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah.
Tak semua keindahan yang diimpikan dalam hidup ini akan menjadi kenyataan. Rasa suka dalam kehidupan seperti manisan madu. Tetapi rasa duka dalam kehidupan bagai menelan hempedu yang pahit. Itulah kenyataan yang harus diterima dalam kehidupan ini.
“Tika aku berada di puncak ramai kawan-kawan di sekeliling aku. Tapi bila aku jatuh tak seorang pun yang mahu bersama-sama dengan aku …,” luah Osman dalam nada suara yang penuh sayu sambil menarik nafas yang panjang.
“Lumrah kehidupan memang macam tu, Man,” balas Ramli.
“Memang betul kata kau, Li!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sekarang baru aku tahu dan kenal. Siapa kawan-kawan aku yang sebenarnya,” katanya lagi.
Rasa kesedihan jelas kelihatan terpancar di wajahnya. Dahulu dia amat terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya. Hidup diwarnai dengan kemewahan wang. Melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir. Tapi kini segala kesenangan dan kemewahan hidup yang dikecapinya selama ini telah hilang.
Perniagaannya telah jatuh dalam sekelip mata. Memang benarlah apa yang dikatakan bahawa semua yang menjadi milik kita di dunia ini hanya sementara waktu sahaja. Termasuk nyawa, keluarga, wang, rumah besar, harta dan sebagainya. Tuhan boleh mengambilnya pada bila-bila masa sahaja. Kerana Dia berkuasa ke atas segala-galanya dan sebagai manusia kita tidak mampu untuk menghalangnya.
Sebagai seorang kawan Ramli benar-benar berasa simpati ke atas apa yang telah terjadi ke atas sahabat karibnya itu. Mereka bersahabat semenjak daripada bangku sekolah lagi. Cuma Osman sahaja yang bernasib baik kerana berjaya menjadi seorang usahawan yang terkenal. Berbanding dengan Ramli yang menjadi pekerja biasa di salah sebuah syarikat swasta.
“Sabar, Man. Semua ini adalah ketentuan daripada Allah SWT. Kau harus redha menerimanya,” ucapnya sambil menepuk-nepuk lembut bahu Osman.
“Aku benar-benar hilang arah, Li. Hidup aku dah musnah …!” keluh Osman.
“Jangan cakap macam tu, Man. Kau tak boleh menyalahkan takdir. Kau harus bangkit daripada jatuh dan bangun semula,” nasihatnya.
“Aku tak terdaya, Li …! Tak terdaya …!” gelengnya lemah.
“Man …!”
Osman lalu memandang wajah sahabat karibnya itu.
“Dalam hidup ini biarlah kita menerima kekalahan. Tetapi jangan sesekali kita mengalah.”
“Mendalam sekali kata-kata kau itu.”
“Jangan mudah kecewa dan berputus asa apabila kita jatuh tersungkur. Walaupun kita terpaksa menanggung rasa yang amat pedih dan sakit.”
Dia lalu terdiam. Memang amat sakit dan perit apabila perniagaan yang dibinanya hasil daripada titik peluhnya sendiri musnah dan hancur. Tak ubah seperti kapal yang tenggelam di lautan akibat dihempas gelombang ganas.
Masih lagi jelas terbayang di wajahnya saat di menjadi seorang usahawan yang terbilang dan terkenal. Namanya sering menjadi sebutan di mana-mana sahaja. Sebut sahaja Osman semua orang akan berasa kagum dengan kejayaan dan kehebatannya membina empayar perniagaan.
Sebenarnya semenjak daripada bangku sekolah lagi dia menyimpan cita-cita untuk menjadi ahli perniagaan yang terkenal. Sebab itulah dia menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran di universiti walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Sebaliknya dia bekerja di salah sebuah syarikat milik ahli perniagaan yang terkenal Dato’ Ishak.
Sejak daripada itulah dia belajar mengenai selok-belok perniagaan. Akhirnya dia berjaya membuka syarikat perniagaan sendiri. Bermula daripada kecil-kecilan kemudiannya lalu bertukar kepada sebuah syarikat yang besar.
Dari raut wajahnya itu jelas kelihatan bahawa masih lagi segar terbayang-bayang di ingatannya. Bagaimana perjalanan yang dilaluinya sehingga berjaya membina perniagaan yang besar dan berjaya. Tapi kini semuanya itu tinggal menjadi kenangan dalam hidupnya.
Dia kemudian lalu memandang wajah Ramli.
“Kau tentu nak tahukan bagaimana perniagaan aku boleh jatuh.”
“Ceritakanlah, Man. Aku sebagai seorang kawan karib bersedia untuk mendengarnya dan berkongsi rasa dengan apa yang kau alami dalam diri kau.”
Osman sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja dan menarik nafas yang panjang. Ramli kelihatan tetap setia menunggu cerita yang akan keluar daripada mulut sahabat karibnya itu. Biarkanlah dia mengambil masa dan bertenang. Tak usahlah didesak! Demikianlah detik hati kecilnya.
“Semuanya kerana kawan-kawan aku. Aku terpengaruh dengan mereka. Menghabiskan wang dengan berpoya-poya. Tanpa mengira dosa. Mungkin inilah balasan yang aku terima daripada Tuhan. Akibat daripada perbuatan aku itu,” dia berkata.
Ramli hanya mendiamkan diri sahaja. Tidak mencelah walau sepatah pun. Dia kelihatan seperti memberi peluang kepada sahabat karibnya itu untuk meneruskan cerita.
“Aku tak pernah bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh Tuhan kepada aku. Aku sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa dengan melakukan perkara yang membawa kepada dosa dan kemungkaran.”
Ramli terus memilih untuk berdiam diri sambil menunjukkan minat untuk mendengar cerita seterusnya daripada kawan karibnya itu.
“Aku juga mengabaikan tanggungjawab pada isteri dan anak-anak aku. Sehinggakan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan aku. Kerana terlalu banyak menghabiskan wang dengan berhibur dan berpoya-poya aku akhirnya menerima padah apabila syarikat aku jatuh bankrap disebabkan menanggung hutang bank yang banyak. Aku gunakan duit bank yang aku pinjam untuk menurutkan nafsu aku dan bukannya untuk mengembangkan lagi perniagaan aku,” ucapnya dengan penuh panjang lebar.
Dia kemudiannya lalu menundukkan kepala ke bawah. Apabila mengenangkan semula kisah silam yang pernah dialaminya itu. Rasa sedih bercampur dengan pilu jelas kelihatan menghiasi wajahnya. Lebih-lebih lagi apabila terkenangkan isteri dan anak-anaknya.
Dahulu hidupnya bahagia bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya. Namun kawan-kawan di sekelilingnya yang mengubah kehidupannya. Isterinya telah menegur atas perubahan yang berlaku ke atas dirinya.
Tapi langsung tak diendahkannya. Malah dia telah memukul isteri yang amat dicintainya itu. Sedangkan selama berkahwin dengan isterinya itu sekalipun dia tak penah melekatkan tangan. Tetapi pada hari itu akibat hilang kawalan maka tangannya telah hinggap ke pipi isterinya.
Akibat daripada itu maka isteri dan anak-anaknya lalu mengambil keputusan keluar daripada rumah. Dengan hati yang penuh sedih dan pilu. Isterinya tidak dapat lagi menumpang kasih padanya. Begitu juga dengan anak-anaknya. Kehilangan kasih seorang ayah akibat daripada perbuatannya itu.
Osman terus menundukkan kepala. Ya, Allah! Betapa zalimnya aku. Aku sanggup menjadikan keseronokan dan kenikmatan hidup sebagai makanan untuk mengenyangkan nafsuku. Aku sanggup melupakan-Mu Ya Allah. Sedangkan Kaulah yang memberikan rezeki dan kesenangan hidup kepada aku selama ini! Bisik hati kecilnya dengan penuh rasa penyesalan.
Hampir sahaja airmatanya ingin menitis. Namun ditahannya jua. Dia sebenarnya rindu pada isteri dan anak-anaknya. Kalau dia mendengar nasihat isterinya sudah tentu dia tidak akan mengalami nasib yang seburuk ini. Tapi kini semuanya telah terlambat. Tiada guna untuk dirintih dan ditangisi lagi. Perkara telah terjadi.
“Aku berasa amat simpati dengan kau, Man,” ujar Ramli.
“Terima kasih, Li!” balasnya dengan pantas sambil mengangkat muka semula dan mengangguk-anggukkan kepala.
“Kerana mahu berkongsi perasaan dengan aku!” sambungnya lagi.
“Kawan yang mahu ketawa dan menangis bersama memang susah nak dicari,” tambahnya.
“Memang betul kata kau, Li!” angguk Osman.
“Tak seorang pun kawan-kawan aku yang nak menolong bila aku dalam kesusahan. Semuanya menjauhkan diri. Sedangkan aku yang banyak keluarkan duit bila berpoya-poya dan berhibur dengan mereka,” ucapnya lagi.
“Adat dunia macam tu, Man. Manusia inginkan kemanisan dan tak mahu kepahitan.
Osman lalu terdiam. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh sahabat karibnya. Dalam hatinya dia benar-benar berasa kecewa dengan kawan-kawannya yang disangkanya boleh dipercayai dan ikhlas. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Disebabkan kawan-kawannya itu maka kehidupannya terjerumus ke lembah dosa dan kehancuran. Sebelum ini dia tidak pernah kenal arak, judi dan maksiat. Tetapi kerana kawan-kawan yang sentiasa berada di sekelilingnya menyebabkan dia kenal dan menjadikan semua itu sebagai teman dalam kehidupannya.
“Man …!” Ramli bersuara perlahan.
Dia kemudian lalu memandang wajah Ramli.
“Bersyukurlah! Kerana Allah SWT masih sayangkan kau dan telah memberikan kau petunjuk dan hidayah untuk kau kembali semula ke pangkal jalan sebelum terlambat.”
Dia hanya mampu tunduk dan mendiamkan diri sahaja.
“Apa yang berlaku biarkanlah berlalu. Jadikanlah ia sebagai pengajaran dan teladan dalam hidup kau.”
Osman kemudian lalu mengangkat muka semula.
“Masihkah ada ruang untuk aku kembali semula ke pangkal jalan dan bertaubat.”
Dia kemudian lalu memegang lembut bahu sahabat karibnya itu.
“Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya.”
“Aku akan bertaubat, Li!”
“Alhamdulillah! Mohonlah keampunan daripada Allah SWT. Kita sebagai manusia memang lemah dan kerdil. Tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap.”
Dia sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja apabila mendengar kata-kata Ramli itu.
“Aku berjanji tak akan mengulangi segala kemungkaran dan maksiat yang telah aku lakukan.”
“Baguslah macam tu, Man! Kau binalah kehidupan yang baru.”
“Aku nak ucapkan banyak-banyak terima kasih pada kau, Li. Kerana telah memberikan aku semangat dan kekuatan. Tika aku hilang arah dalam hidup ini. Akibat daripada kesilapan aku sendiri,” dia berkata.
“Kita kan dah lama berkawan baik sejak daripada sekolah lagi. Siapa lagi yang nak tolong kau waktu susah macam ni kalau bukan aku sebagai kawan karib kau. Hari ni hari kau. Esok atau lusa mungkin hari aku pulak,” balas Ramli pula sambil tersenyum dan menepuk-nepuk lembut bahu sahabat karibnya itu.
“Memang betul apa yang kau katakan tu, Li!” ujarnya dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Hidup ini macam awan. Adaketikanya cerah dan adaketikanya gelap. Dulu hidup aku cerah dan terang-benderang. Tapi sekarang dah menjadi gelap dan gelita. Namun aku tak boleh berterusan merintih dan mengeluh dengan apa yang telah berlaku. Aku pegang kata-kata kau. Harus bangkit daripada kejatuhan,” sambungnya lagi dengan penuh panjang lebar.
“Syukur alhamdulillah!” sambut Ramli pula sebaliknya dengan rasa penuh kegembiraan apabila mendengar apa yang diucapkan oleh kawan baiknya itu.
“Itulah yang aku nak dengar sendiri daripada sahabat karib aku,” dia menambah.
“Aku juga nak jumpa isteri dan anak-anak aku. Aku nak mintak maaf pada mereka dengan apa yang telah aku lakukan,” kata Osman.
“Eloklah tu, Man. Kau berdoalah. Semoga mereka akan menerima kau semula,” ucapnya.
Dia sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Dalam hatinya dia berdoa dan menaruh harapan. Agar isteri dan anak-anak yang dikasihinya akan menerimanya semula. Dia ingin membina semula kebahagiaan dalam keluarganya.
Di hati kecilnya juga dia berjanji. Dia tidak akan lagi berkawan dengan mereka yang membawa kepada kerosakan dan kebinasaan dalam kehidupannya. Cukuplah sekali dia mengalaminya. Kalau mati hidup semula sekalipun dia tidak akan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan jalan yang membawa kepada kemungkaran dan ditegah dengan sekeras-kerasnya oleh Allah SWT.
“Perut aku pun dah lapar. Mari kita pergi makan. Aku belanja,” ajak Ramli.
“Yalah!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Demikianlah berakhirnya kisah yang harus kita jadikan sebagai teladan dan ikhtibar bersama. Memang kita perlu ramai kawan dalam hidup ini. Sebagai tempat untuk kita mengadu dan meminta pertolongan apabila kita ditimpa dalam kesusahan.
Tapi pilihlah kawan yang benar-benar membawa kita ke arah kebaikan. Bukannya kawan yang ingin membawa kita kepada kerosakan dan kebinasaan. Supaya kita tidak menyesal di belakang hari. Semoga kita akan mendapat kawan yang benar-benar setia dan mahu bersama-sama dengan kita dalam apa jua keadaan. Sama ada ketawa mahupun menangis.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~