Cerpen “Terpengaruh”

Bandar

Bandar ( unionbsv )

Nama aku Mamat.
Aku datang dari kampung. Tujuan aku datang ke
Kuala Lumpur adalah untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
Maklumlah keluarga aku susah dan hanya bergantung
kepada sebidang tanah peninggalan arwah datuk sebelah ibuku.

Dengan kudrat ayah maka tanah itu diusahakan untuk menyara kehidupan kami sekeluarga yang hidup hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Sebagai anak sulung aku terpaksa mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga setelah ayah aku meninggal dunia. Ibu aku dah tua dan selalu sakit. Adik-beradik aku ramai dan masih bersekolah lagi. Kerana hendak menyara adik-beradik aku yang masih bersekolah lagi maka ibu aku mengambil keputusan untuk menjualkan tanah yang selama ini diusahakan oleh arwah ayah kepada Orang Kaya Baharuddin. Orang yang paling kaya dan berharta dalam kampung aku.

Hati ibu aku amat berat untuk menjual tanah yang selama ini bukan sahaja menyara malahan juga menanggung persekolahan aku dan adik-beradik. Namun ibu aku terpaksa berbuat demikian demi untuk membiayai pelajaran adik-beradik aku yang masih kecil lagi.

Nak dijadikan cerita aku bercinta dengan Rosnani. Anak Orang Kaya Baharuddin. Tapi cinta kami tak direstui. Maklumlah kedudukan aku tak setaraf dengan Rosnani. Bak kata orang antara aku dengan Rosnani umpama langit dan bumi. Mana mungkin aku dan dia akan bersatu dalam cinta.

“Aku cintakan kau, Mat …,” kata Rosnani.

“Aku tahu, Nani!” aku menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala dan dalam keadaan serba salah.

“Aku nak sehidup dan semati hanya dengan kau saja,” ujarnya.

“Nani …,” aku terhenti.

“Demi cinta kita aku sanggup ikut kau ke mana sahaja!” dia pantas memotong.

Nasib aku dan Rosnani memang malang pada hari itu. Orang Kaya Baharuddin tiba-tiba muncul. Dengan wajah yang amat bengis dan garang. Kedua-dua matanya buntang. Apabila melihat aku dan Rosnani bertemu di tempat biasa.

“Nani!” tengkingnya dengan sekuat-kuat hati.

“Apa yang kau buat di sini, hah?” soalnya lagi dalam nada suara yang tinggi.

“Ayah …!” Dia berasa amat terperanjat apabila melihat ayahnya yang muncul dengan tiba-tiba.

Aku jadi terdiam dan tidak mampu untuk bersuara. Apabila melihat wajah Orang Kaya Baharuddin yang penuh dengan rasa marah dan bengis.

“Kan aku dah cakap! Jangan berjumpa dengan si miskin hina ni. Kenapa kau ni degil sangat, hah?” herdiknya.

Rosnani sebaliknya ketakutan. Apabila melihat ayahnya berwajah bengis dan garang.

“Sudah! Balik!” tempik ayahnya.

Dia kemudian lalu mengatur langkah perlahan-lahan. Orang Kaya Baharuddin memerhatikan anak gadisnya itu beredar pergi.

“Hei! Kau dengar sini baik-baik, ya. Mulai hari ni aku tak mahu kau berjumpa lagi dengan anak aku. Kalau kau jumpa jugak anak aku nahas kau nanti. Kau sedarlah sikit diri kau tu. Ada hati nak kahwin dengan anak aku. Anak aku tu cantik. Mana layak kahwin dengan kau yang miskin papa kedana. Sampai jual tanah kat aku. Semata-mata nak hidup!” Demikian kata Orang Kaya Baharuddin dengan penuh panjang lebar kepadaku. Setelah Rosnani hilang daripada pandangan mata.

Aku hanya mampu untuk mendiamkan diri sahaja. Tidak mampu aku untuk membalas kata-katanya yang penuh dengan penghinaan itu. Memang benarlah kata orang. Kalau kita hidup kaya orang akan memandang kita dengan penuh kemuliaan dan menyanjung tinggi.

Tapi kalau kita hidup miskin orang akan memandang kita dengan penuh kehinaan dan cacian. Semenjak daripada itu aku menanamkan tekad dan azam. Untuk membela dan mengubah nasib diri aku termasuk keluarga. Agar tidak dipandang hina akibat daripada bahana kemiskinan hidup.

Lalu aku mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung dan membawa diri ke Kuala Lumpur. Tetapi Rosnani menentang dengan sekeras-kerasnya keputusan yang aku ambil itu. Dia sebaliknya mahu aku terus tinggal di kampung.

“Jangan pergi, Mat!” tegahnya.

“Tidak, Nani!” gelengku.

“Tolong jangan pergi, Mat. Kalau kau sayangkan aku, tolong jangan tinggalkan aku …,” rayunya lagi.

“Aku juga sayangkan kau, Nani. Tapi hanya dengan cara inilah saja yang dapat mengubah nasib aku dan keluarga aku,” jelasku.

“Kat kampung ni pun kau boleh mengubah nasib hidup, Mat. Macam-macam yang kau boleh buat,” dia tak henti-henti memujuk aku.

Namun pujukannya itu tetap tidak dapat mengubah pendirian aku.

“Aku tetap akan tinggalkan kampung ni!” ujarnya.

“Termasuk aku!” potongnya dengan pantas bersama-sama dengan rasa yang penuh terkejut.

“Ya …!” anggukku dengan lemah.

“Mat …!”

“Aku terpaksa, Nani …. Menurut kemahuan ayah kau. Memang telah ditakdirkan kita tidak ada jodoh. Untuk membina kehidupan bersama. Maafkan aku, Nani. Selamat tinggal ….”

Dia hanya mampu menangis apabila mendengar kata-kataku itu. Rasa sedih dan kecewa jelas kelihatan di wajahnya yang cantik dan jelita itu. Aku tidak tergamak untuk melukakan hatinya. Tetapi aku terpaksa berkorban demi untuk memenuhi kehendak ayahnya.

Aku tidak mahu menjadi batu penghalang. Sehingga meruntuhkan kasih sayang antara dia dan ayahnya. Walaupun dengan hati yang amat pedih dan berat umpama memikul seketul batu besar namun bagi aku inilah keputusan yang terbaik buat diriku dan juga Rosnani.

Ibu tidak melarang aku untuk mencari kerja di Kuala Lumpur. Cuma dia menasihatkan aku supaya pandai menjaga diri dan tidak melakukan perkara yang tidak baik dan dilarang oleh agama. Maklumlah hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur penuh dengan pelbagai dugaan mahupun ujian.

Tambahan pulak usia muda seperti aku mudah tergoda dan terpesona dengan kemewahan dan kesenangan hidup di kota. Tanpa mengira halal ataupun haram. Asalkan hidup senang dan tidak merempat. Aku ingat akan pesan ibu itu.

Keesokan harinya dengan berbekalkan wang pemberian ibu dan sebuah beg sandang aku pun lalu meninggalkan kampung halaman dan menuju ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Setibanya aku di Hentian Pudu Raya aku terpinga-pinga dan tercangak-cangak melihat deretan bangunan-bangunan tinggi yang hingga mencakar awan memenuhi seluruh ruang di bandar raya Kuala Lumpur.

Tidak seperti di kampung. Hanya dipenuhi dengan pohon-pohon yang menghijau, bukit-bukau, air sungai dan rumah-rumah usang yang menunggu masa tumbang ditiup angin. Aku dapat merasakan perbezaan antara hidup di kampung dan di bandar. Teramat jauh sekali bezanya.

Aku bukan sahaja terpinga-pinga melihat bangunan-bangunan tinggi malahan juga dalam hati turut berkata ke mana hendak aku tuju? Aku bukannya ada kawan dan saudara-mara di Kuala Lumpur ni. Susah jugak macam ni …! Di mana aku nak menumpang? Keluh dalam hati kecilku lagi.

Kalau diturutkan hati aku nak saja naik bas dan pulang semula ke kampung. Sebab tak ada tempat aku nak mengadu dan menumpang di Kuala Lumpur ni. Kalau di kampung ada juga ibu. Untuk menumpang kasih dan tidak hidup seperti sebatang kara.

Tapi walau apa pun yang terjadi aku tetap tak akan balik semula ke kampung. Selagi apa yang aku inginkan dan impikan tidak tercapai. Aku perlu buktikan kepada Orang Kaya Baharuddin. Aku juga boleh hidup senang dan mewah macam dia.

Kalau tidak dia akan terus-terusan menghina aku. Aku asyik melayan perasaan. Sambil memikirkan bagaimana nak mencari tempat tinggal dan mencari kerja di Kuala Lumpur ini. Tanpa disedari gerak-geriku itu telah diperhatikan oleh Rocky.

Dialah yang telah mengubah segala-galanya dalam kehidupan aku.

“Nak ke mana saudara?” dia menegurku sambil menepuk lembut bahuku.

“Entahlah …. Saya sebenarnya dari kampung …,” aku memberitahu dengan jujur.

Rocky sebaliknya lalu tersenyum.

“Oooo, dari kampung!” angguknya dengan pantas.

“Saya datang ke Kuala Lumpur ni nak cari kerja,” kataku lagi.

“Oooo, nak cari kerja!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Lupa pulak nak kenalkan diri. Saya Rocky,” ujarnya sambil menghulurkan tangan.

“Saya, Mamat!” aku lalu menyambut tangan yang dihulurkannya itu dan berjabat salam.

“Macam ni ajelah, Mamat. Saya boleh tolong awak untuk dapatkan kerja,” ucapnya.

“Betul ke ni!” Aku berasa antara percaya dan tidak dengan kata-katanya itu.

“Betul!” balasnya.

“Terima kasih, Rocky! Terima kasih!” aku berkata sambil mengangguk-anggukkan kepala bersama-sama dengan rasa penuh gembira.

Apa tidaknya. Sebaik-baik sahaja menjejakkan kaki di Kuala Lumpur dah ada orang yang nak tolong aku untuk mendapatkan pekerjaan. Kalau usaha sendiri belum tentu lagi. Bukan senang nak dapat pekerjaan di bandar besar seperti di Kuala Lumpur ni.

Semuanya perlukan kelulusan. Aku mana ada. Datang ke Kuala Lumpur ni pun bawak kain baju aje. Tapi nasib baik aku jumpa Rocky. Dia terus tolong aku. Tak kiralah kerja apa. Janji ada duit. Boleh menampung kehidupan aku dan juga ibu serta adik-beradik di kampung yang masih bersekolah lagi.

“Sekarang awak ikut saya balik ke rumah. Awak tentu penat kan. Awak berehatlah. Nanti saya beritahu awak kerja apa yang akan awak buat nanti,” katanya.

Aku pun lalu mengikut Rocky pulang ke rumah. Dalam perjalanan kami singgah di gerai yang tidak jauh daripada rumahnya untuk mengisi perut. Dia belanja aku makan. Sampai sahaja di rumahnya dia lalu menyuruh aku membersihkan diri dan berehat.

Setelah penat di badan hilang akibat daripada mengharungi perjalanan yang jauh dia pun bertanya padaku. Kenapa aku datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Aku pun lalu menceritakan perkara yang sebenarnya.

“Sedih jugak cerita kau ni, Mat,” ujar Rocky.

“Dah nasib aku, Rocky …!” aku bersuara sambil menarik nafas yang panjang.

“Dunia sekarang dunia duit. Kalau kita banyak duit hidup kita bukan sahaja senang malah orang pandang kita tinggi,” ucapnya.

“Memang betul kata kau, Rocky …!” aku mengangguk-anggukkan kepala dengan lemah.

“Sudah! Kau lupakan semua tu. Mat! Kalau kau banyak duit perempuan senang kau dapat,” kata Rocky.

“Aku tak fikir semua tu. Yang penting sekarang aku ada kerja kat Kuala Lumpur. Dapat tanggung mak dan adik-adik aku,” aku membalas.

“Baiklah!” angguknya dengan pantas.

“Besok kau dah boleh mula kerja. Dan kau akan banyak dapat duit,” sambungnya lagi.

“Kerja apa, Rocky?” soalku.

“Ah! Kau jangan banyak tanya. Kau ikut aje aku,” jawabnya.

Maka keesokan harinya aku pun mengikut Rocky ke tempat kerja. Tapi aku berasa pelik. Dia bukan membawa aku ke pejabat. Sebaliknya aku dan dia duduk di atas motor sambil memerhatikan orang lalu-lalang.

“Mana pejabat tempat aku nak bekerja tu, Rocky? Dah dekat sejam kita duduk kat sini,” aku berkata.

“Ah! Kau ni banyak tanyalah. Kejap lagi kita buatlah kerja,” dia membalas dalam nada suara yang bosan.

Mata Rocky kelihatan liar memerhatikan orang yang keluar masuk daripada bank yang terletak berhampiran dengan tempat aku dan Rocky berada. Tiba-tiba kelihatan seorang wanita keluar daripada beg sambil membawa beg tangan.

“Mat! Kau bawak motor ni. Aku duduk belakang. Kita pergi ke wanita yang menuju ke kereta tu!” arahnya.

“Pergi kat wanita tu?” aku sebaliknya menyoal.

“Cepatlah!” dia membalas.

Aku lalu menurut apa yang telah diarahkan oleh Rocky itu. Sebaik-baik sahaja menghampiri wanita itu Rocky dengan pantas lalu meragut beg tangannya.

“Tolong! Peragut!” jerit wanita itu.

“Kita lari cepat!” arah Rocky lagi.

Tanpa membuang masa lagi aku lalu terus memecut motosikalsikal. Rocky menjadi jurupandu dan mengarahkan aku menghala ke arah jalan menuju ke rumahnya.

“Bahaya kerja yang kau buat ni, Rocky,” kataku sebaik-baik sahaja tiba di rumahnya.

Dia sebaliknya lalu ketawa terbahak-bahak.

“Hei! Ini sajalah untuk kita hidup dan dapat duit yang banyak,” ujarnya setelah ketawanya reda.

Rocky kemudian lalu membuka beg tangan wanita yang berjaya diragutnya.

“Kau tengok ni! Inilah hasil yang kita dapat!” katanya lagi sambil menunjukkan wang yang dikeluarkannya daripada beg tangan itu.

Terbeliak mata aku apabila melihatnya. Berpuluh-puluh ribu juga jumlahnya. Tidak pernah dalam seumur hidup aku melihat wang sebanyak itu.

“Ni bahagian kau. Ambik!” ujarnya sambil memberikan sebahagian daripada wang itu kepadaku.

Aku diam. Jadi serba salah. Nak ambil atau tidak wang yang diberikan oleh Rocky ini. Wang yang aku dapat dengan Rocky ini adalah dengan cara yang salah dan haram di sisi agama. Meragut. Kalau tidak ambil rugi. Lagipun bukan senang nak dapat duit sebanyak ini. Kumpul duit gaji setiap bulan pun belum tentu akan dapat duit beribu-ribu macam ni.

“Apalagi yang kau fikir, Mat. Kau ambil ajelah. Kalau kita tak buat kerja macam ni kita tak akan dapat hidup di Kuala Lumpur ni. Bila dah kaya nanti kita berhentilah,” ucap Rocky.

Betul jugak kata Rocky. Hanya dengan buat kerja kotor ni sajalah untuk aku terus dapat hidup di Kuala Lumpur ni. Dah tak ada cara lain lagi. Hanya dengan cara ni sajalah untuk aku dapat banyak duit dan hidup senang di bandar besar seperti di Kuala Lumpur ini. Tak perlu bersusah payah dan mengerah kudrat serta tenaga siang dan malam.

Semenjak daripada itu aku dan Rocky tak henti-henti melakukan perbuatan ragut. Kami berasa amat seronok dan mewah dengan perbuatan jenayah yang kami lakukan itu. Akibat ditimpa wang yang bertimbun-timbun hasil daripada perbuatan ragut menjadikan aku lupa pada ibu dan adik-adik aku di kampung.

Tapi bak kata orang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

“Hari ni kita nampaknya nak makan besar,” kataku.

“Yalah! Kau tengok perempuan tu. Mercedes dia pakai. Dah tentu dalam beg dia tu banyak duit,” tambah Rocky.

“Sudah! Jangan buang masa. Kita ragut dia sekarang!” ucapku sambil menghidupkan enjin motosikal dan menuju ke arah wanita yang kelihatan sedang membuka pintu keretanya itu.

Sebaik-baik sahaja menghampiri wanita itu, Rocky lalu meragut beg tangannya. Wanita itu hanya mampu menjerit sahaja apabila melihat Rocky berjaya merampas beg yang berada di tangannya. Aku lalu memecut laju motosikalsikal. Dalam fikiran aku sudah terbayang wang banyak yang akan aku perolehi. Hasil daripada perbuatan ragut yang aku lakukan bersama-sama dengan Rocky tadi.

“Yahoo! Kita kaya! Kita banyak duit!” aku memekik kegembiraan sambil memecut motosikalsikal dengan selaju-lajunya.

“Tak payah kerja keras. Duit senang dapat!” tambah Rocky pula sambil ketawa terbahak-bahak.

Aku pun turut sama ketawa terbahak-bahak. Rocky memeluk dengan seerat-eratnya beg tangan yang berjaya diragutnya daripada wanita itu tadi. Tiba-tiba kedengaran bunyi siren kereta polis mengejar kami.

“Jahanam!” pekik Rocky.

“Macam mana polis boleh tahu ni? Selalunya kita lepas,” kataku.

“Dah! Dah! Jangan banyak cakap. Kau pecut laju-laju. Kalau tak sangkut kita kali ni!” desak Rocky padaku.

“Yalah! Yalah! Aku pecut la ni!” balasku pula sebaliknya.

“Hei! Kenapa kau lembap sangat, hah. Polis makin dekat dengan kita ni!” ucap Rocky dalam nada suara yang tinggi.

“Rocky kau diam boleh tak! Semak kepala aku!” aku bertempik.

Kami lalu bertengkar. Dengan tiba-tiba motosikal yang aku tunggang lalu hilang kawalan dan terbabas. Aku dan Rocky lalu jatuh tertiarap di atas jalan raya. Kami lalu diberkas oleh pihak polis.

Aku dan Rocky lalu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan jenayah ragut dan dikenakan hukuman penjara. Rupa-rupanya Rocky memang dikehendaki oleh polis kerana banyak melakukan perbuatan jenayah terutamanya meragut.

Sebelum ini dia meragut dengan kawannya yang bernama Boy. Tetapi Boy berjaya ditangkap oleh polis. Rocky sebaliknya berjaya melarikan diri. Dia kemudiannya menjadikan aku sebagai kawan untuk sama-sama meragut. Setelah Boy berjaya diberkas oleh polis.

Namun kali ini dia menerima nasib yang sama seperti aku. Berjaya ditangkap oleh polis. Ibu aku lalu jatuh sakit dan meninggal dunia apabila mendengar aku dikenakan hukuman penjara akibat perbuatan jenayah meragut yang telah aku lakukan bersama-sama dengan Roy.

Adik-adik aku yang masih lagi bersekolah menjadi yatim piatu. Tapi mujurlah pak long aku membela mereka setelah ibu aku meninggal dunia. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan terjadi pada nasib mereka.

Dalam pada itu aku benar-benar menyesal dengan apa yang telah aku lakukan selama ini. Lebih-lebih lagi aku tidak sempat untuk memohon ampun dan maaf pada ibuku. Namun semuanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur dan tiada gunanya untuk aku sesali dan tangisi.

Ketika di dalam penjara aku menangis dan tak henti-henti berdoa. Semoga Allah SWT mengampun segala dosa dan menerima taubatku. Aku juga berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua ibu bapaku dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman dan memasukkan kedua-dua mereka ke dalam syurga jannah.

Hanya itu sajalah doa yang mampu kuutus buat kedua-dua mereka yang amat aku kasihi dan sayangi. Kini, aku menanti hari untuk aku dibebaskan daripada penjara. Aku berjanji tak akan mengulangi perbuatan keji dan terkutuk yang telah aku lakukan selama ini.

Aku juga menanamkan azam dan tekad apabila keluar daripada penjara nanti untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Semoga kisah yang aku alami ini bukan sekadar hanya untuk dikongsi bersama-sama oleh para pembaca di luar sana malahan juga menjadi ikhtibar dan pengajaran supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak baik dan menyalahi ajaran agama.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *