Kenangan Aku Sewaktu Di Sekolah Menengah Seri Ampangan

kasut converse

Kasut ( Uribe )

Sudah lama aku tidak menulis.

Entah mengapa.

Dengan tiba-tiba sahaja aku terpanggil untuk menulis kenangan sewaktu aku melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Seri Ampangan, Seremban.

Tahun 1988.

Sebelum ini aku bersekolah di Sekolah Menengah ST. Paul yang juga terletak di Seremban.

Aku mendapat pangkat 2 dalam peperiksaan SPM dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Seri Ampangan, Seremban.

Hari pertama aku melangkah ke Sekolah Menengah Seri Ampangan adalah pengalaman baru bagiku. Sebelum ini Sekolah Menengah ST. Paul hanya pelajar lelaki sahaja kecuali Tingkatan Enam.

Tetapi di Sekolah Menengah Seri Ampangan bercampur dengan pelajar perempuan. Hanya ada 2 kelas sahaja Tingkatan Enam iaitu 6 Kiambang dan Kenanga. Nama bunga.

Rakan-rakan dari Sekolah Menengah ST. Paul yang sama-sama melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam adalah Sabaruddin, Darus dan Zainal.

Jadi kami berempat cukup kamcing. Maklumlah kami datang dari sekolah yang sama dan melalui alam persekolahan yang baru di Sekolah Menengah Seri Ampangan.

Aku dan kawan-kawan menjalani minggu suaikenal selama seminggu. Macam-macam program diatur oleh pelajar-pelajar senior sepanjang kami menjalani minggu suaikenal.

Memang menyeronokkan dan melucukan.

Bagi aku minggu suaikenal yang dijalani bersama dengan rakan-rakan bukanlah satu penderaan.

Sepertimana yang ditafsirkan sesetengah pelajar tetapi memberi peluang dan ruang terbaik kepada aku dan kawan-kawan untuk beramah mesra dengan pelajar-pelajar senior dan berkenalan dengan guru-guru yang akan mengajar kami.

Setelah seminggu menjalani minggu orientasi aku dan kawan-kawan kemudiannya lalu memulakan pelajaran. Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Sejarah, Geografi dan Ekonomi.

Itulah lima matapelajaran yang aku ambil. Kelas aku dan Darus adalah 6 Kiambang. Manakala kelas Sabaruddin dan Zainal pula adalah 6 Kenanga. Nampaknya kami berempat tak satu kelas.

Kelas kami bukan sahaja ada pelajar Melayu malahan ada juga pelajar Cina, India dan lain-lain lagi. Cikgu Yusuf, Cikgu Hamzah, Cikgu Yaakob dan Cikgu Mohd Noor.

Itulah nama cikgu-cikgu yang seingat aku mengajar aku sewaktu di Tingkatan Enam. Kami berempat kemudiannya dilantik menjadi pengawas sekolah. Sabaruddin menjadi ketua pengawas manakala Zainal pula menjadi timbalan ketua pengawas.

Pakaian pengawas adalah baju biru dan bertali leher. Bila ada perhimpunan pagi kami memakai blazer atau kot. Memang nampak segak. Tugas sebagai pengawas sekolah memang mencabar.

Terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah dan disiplin pelajar. Baik pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan. Namun semua itu amat menyeronokkan dan aku menerimanya sebagai satu tanggungjawab yang perlu aku laksanakan.

Keistimewaan pengawas sekolah adalah masa rehat mereka tak sama dengan pelajar-pelajar yang lain.

Sebab kami bertugas masa rehat.

Jadi, apabila pelajar-pelajar telah masuk ke kelas maka kami pun makan dan minum. Selalunya lewatlah kami masuk ke kelas. Tapi kami tak ambil pun kesempatan di atas keistimewaan yang telah diberikan itu.

Sebab kami menyedari yang kami harus memberikan contoh dan teladan yang baik kepada pelajar-pelajar yang lain.

Setiap kali hari Jumaat kami ditugaskan untuk mengawasi pelajar-pelajar Melayu berbaris menunaikan solat Jumaat di Masjid Sungai Landak yang terletak tidak jauh daripada Sekolah Menengah Seri Ampangan.

Kadang-kadang ada juga pelajar junior wanita yang mengusik aku.

Bukannya aku ni perasan yang aku ni seorang pelajar lelaki yang kacak dan tampan.

Pernah satu hari pelajar wanita yang sama kelas dengan aku memberitahu ada pelajar wanita Tingkatan 5 berkirim salam pada aku.

Katanya wajah aku comel.

Nak tergelak bila aku mendengarnya bila dia kata wajah aku comel.

Setahu aku wajah yang comel bayi yang baru lahir. Aku hanya sekadar menjawab sahaja salam itu. Tak pulak aku bertanya siapa pelajar wanita yang berkirim salam pada aku.

Sebenarnya aku kenal beberapa pelajar wanita Tingkatan 5 waktu itu. Tapi bak kata orang kenal-kenal dari jauh aje.

Ada juga yang duduk sebangku dengan aku sewaktu dalam bas. Tika pulang dari sekolah.

Namun aku tak pernah berbual atau bertegur sapa dengan dia. Kalau ditanya kenapa aku tidak berbual mahupun bertegur sapa dengan mereka yang pernah duduk sebangku dengan aku waktu itu jawapannya entahlah … aku sendiri pun tak tahu.

Pada tahun 1989 aku melangkah ke Tingkatan Enam Atas.

Tahun yang amat penting bagiku. Kerana pada tahun ini aku akan menduduki peperiksaan STPM. Ada juga di kalangan rakan-rakan aku yang tidak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam Atas.

Sebab masuk maktab perguruan dan ada juga yang berhenti sekolah kerana memilih untuk bekerja.

Pelajar-pelajar wanita yang aku kenal dari jauh itu tidak pulak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam. Mungkin mereka dah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Sebagai seorang kawan yang hanya mengenali mereka dari jauh tumpang rasa gembira dengan kejayaan mereka itu. Selepas tamat menduduki peperiksaan STPM aku, Sabaruddin, Zainal dan Darus membawa haluan masing-masing.

Syukur alhamdulillah.

Kami berempat telah pun berjaya dalam hidup. Sabaruddin sekarang Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan. Zainal sekarang pegawai KWSP di Bangi.

Darus sekarang guru sekolah di Pasir Putih, Kelantan. Aku penolong kurator di Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Cikgu-cikgu yang mengajar aku di Tingkatan Enam ada jugak aku jumpa kadang-kadang. Biasalah. Cikgu takkan kenal anak-anak muridnya sebab ramai. Tapi anak murid tetap ingat pada cikgu.

Pada cikgu-cikgu yang mengajar aku sewaktu di Tingkatan setinggi-tinggi terima kasih aku ucapkan. Sebab mendidik aku dan kawan-kawan menjadi insan yang berjaya dalam hidup ini.

Setiap kali melintasi Sekolah Menengah Seri Ampangan maka mengimbaulah kenangan yang indah dan manis sewaktu aku belajar di Tingkatan Enam.

Namun aku menyedari bahawa semua itu kini tinggal menjadi kenangan dan catatan dalam sejarah kehidupan yang aku lalui. Tak mungkin waktu yang pernah aku lalui pada satu ketika dahulu akan berulang kembali mengetuk pintu hidupku.

Lantaran hanya dengan menulis coretan ini sahajalah yang dapat menggambarkan dan melepaskan rasa rinduku terhadap saat-saat dan kenangan indah yang pernah kulalui itu.

Terima kasih kutujukan kepada Rose Aiza dan Ani Rizal di atas kesudian kalian berdua mengetuk fbku dan menaupkan kembali hubungan silaturrahim dan persahabatan kita.

Kepada kawan-kawanku yang pernah belajar di Tingkatan Enam bersama-sama denganku aku berharap kalian akan berasa terhibur dan gembira apabila membaca coretan yang kutulis ini.

Begitu juga dengan pelajar-pelajar wanita yang kukenal dari jauh. Doa yang terbaik sentiasa kupohonkan untuk kalian. Termasuk Sabaruddin, Zainal, Darus, Rose Aiza dan rakan-rakan sekolahku yang lain.

Akhir kata aku memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat bahasa mahupun kata-kata yang mengguris perasaan kalian.

Sebab sebagai manusia aku akur yang baik itu datang daripada Allah SWT jua dan lemah serta khilaf itu datang daripada diri aku sendiri.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *