Cerpen “Semangat Orang Yang Telah Bersara”

Jalan Kampung

Jalan ( Sarim )

Suara angin yang bernyanyi-nyanyi riang
jelas kedengaran membelah seluruh kampung yang indah dan permai.

Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

“Assalamualaikum!” Pak Majid memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Roslan.

“Rajin betul kau, Lan. Aku tengok macam-macam kau tanam kat kebun peninggalan arwah ayah kau ni,” kata Pak Majid.

“Siapa lagi yang nak usahakan tanah ni, Pak Majid. Nak harapkan adik-beradik yang lain semuanya bekerja di bandar,” ujarnya.

“Eloklah tu, Lan!” angguk Pak Majid pula sebaliknya.

“Sekurang-kurangnya tak ada lah tanah ini terbiar dengan begitu saja,” sambung Pak Majid lagi.

Angin yang tadinya bertiup lemah-gemalai kemudian lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Matahari yang meninggi di kaki langit kelihatan begitu bersinar indah sekali. Cahayanya yang terang-benderang menerangi seluruh kampung yang diulit dengan penuh ketenangan dan kedamaian.

“Memang betul kata Pak Majid tu. Sayang kalau tanah ini dibiarkan dengan begitu sahaja. Tanpa diusahakan. Sebab itulah selepas aje bersara daripada bekerja dengan kerajaan saya lalu mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan mengusahakan tanah peninggalan arwah ayah saya ni,” dia memberitahu pada Pak Majid.

“Arwah ayah kau sebelum dia meninggal ada beritahu aku. Dia sayang sangat kat tanah ni. Tanah nilah yang membesarkan kau adik-beradik. Katanya lagi kalau dia dah tak ada nanti siapalah yang akan menguruskan tanah ni,” kata Pak Majid lagi.

“Dia pun ada beritahu perkara yang sama pada saya. Selain daripada tu, dia jugak mintak saya agar menjaga rumah pusaka yang ditinggalkannya itu. Demi untuk menunaikan amanahnya itu maka saya mengajak isteri saya untuk tinggal di kampung ni. Apabila saya menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan. Syukur alhamdulillah. Isteri saya mahu menurut kemahuan saya,” jelasnya dengan penuh panjang lebar.

“Alhamdulillah! Kau dapat menunaikan impian dan hasrat arwah ayah kau!” balas Pak Majid pula sambil tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala.

“Bagi saya wasiat dan amanah perlu ditunaikan. Sekalipun dengan terpaksa memikul seketul batu yang besar,” dia menambah.

“Ya, Lan!” angguk Pak Majid dengan pantas.

“Lebih-lebih lagi orang yang telah meninggal dunia. Sudah menjadi tanggungjawab dan tugas kepada kita yang masih hidup untuk melaksanakannya,” sambungnya.

Pak Majid kemudiannya lalu beralih kepada tajuk perbualan yang lain pula.

“Aku sebenarnya rasa sedih, Lan …,” luahnya dalam nada suara yang perlahan dan sambil menarik nafas yang panjang.

“Kenapa, Pak Majid?” dia menyoal sambil memandang wajah Pak Majid yang semakin dimamah usia itu.

“Kat kampung ni banyak rumah-rumah dan tanah-tanah yang tinggal dan terbiar. Apabila tuan punyanya dah meninggal dunia,” katanya pada Roslan.

Rasa pilu dan sayu jelas kelihatan menghiasi wajah tua Pak Majid. Pohon-pohon yang mengangguk-angguk perlahan apabila ditiup angin yang lemah dan tak bermaya seakan-akan berkongsi perasaan dengan bekas tentera yang berpangkat sarjan itu. Dari raut wajah yang ditunjukkannya itu Roslan dapat membaca apa yang sedang bersarang dan di alami dalam diri Pak Majid itu.

“Aku sendiri pun tak dapat membayangkan. Apa yang akan terjadi pada rumah pusaka dan tanah aku apabila aku dah tak ada nanti. Mungkin akan menerima nasib yang sama seperti rumah-rumah dan tanah-tanah yang ada di kampung ni. Arwah ayah kau beruntung. Kerana kau nak menjaga rumah dan mengusahakan tanah peninggalannya …,” dia bersuara sayu dan dengan panjang lebar.

“Pak Majid kan ramai anak,” balas Roslan pula.

“Betul!” dia menjawab dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi …. Yalah …. Macam yang kau cakapkan tadi. Mereka lebih senang tinggal di bandar. Berbanding dengan di kampung ni. Mungkin bagi mereka apalah sangat yang ada di kampung ni. Di bandar macam-macam kerja yang boleh dibuat. Duit pun senang dapat,” dia menyambung lagi.

Bahang matahari yang panas dan terik jelas terasa menyelubungi seluruh kampung. Angin yang tadinya bertiup perlahan lalu bertukar menjadi kencang semula. Pokok buah-buahan dan sayur-sayuran yang terdapat di kebun Roslan kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin.

“Sebenarnya rezeki ni ada di mana-mana saja, Pak Majid. Tak kira baik di bandar mahupun di kampung. Pokok pangkalnya rajin dan sentiasa berusaha,” ucapnya.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Lan. Kat kampung ni macam-macam yang boleh kita buat. Terpulang pada kita. Nak buat atau tidak,” sokong Pak Majid.

“Dalam soal mencari rezeki ni kita tidak boleh sangat memilih tempat. Allah SWT dah menyediakan muka bumi ni luas untuk kita mencari rezeki,” dia berkata lagi.

“Memang itulah yang dituntut ke atas kita sebagai manusia yang hidup di dunia ini,” Pak Majid menambah pula sebaliknya.

“Kita ni kalau dah biasa bekerja selama-lamanya kita akan bekerja. Sebab itulah saya tak duduk diam. Walaupun dah tak lagi bekerja dengan kerajaan tapi saya tetap jugak nak bekerja dengan mengusahakan tanah yang ditinggalkan oleh arwah ayah saya ini,” ujarnya pada Pak Majid.

“Aku dulu pun lepas aje bersara daripada tentera bekerja jugak sebagai pengawal keselamatan selama 7 tahun. Lepas tu aku berhenti. Maklumlah umur dah makin meningkat,” dia memberitahu Roslan.

“Duduk rumah lepas bersara bosan jugak. Tambah pulak tak buat apa,” kata Roslan pula.

“Memang betul, Lan!” ujarnya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kita dah biasa hari-hari bekerja. Tiba-tiba duduk terperap kat rumah. Mati akal la jawabnya,” dia menyambung lagi.

Angin yang datang daripada arah bukit yang tidak jauh daripada kebun Roslan bertiup tidak menentu. Sekejap kencang dan sekejap perlahan. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyapu seluruh kawasan kebun Roslan. Daun-daun kering dan ranting-ranting kayu yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan memenuhi permukaan tanah.

“Disebabkan tak nak mati akal maka kita sanggup untuk bekerja semula kan, Pak Majid,” dia berkata sambil tersenyum.

“Betul!” angguk Pak Majid pula sebaliknya.

“Padahal dah tiba masanya untuk kita berehat dan memberi kepada orang lain untuk mengambil alih tempat kita. Tapi macam yang kau cakapkan tadi sebab jiwa kita jiwa bekerja maka kita ketepikan semua itu,” balasnya lagi sambil ketawa.

Sementara itu matahari semakin meninggi di kaki langit biru. Manakala awan memutih pula kelihatan menebal. Cuaca kelihatan masih cerah lagi. Tidak kelihatan langsung tanda-tanda hujan akan turun. Sudah hampir berbulan-bulan lamanya hujan tidak turun.

Dalam erti kata lain sekarang ini musim panas kemarau. Banyak tanah yang kelihatan kering dan merekah. Rumput yang menghijau bertukar warna menjadi keperangan. Walaupun dilanda musim panas kemarau namun penduduk kampung berasa amat bersyukur kerana bekalan air tidak putus.

Sememangnya semangat untuk terus bekerja masih lagi menebal dan tidak padam dalam diri Roslan dan Pak Majid. Biarpun kedua-dua mereka kini bergelar sebagai orang pencen. Cuma bezanya Pak Majid telah bersara lebih awal berbanding dengan Roslan yang baru sebulan.

“Selagi kita masih ada tenaga dan kudrat kita akan terus bekerja,” kata Pak Majid.

“Ya, Pak Majid!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Jadikanlah hidup kita dengan terus bekerja di samping beramal dan beribadat,” tambahnya lagi.

Angin yang bertiup kencang seolah-olah menaikkan lagi semangat mereka berdua. Sekali-sekala Roslan memandang ke seluruh kawasan kebun peninggalan arwah ayahnya. Terasa kasih dan keringatnya tumpah mengalir membasahi tanah yang banyak memberikan rezeki dan penuh bertuah ini.

Dengan tiba-tiba wajah arwah ayahnya tergambar di ruang matanya. Kalau arwah ayahnya masih ada lagi tentu dia akan tersenyum dan berasa amat gembira dengan segala usaha yang telah dilakukannya itu. Lalu dalam hatinya tersemat ikrar dan janji sehingga ke akhir hayat akan menaburkan khidmat dan bakti di atas tanah kebun milik arwah ayahnya.

Baginya amanah dan wasiat bukan sahaja perlu ditunaikan malahan perjuangan arwah ayahnya mengusahakan tanah yang sedang dipijaknya ini juga perlu diteruskan. Dia turut menanamkan harapan yang menggunung tinggi agar pada satu hari nanti apabila dia sudah menutup mata buat selama-lamanya, anak-anak dan cucu-cucunya akan mengambil alih tempatnya untuk meneruskan perjuangan mengusahakan tanah yang telah diwarisi sejak daripada turun-temurun lagi.

Matahari semakin terasa menegak di atas kepala. Jalur-jalur cahaya matahari yang lurus kelihatan bersinar dan terpantul di celah-celah dedaunan yang menghijau. Rasa bahang panas yang pijar dan pedih terasa semakin menggigit-gigit permukaan kulit Roslan dan Pak Majid.

“Seronok rasanya berbual dengan kau, Lan. Tak sedar hari dah pun tengah hari. Aku mintak diri dulu,” mohon Pak Majid.

“Baiklah, Pak Majid!” dia sebaliknya membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tentang tanah Pak Majid tu tak usahlah dirisaukan. Berdoalah. Semoga Allah SWT membuka pintu hati anak-anak Pak Majid untuk mengusahakannya,” ujarnya lagi.

Pak Majid lalu mengangguk-angguk diam dan tersenyum. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Roslan itu. Dalam hati kecilnya dia memanjatkan doa. Semoga Allah SWT memakbulkan permintaannya itu. Dia mahu anak-anaknya mengikut jejak langkah seperti apabila dia sudah meninggalkan dunia ini dan kembali semula kepada pencipta-Nya.

“Assalamualaikum!” dia memberi salam dan berjabat tangan dengan Roslan.

“Waalaikumsalam!” jawab Roslan pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Dia kemudian lalu memerhatikan Pak Majid mengatur langkah meninggalkan kebunnya. Setelah bayangan Pak Majid hilang daripada pandangan mata, maka dia meneruskan semula kerja-kerja yang terhenti dan menyudahkannya sehingga selesai. Inilah yang menjadi amalannya sewaktu berkhidmat dengan kerajaan dan masih lagi diteruskan walaupun telah bersara dan kini mengusahakan kebun yang telah ditinggalkan oleh arwah ayahnya. Demikianlah kisah yang ingin aku kongsikan bersama mengenai semangat orang yang telah bersara.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *