Rasa Hati Seorang Sahabat

Meja

Meja ( FlyerBine )

— Sahabat —

Terima kasih atas segala kesetiaan dan kejujuranmu selama ini. Kita sama-sama merasai manis dan pahit dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan rasa suka dan duka. Berpanas dan berhujan. Menyusuri pantai yang dilanda desiran ombak.

Tika aku dalam kegelapan kau berikan aku sinar cahaya. Ketika aku mengalami kegagalan kau berikan aku semangat dan kekuatan agar bangkit semula. Di kala aku mengalami kesedihan kau hiburkanku sehingga aku berasa gembira semula.

Aku teringat kata-katamu. Bahawa bukan hidup namanya kalau tidak berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Apabila aku merenung kembali akan kata-katamu itu memang ada kebenarannya. Sebagai yang bernama manusia kita tidak boleh lari malah mengelak daripada menghadapi cabaran dan dugaan yang sentiasa datang dalam kehidupan ini.

Kau sentiasa mengingatkanku bahawa hidup ini adalah umpama sebuah kapal yang berlayar mengharungi lautan luas yang terbentang sambil membawa bekalan menuju ke pelabuhan. Itulah yang diperumpamakan kehidupan kita sebagai manusia di dunia ini. Perlu diisi dengan amal dan ibadat untuk dibawa ke akhirat nanti.

Katamu kejayaan tidak akan mudah datang bergolek melainkan dengan usaha dan kegigihan. Seperti yang disebut dalam pepatah di mana ada kemahuan pasti di situ ada jalan. Dengan bekerja keras tanpa mengenal penat dan putus asa akan menjadikan kejayaan berada dalam genggaman.

— Sahabat —

Kita saling berpesan-pesan dan ingat-mengingatkan antara satu sama lain. Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini hanya buat sementara waktu sahaja. Sedangkan akhirat jualah tempat yang kekal dan lagi abadi buat kita semua.

Oleh itu janganlah hendaknya kita leka dan khayal dengan kenikmatan dan keseronokan hidup di dunia. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa taat dan patuh kepada Allah SWT. Dengan mengikuti segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kehidupan tak ubah seperti air laut yang biru. Pasang dan surut silih berganti. Kehidupan yang kita lalui juga tak ubah seperti putaran roda. Sekejap kita berada di atas dan sekejap kita berada di bawah. Panas disangka boleh membawa ke petang tapi malangnya hujan turun di tengah hari. Kita ketawa dengan penuh gembira hari ini. Tapi esok belum pasti lagi. Mungkin kita akan menangis kesedihan.

Kita lalu berbicara mengenai perjalanan usia ketika melihat daun-daun hijau yang bergoyangan dan daun-daun yang berwarna keperangan dan kekeringan lalu berguguran menimpa di atas permukaan tanah apabila ditiup angin laut.

Sudah menjadi ketentuan apabila usia kita umpama sehelai dedaunan yang menghijau kita mempunyai tenaga yang kuat dan gagah. Namun apabila usia kita menginjak seperti sehelai daun kering maka kita tidak punya kudrat dan tenaga lagi.

— Sahabat —

Banyak yang dapat kita renungkan akan perjalanan hidup ini. Tak semua yang kita impikan mahupun harapkan akan menjadi kenyataan. Lalu kita berasa hampa dan kecewa apabila mengalami kegagalan dalam hidup ini.

Kita sama-sama melihat desiran sang ombak yang tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih yang memutih berapungan membasahi gigian. Lalu kau berkata jadilah seperti pantai yang tidak mudah musnah mahupun runtuh apabila dilanda ombak.

Aku lalu menjawab bahawa hidup ini perlu tabah dan sabar. Dalam menghadapi apa jua rintangan dan halangan yang datang. Bukannya mudah mengalah dan berputus asa. Biarlah kita mengalami kegagalan hari ini. Mungkin esok sudah tersedia kejayaan buat kita.

Kau sebaliknya hanya mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar kata-kataku itu. Angin laut yang bertiup perlahan dan dingin terasa melanda seluruh pantai. Sesungguhnya kejayaan dan kegagalan sudah menjadi lumrah dan asam garam dalam kehidupan kita.

Katamu masa itu adalah ibarat emas yang amat berharga dan bernilai sekali. Janganlah hendaknya dipersia-siakan mahupun dibazirkan masa yang telah diberikan. Seharusnya kita penuhi dan isi masa dengan perkara yang mendatangkan banyak manfaat dan faedah supaya kita tidak menjadi orang yang hidup dalam kerugian.

— Sahabat —

Setinggi mana pun kita belajar dan sejauh mana pun kaki kita melangkah jangan sesekali lupa pada asal usul terutamanya kampung halaman. Ke mana pulangnya ikan kalau tak ke lubuk. Ingatlah selalu pada tempat kita dilahirkan dan dibesarkan selama ini.

Sibuk sekali mana pun kita dengan tugas janganlah hendaknya sesekali kita lupa pada kedua-dua ayah dan ibu kita di kampung yang telah uzur dan tua. Pulang dan jenguklah mereka sentiasa. Janganlah hendaknya kita pulang ketika mereka sedang sakit tenat atau telah pun menutup mata buat selama-lamanya.

Aku lihat kau lalu terdiam. Rasa kesedihan dengan tiba-tiba lalu jelas kelihatan di wajahmu. Aku lalu bertanya kenapa dengan tiba-tiba kau berasa sedih dan pilu. Kau lalu pantas menjawab yang kau teringatkan kedua-dua ayah dan ibu yang telah tiada.

Kita sebenarnya senasib. Aku juga sudah tidak punya ayah dan ibu. Sebagai anak kita harus mendoakan mereka supaya tenang dan damai di sana. Kita juga akan mengikut jejak langkah mereka satu hari nanti. Tapi bila tidak kita ketahui. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Semua yang kita miliki di atas dunia ini adalah pinjaman semata-mata. Tiada yang kekal dan abadi buat selama-lamanya. Apabila tiba masanya maka akan diambil semula oleh Tuhan dan kita harus menerimanya dengan penuh redha dan sebagai ketentuan.

— Sahabat —

Setiap kali bertemu kita pasti akan berbicara tentang perjalanan hidup. Sambil menghirup udara pantai yang sungguh segar dan nyaman. Pohon-pohon menghijau yang tumbuh di tepi pantai kelihatan bagaikan menari-nari. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri. Apabila ditiup angin yang datang daripada arah laut.

Kau memberitahuku yang hidup ini adalah umpama pengembaraan. Melangkah dan terus melangkah dari satu perhentian ke satu perhentian. Selagi masih lagi dapat melihat matahari di siang hari dan rembulan di malam hari.

Dalam pengembaraan adawaktunya kita melangkah dengan mudah dan adaketikanya payah untuk kita melangkah. Adamasanya kita berjaya sampai ke puncak. Adawaktunya kita gagal untuk sampai ke puncak. Itulah kenyataan yang harus kita hadapi dalam perjalanan hidup ini.

Setiap yang baik harus kita jadikan sebagai teladan. Manakala setiap yang buruk harus kita jadikan sebagai sempadan. Sentiasalah menjadi insan yang mencari jalan ke arah kebaikan dan menjauhkan diri daripada melakukan sebarang kejahatan.

Kita kemudian lalu bersama-sama memandang awan yang tebal memutih dan langit yang membiru. Sinaran matahari yang terang-benderang kelihatan menyinari butiran pasir yang memutih. Berkilauan bagaikan mutiara di dasar lautan.

— Sahabat —

Ilmu itu adalah ibarat pelita yang menerangi kegelapan. Maka carilah ilmu dengan menjadikan orang yang cerdik pandai sebagai kawan. Pasti di dada akan dipenuhi dengan ilmu dan hidup berseri dengan disinari cahaya. Ilmu yang diperolehi kemudian sebarkanlah kepada orang lain agar mendapat berkat.

Tidak mengapa kita dipandang miskin kerana tidak mempunyai wang dan harta. Itu tidak menjadi ukuran dalam hidup ini. Tapi biarlah kita kaya dengan budi bahasa dan ringan menghulurkan tangan untuk membantu mereka yang susah dan memerlukan pertolongan.

Siapa lagi yang hendak membantu mereka. Kalau bukan kita yang berupaya dan hidup dalam keadaan sempurna. Ingatlah mereka juga insan seperti kita yang ingin menikmati kesenangan dan kegembiraan dalam hidup ini. Maka bantulah mereka sekadar mana yang termampu.

Angin laut tiba-tiba bertiup kencang. Rasa nyaman dan dingin terasa menyapu seluruh kawasan Pantai Peranginan Teluk Kemang, Port Dickson. Suara ombak menghempas pantai jelas kedengaran membelah suasana. Aku dan kau dapat merasakan ketenangan serta kedamaian sambil melihat sang ombak yang tidak putus-putus melanda pantai.

Aku berkata bahawa pengalaman adalah guru yang amat berguna dalam kehidupan ini. Jadikanlah semalam yang dilalui sama ada suka mahupun duka sebagai pengalaman untuk memperbaiki kelemahan diri dan seterusnya meneruskan kehidupan yang dilalui pada hari ini.

— Sahabat —

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Hanya ingin gembira bersama-sama dan tidak mahu menangis bersama-sama dengan kita apabila ditimpa kesedihan. Kau kemudian lalu memandang wajahku dan menyoal. Mengapa ramai kawan di sekeliling kita apabila ketawa dan tika menangis hanya kita sahaja seorang diri?

Aku sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang dan berkata. Mereka hanya mahu berkongsi rasa kegembiraan bersama-sama dengan kita dan bukannya berkongsi rasa kepahitan. Kau kulihat lalu mengangguk-angguk dengan pantas sambil mendiamkan diri.

Dari raut wajahmu aku jelas dapat membaca. Kau memahami malah mengerti dengan apa yang kukatakan itu. Aku memberitahu kau yang aku berasa amat bersyukur sekali. Kerana dikurniakan Tuhan seorang sahabat seperti kau yang bukan sahaja sanggup ketawa bersama-sama denganku malah menangis bersama-sama.

Begitu juga di saat senang dan susah. Kau sentiasa bersama-sama denganku walau dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya kau adalah seorang sahabat yang sejati dan payah untuk kutemui selagi aku masih lagi diberikan oleh Tuhan untuk terus membuka mata dan bernafas di dunia yang fana ini.

Marilah kita bersama-sama menadah tangan dan berdoa ke hadrat Tuhan Yang Esa. Semoga persahabatan yang telah sekian lama kita bina ini akan terus berkekalan buat selama-lamanya. Sebelum mengundurkan diri sekali lagi aku ucapkan terima kasih padamu. Sentiasa mengajar aku akan erti kehidupan yang sebenarnya. Kita bukan hanya sekadar bersahabat tetapi saling memerlukan antara satu sama lain pada setiap waktu dan ketika.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *