Cerpen “Bukanlah Bererti Hidup Ini Telah Berakhir”

Tepian Pantai

Tepian Pantai ( Gudi )

Angin yang datang daripada
arah laut yang membiru bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Pohon-pohon menghijau yang tumbuh di tepi pantai
kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin laut.
Adaketikanya beralih ke kanan dan adaketikanya beralih ke kiri.
Mengikut rentak dan irama angin laut yang bertiup.

Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali. Matahari yang meninggi di kaki langit mengeluarkan cahaya yang terang-benderang. Butiran pasir yang halus kelihatan berkilauan umpama mutiara di dasar lautan apabila disinari matahari yang terik. Desiran ombak tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih yang memutih kelihatan berapungan membasahi gigian pantai. Sekejap timbul apabila ditolak ombak dan sekejap hilang apabila ditarik ombak semula.

Sesungguhnya hidup ini tak ubah seperti air laut yang membiru. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka. Begitu juga dengan kemanisan dan kepahitan. Ketawa dan menangis. Semua itu adalah lumrah dalam kehidupan.

Tak semua yang indah sepertimana yang kita harapkan akan menjadi kenyataan. Begitu juga dengan kemanisan yang ingin kita kecapi akan dapat kita nikmati. Kerana semua itu bukan kita yang menentukannya. Tapi adalah daripada Tuhan Yang Esa.

“Memang amat pedih apabila mengalami kegagalan dalam hidup ini …,” kata Liza dalam nada suara yang penuh pilu dan sayu.

“Lupakanlah apa yang telah terjadi,” balas Adlan.

“Aku dah cuba, Lan …. Tapi tak boleh …!” geleng Liza pula sebaliknya dengan lemah.

“Jangan terlalu mengikutkan hati dan perasaan, Liza. Kau perlu kuat dan bangkit semula. Bukannya untuk terus memilih dengan menangis dan bersedih,” ujar Adlan lagi.

“Aku tak berdaya, Lan …!” ujar Liza sambil menitiskan air mata.

Adlan sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja sambil menarik nafas yang panjang dan memandang ke arah laut membiru yang luas terbentang. Angin laut seakan-akan bertiup lemah dan tak bermaya. Seolah-olah turut menghulurkan rasa simpati dan berkongsi perasaan yang dialami oleh Liza.
Air mata Liza kelihatan semakin banyak mengalir membasahi pipinya yang halus dan putih itu. Seperti hujan yang turun dengan lebat dan mencurah-curah membasahi tanah. Rasa kesedihan terasa semakin menebal dan menyiat-nyiat di hatinya.

Suara desiran ombak yang menghempas pantai jelas kedengaran membelah suasana. Bagi Liza kegagalan menjadikan dia kehilangan segala-galanya dalam hidup ini. Adlan kemudian memandang semula wajah Liza yang diselubungi dengan rasa kesedihan.

“Liza …,” ucap Adlan perlahan.

Dia sebaliknya hanya menundukkan kepala. Tak mampu untuk berkata-kata. Air matanya tak henti-henti mengalir. Dia tidak dapat menahan rasa sebak dan sayu. Hanya menangis yang dapat dilakukannya. Kegagalan dan kekecewaan yang dialaminya menjadikan dia hilang arah dan tidak bermaya untuk meneruskan kehidupan ini.

“Usah mudah menyerah. Setiap yang berlaku atau terjadi itu ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya,” dia menyambung lagi.

Liza terus berdiam diri. Melayan rasa kesedihan yang menyelimuti perasaannya. Sambil menundukkan kepala dia memandang butiran pasir pantai yang halus dan putih itu. Dia merasakan jiwanya benar-benar kosong.

Dia seperti sukar untuk menerima kegagalan yang telah menimpa dalam hidupnya. Sinar cahaya yang selama ini diharapkan rupanya tidak menyinari kehidupannya. Tetapi sebaliknya kegelapan yang hadir dalam hidup ini.

“Sekali kita gagal bukan selama-lamanya kita akan gagal. Kegagalan bukanlah pengakhiran dalam kehidupan. Kalau kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan dalam diri pasti kita akan berjaya,” kata Adlan.

Terasa begitu amat mendalam sekali kata-kata Adlan itu. Sehinggakan Liza terhenti sejenak daripada melayan perasaan sedih di hatinya. Sebaliknya dia merenung dan menghayati kata-kata azimat daripada lelaki yang bernama Adlan itu.

Dia kemudian lalu perlahan-lahan mengangkat muka semula. Air matanya yang berlinangan lalu disapunya. Adlan memandang wajah Liza. Tetap kelihatan cantik dan ayu. Walaupun dibalut dengan rasa sedih dan pilu.

Daun-daun yang menghijau kelihatan seperti terbuai-buai apabila disapu angin laut yang bertiup kencang. Manakala daun-daun yang berwarna keperangan dan kekeringan lalu jatuh berguguran apabila ditiup angin dan bertaburan menutupi permukaan pasir yang halus dan memutih.

“Betapa lemahnya aku …. Hanya menangis dan merintih sahaja …,” ujarnya perlahan.

“Itu bukanlah jalan yang terbaik yang harus kau pilih,” balas Adlan pula.

“Entahlah, Lan …. Betul kata kau. Aku terlalu mengikutkan perasaan,” katanya lagi.

“Kau seharusnya melupakan kegagalan yang dialami semalam. Sebaliknya memulakan hari ini dengan semangat yang baru,” tambah Adlan.

“Memang benar apa yang kau katakan tu, Lan!” dia mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Semalam yang berlalu biarkanlah berlalu pergi. Tiada gunanya untuk dikenangkan kembali. Tapi aku …. Masih memikirkan apa yang telah aku lalui semalam,” sambungnya lagi.

Sesungguhnya hidup ini adalah satu perjuangan. Kadangkala kita menang dan kadangkala kita kalah. Apabila menang kita akan berasa begitu amat gembira sekali. Tetapi apabila kalah kita berasa begitu amat sedih dan kecewa.

Kehidupan juga adalah seperti roda yang berputar. Sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah. Tika berada di puncak kita di julang kerana menjadi seorang pemenang. Namun apabila jatuh tersungkur tiada siapa yang akan bersama-sama dengan kita. Untuk berkongsi rasa kesedihan.

Bayu laut yang berhembus terasa begitu amat dingin. Memang enak rasanya apabila dapat menghirup udara pantai yang segar. Rasa kesedihan dan kepiluan yang tadinya kelihatan di wajah Liza semakin beransur-ansur hilang.

Dia seperti sudah mendapat keyakinan dan semangat yang baru. Harus melupakan kegagalan dan kekecewaan yang dialami hari semalam. Perlu bangkit dan membina kekuatan diri semula. Dia harus menjadi Liza yang baru dan memburu kejayaan dalam hari-hari yang bakal mendatang.

“Kau harus tabah, Liza. Seperti pantai yang dilanda ombak itu. Tidak mudah musnah dan hancur. Tetap cekal menahan hempasan ombak yang tiada hentinya,” kata Adlan.

“Ya, Lan!” dia sebaliknya membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku akan memulakan kehidupan yang baru!” ucapnya lagi dengan rasa penuh bersemangat.

“Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan,” tambah Adlan lagi.

“Aku rasa macam hidup semula. Selama ini hanya mata aku sahaja yang terbuka. Tapi jiwa aku mati,” katanya.

Rasa kegembiraan lalu kelihatan di wajah Adlan. Apabila melihat Liza kembali ceria dan bersemangat semula. Tidak lagi hidup dalam kekecewaan dan kedukaan. Kerana mengalami kegagalan dalam hidup. Selepas ini dia tidak lagi akan melihat Liza berendam dengan air mata siang dan malam.

Tiada siapa yang boleh menolak takdir dan ketentuan Tuhan. Hidup dan mati. Jodoh dan pertemuan. Kaya dan miskin. Begitu juga dengan kejayaan dan kegagalan dalam hidup bukan di tangan kita yang bernama manusia.

“Aku yakin. Kau akan berjaya menebus kembali kekecewaan yang telah kau alami. Aku doakan semoga kejayaan akan berpihak pada kau,” ucap Adlan.

“Terima kasih, Lan!” dia membalas dengan senyuman.

Dalam hati kecilnya berdoa. Semoga mendung yang berarak selama ini dalam hidupnya akan berlalu pergi. Sebaliknya akan disinari dengan cahaya matahari yang terang-benderang seperti di kaki yang menyinari seluruh alam semesta. Kegagalan yang dialami hari ini bukanlah bererti hidup ini telah berakhir. Itulah kata-kata semangat yang dijadikannya sebagai kekuatan untuk memulakan hari esok yang bakal tiba.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *