Buat Kau Yang Bernama Kawan
Setiap kali fajar menyingsing
di kaki langit maka kita pun melangkah
untuk memulakan penghidupan baru pada hari ini.
Segala rasa suka dan duka yang kita alami pada semalam
yang dilewati kita jadikan sebagai pengalaman dalam meneruskan kehidupan.
Bersyukurlah kerana kita masih lagi diberikan waktu dan kesempatan untuk terus bernafas menghirup udara yang nyaman dan segar. Begitu juga dapat melihat matahari yang menyinari siang dan sang rembulan yang menjadi penyeri di malam hari.
Dalam hidup ini kita akan berdepan dengan pelbagai ujian dan dugaan. Sesungguhnya dugaan dan ujian itu amat perit malah sukar untuk ditanggung. Namun itulah sebenarnya yang dinamakan sebagai kehidupan buat kita yang bernama manusia.
Jangan terlalu memandang kepada sesuatu yang amat cantik dan indah di mata sehingga kita jadi terpesona dan tergoda. Tetapi itu sebenarnya tidak boleh dijadikan sebagai ukuran atau untuk dinilai. Sebaliknya kita perlu memandang pada kejujuran dan keikhlasan yang ada di hati seseorang itu.
Apabila kita mempunyai harta kekayaan dan wang yang banyak maka kita dipandang tinggi dan mulia. Berbanding apabila miskin dan tak punya apa maka kita dipandang hina dan keji. Namun kita akan lebih dipandang mulia dan tinggi apabila kaya dengan budi bahasa.
Buat Kau Yang Bernama Kawan ….
Berhati-hatilah dalam memilih sahabat dalam hidup ini. Pilihlah sahabat yang membawa ke arah kebaikan. Jauhkan diri daripada sahabat yang membawa kita ke jalan yang membawa kepada keburukan. Ingatlah kita mudah terpengaruh dalam melakukan sesuatu itu sama ada baik atau buruk berpunca daripada sahabat itu sendiri.
Dalam kehidupan ini kita boleh menerima kepesatan arus pembangunan yang berlaku pada saban hari. Tetapi kita tidak boleh menolak malah mengetepikan sama sekali adat yang telah sekian lama dipusakai semenjak daripada datuk nenek moyang kita lagi. Oleh itu adat perlu dipertahankan dan dipelihara buat selama-lamanya serta diperturunkan kepada generasi seterusnya sebagai pewaris.
Ketahuilah bahawa sejarah tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita. Sejarah sama ada manis mahupun pahit mempunyai banyak teladan dan pengajaran yang amat berguna kepada kita semua. Justeru itu maka bersama-samalah kita menjadikan sejarah untuk mengenal tamadun dan jati diri bangsa kita sendiri.
Kita sering dibuai dengan kelekaan dan keseronokan hidup di dunia. Sehingga menjadikan kita lupa akan tanggungjawab sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Oleh itu marilah kita bersama-sama mengejar segala kebaikan dan pahala dengan memenuhi kehidupan melalui amal serta ibadat demi untuk mendapat kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat.
Ikutlah resmi padi makin tunduk makin berisi. Hindarkanlah daripada sifat sombong dan bangga diri apabila sudah mencapai kejayaan dalam hidup ini. Ingatlah susah payah dan pahit getir yang dilalui sebelum sampai ke puncak kejayaan.
Buat Kau Yang Bernama Kawan ….
Sudah menjadi lumrah kehidupan kita sebagai manusia mempunyai impian dan cita-cita. Kita akan berasa gembira apabila apa yang kita impikan tertunai dan tercapai. Cita-cita dan impian tidak akan mudah dicapai melainkan hanya dengan usaha keras dan kegigihan kita untuk menjadikannya sebagai kenyataan.
Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tetapi yang menentukan segala-galanya adalah Tuhan Yang Esa. Sekiranya kita gagal dalam mencapai apa yang telah kita hasratkan selama ini maka kita harus redha dan menerimanya sebagai ketentuan yang telah tertulis kepada kita.
Alangkah ruginya kita apabila hilang dan cicir sesuatu yang amat berharga. Apabila hilang maka sukar untuk dicari ganti. Begitu juga apabila cicir maka sukar untuk dipungut kembali. Demikianlah bernilai dan tingginya harga warisan budaya kita. Tidak dapat dibeli dengan wang ringgit sekali pun. Oleh itu maka marilah bersama-sama kita menjaga dan mengekalkannya sebagai harta yang tidak ternilai harganya.
Usah mudah percaya dan terpedaya apabila melihat intan yang berkilauan. Boleh jadi kaca yang bukan kita inginkan. Justeru itu maka berhati-hatilah dalam memilih sesuatu itu. Pilihlah yang tepat agar kita tidak menjadi menyesal akhirnya.
Banyak membaca akan menjadikan kita orang yang mempunyai ilmu penuh di dada. Isilah masa lapang dengan banyak membaca. Sesungguhnya ilmu itu adalah sinaran cahaya yang bukan sahaja menerangi kegelapan malahan juga menyinari hidup kita.
Buat Kau Yang Bernama Kawan ….
Perjalanan usia kita semakin meningkat dari sehari ke sehari tanpa kita sedari. Pernahkah kita terfikir bagaimana kita hendak mengakhiri penghujung perjalanan usia kita. Kerana kematian itu adalah pasti dan tidak diketahui bilakah sampai masanya.
Kita tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap dalam hidup ini. Sama ada besar atau kecil mahupun sedar atau tidak. Sudah menjadi lumrah kehidupan kita sebagai manusia bersifat lemah dan tidak dapat mengelak daripada melakukan kekhilafan. Jadi maka segeralah kita bertaubat dan kembali semula ke pangkal jalan selagi masih diberikan kesempatan dan ruang oleh Allah SWT.
Bekerjalah dengan rasa penuh jujur dan amanah. Jadikanlah setiap pekerjaan yang dilakukan itu sebagai ibadah kepada orang lain dan jariah semata-mata untuk Allah SWT. Tanamkanlah ke dalam diri untuk menjadi seorang pekerja yang amat komited dan penuh dedikasi dalam menjalankan tugas yang telah diberikan.
Tiada kekusutan yang tidak dapat dileraikan. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan walaupun berat sebesar batu sekali pun. Asalkan bermuafakat dan rundingan pasti akan ditemui jalan penyelesaian. Sesungguhnya rundingan dan muafakat akan menjadikan yang kusut itu akan menjadi lerai dan yang berat akan menjadi ringan untuk dipikul.
Kampung halaman tempat kita dilahirkan dan dibesarkan jangan sesekali kita lupakan. Kehidupan masa silam kita bermula daripada kampung halaman sehinggalah kita mencapai kejayaan pada hari ini. Jangan dipinggirkan malah dipadamkan daripada ingatan akan sebuah tempat yang bernama kampung halaman dalam kehidupan kita.
Buat Kau Yang Bernama Kawan ….
Sering kali kita mendengar bahawa terlalu ramai di sekeliling kita apabila kita berada di puncak kegemilangan dan kemewahan. Namun ramai yang akan menjauhkan diri apabila kita jatuh dan tersungkur. Itulah yang dinamakan sebagai kehidupan manusia yang lebih memandang kepada kegembiraan dan bukannya kepada kesedihan.
Hari ini kita berasa amat gembira kerana hidup dalam keadaan sempurna dan memiliki segala-galanya. Apa sahaja yang kita inginkan sama ada besar mahupun kecil dapat kita perolehi dengan mudah dan tanpa bersusah payah. Tapi pernahkah kita memikirkan hari esok yang akan tiba apakah kita akan dapat memiliki segala-galanya seperti hari semalam.
Jasa dan pengorbanan seorang insan yang bernama guru jangan sesekali kita lupakan. Tanpa tunjuk ajar dan bimbingan daripada mereka kita tidak akan menjadi seorang cendikiawan atau mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan yang kita perolehi. Maka ucapkanlah terima kasih kepada guru yang telah mendidik kita sehingga menjadi insan yang berjaya dalam hidup ini.
Ringankanlah tangan dan tenaga untuk membantu mereka yang tidak berupaya dan bernasib baik dalam hidup ini. Tidak mereka pinta menjadi sedemikian rupa namun itulah yang dikatakan sebagai ketentuan dan takdir Allah SWT. Seharusnyalah kita yang bernasib baik dan berkemampuan membantu mereka agar dapat bersama-sama menikmati kehidupan yang bahagia di samping dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama insan.
Kemerdekaan dan kebebasan hidup yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang yang terdahulu. Oleh itu maka janganlah hendaknya kita lupa akan pengorbanan yang telah mereka lakukan demi untuk melihat kita sebagai generasi hari ini hidup dalam suasana negara yang merdeka dan bebas.
Buat Kau Yang Bernama Kawan ….
Rezeki itu adalah milik Allah SWT. Kalau dah rezeki kita tetap akan menjadi milik kita juga akhirnya. Cuma cepat atau lambat sahaja yang tidak kita ketahui. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya dan bukan kita yang menentukannya.
Seperti yang disebut dalam pepatah ukurlah baju di badan sendiri. Kalau periuk kita besar maka besarlah keraknya. Begitu juga kalau periuk kita kecil maka kecillah keraknya. Berbelanjalah mengikut kemampuan yang ada dan bukannya mengikut seperti orang lain.
Menyemai benih yang baik akan menghasilkan buah yang baik dan masak dengan lebat. Demikianlah diibaratkan dalam kita mendidik anak-anak. Berilah mereka ajaran agama yang sempurna dan pelajaran yang membina. Supaya mereka menjadi insan yang berguna dan dapat menyumbangkan tenaga kepada pembangunan serta kemakmuran negara pada satu hari nanti.
Pepatah ada menyebutkan bahawa air dicincang tidak akan putus. Adik-beradik tetap akan menjadi adik-beradik selama-lamanya. Walaupun bersengketa mahupun berselisih faham hubungan sedarah dan sedaging tidak akan terputus.
Solat lima waktu adalah kewajipan yang harus ditunaikan. Tidak boleh sesekali diabaikan mahupun ditinggalkan. Walaupun berada di mana sekali pun solat lima waktu perlu dijaga untuk mendapat kesempurnaan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~