Hidup Ini Adalah Satu Perjuangan

Orang Jalan

Orang Jalan ( Zorro4 )

Adaketikanya kita menelan kemanisan.
Adawaktunya kita menelan kepahitan.

Hari ini kita menangis kerana kesedihan. Mungkin esok kita akan tersenyum kerana gembira. Sesungguhnya rasa suka dan duka adalah lumrah dalam kehidupan.

Panas yang kita harapkan tidak semestinya hingga ke petang. Awan tidak selalu cerah. Langit tidak akan sentiasa terang-benderang menyinari alam semesta. Mendung hitam akan berarak juga akhirnya. Hujan pun lalu turun mencurah-curah. Demikianlah diibaratkan perjalanan hidup kita. Tidak semua keindahan yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

Pernahkah kita bertanya pada diri. Apakah tujuan dan matlamat sebenarnya kita hidup di dunia ini? Sama ada mencari kesejahteraan dan keberkatan atau mencari keseronokan dan kegembiraan semata-mata. Sedangkan dunia ini hanyalah untuk sementara waktu sahaja. Akhirat jualah yang kekal buat selama-lamanya.

Kehidupan ini adalah umpama roda yang berputar. Sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah. Tika berada di atas penuh dengan bunga-bunga yang mekar dan mewangi. Namun tika berada di bawah diselubungi dengan kedukaan dan kepedihan.

Usah sesekali leka dan khayal dengan pujian dan sanjungan. Apabila berjaya mencipta kejayaan dalam hidup. Sebaliknya jadilah seperti padi yang semakin tunduk semakin berisi. Ingatlah jangan berpuashati dengan kejayaan yang telah dicipta hari. Sebaliknya teruslah berusaha dan memburu kejayaan pada hari yang mendatang.

Kekalahan boleh diterima dalam hidup ini. Namun jangan sesekali mengalah. Sekali kita mengalami kegagalan bukan bererti kita akan tewas buat selama-lamanya. Begitu juga sekali kita jatuh tersungkur tidak bermakna kita tidak akan dapat bangun lagi. Belajarlah daripada kegagalan dan sentiasalah berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam diri. Apabila semua ini tertanam dalam diri maka kejayaan pasti akan berada dalam genggaman.

Jangan terlalu memandang pada harta dan wang. Biar hidup dipandang miskin dan tak punya apa. Tidak mengapa hidup tanpa kemewahan dan kesenangan. Tapi yang paling utama adalah berhati mulia dan berbudi pekerti yang tinggi.

Jadilah seperti pantai yang dilanda ombak. Tidak mudah roboh mahupun musnah berderai. Hadapilah setiap halangan mahupun rintangan yang datang dalam hidup ini penuh dengan ketabahan dan kesabaran. Kerana bermula dari situlah kita akan belajar mengenal erti kehidupan yang sebenarnya.

Tanpa disedari masa begitu amat pantas sekali berlalu pergi meninggalkan kita. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Tapi kita masih lagi leka dan tidak menghargai masa yang telah diberikan. Maka alangkah ruginya kerana tidak memanfaatkan masa yang datang mengetuk pintu kehidupan kita.

Setiap yang baik jadikan sebagai teladan. Manakala yang buruk jadikan sebagai sempadan. Lakukanlah sesuatu itu mahupun pertolongan dengan hati yang penuh keikhlasan dan bukannya mengharapkan ganjaran ataupun pujian.

Bumi ini dijadikan oleh Tuhan dengan begitu amat luas sekali. Rezeki ada di mana-mana sahaja di bumi ciptaan Tuhan ini. Ia tidak akan datang atau terhidang di depan mata tanpa hasil usaha kita sendiri. Maka dengan itu carilah rezeki dengan apa cara sekalipun demi untuk menyara kehidupan kita dan keluarga asalkan halal dan diberkati Allah SWT.

Ramai yang bernama sahabat berada di sekeliling kita setiap waktu dan ketika. Memang hidup kita perlu ramai sahabat. Tanpa sahabat hidup kita tak ubah seperti kera sumbang. Namun begitu carilah sahabat yang sentiasa membawa ke jalan kebaikan dan bukannya menuju ke jalan yang membawa kepada kejahatan.

Isilah masa yang terluang dengan membaca. Jadikanlah buku sebagai teman sejati di masa lapang. Membaca menambah ilmu pengetahuan di dada. Banyak membaca membentuk pemikiran yang tajam dan penuh dengan kehebatan.

Sesibuk mana sekali pun dengan tugas mahupun kerja maka janganlah lupa untuk meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga. Tiada harta yang bernilai dan berharga buat kita melainkan hanya meluangkan masa dengan mereka yang tersayang.

Dahulu rambut kita hitam tapi kini dipenuhi dengan uban. Itulah tandanya usia kita telah tua. Tidak selama-lamanya usia kita akan muda. Usia kita semakin meningkat dan bukannya berundur ke belakang menjadi muda semula. Demikianlah diibaratkan perjalanan usia kita sebagai manusia yang hidup di dunia ini.

Jadikanlah warisan sejarah dan budaya yang kita miliki sebagai harta yang amat berharga dan bernilai. Jangan dibiarkan kedua-duanya hilang mahupun hanyut ditelan arus pembangunan yang moden dan pesat. Sayangilah budaya dan warisan sejarah sepertimana kita menyayangi harta kepunyaan kita sendiri.

Didiklah anak yang dianugerahkan Allah SWT agar menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mereka adalah seperti sehelai kain putih. Maka sebagai ibu bapa sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mencorakkan mereka menjadi insan yang berakhlak mulia dan menyumbang tenaga ke arah pembangunan dan kesejahteraan negara.

Bersyukurlah kerana kita masih lagi diberikan kesempatan untuk melihat matahari di kaki langit tika pagi menyingkapkan tabirnya. Ucapkanlah kesyukuran kerana kita masih lagi diberikan peluang untuk menatap rembulan di kaki langit hitam ketika malam menjelma. Sentiasalah bersyukur kerana Tuhan masih lagi memberikan kita untuk terus bernafas dan melihat dunia yang fana ini.

Tiada pinggan yang tak retak. Tak ada cawan yang tak pecah. Bumi mana yang tak ditimpa hujan. Sudah menjadi lumrah kehidupan kita sebagai manusia. Tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan mahupun kekhilafan.

Biar sejauh manapun kaki kita melangkah namun janganlah hendaknya sesekali kita lupa pada kampung halaman. Kerana itulah tempat di mana kita dibesarkan dan dilahirkan. Janganlah malu berasal dari kampung yang menjadi tempat permulaan kita membina kehidupan.

Apabila fajar menyingsing di kaki langit maka bermulalah hari baru untuk kita memulakan penghidupan. Semalam yang kita lalui biarkanlah berlalu pergi umpama sebuah kapal yang meninggalkan pelabuhan. Jadikanlah hari ini sebagai yang paling terbaik berbanding dengan semalam yang dilalui.

Dalam membuat keputusan buatlah dengan bijak dan tepat. Memang amat berat dalam membuat sesuatu keputusan itu sehingga kita berada di persimpangan delima. Namun janganlah terlalu terburu-buru atau mengikut kata hati. Akibatnya akan menyesal dan merugikan diri sendiri akhirnya.

Alam sekitar adalah anugerah Tuhan untuk kita yang hidup di bumi ini. Maka marilah kita bersama-sama menjaga dan memeliharanya. Supaya dapat terus hidup menghirup udara yang segar dan bersih. Sayangilah dan lindungilah alam sekitar ciptaan Tuhan sentiasa.

Tanamkanlah ke dalam diri nilai-nilai murni dan budi bahasa yang tinggi. Sentiasa hormat pada yang tua dan bertutur dengan sopan. Mengikut tertib dan aturan dalam melakukan sesuatu. Mendahulukan yang dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian.

Berterima kasihlah pada mereka yang sanggup berkorban jiwa dan tenaga serta meninggalkan keluarga kerana berjuang demi mempertahankan negara kita daripada dicerobohi dan diancam oleh musuh. Semua ini mereka lakukan semata-mata kesetiaan dan cintakan negara. Melalui pengorbanan mereka itu maka kita semua dapat menikmati suasana kehidupan dalam aman dan makmur. Maka dengan itu janganlah sesekali kita lupa dan sebaliknya hargailah segala jasa dan bakti yang telah mereka taburkan itu.

Kadangkala kita teringatkan kenangan silam yang pernah kita lalui pada satu ketika dahulu. Ada yang manis seperti madu dan tidak kurang pula yang pahit seperti hempedu. Namun semua itu tidak akan kembali dan datang semula kepada kita. Sebaliknya tinggal menjadi memori dan kenangan yang mewarnai kehidupan kita selagi mata masih lagi terbuka.

Alangkah indahnya apabila mengimbau zaman yang dinamakan sebagai kanak-kanak dahulu. Penuh dengan keriangan dan keseronokan bermain bersama-sama dengan rakan sebaya. Tapi kini semua itu tinggal menjadi kenangan dalam lipatan ingatan. Kita tidak akan kembali semula pada zaman yang penuh dengan warna-warna keindahan itu.

Sentiasalah mengukir senyuman walaupun dalam keadaan susah mahupun berduka. Tersenyumlah walaupun menanggung keperitan dan kesakitan kerana diuji. Ingatlah bahawa sesungguhnya senyuman itu adalah satu sedekah walaupun tidak dapat menandingi wang ringgit.

Demikianlah yang ingin dikongsikan bersama-sama mengenai perjalanan hidup ini. Kehidupan adalah umpama satu perjuangan dan kita akan terus berjuang selagi nyawa dan nafas masih lagi belum terhenti. Sentiasalah berjuang untuk mengejar kebaikan dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *