Cerpen “Mengharap Sinar”

sinaran cahaya

Cahaya ( Erkan Utu )

Kesepian ….

Dia benar-benar merasakannya.

Seperti berada di ruang yang sunyi tak berpenghuni.

Angin laut yang bertiup lemah-gemalai jelas terasa mengusapi wajahnya.

Seolah-olah mengerti akan hati dan perasaannya. Dibungkus rasa kesunyian dan kerinduan. Sejak ditinggalkan suaminya Helmi.

Helmi adalah lelaki yang pertama dan terakhir dalam hidupnya. Tapi lelaki yang menjadi suaminya itu tergamak melukakan hatinya.

Disebabkan terpikat pada Sheila yang juga sahabat karibnya. Hancur luluh hatinya. Bahkan musnah berderai umpama kaca yang terhempas ke batu.

Dia melemparkan pandangan ke arah laut yang membiru. Sesungguhnya hidup ini umpama air laut. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Hidup ini juga tak ubah seperti roda yang berputar. Adakalanya di atas dan ada ketikanya di bawah.

Suara desiran ombak yang menghempas pantai jelas kedengaran. Membelah suasana yang tenang dan hening. Buih-buih memutih berapungan membasahi gigian.

Sekejap timbul dan sekejap hilang. Ditolak dan ditarik ombak.

Dia kemudian lalu menarik nafas yang panjang. Memang nyaman dan segar apabila dapat menghirup udara pantai. Tika itu juga kenangan silam nan indah yang pernah mewarnai hidupnya lalu segar menjelma di ingatannya.

@@@@@@@

“Fizah …!” Helmi bersuara perlahan sambil menggenggam erat jari-jemarinya yang lembut dan halus bagaikan sutera itu.

Dia lantas memandang lelaki yang amat dicintainya itu.

“Aku tak boleh hidup tanpa kau!” kata Helmi lagi.

“Aku pun begitu juga, Mi!” balasnya pula.

“Percayalah! Aku akan tetap bersama dengan kau selamanya!” janji Helmi.

Air matanya lalu menitis membasahi pipi. Apabila teringatkan kembali kenangan yang amat indah itu. Umpama rama-rama yang berterbangan menghiasi bingkai lukisan.

“Tahniah, Fizah. Kau memang padan dengan Helmi. Aku tumpang gembira,” ujar Sheila.

“Terima kasih. Kau bila pulak?” sambutnya.

“Entahlah, Fizah. Belum ada jodoh lagi,” dia sebaliknya menjawab.

“Aku doakan moga kau cepat bertemu jodoh,” ucapnya.

“Aku tak kisah, Rina. Kalau sudah tersurat tak ada jodoh aku sehingga ke akhir hayat aku redha menerimanya,” Sheila seakan-akan mengalah.

“Insya-Allah! Kau akan bertemu jodoh satu hari nanti. Berdoalah!” Dia sebaliknya memberikan kata-kata semangat pada Sheila.

Sheila sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Apabila mendengar kata-katanya itu.

“Sudahlah tu. Tak usahlah kau sedih sangat. Hei! Jangan kau tak datang pulak masa aku kahwin nanti,” dia memujuk Sheila.

“Kawan baik aku kahwin mesti la aku datang,” Sheila membalas sambil tersenyum.

“Hah, macam tu la. Eh! Aku laparlah. Jom kita pergi makan. Aku belanja!” ajaknya.

“Jom!” Sheila menurut saja ajakannya itu.

Dia lalu menyapu air mata yang membasahi pipinya sambil memandang laut yang membiru. Benar kata orang. Hidup ini tak selalunya indah.

Disangkanya panas hingga ke petang tapi rupanya hujan di tengah hari. Bahtera rumah tangga yang dibinanya bersama dengan Helmi atas dasar cinta sama cinta hanyut di lautan perceraian.

@@@@@@@

“Itulah kalau dulu kau dengar cakap mak kahwin dengan Saiful anak Lebai Bidin tak akan jadi begini. Nasib baik kau tak ada anak. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan jadi dengan nasib kau!” kata ibunya.

“Sudahlah tu. Perkara yang sudah tak usahlah diungkit. Ini semua dah takdir,” ayahnya bersuara.

Tika itu dia hanya mampu menangis mengenangkan nasib yang menimpa dirinya.

“Fizah …! Bersabarlah. Tuhan sentiasa mengasihi orang yang sabar,” ucap ayahnya lagi.

Sesungguhnya hidup ini penuh dengan dugaan.

Bukan hidup namanya kalau tidak menghadapi apa yang dinamakan sebagai dugaan. Dalam erti kata lain hidup ini tidak akan lengkap kalau tidak menghadapi dugaan.

Ibarat makan nasi tak akan lengkap dan berselera kalau tanpa sambal belacan. Semua orang yang hidup di atas dunia ini tidak akan dapat lari daripada menghadapi dugaan. Sama ada besar mahupun kecil.

Suka atau tidak, manis mahupun pahit dugaan harus diterima dan ditelan dengan hati yang penuh terbuka. Kerana di sebalik dugaan itu tersembunyi hikmah.

Kemanisan akan terasa apabila berjaya menghadapinya.

Dugaan akan menjadikan dia mengenal erti sebenar kehidupan ini. Menjadikan dia kuat dan tabah untuk terus mengharungi hidup ini. Dia harus terus berdoa dan tidak berputus asa.

@@@@@@@

Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata kalau kita berasa tidak bahagia hari ini usah kecewa mungkin Tuhan sudah menyediakan esok hari bahagia buat kita.

Dia sendiri pun tidak pasti.

Dari mana datangnya kata-kata yang penuh dengan hikmah dan azimat itu. Mungkin selepas ini Tuhan akan menghadirkan seorang lelaki yang terbaik dan membahagiakan hidupnya.

Dia kemudiannya lalu mendongakkan kepala dan memandang matahari yang bersinar indah di kaki langit biru. Kemudian dia memandang semula laut yang terbentang luas.

Butiran pasir yang halus kelihatan berkilauan bagai mutiara di dasar lautan. Apabila disinari cahaya matahari yang semakin meninggi di kaki langit. Bersama dengan gumpalan awan tebal yang memutih dan terang-benderang.

Demikianlah harapannya agar pada satu hari nanti akan ada sinar yang menerangi hidupnya yang dilanda kegelapan.

Desiran ombak tak putus-putus menghempas pantai.

@@@@@@@


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *