Cerpen “Semoga Berkekalan Buat Selamanya”

Laut Biru

Laut Biru ( Ghost )

Dari jauh kelihatan lautan biru yang terbentang luas.

Suara desiran ombak yang tak putus-putus menghempas pantai jelas kedengaran membelah suasana pagi yang disinari dengan cuaca cerah. Buih-buih memutih yang sekejap timbul dan sekejap hilang ditolak dan ditarik ombak jelas kelihatan membasahi gigian pantai.

“Hidup ini tak ubah seperti air laut. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka. Hidup kita tak ubah seperti putaran roda. Adaketikanya kita berada di atas. Adaketikanya kita berada di bawah,” kata Adnan.

“Kau memang seorang yang berjiwa penulis, Nan. Pandai bermadah dan bermain kata-kata.” Nada suara Haryati tenggelam bersama deruan ombak yang menghempas pantai.

Adnan sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang.

“Ini adalah kenyataan, Yati. Hidup kita tak selalunya indah sepertimana yang kita harapkan. Hari ini kita gembira. Tapi esok belum pasti lagi. Mungkin duka datang menyapa kita,” dia membalas.

“Memang tidak dapat dinafikan apa yang kau katakan itu!” angguk Haryati dengan pantas.

“Semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan dan kita sebagai manusia tidak berdaya untuk menolaknya,” sambungnya lagi.

Angin yang datang daripada arah laut bertiup perlahan dan nyaman. Rasa dingin dan segar jelas terasa menyelubungi seluruh kawasan pantai. Pohon-pohon hijau yang tumbuh di tepi pantai kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin laut. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri.

+ + + + + + + + + + + + +

“Hidup ini tidak akan sempurna kalau kita tidak menghadapi pelbagai ujian dan dugaan,” ucap Adnan.

“Ya!” balas Haryati sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku akui akan kebenaran kata-kata kau itu,” tambahnya.

“Sama ada suka atau tidak kita harus menerima dugaan dan cabaran yang datang dengan hati yang penuh terbuka. Walaupun cabaran dan dugaan itu amat pahit namun ada kemanisan yang akan kita rasai nanti,” ujar Adnan.

“Kemanisan?” Haryati lantas terkejut apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Adnan itu.

“Ya!” jawabnya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kau tentu berasa aneh, kan? Cabaran itu amat pahit untuk ditelan seperti hempedu. Tapi manis untuk diminum seperti madu,” dia menambah lagi.

“Macam teka-teki pulak,” kata Haryati sambil tersenyum.

“Tapi tak apalah. Beritahu aku. Apa sebenarnya yang dikatakan kemanisan dalam cabaran itu?” tanya Haryati sambil memandang dalam-dalam wajah Adnan. Sedalam lautan biru yang terbentang luas.

“Kemanisan akan dirasai apabila berjaya menghadapi dugaan yang datang dalam hidup kita,” dia menjawab.

“Oh begitu!” Haryati sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Cabaran akan menjadikan kita kuat dan tabah dalam mengharungi hidup ini,” jelas Adnan lagi.

Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa. Matahari yang meninggi di kaki langit biru kelihatan bersinar indah dan menerangi seluruh alam semesta ciptaan Tuhan Yang Esa.

Jalur-jalur cahayanya yang lurus kelihatan terpantul di atas permukaan dan celah-celah dedaunan yang hijau. Sinaran matahari yang terik dan terang-benderang menyinari butiran pasir yang halus dan putih berseri bagaikan kilauan mutiara di dasar lautan.

Haryati kemudian lalu mengalihkan pandangan ke arah laut yang membiru. Dari raut wajahnya yang cantik dan jelita itu jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan sesuatu. Tentang maksud kemanisan yang terkandung dalam dugaan yang penuh dengan keperitan dan kepedihan sepertimana yang dinyatakan oleh Adnan.

Dia kemudian lalu memandang semula ke arah Adnan sambil membetulkan kain tudung kepalanya yang mengerbang sedikit apabila ditiup angin.

+ + + + + + + + + + + + +

“Baru aku faham sekarang!” angguk.

“Kenapa kebanyakan puisi yang kau tulis bertemakan tentang cabaran dalam hidup ini,” ujarnya lagi.

“Dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan mengalah,” sambut Adnan pula sebaliknya dengan pantas.

“Menarik!” balasnya pula.

“Sekali kita gagal bukan bererti kita akan gagal buat selama-lamanya,” kata Adnan lagi.

Angin yang tadinya bertiup lemah-gemalai tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon yang mengangguk-angguk apabila ditiup angin yang datang daripada arah laut seolah-olah menyatakan sokongan dan persetujuan dengan kata-kata Adnan itu.

Daun-daun kering yang berguguran satu persatu apabila ditiup angin kelihatan berselerakan di atas permukaan pasir yang halus. Sekali-sekala kedengaran bunyi bergemertap ranting patah yang jatuh ditiup angin dan menimpa pasir yang memutih.

“Kegagalan juga bukan bererti pengakhiran dalam hidup ini,” ucap Haryati.

“Tepat sekali!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Daripada kegagalan kita bangkit dan seterusnya membina kejayaan,” sambungnya lagi.

Haryati sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Sebagai tanda faham dan mengerti dengan apa yang dikatakan Adnan itu. Angin laut yang tadinya bertiup kencang lalu bertukar semula menjadi perlahan. Wajah Haryati menjadi semakin cantik dan ayu apabila disapu angin yang bertiup daripada arah laut yang membiru itu.

“Tapi dalam membina kejayaan bukannya mudah,” ujar Haryati.

“Tiada jalan pintas untuk kita mencipta kejayaan. Melainkan hanya dengan usaha dan kegigihan tanpa mengenal erti jemu dan berputus asa,” ulas Adnan pula sebaliknya.

“Sesungguhnya hidup ini adalah satu perjuangan. Berjuang dan terus berjuang sehingga bertemu kejayaan,” kata Haryati.

“Aku tak menyangka yang kau juga hebat berfalsafah,” sambut Adnan sambil tersenyum.

“Kau kata aku hebat berfalsafah?” dia membalas sambil tersenyum.

“Ya!” angguk Adnan pula sebaliknya sambil memandang wajah Haryati.

“Kau silap, Nan,” ucapnya.

“Silap?” ulang Adnan.

“Ya!” Haryati mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Kau sebenarnya yang hebat berfalsafah,” sambungnya lagi.

“Itu bagi kau. Tapi bagi aku tidak!” geleng Adnan.

“Kau tentu nak tahu jawapannya, bukan. Kenapa aku berkata begitu?” balasnya sambil memandang wajah Adnan.

“Ya! Silakan! Aku ingin mendengar jawapannya!” kata Adnan sambil membetulkan duduk.

“Kerana kau seorang penulis yang hebat.” Demikianlah jawapan yang diberikan oleh Haryati.

“Baiklah!” Adnan membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sebelum tu aku nak tanya kau,” katanya lagi.

“Apa dia?” Haryati sebaliknya mengangkat dan menganggukkan kepala memandang wajah Adnan.

“Adakah kata-kata kau ni semata-mata untuk mengambil hati aku sebagai seorang kawan?” dia menyoal.

“Ke situ pulak perginya,” balas Haryati pula.

“Aku takut pada pujian. Kerana pujian itu boleh menjadikan aku berasa sangat hebat dan lupa diri. Aku lebih senang merendah diri. Aku belum lagi menganggap diri aku sebagai seorang penulis yang telah mencipta lama. Ada lagi yang lebih baik daripada aku dan aku perlu belajar daripada mereka untuk menjadi penulis yang tersohor,” ujarnya dengan penuh panjang lebar.

Haryati sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam. Baru dia tahu kini. Adnan rupanya seorang penulis yang tidak mencari nama. Menulis sebagai minat dan mencari kepuasan diri. Masih lagi menganggap dirinya umpama seorang bayi yang baru belajar merangkak dalam dunia penulisan.

Suara angin yang bagaikan bernyanyi-nyanyi riang jelas kedengaran bersama bayu laut yang berhembus segar dan dingin. Nyanyian ombak yang setia menghempas pantai melagukan irama yang menyusup ke dalam jiwa. Terasa indahnya alam ciptaan Tuhan.

+ + + + + + + + + + + + +

“Aku berkata dengan ikhlas, Nan. Sebagai seorang kawan,” Haryati bersuara.

“Terima kasih, Yati. Namun aku tetap dengan pendirian berdiri sebagai seorang penulis yang kerdil,” balasnya pula.

“Semoga persahabatan yang kita bina ini akan berkekalan buat selamanya,” harap Haryati.

“Aku pun begitu jugak, Yati!” angguknya dengan pantas.

“Sama-samalah kita berdoa!” sambungnya lagi.

Suara desiran ombak yang menghempas pantai terus kedengaran membelah suasana.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *