Perihal Membaca, Berkarya & Tulis-Menulis

pen buku kopi

Pen Atas Buku ( Photocc )

Menulis.

Mungkin kerana minat.

Atau untuk melepaskan perasaan bila tertekan.

Ada orang menulis sehingga terpaksa memerah otak untuk mencari ilham. Tapi bagi orang yang suka menulis ia amat mudah.

Ibarat seperti merebus telur.

Tak semua orang dilahirkan sebagai penulis.

Berkarya adalah bakat anugerah Tuhan.

Menulis juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan. Itu bagi orang yang mata pencariannya adalah dengan menulis saja.

Kita boleh tulis apa saja yang terlintas di fikiran kita. Kemudian kita kongsi bersama dengan pembaca. Umpamanya pengalaman hidup yang pernah kita lalui. Suka duka. Manis pahit. Atau apa saja. Kita luahkan dalam tulisan.

Sebelum menulis kita mesti tahu.

Siapa yang akan membacanya. Kerana kita perlu ingat. Kita menulis untuk dibaca orang lain.

Bukannya kita sendiri yang karang dan kita sendiri yang membacanya. Itu lain jadinya. Jadi sebelum menulis pastikan apa yang hendak kita tulis dan sampaikan kepada pembaca.

Menulis ini macam-macam ragam sebenarnya. Dengan hanya mengambil beberapa contoh saja. Ada yang suka menulis tentang ketuhanan dan kedamaian. Kisah hidup manusia dengan pelbagai ragamnya. Mencintai alam sekitar.

Tidak kurang pula yang menulis tentang percintaan. Semuanya ini dicurahkan dalam puisi, cerpen dan novel.

Ada juga yang menulis untuk mencari kepuasan. Puas bila karya disiarkan dalam majalah dan akhbar. Begitu juga puas apabila novel diterbitkan.

Tip untuk menjadi penulis yang hebat dan terkenal adalah dengan menulis hari-hari. Parang kalau setiap hari diasah pasti akan tajam. Membaca juga perlu. Selain daripada mengasah bakat menulis. Membaca itu adalah jambatan ilmu.

Banyak manfaatnya apabila kita rajin membaca. Penulisan juga menjadi mantap. Ilham datang tak menentu. Adakalanya pada waktu malam yang sunyi. Tika sendirian. Sewaktu berbual dengan kawan-kawan. Melihat gelagat kehidupan manusia saban hari.

Dalam erti kata lain ilham menulis ini mempunyai ruang lingkup yang sangat luas.

Bila di tepi pantai melihat ombak juga akan dapat ilham. Hidup manusia seperti lautan biru yang luas. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka. Hari ini kita berasa gembira. Tapi esok belum tentu lagi.

Kerana semua itu bukan di tangan kita sebagai manusia. Tapi di tangan Tuhan.

Inilah yang mencetuskan ilham kepada kita untuk menulis. Kisah perjalanan hidup manusia di atas dunia ini.

Dengan melihat angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa bersama dengan pohon-pohon hijau yang bergoyangan dan daun-daun bergeseran juga akan menggerakkan kita untuk menulis. Bunyi suara angin yang merdu dan irama daun-daun yang mengusik jiwa sebenarnya adalah pencetus ilham kepada kita untuk menulis tentang keindahan alam.

Bagi yang jiwanya sudah sebati dengan menulis hidupnya tak akan lengkap kalau sehari tak menulis. Macam makan nasi tak akan berselera tanpa sambal belacan dan ulam.

Ada yang menghadapi tekanan di tempat kerja. Lalu dia menulis untuk melepaskan perasaannya. Mungkin itu adalah cara yang terbaik baginya. Untuk menghilangkan tekanan perasaan. Bila ada yang membacanya lalu menghulurkan simpati dan memahami perasaannya.

Maka ringanlah tekanan perasaan yang dihadapinya.

Menulis juga menggambarkan siapa kita yang sebenarnya. Kalau kita menulis tentang ketuhanan dan kehidupan manusia maka itulah gambaran sebenarnya jiwa kita. Begitu juga kalau menulis kisah cinta maka kita sebenarnya adalah berjiwa jiwang-jiwang dan cintan-cintan.

Menulis tentang ketuhanan dan kehidupan manusia memerlukan watak, tema dan klimaks. Di sebaliknya perlu ada pengajaran dan teladan. Yang meninggalkan kesan di hati pembaca. Ada penulis yang dapat mengalirkan air mata pembaca. Menggeletek hati pembaca. Malahan berbagai-bagai lagi. Itu adalah kelebihan masing-masing sebagai penulis.

Bagi penulis kisah cinta pembaca terpesona dengan ayat-ayat indah dan berbunga. Dapat merasakan betapa hebatnya cinta itu bila bersemi. Dunia dirasakan berseri. Dihiasi warna-warna suka. Tiada mengenali erti duka dalam kamus kehidupan.

Suasana kehidupan di desa misalnya juga menyumbangkan kepada kita untuk menulis. Keindahan dan kedamaian desa permai bersama pohon-pohon nyiur yang melambai. Sawah padi yang terbentang luas. Deru air sungai yang mengalir tenang.

Ikan keli bermain dengan penuh keriangan. Ladang dan kebun yang subur menghijau.

Semuanya ini akan menjadikan ilham kita mencurah-curah. Macam hujan yang turun lebat daripada langit.

Perbezaan hidup di desa dan kota boleh dijadikan sebagai bahan penulisan. Bagai langit dengan bumi. Jurangnya sangat dalam. Demikianlah perbandingan antara hidup di desa dengan di kota. Kota dipenuhi dengan bangunan-bangunan tinggi sehingga mencakar langit.

Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Dari yang kecil sehinggalah ke yang besar. Siang dan malam tanpa hentinya berlibur di jalan raya.

Kesesakan lalu-lintas sudah menjadi rutin kehidupan penghuni kota. Masing-masing punya banyak urusan. Dalam meneruskan kehidupan di kota yang penuh mencabar. Ragam hidup manusia di kota boleh ditulis dan dijadikan kisah menarik. Untuk kita kongsi bersama.

Tidak kurang juga yang menulis mengenai penderitaan hidup kerana kemiskinan. Pahit getir yang diharungi dalam kehidupan. Bila tak punya wang dan harta. Hidup dibayangi dengan tangis dan derita. Kemiskinan mengajar erti ketabahan dalam hidup.

Berjuang untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Mengajar erti menginsafi diri dan bersyukur. Apabila sudah berjaya dalam hidup dengan menjadi kaya.

Begitu juga ada yang menulis kisah orang yang lupa diri. Bila sudah berjaya. Terlalu memandang langit yang tinggi. Rumput di bawah tidak dipandang lagi. Seperti kacang yang lupakan kulit. Sedangkan asalnya hidup susah.

Tapi bila dikurniakan dengan kesenangan dan kemewahan yang melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir dari hulu ke hilir lalu lupa diri dan menjadi sombong serta bongkak.

Sedangkan hidup ini tak ubah macam putaran roda. Sekejap di atas. Sekejap di bawah. Akhirnya bila kenikmatan dan kemewahan ditarik balik Tuhan barulah tahu langit itu tinggi rendah.

Sememangnya penulis mahu pembaca menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk dijadikan sempadan. Tahu menilai yang mana kaca dan yang mana intan. Dalam erti kata lain penulis menyampaikan pesanan dan ingatan kepada pembaca.

Hidup ini penuh dengan pancaroba dan dugaan. Pilihlah jalan yang betul. Jangan pilih jalan yang salah. Seperti yang disebut dalam pepatah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.

Penulis harus menyampaikan mesej yang jelas melalui tulisannya kepada pembaca. Tidak jelas dan kabur akan menyebabkan pembaca tidak memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan pembaca. Dalam hal ini penulis perlu kreatif dan berimaginasi tinggi untuk menghasilkan karya yang benar-benar memikat hati pembaca.

Karya yang baik akan sentiasa mendapat perhatian dan tidak jemu dibaca pembaca. Ini menjadikan penulis mempunyai peminat yang tersendiri.

Ada yang menulis dengan menggunakan gaya bahasa yang ringkas dan mudah untuk difahami. Tidak kurang juga yang menggunakan madah dan kiasan. Terpulanglah kepada kreativiti masing-masing.

Penulis mengabdikan seluruh hidupnya dengan berkarya.

Apa saja yang terlintas di fikiran akan ditulis. Umpamanya dia melihat pergolakan hidup yang berlaku pada hari ini. Maka dia menulisnya untuk tatapan dan menimbulkan kesedaran kepada pembaca.

Bahawa pergolakan hidup akan membawa kepada kemusnahan dan tidak menguntungkan.

Kita boleh menyampaikan kepada pembaca betapa pentingnya semangat berpasukan dalam melakukan apa jua pekerjaan.

Sebagai penulis kita perlu menekankan kepada mereka bahawa apabila bekerja dalam satu pasukan maka kerja yang berat akan terasa ringan.

Begitu halnya dalam hidup bermasyarakat. Perlu sentiasa ada muafakat. Saling tolong-menolong dan bantu-membantu. Antara satu sama lain. Bak kata pepatah ke bukit sama kita daki ke lurah sama kita turuni.

Ibarat aur dengan tebing saling sandar-menyandar. Saling memerlukan. Jangan menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Hanya mementingkan diri sendiri saja.

Melalui cara yang disampaikan ini pembaca akan sedar betapa pentingnya hidup bersatu. Agar tidak berlaku perpecahan.

Menerusi penulisan dapat meniup semangat cintakan tanah air di kalangan rakyat khususnya generasi muda hari ini.

Tulisan yang penuh dengan semangat nasionalisme yang berkobar-kobar akan membangkitkan kesedaran kepada mereka betapa pentingnya menghargai jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu.

Penulis menjadikan semangat dan perjuangan mereka sebagai sumber inspirasi kepada generasi muda dalam memastikan negara yang dicintai ini tidak dijajah semula mahupun diceroboh musuh. Ia disampaikan oleh penulis dalam novel, cerpen, puisi dan rencana.

Dalam melakukan apa jua perkara perlu ada minat. Begitu juga halnya dalam bidang penulisan. Apabila sudah minat semuanya mudah untuk ditulis.

Zaman kanak-kanak, remaja sehinggalah yang kita lalui pada hari ini boleh kita tulis dalam bentuk catatan.

Mungkin ada tersirat pengajaran dan teladan yang boleh diambil ikhtibar oleh pembaca. Menulis pengalaman hidup adalah mudah. Kerana ia amat dekat dengan kita.

Menulis adalah satu perjuangan. Penulis berjuang melalui karya untuk memperkasa dan memartabatkan seni dan kesusasteraan tanah air.

Pada masa yang sama penulis menyampaikan ilmu kepada pembaca untuk dimanfaatkan bersama.

Tak kira apa yang ditulis asalkan mendatangkan faedah dan manfaat apabila dibaca adalah dianggap sebagai ilmu.

Sekali jatuh cinta selamanya akan jatuh cinta. Begitu juga dengan menulis. Apabila sudah menulis selamanya akan menulis dan tak akan berhenti. Ibarat irama dan lagu. Karya dan penulis tidak dapat dipisahkan. Penulis sentiasa mencari ilham.

Penulis harus menerima dengan berlapang dada. Apabila tulisannya dikritik. Kritikan itu adalah membina. Sebagai penulis kita belajar daripada kritikan. Untuk membaiki kelemahan penulisan kita.

Kalau mahu menjadi seorang penulis hebat kita harus sentiasa bersedia untuk menerima teguran dan belajar daripada orang yang telah sekian lama mencipta nama dalam bidang penulisan.

Kita tak boleh menganggap karya kita paling hebat.

Sedangkan ada lagi karya yang lebih hebat dihasilkan orang lain.

Matahari yang tadinya cerah telah bertukar warna seperti buah pinang masak. Langit kelihatan kelabu. Burung-burung telah pulang semula ke sarang. Tak lama lagi senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam.

Segala suka duka yang kita layari sepanjang hari ini kita himpunkan menjadi pengalaman.

Pengalaman untuk mendewasakan kita dalam hidup ini. Demikianlah gambaran perjalanan yang dilalui penulis dalam berkarya.

Menulis lahir daripada perasaan dan alam sekeliling. Semuanya ini membentuk keperibadian kita untuk menjadi seorang penulis.

Kepada yang mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan teruskanlah usaha.

Jangan berhenti di pertengahan jalan.

Kalau orang lain boleh menjadi seorang penulis hebat mengapa kita tidak.

Mana tahu dengan berkat usaha dan kegigihan kita akan menjadi seorang penulis yang terkenal.

*******


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *