Terima Kasih Di Atas Kehadiranmu
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Terlebih aku memohon maaf andainya kedatangan warkah yang tidak diundang ini mengganggu ketenangan dan kedamaian yang kau miliki di tika ini. Tujuan aku mengutus warkah yang tidak seberapa dan indah ini adalah untuk bertanya khabar dirimu yang setelah sekian lama menyepi.
Walaupun berjauhan namun tidak sedetik mahupun sesaat aku melupakan dirimu. Aku juga sering memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar persahabatan yang setelah sekian lama kita bina bersama-sama akan berkekalan buat selama-lamanya.
Bagi aku apalah ertinya hidup ini andainya tanpa kau berada di sisi. Aku dapat merasakan betapa hebatnya kau yang bernama teman yang setia dan sentiasa bersama-sama denganku sama ada di saat suka mahupun duka dalam hidup ini.
Kau juga sanggup bersama-sama denganku menelan manis mahupun pahit dalam hidup ini. Tidak kurang juga mahu ketawa dan menangis bersama-sama denganku dalam mengharungi perjalanan hidup selagi masih lagi diberikan peluang dan kesempatan untuk terus bernafas di atas dunia yang fana ini.
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Aku sentiasa berpegang teguh pada kata-kata yang pernah kau lafazkan iaitu kejujuran dan kesetiaan adalah kunci utama dalam membina sebuah persahabatan yang sejati. Ternyata kata-kata yang penuh keramat itu telah menjadikan kita terus berada di alam persahabatan sehingga ke hari ini.
Kita umpama ombak dan pantai di mana sering memerlukan di antara satu dengan lain pada setiap waktu dan ketika. Kau dan aku juga adalah ibarat isi dengan kuku yang begitu amat rapat sekali dan sukar untuk dipisahkan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Tika aku merasakan bahawa tidak punya semangat untuk hidup lagi akibat mengalami kegagalan kau berikan aku semangat dan kekuatan untuk bangun semula. Di kala aku jatuh tersungkur dan luka kau rawat sehingga sembuh semula.
Ketika hidup aku diselubungi dengan kegelapan kau datang membawa cahaya dan hidupku bersinar semula. Adaketikanya aku lupa dan hampir tersesat jauh lalu kau mengingatkan aku supaya kembali semula ke pangkal jalan sebelum terlambat.
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Sesungguhnya aku juga seperti insan yang lain. Tidak sempurna dan lemah dalam mengharungi perjalanan hidup yang diaturkan oleh Tuhan Yang Esa. Sifat lemah dan tidak sempurna yang aku miliki menjadikan aku tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap.
Aku berasa begitu amat bersyukur sekali dan berterima kasih pada kau yang bernama teman. Kerana sering mengingatkan dan menasihatkan aku agar sentiasa menghiasi hidup ini dengan amal dan ibadat. Sentiasa mengejar kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan.
Melakukan sesuatu itu hendaklah dengan penuh keikhlasan. Jangan mengharapkan sebarang ganjaran mahupun balasan. Begitu juga untuk mendapatkan pujian dan juga nama. Sebaliknya biarlah Allah SWT sahaja yang menilai apa yang telah kita lakukan. Itulah antara kata-kata yang pernah kau ucapkan padaku dan masih lagi segar mewarnai ingatanku pada setiap ketika dan waktu.
Sekali lagi ku ucapkan terima kasih kerana dengan kata-katamu yang penuh berharga dan bermakna itu sesungguhnya mengajar aku akan erti keikhlasan dalam hidup ini. Memang benar kata-katamu itu bahawa tiada gunanya kita melakukan sesuatu itu dengan semata-mata untuk dipuji dan disebut orang sentiasa.
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Dari sehari ke sehari usia kita semakin meningkat. Itulah hakikatnya dalam kehidupan kita sebagai seorang yang bernama manusia di atas dunia ini. Usia tidak dapat kita undur kembali tetapi sebaliknya terus meningkat tanpa kita sedari. Kata-katamu itu mengingatkan aku bahawa perjalanan usia kita adalah ibarat sehelai daun muda yang pada satu hari nanti akan bertukar menjadi warna keperangan dan kekeringan dan kemudian akan jatuh berguguran di atas tanah apabila ditiup angin yang kencang.
Aku pernah bertanya pada kau apakah sebenarnya yang dikatakan kehidupan? Lalu kau tersenyum dan menjawab bahawa kehidupan tidak akan lengkap dan sempurna tanpa menghadapi sebarang dugaan mahupun cabaran.
Tambah kau lagi memang cabaran dan dugaan itu amat berat seperti memikul seketul batu yang besar dan pahit bagai menelan hempedu. Namun harus kita terima dengan penuh berlapang dada dan menganggapnya sebagai ujian yang telah ditentukan oleh Allah SWT terhadap kita.
Setiap yang berlaku mahupun terjadi itu adalah rahsia Tuhan yang sama sekali tidak kita ketahui. Dengan melalui dugaan dan cabaran akan menjadikan kita untuk mengenal erti tabah dan kesabaran. Juga anggaplah setiap cabaran dan dugaan yang datang itu mempunyai hikmah dan kemanisan di sebaliknya. Kata-kata kau itu adalah umpama falsafah dan penuh dengan makna yang tersirat bagiku sebagai seorang insan kerdil yang hanya menumpang sementara waktu di dunia ini.
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Banyak kenangan indah sewaktu bersama-sama dengan kau yang tidak dapat aku lupakan. Tidak dapat untuk aku menggambarkan akan keindahannya dengan kata-kata mahupun perasaan. Sesungguhnya kau begitu amat istimewa sekali dan tidak mungkin akan dapat kutemui teman lain yang akan dapat menggantikan dirimu. Kerana mereka tidak sama dan mungkin begitu amat jauh berbeza sekali dengan apa yang kau miliki.
Kau pernah memberitahuku bahawa tiada gunanya kita dipandang kaya di mata orang tapi sayangnya miskin budi bahasa. Begitu juga apabila sudah mencapai kejayaan dalam hidup ini janganlah hendaknya kita sombong dan lupa diri.
Memang kekayaan dipandang pada wang ringgit dan harta. Namun kita akan lebih dipandang tinggi lagi apabila kaya dengan budi bahasa. Tiada gunanya kita berasa megah dan mendabik dada kerana telah berjaya dalam hidup ini. Sebaliknya harus kita ingat bahawa segala yang kita miliki dalam hidup ini adalah pinjaman dan pada bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh menariknya semula.
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Semalam yang dilalui tak akan berulang kembali. Sebaliknya hari ini yang kita lalui harus dijadikan sebagai yang terbaik berbanding dengan semalam. Jadikanlah semalam yang dilalui sama ada gembira mahupun duka sebagai pengalaman yang amat bernilai dalam kehidupan kita.
Aku pun lalu bertanya pada kau. Dari mana datangnya kata-kata itu? Kau pun lalu menjawab daripada buku yang pernah kau baca mengenai falsafah kehidupan. Sesungguhnya membaca itu bukan sahaja menambahkan ilmu di dada malahan juga sebagai pelita yang menerangi kehidupan ini.
Kau mengingatkan aku bahawa tiada yang paling berharga dalam hidup ini melainkan masa. Jika diukur harganya adalah terlalu mahal seperti membeli emas permata. Oleh yang demikian janganlah hendaknya dipersiakan masa yang telah diberikan kepada kita sepanjang melayari bahtera hidup ini.
Pada yang lemah dan tak berupaya janganlah kita pandang dengan penuh kehinaan. Tak mereka pinta menjadi sedemikian rupa namun ketentuan daripada Tuhan Yang Maha Esa tidak mampu untuk mereka mengatasinya. Sebaliknya kita yang berupaya dan bernasib baik hendaklah menghulurkan tangan untuk membantu mereka agar dapat bersama-sama menikmati hidup yang sejahtera sepertimana yang kita miliki. Kata-katamu itu sesungguhnya menyedarkan aku supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepadaku dalam hidup ini.
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Dalam membuat sesuatu keputusan itu walaupun dalam keadaan yang singkat janganlah hendaknya dengan terburu-buru. Kerana kelak akan merugikan diri sendiri juga akhirnya. Katamu keputusan yang bijak adalah melalui pertimbangan dan fikiran yang semasak-masaknya.
Sebagai seorang teman aku benar-benar berasa kagum dan amat begitu menghargai sekali akan kata-kata mahupun ungkapan yang kau lafazkan. Bagi aku setiap butiran kata mahupun madah yang keluar daripada mulutmu itu adalah menjadi pencetus semangat kepada aku dalam mengharungi perjalanan hidup ini.
Kadangkala aku teringatkan betapa indah dan seronoknya ketika kita bersama-sama melalui alam persekolahan. Kau lalu berkata padaku bahawa semua itu kini tinggal menjadi memori yang amat indah untuk kita kenang buat selama-lamanya dalam kehidupan yang kita lalui ini.
Kau juga berkata bahawa jasa dan pengorbanan insan yang bernama guru adalah begitu amat besar sekali. Kita janganlah hendaknya melupakan segala bakti dan sumbangan yang telah mereka curahkan dalam membina dan membentuk kita menjadi insan yang amat berguna pada agama, bangsa dan negara.
Warkah Buat Seorang Yang Bernama Teman ….
Aku sering kali teringat apabila kau berkata bahawa rezeki itu adalah datangnya daripada Tuhan Yang Esa. Kalau dah namanya rezeki untuk kita tak akan ke mana perginya. Tapi sebaliknya bukan milik kita hendaklah diterima dengan penuh keredhaan dan akur. Mungkin bukan rezeki kita kali ini dan ada rezeki yang lain di mana Allah SWT akan memberikan yang terbaik buat kita.
Lakukanlah pekerjaan itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Walau sukar dan sepayah mana pun pekerjaan itu pasti akan dapat dilaksanakan andainya dengan penuh kegigihan dan kejujuran. Itulah yang pernah kau katakan padaku apabila kita bersama-sama berbicara tentang apa yang dikatakan sebagai pekerjaan itu.
Kau pernah memberitahuku bahawa dalam hidup ini tiada kekusutan yang tidak dapat dileraikan. Demikian jugalah dalam kita menghadapi sesuatu permasalahan dalam hidup ini pasti akan ada jalan penyelesaiannya. Asalkan kita sentiasa berusaha dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar diberikan petunjuk dan jalan untuk kita keluar daripada masalah yang kita hadapi dalam hidup ini.
Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya. Begitu jugalah dengan perjalanan warkah yang ku utus padamu ini sudah sampai ke penghujungnya. Sebelum mengundurkan diri sekali lagi aku ingin mengucapkan terima kasih di atas kehadiranmu sebagai seorang teman dalam hidupku.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~