Cerpen “Cakap-Cakap Atok”

Ikan

( Prawny / CC0 )

Angin pagi bertiup perlahan dan nyaman. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari inang. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

“Tok! Mi nak tanyalah,” kata Helmi cucu Pak Leman.

“Hah! Apa dia, Mi?” soal Pak Leman pula sebaliknya.

“Apa maknanya kalau kita duduk seorang terasa sempit dan kalau kita duduk ramai terasa lapang,” ujarnya.

“Dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu perlu muafakat. Bila muafakat segala kerja akan dapat diselesaikan dan menjadi mudah,” jelas Pak Leman.

“Maknanya kita tak boleh buat sesuatu pekerjaan itu seorang diri. Sebaliknya perlu dilakukan dengan secara kerjasama dan gotong-royong,” tambah Helmi.

“Ya, Helmi!” balas Pak Leman pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Hidup muafakat membawa berkat,” sambungnya lagi.

Angin yang tadinya bertiup nyaman dan perlahan lalu tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Pokok rambutan yang tumbuh di halaman rumah Pak Leman kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan memenuhi permukaan tanah yang kering.

“Apabila hidup bermuafakat dan bersatu maka dapat menghindarkan daripada berlakunya perpecahan sesama kita,” ucap Pak Leman.

Helmi sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh datuknya itu. Pohon-pohon yang kelihatan mengangguk-angguk apabila ditiup angin seperti menyatakan sokongan dan persetujuan dengan kata-kata Pak Leman itu.

“Mi pernah mendengar ungkapan yang menyebut bahawa adat itu adalah umpama tak lemak dek santan dan tak kuning dek kunyit. Apa makna yang tersirat tu, tok?” dia menyoal.

“Adat tetap akan menjadi adat selama-lamanya. Tak akan berubah walaupun zaman sentiasa bertukar ganti,” jawab Pak Leman.

“Maksud tok adat tak akan hilang dan pupus daripada kehidupan kita,” celah Helmi pula sebaliknya dengan pantas.

“Benar, Mi! Selagi kita masih berpegang kuat dan mengamalkan adat maka selagi itulah adat tak akan luput,” balas Pak Leman.

Tak lama kemudian Mak Nab isteri Pak Leman muncul.

“Mi duduklah berbual dengan atuk, ya. Nenek nak keluar,” katanya.

“Nak ke mana, nek?” tanya Helmi.

“Nenek nak ke kedai Pak Samad. Nak beli lauk untuk tengah hari ni. Nanti kita makan tengah hari sama-sama ya, Mi,” ajak Mak Nab.

“Hah, betul kata nenek tu. Dah lama kita tak makan tengah hari bersama-sama! Maklumlah Mi sibuk dengan pelajaran di universiti tu. Jarang dapat jumpa atuk dan nenek. Bila cuti baru kita dapat berjumpa,” ujar Pak Leman.

“Yalah!” angguk Helmi dengan pantas.

“Mi akan makan tengah hari bersama-sama dengan atuk dan nenek,” katanya lagi.

Pak Leman dan Mak Nab berasa begitu amat gembira sekali apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Helmi itu.

“Mi, cakap. Nak makan apa. Nenek boleh masak kan.”

“Mi tak kisah, nek. Apa yang nenek masak, Mi makan.”

“Kalau begitu nenek pergi dulu la, ya. Saya pergi dulu ya, bang.”

“Yalah! Sampaikan salam saya pada Samad.”

“Insya-Allah! Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam!” jawab Pak Leman dan Helmi.

Mak Nab kemudian lalu mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke pintu dan meninggalkan rumah menuju ke kedai Pak Samad.

“Mi pernah tak mendengar ungkapan yang menyebutkan bahawa apabila memandang langit yang tinggi rumput di bawah jangan dilupakan.” Pak Leman menyambung semula perbualan.

“Maknanya apabila sudah berjaya dalam hidup ini jangan lupa pada keluarga dan asal usul,” ujar Helmi.

“Tepat sekali, Mi,” balas Pak Leman pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Jangan mudah lupa diri dan leka dengan kejayaan yang telah kita nikmati. Ingatlah segala susah payah dan rintangan yang terpaksa kita hadapi dan lalui sebelum mencapai kejayaan. Begitu juga ke mana sahaja kaki kita melangkah. Jangan sesekali lupa pada asal usul dan dari mana kita datang,” dia menyambung lagi dengan penuh panjang lebar.

“Insya-Allah, tok!” balas Helmi pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Mi akan ingat pesan tok. Apabila sudah berjaya dalam hidup Mi tak akan lupa pada keluarga dan asal usulnya,” ikrarnya.

Pak Leman lalu tersenyum gembira apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut cucunya itu.

“Bagus, Mi!” dia berkata sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tok harap juga cucu-cucu tok yang lain tak akan lupa diri apabila sudah berjaya dalam hidup ini,” tambahnya lagi.

Suara angin yang bernyanyi-nyanyi riang jelas kedengaran membelah seluruh kampung yang indah dan permai. Pepohonan yang menghijau kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin. Begitu juga pelepah pisang di belakang rumah Pak Leman kedengaran berkelepak-kelepuk apabila disapu angin.

“Dalam hidup ini biar kita miskin harta asalkan kaya dengan budi bahasa,” ucap Pak Leman.

“Maknanya biar kita tak punya wang dan harta yang banyak asalkan mempunyai budi bahasa dan pekerti yang tinggi.” Helmi dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh datuknya itu.

“Ya, Mi!” balas Pak Leman pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tiada gunanya kita berharta tapi miskin budi bahasa. Sedangkan itulah yang dipandang mulia dalam hidup ini,” dia menambah lagi.

Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit. Sinaran cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Leman kelihatan melambai-lambai apabila ditiup angin. Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang sedang mencari rezeki di kota agar pulang semula ke kampung halaman tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan untuk menaburkan khidmat dan bakti.

“Masa itu adalah ibarat emas. Isilah masa yang telah diberikan dengan perkara yang mendatangkan banyak manfaat dan faedah,” nasihat Pak Leman pada cucunya.

“Benar, tok!” angguk Helmi pula sebaliknya dengan pantas.

“Alangkah ruginya kita kalau mempersiakan masa dengan perkara yang membawa kepada kerugian,” sambungnya lagi.

“Mereka yang akan mendapat keuntungan adalah mereka yang amat menghargai masa. Sebab itulah masa diibaratkan seperti emas. Amat bernilai dan berharga dalam kehidupan kita,” tambah Pak Leman.

“Masa tidak menunggu kita. Jadi, kita mesti merebut peluang apabila masa mendatangi dalam kehidupan kita,” sambut Helmi.

“Benar, Mi!” balas Pak Leman pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tok harap Mi akan memanfaatkan usia muda Mi dengan menambahkan ilmu di dada,” ujarnya lagi.

“Insya-Allah, tok!” katanya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Memang itulah yang menjadi impian dan cita-cita, Mi. Habis aje ijazah nanti Mi akan menyambung lagi pengajian di peringkat yang lebih tinggi lagi,” dia menyambung lagi.

Pak Leman lalu tersenyum gembira apabila mendengar apa yang dikatakan oleh cucunya itu.

“Bagus, Mi. Tok doakan semoga Allah SWT akan memakbulkan impian Mi,” dia berkata.

“Terima kasih, tok! Atas dorongan dan sokongan yang tok berikan Mi akan penuhkan usia muda Mi dengan menuntut ilmu,” ucapnya.

Demikianlah berakhirnya perbualan Pak Leman dengan cucunya Helmi mengenai kepentingan mengisi usia muda dengan menuntut ilmu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *