Cerpen “Geran Tanah Pusaka”
Rumah Usang ( Anna Morais )
Sinaran matahari di kaki langit yang
terang-benderang kelihatan menyinari seluruh kampung yang permai dan indah. Angin yang datang daripada arah bukit bertiup perlahan dan nyaman.
Pohon-pohon yang menghijau kelihatan
seperti menari-nari apabila ditiup angin yang datang daripada arah bukit. Adaketikanya beralih ke sebelah kanan dan adaketikanya beralih ke sebelah kiri mengikut rentak angin yang bertiup.
“Dah puas saya cari kerja kat bandar tu. Tapi satu pun tak dapat,” kata Aman.
“Tak apelah, Man. Kat kampung ni pun awak ada kerja. Mengusahakan tanah peninggalan arwah ayah awak ni,” balas Hasnah.
“Bila saya fikir balik memang betul cakap awak tu. Siapa lagi yang nak mengusahakan tanah peninggalan arwah ayah saya ni. Kalau bukan saya anaknya sendiri,” dia menambah.
“Baguslah kalau macam tu, Man. Rajin dan usaha adalah tangga kejayaan. Hasilnya awak akan dapat nikmati nanti,” ujar Hasnah lagi.
“Ya, Hasnah!” dia mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.
“Sebab itulah saya nak usahakan tanah ni dengan sayur. Mudah-mudahan berhasil,” sambungnya lagi.
“Insya-Allah, Man. Saya doakan semoga usaha awak itu akan berhasil. Saya mintak diri dulu, Man. Ada masa nanti kita jumpa lagi. Assalamualaikum!” dia memohon diri sambil memberikan salam.
“Waalaikumsalam!” jawabnya pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Hasnah kemudian lalu berlalu pergi. Aman meneruskan semula kerja-kerjanya yang terhenti buat seketika tadi. Angin yang tadinya bertiup nyaman dan perlahan lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin. Menjelang tengah hari barulah dia pulang semula ke rumah.
Petang diwarnai dengan cuaca yang begitu amat cerah sekali. Angin bertiup dengan lemah-gemalai. Daun-daun yang menghijau kelihatan terbuai-buai apabila ditiup angin. Daun-daun yang keperangan dan kekeringan pula yang berguguran ditiup angin bertaburan di sana sini menutupi permukaan tanah yang kering.
“Dengar cerita budak Aman tu nak usahakan tanaman sayur di atas tanah peninggalan arwah ayahnya tu,” kata Mak Milah sambil menikmati angin petang di anjung rumah bersama-sama dengan suaminya Pak Malek.
“Eloklah tu. Sekurang-kurangnya ada jugak kerja dia kat kampung ni,” jawab Pak Malek sambil menghisap rokok.
“Kat kampung ni macam-macam boleh buat sebenarnya,” tambah Mak Milah lagi.
“Betul!” angguk Pak Malek pula sebaliknya sambil membuang habuk rokok ke dalam bekas yang berbentuk bulat itu.
“Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Pokok pangkalnya rajin aje,” sambungnya lagi.
Tak lama kemudian Hasnah muncul.
“Hah, Nah! Baru balik. Macam mana temu duga tadi?” tanya Pak Malek.
“Alhamdulillah, ayah!” dia menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala perlahan.
“Semua soalan Nah dapat jawab,” katanya lagi.
“Baguslah macam tu. Mudah-mudahan ada rezeki kau nak jadi cikgu,” celah Mak Milah.
“Terima kasih, mak. Atas doa mak itu. Nah masuk dulu,” pintanya.
“Yalah! Pergilah!” balas ibunya sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Dia kemudian lalu mengatur langkah menuju ke biliknya.
“Mintak-mintak dapatlah Hasnah tu jadi cikgu ya, bang,” harap Mak Milah.
“Ada rezeki dapatlah dia nanti. Kita doa ajelah,” ujar Pak Malek sambil menyucuhkan api rokok ke dalam bekas. Dia kemudian lalu bingkas bangun.
“Abang nak ke sungai. Nak cari ikan. Kalau dapat banyak nanti boleh jugak dijual di pasar minggu besok,” dia berkata.
“Eloklah tu, bang. Kalau dapat baung dua tiga ekor nanti boleh jugak dibuat lauk malam ni,” ucap Mak Milah.
“Yalah!” balas Pak Malek pula dengan pantas.
“Abang pergi dulu!” dia memohon diri.
“Baik-baik bang masa kat sungai tu,” ingat Mak Milah.
“Yalah!” jawabnya sambil mengatur langkah meninggalkan rumah.
Pohon-pohon kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyelubungi seluruh kampung. Matahari kelihatan bersinar indah menghiasi kaki langit yang membiru bersama-sama dengan awan yang menebal.
“Tak usah buang masa, Man. Tanah ni takkan ada hasilnya. Lebih baik kita jualkan saja. Lagipun dah ada orang nak membelinya. Duit tu nanti kita buat modal berniaga kat bandar tu,” kata Seman, abangnya.
“Buat apa dijual, bang. Kan ke lebih elok kita usahakan. Hasilnya nanti dapat juga kita rasa,” balas Aman pula sebaliknya.
“Hei! Kau ni. Kenapalah singkat sangat pemikiran kau ni, hah. Aku nak bagi kau hidup senang. Tak payah bersusah payah nak bekerja kat kampung ni!” tegas Seman dalam nada suara yang bosan.
“Rezeki ada kat mana-mana, bang. Kat kampung ni pun saya boleh cari rezeki,” dia menjawab.
“Itu la kau. Bila aku bercakap ada aje jawapan kau. Begini ajelah. Kau ikut cakap aku. Jualkan saja tanah ni!” desaknya.
“Tidak, bang!” putus Aman sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Walau apa pun yang akan terjadi saya tetap tidak akan jualkan tanah ni!” tegasnya.
“Baiklah! Kalau itu keputusan kau tak apa. Tapi ingat. Satu hari nanti kau terpaksa jual juga tanah ni!” dia memberi amaran pada adiknya.
Seman kemudian lalu masuk ke dalam kereta dan berlalu pergi. Aman sebaliknya hanya menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap abangnya itu. Dia kemudian meneruskan semula kerja-kerja membersihkan kawasan tanah peninggalan arwah ayahnya itu.
Sebenarnya Seman adalah seorang yang kuat berjudi. Siang dan malam masanya dihabiskan di meja judi. Akibat tabiat buruknya itu maka isterinya lalu meminta cerai kerana tidak sanggup lagi hidup dalam penderitaan.
“Kau ingat, Man. Hutang kau dah makin banyak!” Dia diberikan amaran keras oleh Rudy.
“Itu aku tahu la, Rudy. Dapat duit nanti aku bayar la semua hutang kau. Sabar la,” jawabnya.
“Sabar! Sabar! Aku dah naik muak dengar jawapan kau tu. Sekali lagi aku ingatkan kau, Seman. Aku bagi kau tempoh sampai hujung bulan ni. Kalau kau tak bayar hutang aku, nahas kau!” ugut Rudy.
“Yalah! Yalah! Aku janji. Aku bayar hutang kau,” dia membalas.
“Ingat ya. Ini Rudy. Kau jangan cari pasal dengan aku!” ingatnya lagi.
Rudy kemudian lalu memberi isyarat kepada kawan-kawannya supaya masuk ke dalam kereta. Sebaik-baik sahaja enjin dihidupkan kereta yang dinaiki oleh mereka pun lalu beredar. Seman hanya memerhatikan sahaja kereta yang dinaiki oleh Rudy dan kawan-kawannya itu berlalu pergi sehingga hilang daripada pandangan matanya.
Dia kemudian lalu memikirkan bagaimana hendak mencari jalan menyelesaikan hutang Rudy itu. Mahu tak mahu dia harus memaksa adiknya, Aman agar menjualkan tanah peninggalan arwah ayahnya di kampung. Hanya itu sajalah jalan yang dia ada untuk membayar hutangnya pada Rudy.
Rasa kedinginan terasa menyelimuti suasana pagi. Awan kelihatan kelabu. Matahari masih lagi belum menampakkan sinarnya di kaki langit. Mungkin kesan daripada hujan yang turun lebat dan mencurah-curah malam tadi. Dekat nak masuk waktu subuh baru hujan berhenti. Pohon-pohon dan daun-daun kelihatan basah dengan air hujan. Begitu juga dengan tanah. Ditakungi air dan becak.
“Berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya,” kata Pak Malek.
Aman sebaliknya hanya menarik nafas yang panjang.
“Ya, Pak Malek!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.
“Bagi saya rajin dan usaha adalah tangga kejayaan,” ujarnya lagi.
“Benar, Man!” angguk Pak Malek pula.
“Ruyung kalau tak dipecahkan manakan dapat sagunya,” tambahnya.
“Saya sayangkan tanah ni, Pak Malek. Inilah satu-satunya harta peninggalan arwah ayah yang saya ada,” ucapnya.
“Kau jagalah dan usahakanlah tanah ini dengan sebaik-baiknya,” kata Pak Malek.
Dia lalu membalas dengan mengangguk-angguk diam.
“Baiklah! Aku mintak diri dulu. Assalamualaikum!” ucap Pak Malek.
“Waalaikumsalam!” jawabnya.
Angin petang bertiup dengan kencang. Pohon-pohon kelihatan seperti mengangguk-angguk mengikut irama angin yang bertiup. Matahari bersinar indah. Daun-daun seperti menari-nari apabila disapu angin. Bahang panas matahari terasa menyelubungi seluruh kampung.
“Lebih baik kau dengar cakap aku. Aku ni abang kau. Apa yang aku lakukan semua ini adalah untuk kesenangan kita bersama!” desak Seman.
“Bang …! Kan lebih elok kita usahakan tanah ni bersama. Hasilnya nanti dapat jugak kita nikmati bersama,” ujar Aman pula sebaliknya.
“Hei! Susah betullah bercakap dengan kau ni. Ini peluang untuk kita dapat duit. Tanah ni tak akan dapat mengeluarkan hasil. Kau tengoklah nanti!” kata Seman dalam nada suara yang agak keras.
“Kalau kita rajin mengusahakannya pasti kita akan dapat menuai hasilnya, bang!” ujar Aman.
“Sudah! Jangan buang masa aku. Kau bagi geran tanah ni pada aku sekarang jugak!” paksa Seman.
“Tidak, bang!” balas Aman dengan pantas sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Rasa kemarahan Seman semakin memuncak.
“Aku tak kira! Aku nak jugak geran tanah ni. Cepat bagi aku!” dia meninggikan suara.
“Walau apa pun yang akan terjadi saya tak akan serahkan geran tanah ni!” tegas Aman.
“Kau jangan aku sampai ….”
Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam daripada bawah rumah. Aman lalu menjawab salam dan menuju ke muka pintu untuk melihat siapa yang datang. Pak Malek rupanya. Dia kemudian lalu menjemput Pak Malek naik ke rumah.
“Hah, Seman! Kau pun ada sama. Apa khabar? Lama tak nampak kau balik ke kampung.”
“Baik! Sudahlah. Saya balik dulu, Pak Malek!”
“Nantilah dulu, bang ….”
“Aku ada kerja. Ingat, Aman. Minggu depan aku datang lagi!”
Dia sebaliknya hanya diam sahaja sambil memerhatikan abangnya Seman menuruni tangga rumah dan kemudiannya lalu masuk ke dalam kereta dan terus meninggalkan halaman rumah. Aman kemudian lalu mengatur langkah menuju ke kerusi.
“Tergesa-gesa aje aku nampak Seman abang kau tu,” kata Pak Malek.
“Biasa la, Pak Malek. Orang sibuk dengan kerja macam tu la,” ucapnya.
“Aku datang ni nak jemput kau datang ke rumah hari Sabtu ni lepas Isyak. Aku nak buat kenduri kesyukuran. Anak aku Hasnah dapat masuk maktab perguruan,” dia memberitahu.
“Alhamdulillah. Rezeki dia tu, Pak Malek,” balas Aman pula.
“Ya, Man!” angguknya pula dengan pantas.
“Aku berasa syukur sangat-sangat. Bila dia dah keluar maktab perguruan nanti dapatlah dia kerja tetap. Jadi cikgu,” ujarnya lagi.
“Sekarang ni bukan senang nak dapat kerja tetap, Pak Malek. Semuanya bergantung kepada rezeki,” tambah Aman.
“Kalau dah rezeki tak ke mana perginya, Man. Cuma lambat atau cepat sahaja. Semua tu Allah SWT yang menentukan,” katanya.
Suara angin yang berlagu riang jelas kedengaran membelah suasana petang. Pohon-pohon kelihatan seperti melambai-lambai apabila diusik angin petang yang bertiup. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.
“Baiklah, Man. Aku mintak diri dulu. Aku nak ke rumah Tok Imam dan orang-orang kampung yang lain. Jangan lupa datang nanti, Man,” ingat Pak Malek.
“Insya-Allah, Pak Malek!” dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam!”
Angin pagi bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rasa segar dan nyaman angin yang bertiup menyelubungi seluruh kampung. Matahari perlahan-lahan menampakkan sinarnya di kaki langit. Pohon-pohon yang rendang dan menghijau kelihatan seperti meliuk-liuk apabila dibuai angin.
“Tahniah, Hasnah!” ucapnya.
“Terima kasih!” balas Hasnah pula sebaliknya.
“Saya tumpang gembira apabila mendengar yang awak berjaya diterima memasuki maktab perguruan,” katanya lagi.
“Saya pun rasa gembira. Apabila melihat sayur yang awak tanam sudah mula membuahkan hasil,” balas Hasnah pula sebaliknya.
“Semua itu adalah rezeki Allah untuk kita,” ulasnya.
“Ya, Man! angguk Hasnah dengan pantas.
“Syukurlah!” sambungnya lagi.
“Bila awak akan mula melaporkan diri di maktab perguruan?” dia menyoal Hasnah.
“Minggu depan,” dia menjawab.
Aman lalu membalas dengan mengangguk-angguk diam.
“Saya doakan semoga apabila awak keluar daripada maktab perguruan nanti awak akan berjaya mendidik anak bangsa yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” kata Aman.
“Insya-Allah! Terima kasih atas doa awak itu!” ujarnya.
Sementara itu fikiran Seman benar-benar buntu dan menjadi tidak tentu arah. Memikirkan cara dan jalan bagi mendapatkan wang untuk membayar hutang Rudy. Tempoh yang diberikan oleh Rudy telah pun tamat. Sudah tentu Rudy akan datang berjumpa dengannya untuk menagih hutang.
Dia tidak ada jalan lain lagi. Melainkan mendapatkan geran tanah pusaka milik arwah ayahnya yang kini dismpan oleh adiknya Seman. Dia mesti mendapatkannya dengan apa cara sekalipun. Termasuk dengan menggunakan cara kekerasan mahupun paksaan.
Lalu dia pun bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Mendapatkan geran tanah daripada adiknya. Untuk dicagar kepada Rudy. Hanya dengan cara itu sajalah dia dapat melangsaikan segala hutangnya dengan Rudy. Sebaik-baik sahaja dia keluar daripada rumah dia telah ditahan oleh Rudy dan kawan-kawannya.
“Kau nak ke mana ni, Seman? Kau nak lari, ya!”
“Tidak!”
“Kau jangan nak mempermainkan aku, Seman!”
“Aku …. tak mempermainkan …. kau, Rudy ….”
“Sudah! Aku datang nak menagih hutang. Mana dia duit RM 10,000.00 yang kau janjikan hari tu. Mana dia?”
“Bila masa aku hutang dengan kau RM 10,000.00. Aku hutang dengan kau hanya RM 5,000.00 sahaja,” ujarnya dengan rasa penuh terkejut.
Rudy lalu ketawa apabila mendengarnya.
“Memang la kau hutang aku RM 5,000.00. Tapi jadi 10,000.00 sebab bunga!” ujarnya sambil menepuk-nepuk lembut pipi Seman.
“Bunga?” tanya Seman dalam keadaan wajah yang semakin hairan dan bingung.
“Ya! Sebab kau lambat bayar. Jadi, bunga naiklah. Takkan kau tak faham cara orang berhutang!”
“Mana aku nak cari duit sebanyak RM 10,000.00, Rudy ….”
“Oooo! Masa pinjam boleh pulak. Masa bayar tak boleh pulak!” tengking Rudy dengan sekuat-kuat hati sambil mencekak leher Seman.
“Tolong …. aku …. Rudy …. Aku janji …. Aku akan bayar hutang kau …. Tapi bagilah aku masa …,” rayunya dalam nada suara yang terketar-ketar kerana ketakutan.
“Hei! Dah banyak masa aku bagi kau. Tapi kau tak bayar jugak hutang aku!” kata Rudy pula sambil meninggikan suara sambil terus mencekik leher Seman.
Cekikan Rudy itu menjadikan dia berasa amat kesakitan dan sukar untuk bernafas.
“Tolong …. lepaskan aku …. Sakit …!”
“Orang macam kau tak boleh dibagi muka. Aku akan ajar kau cukup-cukup! Tahu tak!”
Dia kemudian lalu mengarahkan kawan-kawannya supaya membawa Seman masuk ke dalam kereta. Seman kemudiannya telah dibawa ke sebuah rumah yang telah usang. Setibanya di rumah itu tangan dan kaki Seman telah diikat.
Bukan setakat kaki dan tangan sahaja yang diikat malahan juga dia telah dipukul dan diseksa oleh Rudy dan kawan-kawannya. Muka dan badannya bukan sahaja merasa sakit tetapi juga dia berasa amat lemah dan tidak bermaya. Akibat dipukul oleh Rudy dan kawan-kawannya tanpa rasa belas kasihan.
“Kau nak bayar atau tidak hutang aku!” desak Rudy sambil melepaskan tumbukan yang kuat ke muka Seman.
Dia tidak mampu melawan. Matanya semakin tertutup. Mukanya dipenuhi lebam dan darah. Seman merasakan benar-benar terseksa. Sudah tiga hari dia dipukul dan menjadi mangsa kekejaman dan tidak berperikemanusiaan Rudy dan kawan-kawannya.
“Kau nak bayar hutang aku atau tidak!” kata Rudy dengan sekuat-kuat hati sambil mencekik leher Seman dengan rakus.
“Aku …. bayar …,” jawabnya dalam nada suara yang perlahan.
“Bila kau nak bayar?” soal Rudy dengan penuh geram sambil mencekik dengan kuat leher Seman.
Dia berasa semakin lemah dan tidak berdaya. Dalam fikirannya ketika ini hanya satu sahaja. Mati di tangan Rudy dan kawan-kawannya. Kerana gagal menjelaskan hutang. Tika ini dia benar-benar merasa menyesal. Tapi sudah terlambat.
Dia bukan sahaja menanggung kesakitan dan penderitaan. Akibat teruk dipukul dan diseksa oleh Rudy dan kawan-kawannya. Malahan nyawanya kini bagaikan telur di hujung tanduk. Seman tidak mempunyai pilihan. Melainkan mengharapkan pertolongan daripada adiknya Aman. Untuk menyelamatkan nyawanya.
“Aku nak cagar tanah pusaka milik arwah ayah aku …. Kau ambil nombor telefon adik aku Aman …. Geran ada pada dia …,” ucapnya dalam nada suara yang lemah dan perlahan.
Rudy kemudiannya lalu menelefon Aman.
“Ingat! Nyawa abang kau dalam tangan aku. Kalau kau nak dia hidup serahkan geran tanah tu pada aku!” ugut Rudy.
Dia lalu jadi terdiam. Nyawa abang kandungnya benar-benar terancam. Aman tiada pilihan. Seman abangnya perlu diselamatkan. Kalau tidak dia tentu akan dibunuh oleh Rudy. Aman kemudiannya lalu mengambil keputusan untuk mengalah. Dengan menurut apa yang telah disuruh oleh Rudy itu. Namun begitu dia mempunyai muslihat untuk memastikan geran tanah pusaka milik arwah ayahnya itu tidak mudah jatuh ke tangan Rudy.
“Baiklah! Aku akan serahkan geran tu pada kau!”
“Bagus! Tapi ingat. Jangan beritahu polis. Kalau tidak abang kau akan menjadi mayat. Faham!”
“Tolong! Jangan apa-apakan abang aku. Besok aku akan ke Kuala Lumpur dan jumpa kau.”
“Sampai di Kuala Lumpur nanti kau hubungi aku. Aku akan beritahu kau tempat untuk kita berjumpa.”
“Baiklah!”
Setelah selesai bercakap dengan Aman, Rudy kemudian lalu memandang Seman sambil tersenyum.
“Kalau dulu lagi kau beri geran tanah tu pada aku taklah kau kena seksa teruk sampai begini,” dia berkata sambil kedua-dua belah tangannya menepuk-nepuk lembut pipi Seman.
Keesokan harinya Aman lalu pergi ke Kuala Lumpur. Kalau dahulu dia pergi Kuala Lumpur dengan matlamat untuk mencari pekerjaan. Tapi kali ini adalah berbeza iaitu untuk menyelamatkan nyawa abangnya yang kini berada dalam tangan Rudy.
Sepanjang perjalanan dia tak henti-henti berdoa. Semoga Tuhan melindungi abangnya dan juga dirinya. Barulah dia tahu kini. Kenapa abangnya itu beria-ia sangat mahu menjualkan tanah pusaka milik arwah ayahnya itu. Semata-mata untuk membayar segala hutangnya pada Rudy.
Sampai sahaja di Kuala Lumpur dia lalu pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Tentang abangnya Seman yang kini berada dalam tangan Rudy dan kawan-kawannya. Dia kemudiannya lalu dibawa oleh salah seorang anggota polis yang berpangkat untuk berjumpa dengan Inspektor Arif.
“Inilah padahnya apabila berhutang dengan orang yang menggunakan kekerasan apabila gagal membayarnya,” kata Inspektor Arif.
“Tolonglah, tuan inspektor. Nyawa abang saya kini benar-benar dalam bahaya,” ujarnya.
“Awak jangan bimbang. Saya dan anggota-anggota saya akan pastikan abang awak selamat dan memberkas mereka yang bertindak mengikut undang-undang sendiri,” balas Inspektor Arif pula sebaliknya.
“Terima kasih, tuan!” angguknya.
“Sekarang awak ikut aje segala kemahuan mereka. Saya dan anggota-anggota saya akan bergerak senyap-senyap. Awak juga mesti hati-hati. Mereka tu berbahaya dan akan bertindak apa sahaja apabila terdesak,” ingat Inspektor Arif lagi.
“Baiklah, tuan inspektor!” angguk Aman pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.
Dia kemudian lalu bangun dan bersalaman dengan Inspektor Arif. Setelah bersalaman dia bergerak menuju ke tempat yang diberitahu oleh Rudy. Manakala Inspektor Arif pula mengarahkan anggota-anggotanya supaya bersiap menjalankan operasi untuk menangkap Rudy dan kawan-kawannya.
Angin yang bertiup lemah menyusup masuk melalui celah-celah dinding batu rumah usang yang dijadikan tempat oleh Rudy dan kawan-kawannya untuk menyeksa Seman. Sesekali Rudy menjengahkan kepala melalui tingkap yang terbuka luas. Untuk melihat Aman sudah sampai atau belum.
Kemudian dia memandang ke arah Seman yang kelihatan lemah dan tak berdaya. Dengan penuh darah dan kesan lebam pada muka dan badan. Apabila sudah jadi begini barulah dia ingat pada Tuhan. Sebelum ini dia langsung tidak ingat pada Tuhan.
Dalam hati kecilnya dia tak henti-henti berdoa. Semoga dia selamat dan tidak menerima nasib yang lebih buruk lagi. Dia tidak menyangka nasib yang seburuk ini telah menimpa ke atas dirinya. Sewaktu hendak meminjam wang dahulu dia mengenali Rudy sebagai seorang yang baik dan ingin menolongnya yang berada dalam kesusahan.
Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Teruk dia dipukul dan ditendang oleh Rudy dan kawan-kawannya. Tanpa rasa belas kasihan. Hanya diberi sedikit makan dan minum sahaja. Rudy dan kawan-kawannya melakukan cara yang ganas dan kejam terhadap dirinya. Cuma belum lagi sampai ke tahap untuk membunuh.
Kalau ada peluang dia ingin melarikan diri. Tempat ini tak ubah seperti neraka baginya. Namun dia tak berupaya. Seluruh badannya terasa lemah dan kakinya seperti tidak dapat bergerak. Kawan-kawan Rudy sentiasa bergilir-gilir menjaganya. Untuk memastikan dia tidak dapat lari dengan mudah.
“Tak lama lagi geran tanah milik ayah kau akan menjadi milik aku!” kata Rudy dengan penuh gembira sambil ketawa terbahak-bahak.
“Rudy! Dia dah sampai!” beritahu salah seorang daripada kawannya.
Aman lalu melangkah masuk. Dia juga sempat berpaling ke arah abangnya yang duduk di kerusi sambil diikat tangan dan kaki. Rasa kesedihan jelas terbayang di wajahnya. Apabila dia melihat dengan mata sendiri keadaan abang kandungnya itu.
“Bagus! Kau datang tepat pada waktunya. Ben!”
“Ya!”
“Kau tengok. Ada sesiapa tak yang ikut dia.”
“Ok!”
Kawannya yang bernama Ben itu lalu menuju ke muka pintu dan memandang ke arah depan dan kemudian ke kanan dan kiri. Tiada siapa yang kelihatan. Namun tanpa disedari Inspektor Arif dan anggota-anggotanya telah pun mengepung seluruh kawasan rumah dan bersiap sedia untuk bertindak.
“Tak ada!” dia berkata sambil menggeleng-gelengkan kepala dan berpaling ke arah Rudy.
“Mana dia geran tu?” dia menyoal sambil memandang wajah Aman.
“Ada ni! Tapi sebelum tu kau bebaskan abang aku dulu.”
“Baiklah!”
Inspektor Arif dan anggota-anggotanya pantas masuk ke dalam rumah.
“Polis! Jangan bergerak. Lebih baik awak semua serah diri!”
“Jahanam!”
Rudy dan kawan-kawannya cuba bertindak. Tetapi gagal kerana Inspektor Arif dan anggota-anggotanya lebih cekap dan bertindak dengan pantas menggari tangan Rudy dan kawan-kawannya. Inspektor Arif kemudian mengarahkan anggota-anggotanya supaya membawa Rudy dan kawan-kawannya ke balai polis.
Aman kemudian lalu membuka ikatan tali pada tangan dan kaki abangnya. Tanpa berlengah lagi Seman lalu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Beberapa hari kemudian dia pun sembuh dan dibenarkan pulang semula ke rumah.
“Maafkan abang, Man …,” ujar Seman sambil menangis.
“Sudahlah tu, bang. Syukurlah! Abang dah selamat. Daripada menjadi mangsa Rudy dan kawan-kawannya,” balasnya pula.
“Abang benar-benar menyesal dengan apa yang telah abang lakukan. Mujurlah kau ada untuk menyelamatkan abang. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku pada diri abang …,” ucapnya lagi sambil tak henti-henti menangis.
“Apa yang berlaku ni bang adalah sebagai taufik dan hidayah. Supaya abang kembali semula ke pangkal jalan. Bersyukurlah!” kata Aman.
“Ya, Man …!” angguknya perlahan bersama-sama dengan air mata yang mengalir pipi.
“Abang benar-benar insaf. Abang nak mulakan kehidupan baru. Nak usahakan kebun sayur bersama-sama dengan kau di tanah pusaka peninggalan arwah …,” ucapnya lagi dalam nada suara yang tersedu-sedu di atas rasa penyesalan dan keinsafan dengan perbuatan buruk yang telah dilakukannya selama ini.
Rasa kegembiraan lalu jelas terpancar di wajah Aman.
“Alhamdulillah!”
Lalu dia pun membuka lembaran yang baru dalam kehidupan dengan pulang ke kampung bersama-sama dengan adiknya. Berkat usaha keras dan kegigihan kedua-dua adik-beradik itu maka mereka telah menjadi pengusaha kebun sayur yang berjaya.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~