Cabaran & Dugaan Dalam Kehidupan

Tolak Batu

Tolak Batu ( Mohamed Hassan )

Bukan hidup namanya kalau kita
tidak berdepan dengan dugaan mahupun cabaran.
Ibarat kata orang tak akan lengkap selera makan kita kalau
tanpa nasi dan sambal belacan.

Demikianlah tafsiran cabaran dan dugaan dalam kehidupan kita sebagai manusia selagi masih berpijak di bumi yang nyata ini.

Sememangnya dugaan dan cabaran itu amat berat dan tak ubah seperti memikul seketul batu yang besar. Namun begitu sama ada suka ataupun tidak kita harus menerima cabaran dan dugaan yang datang dalam hidup kita dengan penuh redha dan berlapang dada.

Dalam erti kata lain dugaan mahupun cabaran sudah menjadi lumrah dan ketentuan yang menghiasi kehidupan kita sebagai yang bernama manusia selagi masih lagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk terus bernafas dan menghirup udara yang segar dan nyaman di atas dunia yang fana ini.

Tidak ada siapa pun yang dapat lari atau terlepas daripada menghadapi cabaran dan dugaan. Selagi masih dapat melihat mentari menyinari siang dan sang rembulan menyinari malam maka selagi itulah kita terpaksa menerima dugaan mahupun cabaran walaupun tidak dipinta.

Seorang peniaga adaketikanya diuji dengan dugaan dan cabaran yang begitu hebat sekali. Ini biasanya berlaku apabila mengalami kemerosotan dalam perniagaan. Bayangkanlah bagaimana mereka hendak mendapatkan modal pusingan semula perniagaan dan menyara anak serta isteri apabila tidak mendapat keuntungan yang lumayan.

Penulis yang bergantung semata-mata kepada karya turut menghadapi cabaran yang amat begitu besar sekali apabila penerbit ataupun akhbar tidak mahu menerima dan menyiarkan karya yang telah dihasilkan. Jadi bagaimana mereka yang menjadikan berkarya sebagai sumber pendapatan utama untuk memperolehi wang apabila terjadi situasi begini.

Ketua juga berdepan dengan dugaan dan cabaran yang hebat apabila ada kakitangan yang tidak berdisiplin dan sentiasa membuat perlanggaran peraturan. Kesannya bukan sahaja menjejaskan imejnya sebagai sebagai seorang ketua malahan juga organisasi yang dipimpinnya.

Begitu juga dengan seorang guru yang terpaksa berdepan dengan cabaran dan dugaan yang besar dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja mempunyai sahsiah dan keperibadian yang tinggi malahan juga berguna pada agama, bangsa dan negara.

Seorang kakitangan juga tidak dapat lari daripada menghadapi dugaan dan cabaran. Ini dapat dirasakan apabila diarahkan oleh ketua untuk menyiapkan tugas dalam masa yang telah ditetapkan. Sedangkan pada masa yang sama ada kerja penting yang perlu disiapkan.

Dalam hidup bermasyarakat juga ada cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui. Umpamanya apabila ada program dan aktiviti yang dijalankan yang bertujuan untuk membentuk semangat kejiranan dan bergotong-royong akan diterima oleh mereka yang sama-sama hidup bermasyarakat dengan kita.

Penoreh getah menghadapi dugaan dan cabaran bukan sahaja ketika harga getah jatuh malahan juga pada musim hujan. Cuba bayangkan kalau kita berada di tempat mereka. Dah tentu akan merasa kesusahan apabila tiba musim hujan kerana tidak dapat pergi menoreh yang menjadi punca utama pendapatan untuk menyara keluarga.

Demikian juga dengan seorang nelayan yang bergantung rezeki dengan menangkap ikan di laut yang terbentang luas. Cabaran dan dugaan yang terpaksa ditanggung adalah apabila tibanya musim tengkujuh. Tidak dapat turun ke laut dan bayangkanlah bagaimana kesusahan yang terpaksa dihadapi mereka apabila berlakunya keadaan sebegini.

Kesannya juga terpaksa dihadapi oleh penjual ikan yang terpaksa berdepan dengan dugaan dan cabaran apabila mengalami kekurangan bekalan akibat. Akibat daripada musim tengkujuh yang melanda dan menghalang nelayan untuk turun ke laut. Sedangkan permintaan ikan daripada pelanggan tinggi dan peniaga tidak dapat memenuhi permintaan mereka disebabkan masalah kekurangan bekalan ikan. Selain daripada itu, sumber pendapatan peniaga ikan juga terjejas apabila berlakunya musim tengkujuh.

Ahli sukan turut berdepan dengan cabaran dan dugaan dalam usaha untuk mengekalkan kecergasan dan prestasi yang menjadi kunci utama kejayaan. Prestasi dan kecergasan adaketikanya tidak menentu dan tidak sentiasa berada dalam radar sepertimana yang diharapkan.

Para penyelidik juga tidak dapat lari daripada menghadapi dugaan dan cabaran terutamanya dalam mendapatkan bahan sama ada di perpustakaan mahupun di lapangan. Kesukaran untuk mendapatkan bahan rujuan dan responden menyukarkan mereka untuk mendapatkan maklumat dan fakta yang sahih berkaitan dengan tajuk kajian yang mereka jalankan.

Cabaran dan dugaan juga terpaksa dilalui oleh para pelajar di institusi pengajian tinggi dalam menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Dugaan dan cabaran yang terpaksa mereka tempuhi bukan sahaja untuk memperolehi bahan yang berkaitan malahan terpaksa mengejar tarikh yang telah ditetapkan oleh pensyarah di samping kelas pembelajaran yang harus diikuti.

Tidak kurang juga dengan mereka yang terlibat dalam bidang percetakan. Dugaan dan cabaran yang terpaksa mereka tempuhi dan lalui adalah memenuhi kehendak pelanggan yang meminta agar menyiapkan bahan cetakan dalam tempoh masa yang telah diberikan. Sekiranya tidak dapat memenuhi kepuasan pelanggan maka akan menjadi satu kegagalan kepada mereka dan sudah pasti pelanggan akan mencari syarikat percetakan yang lain pula.

Peniaga kedai makan terpaksa berdepan dengan karenah pelanggan yang berbagai-bagai ragam. Mahu atau tidak mereka terpaksa bersabar dengan ragam pelanggan yang datang ke kedai mereka untuk menjamu selera. Namun itulah asam garam atau cabaran dan dugaan yang terpaksa mereka lalui dan tempuhi sebagai seorang peniaga kedai makan. Kerana itulah yang menjadi sumber utama rezeki mereka.

Bekerja sebagai seorang pemandu juga terpaksa melalui pelbagai dugaan dan cabaran. Bukan setakat penjagaan kenderaan sahaja yang menjadi keutamaan malahan ketepatan masa menghantar pegawai dan kakitangan ke destinasi terutamanya dalam menghadiri mesyuarat ataupun program. Walaupun dapat memenuhi ketepatan masa dengan bergerak awal daripada pejabat namun kesesakan lalu-lintas menjadi halangan untuk pegawai dan kakitangan yang dihantar tepat sampai ke destinasi yang dituju.

Bertugas di kaunter turut menuntut kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan karenah pelanggan terutamanya yang mempunyai sifat yang tidak sabar untuk mendapatkan perkhidmatan. Sama ada mahu atau tidak mahupun suka atau tidak mereka harus menerimanya sebagai cabaran dan dugaan yang amat menyeronokkan.

Dalam menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar ciptaan Tuhan kita tidak dapat lari dan terpaksa berdepan dengan dugaan dan cabaran yang datang daripada mereka yang tidak mempunyai sikap dan rasa kecintaan terhadap anugerah yang diberikan secara percuma kepada kita yang hidup di dunia ini. Sikap mereka yang tidak bertanggungjawab ini menjadi cabaran dan dugaan kepada kita untuk memastikan kelestarian dan kesejahteraan alam sekitar terus berkekalan buat selama-lamanya.

Begitu juga dalam kita melakukan sesuatu kebaikan itu tidak semestinya diterima oleh semua orang. Sedangkan perkara yang kita lakukan adalah mendatangkan manfaat dan faedah dan bukannya membawa kepada keburukan. Tapi itulah hakikat dan kenyataan yang harus kita hadapi sebagai cabaran dan dugaan dalam kita melakukan perkara yang membawa kebaikan dalam hidup ini.

Ibarat air laut yang sentiasa pasang dan surut.

Dalam melayari kehidupan berkeluarga kita juga tidak dapat lari mahupun mengelak daripada arus dugaan dan cabaran. Walau seberat dan sepedih mana pun cabaran dan dugaan yang datang harus kita terima dengan penuh ketabahan dan kesabaran sebagai lumrah dalam kehidupan berkeluarga.

Untuk menuju ke puncak kejayaan bukanlah sesuatu yang amat mudah untuk kita capai. Sebaliknya pelbagai halangan dan rintangan yang terpaksa kita tempuhi dan lalui. Itulah cabaran dan dugaan yang terpaksa kita hadapi sebelum menggenggam kejayaan.

Dugaan dan cabaran sentiasa mendatangi hari-hari yang kita lalui. Hari ini kehidupan kita penuh dengan warna-warna gembira dan bahagia. Namun esok belum pasti lagi sama ada kebahagiaan dan kegembiraan yang kita lalui pada hari semalam akan dapat kita nikmati pada hari yang baru dalam hidup kita. Anggaplah semua itu sebagai cabaran dan dugaan dalam hari-hari kehidupan yang kita layari.

Kehidupan kita yang sentiasa naik dan turun adalah cabaran dan dugaan yang harus kita terima dengan penuh hati yang terbuka. Ini kerana harus kita ingat bahawa tak selalunya hidup kita penuh dengan keindahan. Sebaliknya kita juga akan berdepan dengan kesuraman pada suatu ketika dan kita ambillah apa yang telah berlaku itu sebagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan kita sebagai seorang yang bernama manusia.

Sesungguhnya dugaan dan cabaran adalah rencah dan asam garam dalam kehidupan kita di dunia ini. Di sebalik cabaran dan dugaan yang amat berat itu sebenarnya ada indah dan manis yang tidak kita ketahui. Banyak hikmah dan teladan yang akan kita nikmati dan perolehi apabila diuji dengan cabaran dan dugaan. Rasa kemanisan dan kegembiraan akan kita rasai apabila berjaya menempuhi dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Oleh itu janganlah mudah mengalah mahupun tewas apabila kita diuji dengan cabaran dan dugaan. Sebaliknya hadapilah ia dengan penuh kesabaran dan ketabahan di samping sentiasa bermunajat dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar diberikan kekuatan dan jalan untuk menjadikan hidup yang dilalui penuh dengan sempurna dan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat nanti.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *