Pesanan Buat Generasi Muda
Jagalah tingkah laku dan budi pekerti.
Ke mana sekali pun kaki melangkah untuk mengejar kejayaan ayah, ibu dan keluarga jangan sesekali dilupakan. Ingatlah selalu pada asal usul sepertimana yang disebut dalam pepatah ke mana pulangnya ikan kalau tak ke lubuk.
Hiasilah kehidupan dengan melakukan kebaikan. Hindarkanlah diri daripada sebarang perkara yang membawa kepada kejahatan. Dalam melakukan sesuatu itu hendaklah dengan rasa penuh keikhlasan dan bukannya untuk mendapat nama mahupun ganjaran. Biarlah Allah SWT yang menilai terhadap apa yang telah kita lakukan.
Berhati-hatilah dalam memilih kawan. Pilihlah kawan yang sentiasa membimbing dan membawa kita ke arah jalan yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan dalam hidup ini. Kawan yang hendak menjahanamkan dan membawa kita ke arah jalan kejahatan hendaklah kita jauhi.
Dalam membuat sesuatu keputusan itu janganlah hendaknya dengan terburu-buru. Fikirkanlah dengan penuh bijaksana dan pertimbangan yang sedalam-dalamnya. Ingatlah bahawa keputusan yang bijak akan membawa keuntungan yang sangat besar kepada kita. Berbanding dengan keputusan yang terburu-buru sebaliknya akan membawa kerugian kepada kita.
Pesanan Buat Generasi Muda ….
Jadikanlah ilmu sebagai cahaya yang menerangi dalam kehidupan kita. Tanpa ilmu yang penuh di dada akan menjadikan hidup kita diselubungi dengan kegelapan. Oleh itu tuntutlah ilmu sentiasa agar hidup kita penuh berseri dan bercahaya dengan pengetahuan.
Sentiasalah menjadikan hari yang dilalui pada hari ini adalah yang paling terbaik daripada semalam. Segala rasa suka dan duka mahupun manis dan pahit yang dilalui semalam hendaklah kita jadikannya sebagai pengalaman yang amat berguna dan bermakna dalam melayari kehidupan yang dilalui pada hari ini.
Ketahuilah bahawa bukan hidup namanya kalau kita tidak menghadapi dan berdepan dengan dugaan dan cabaran. Walaupun cabaran itu amat pedih dan berat untuk diterima namun hadapilah ia dengan penuh kesabaran dan ketabahan sebagai lumrah yang telah ditentukan oleh Tuhan dalam kehidupan.
Rajin berusaha pasti akan berjaya. Kejayaan tak akan mudah datang bergolek tanpa usaha dan kegigihan. Kalau malas hendak berusaha dan berdikari kita tak akan ke mana perginya malahan jauh ketinggalan di belakang.
Pesanan Buat Generasi Muda ….
Sekali mengalami kegagalan bukan bererti pengakhiran dalam hidup ini. Sebaliknya bangkitlah dengan penuh semangat dan kekuatan. Belajarlah daripada kegagalan yang dialami sebagai pemacu kejayaan. Tanamkanlah dalam diri untuk sentiasa berjaya dalam kehidupan sepertimana yang dilakukan oleh orang lain.
Biar kita mengalami kekalahan pada hari ini. Namun jangan sesekali hendaknya kita mengalah. Berputus asa dan patah semangat bukanlah jalan yang terbaik untuk kita pilih. Sebaliknya pilihlah jalan untuk mencapai kemenangan dalam hidup ini.
Masa itu adalah umpama kilauan emas dan terlalu amat berharga sekali. Tidak dapat dibeli dengan wang ringgit sekali pun. Oleh itu dalam usia yang muda janganlah hendaknya dipersiakan dan dibazirkan masa yang telah diberikan. Sebaliknya penuhilah dengan perkara yang membawa kepada manfaat dan faedah kepada diri sendiri.
Janganlah mengeluh dengan apa yang telah diperolehi dan dinikmati dalam hidup ini. Sentiasalah memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan apa yang telah diberikan dan dikurniakan-NYA. Ingatlah bahawa kalau kita sentiasa bersyukur maka Allah SWT akan mengurniakan nikmat dan ganjaran kepada kita.
Pesanan Buat Generasi Muda ….
Apabila sudah menempa kejayaan dalam hidup janganlah hendaknya menjadi seperti kacang yang lupakan kulit atau tak ubah seperti si kudung yang mendapat cincin. Sebaliknya jadilah seperti padi yang semakin tunduk semakin berisi. Bukannya berlagak sombong mahupun bangga diri dengan kejayaan yang telah dicapai.
Sentiasalah belajar untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri. Tiada manusia yang sempurna hidupnya melainkan Tuhan Yang Maha Esa sahaja. Anggaplah setiap salah dan silap itu datangnya daripada kelemahan diri sendiri.
Terimalah kenyataan bahawa kehidupan kita sebagai manusia di atas dunia ini tak ubah seperti putaran roda. Adaketikanya kita berada di atas dan adawaktunya kita berada di bawah. Ketika berada di atas hidup kita diwarnai dengan rasa penuh gembira dan tawa. Tapi apabila kita berada di bawah hidup kita diselimuti dengan rasa penuh sedih dan duka. Namun itulah yang harus kita terima sebagai kenyataan dalam kehidupan ini.
Kehidupan kita tak ubah umpama air laut yang membiru. Pasang dan surut silih berganti. Sesungguhnya kehidupan yang kita lalui penuh dengan warna-warna suka dan duka. Tak semestinya keindahan datang dalam hidup kita. Adawaktunya kesuraman datang menyapa dalam kehidupan kita walaupun tidak dipinta.
Pesanan Buat Generasi Muda ….
Perkara yang baik perlu disegerakan dan jangan dilengahkan. Takut nanti akan datang perkara yang buruk. Melakukan perkara yang baik pasti akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Oleh itu janganlah bertangguh dalam melakukan perkara yang membawa kepada kebaikan.
Rezeki yang halal akan menjadikan hidup dipenuhi dengan keberkatan. Carilah rezeki dengan cara yang diredhai oleh Tuhan. Jangan sesekali mencari rezeki dengan cara yang haram dan tidak diberkati oleh Allah SWT. Kerana hidup tidak akan berkat dan sering ditimpa musibah apabila bergelumang dengan cara yang bertentangan dengan ajaran agama dalam mencari rezeki.
Jadikanlah pekerjaan itu sebagai ibadah dan amanah yang perlu dilaksanakan. Sayangilah dan bersyukurlah dengan tanggungjawab yang telah diberikan kepada kita. Balaslah kepercayaan yang telah diberikan dengan kesungguhan dan hasil kerja yang terbaik.
Tiada kekusutan yang tidak dapat dileraikan dalam hidup ini. Begitu juga dengan masalah yang kita hadapi. Pasti ada jalan penyelesaiannya. Mengeluh bukan membawa kepada jalan penyelesaian yang kita cari. Sebaliknya semakin membawa kepada kekusutan. Andainya kita berusaha dan berdoa ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa pasti masalah yang kita hadapi akan menemui jalan penyelesaian dan titik penamat akhirnya.
Pesanan Buat Generasi Muda ….
Ingatlah bahawa usia muda adalah diibaratkan seperti sehelai daun hijau. Tenaga dan kudrat adalah diperlukan untuk membawa negara ke arah pembangunan dan kemakmuran. Oleh itu penuhilah harapan yang telah disandarkan demi melihat negara yang tercinta terus berada di puncak kejayaan dan kemajuan.
Sentiasalah memikirkan apakah sumbangan yang perlu diberikan kepada negara dan bukannya memikirkan apakah sumbangan yang akan diberikan oleh negara kepada kita. Apabila kita berfikiran demikian maka barulah terasa peranan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat kepada negara.
Andainya sesat di hujung jalan maka segeralah kembali semula ke pangkal jalan sebelum terlambat. Bersyukurlah ke hadrat Allah SWT kerana diberikan taufik dan hidayah untuk kembali semula ke pangkal jalan sebelum tersesat dengan lebih jauh lagi.
Ringankanlah tangan untuk membantu mereka yang lemah dan tak berupaya. Bukan mereka pinta untuk hidup sedemikian rupa tapi sudah ketentuan dan takdir daripada Tuhan Yang Maha Esa. Dengan menghulurkan bantuan dan pertolongan maka mereka dapat menikmati hidup yang sempurna sepertimana yang kita rasai. Selain daripada itu, dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang sesama insan.
Pesanan Buat Generasi Muda ….
Hidup bermuafakat membawa berkat. Perkara yang berat akan menjadi ringan apabila kita memikul bersama-sama. Pekerjaan yang susah akan menjadi ringan apabila kita sentiasa hidup dalam bersatu dan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain.
Dalam hidup perlu ada pendirian. Bukannya menjadi seperti lalang yang mudah melayang-layang apabila ditiup angin. Mempunyai pendirian hidup yang tidak menentu akan membawa kerugian kepada diri kita sendiri. Pendirian dalam hidup adalah kita yang menentukannya dan bukannya orang lain yang memandu arah kehidupan kita.
Tanpa yang lama tak akan ada yang baru. Begitu juga tanpa yang tua tak akan ada yang baru. Sudah menjadi adat dalam kehidupan pada yang tua kita hormatkan. Harus kita ingat bahawa tidak selama-lamanya usia kita akan sentiasa muda. Satu hari nanti usia kita pasti akan menginjak tua sama seperti mereka.
Solat lima waktu itu adalah perintah Tuhan yang perlu kita laksanakan di samping tiang agama. Oleh itu janganlah sesekali solat lima waktu ditinggalkan walau di mana berada sekali pun. Tunaikanlah solat apabila tiba waktunya dan janganlah hendaknya dilambatkan mahupun dilengahkan. Ingatlah bahawa dengan mendirikan solat akan membawa keberkatan dan kesempurnaan hidup kita di dunia dan akhirat.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~