Cerpen “Semangat Perjuangan Seorang Anak Kampung”
Suara angin yang berlagu riang jelas
kedengaran menyelubungi kampung yang permai dan indah. Irama merdu daun-daun yang bergeseran ditiup angin sungguh merdu dan mendamaikan jiwa. Matahari yang meninggi di kaki langit kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali.
“Di mana sekalipun kita berada kita boleh berjaya. Asalkan rajin dan gigih berusaha,” kata Tok Ketua.
“Saya sependapat dengan tok. Tak semestinya kita boleh berjaya dalam hidup ini dengan berhijrah ke Kuala Lumpur. Di kampung ni pun apa kurangnya,” balas Azam.
“Memang betul kata kau tu, Zam!” angguk Tok Ketua pula sebaliknya dengan pantas.
“Nak mencari kejayaan ada di mana-mana sahaja. Allah menjadikan muka bumi ni luas. Kita harus merebut peluang yang ada untuk mendapatkannya,” tambahnya lagi.
“Sebab itulah saya nak ajak anak-anak muda di kampung ni untuk bersama-sama mengusahakan tanah yang terbiar ini. Hasilnya nanti kita akan dapat nikmati bersama,” ujar Azam.
“Baguslah macam tu, Zam. Sekurang-kurangnya adalah peluang pekerjaan buat mereka. Tanah ni taklah terbiar dengan begitu sahaja tanpa diusahakan,” sokong Tok Ketua.
“Berbudi pada tanah pasti akan dapat hasilnya nanti, tok,” nyata Azam.
“Memang itulah ganjaran yang akan kita nikmati apabila berbudi pada tanah,” ucap Tok Ketua.
“Kejayaan hasil daripada mengusahakan tanah terbiar ini bukan milik saya seorang, tok. Sebaliknya adalah milik kita bersama sebagai penduduk di kampung ini,” kata Azam.
“Baguslah kalau kau ada sikap macam tu,” balas Tok Ketua dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Baiklah, Zam. Aku tak boleh lama di sini. Sebab aku nak ke bandar. Ada urusan. Kau buatlah apa yang patut. Asalkan tanah ini diusahakan. Nak harapkan orang-orang kampung ni kau faham-faham ajelah. Manalah mampu termasuk aku. Lainlah kau dengan anak-anak muda yang lain,” dia menyambung lagi dengan panjang lebar.
“Insya-Allah, tok! Saya akan bawak anak-anak muda di kampung ni untuk bersama-sama memajukan tanah ni,” janji Azam.
“Aku doakan semoga usaha kau ni akan berjaya,” tambah Tok Ketua.
“Terima kasih, tok!” angguk Azam pula sebaliknya dengan pantas.
“Aku pergi dulu. Assalamualaikum!” ucap Tok Ketua.
“Waalaikumsalam!” jawab Azam.
Tok Ketua lalu menuju ke muka pintu apabila kendengaran suara orang memberi salam.
“Kau rupanya, Majid. Aku ingatkan siapa yang datang. Jemputlah naik,” pelawa Tok Ketua selepas menjawab salam.
Dia pun lalu naik ke atas rumah.
“Duduklah!” kata Tok Ketua.
“Saya dengar Azam nak usahakan tanah yang dah lama terbiar tu,” dia bersuara sebaik-baik sahaja duduk di atas kerusi.
“Ya, betul!” balas Tok Ketua dengan pantas sambal mengangguk-anggukkan kepala.
“Dia nak usahakan tanah tu dengan anak-anak muda di kampung ni,” beritahu Tok Ketua.
“Sia-sia aje dia buat kerja semua tu, tok!” dia membantah dalam nada suara yang begitu amat keras sekali.
Tok Ketua lantas berasa amat terkejut apabila mendengar kata-kata Majid itu.
“Eh! Kenapa pulak kau kata begitu?”
“Tanah tu takkan dapat mengeluarkan hasil. Sebab dah lama terbiar. Kan lebih baik aje dijual.”
“Jual?”
“Ya, tok! Dah ada orang yang nak beli. Dia sanggup bayar berapa saja untuk beli tanah tu. Kita juga yang untung.”
“Daripada dijual kan lebih baik diusahakan. Hasilnya nanti kita dapat nikmati bersama. Aku setuju sangat dengan apa yang Azam nak buat pada tanah yang terbiar tu.”
Majid lalu naik berang apabila mendengar.
“Ah! Azam tu cakap aje pandai. Tapi hasilnya tak ada. Tok tengoklah nanti!” dia meninggikan suara.
“Tak baik kau berprasangka buruk dengan dia. Perkara yang baik kita harus sokong …,” Tok Ketua tidak dapat meneruskan kata.
“Sudahlah!” bantah Majid dengan pantas.
“Tok dengan dia sama saja. Baiklah! Saya nak tengok. Sejauh mana dia boleh pergi dengan mengusahakan tanah tu. Sudahlah! Saya balik dulu,” kata Majid lagi dengan rasa penuh marah.
“Majid …. Sabar dulu …. Kalau ya pun tunggulah minum dulu,” tahan dulu.
“Tak payah, tok! Tak guna bercakap dengan orang macam tok ni!” ujarnya lagi.
Tok Ketua sebaliknya hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil menarik nafas yang panjang.
Tidak lama kemudian Mak Kiah isteri Tok Ketua muncul sambil membawa dulang yang berisi dengan minuman.
“Kenapa dengan Majid tu, bang? Marah sangat kat abang. Sampai dengar kat dapur,” ujar Mak Kiah sambil meletakkan minuman yang dibuatnya di atas meja.
Dia kemudiannya lalu duduk berhadapan dengan Tok Ketua.
“Entahlah, Kiah …. Terlalu mengikutkan hati dia yang panas tu,” balas Tok Ketua.
“Apa puncanya dia marah sangat dengan abang?” dia menyoal.
“Dia tak setuju Azam dan anak-anak muda di kampung ni mengusahakan tanah yang terbiar tu,” jawab Tok Ketua.
“Kenapa pulak, bang?” tanya Mak Kiah lagi.
“Dia kata tanah tu tak akan bawak keuntungan bila diusahakan. Lebih baik aje dijual,” jelasnya.
Mak Kiah lalu menggeleng-gelengkan kepala.
“Kenapa dia berfikiran macam tu? Kan elok tanah tu diusahakan daripada dijual.”
“Itu yang abang rasa pelik. Dia kata dah ada orang nak beli tanah tu. Berapa saja harga yang ditawarkan dia sanggup membelinya.”
“Sudahlah, bang. Tak usah difikirkan sangat apa yang dia cakap tu. Kita buat perkara yang baik dan bukannya perkara yang buruk. Minumlah, bang. Tak lama lagi dah nak masuk waktu asar.”
“Yalah!”
Angin yang datang daripada bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa.
“Sabarlah, bang …. Itulah namanya dugaan sebelum kita mencapai puncak kejayaan …,” Siti anak Tok Ketua bersuara dengan lembut.
Azam lalu menarik nafas yang panjang.
“Memang benar kata Siti tu!” dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Bukan hidup namanya kalau tidak berdepan dengan ujian,” ucapnya lagi.
“Siti yakin. Lambat-laun mereka akan bersama-sama dengan abang untuk mengusahakan tanah tu,” kata Siti.
“Terima kasih, Siti. Kerana beri abang semangat dan kekuatan,” ujar Azam sambil memandang wajah Siti yang ayu dan jelita dengan memakai tudung yang berwarna biru.
“Tak semua perkara yang baik akan diterima oleh orang. Tapi kalau kita sabar dan kuat menghadapi cabaran lama-kelamaan akan diterima oleh mereka juga akhirnya,” nyatanya pada Azam.
Dengan tiba-tiba Majid muncul. Dia memandang wajah Azam dan Siti dengan begitu bengis sekali.
“Hei!” tengkingnya.
“Apa yang kau orang berdua buat di sini, hah!” dia meninggikan suara sambil bercekak pinggang memandang Azam dan Siti.
Azam kelihatan nampak tenang. Sedikit pun dia tidak nampak gentar dengan ancaman Majid itu. Siti pula kelihatan cemas.
“Kami tak buat apa-apa!” geleng Azam.
“Oh, tak buat apa-apa! Habis, yang kau orang berdua-duaan ni elok ke orang pandang. Hah! Cakap!” herdik Majid lagi.
“Kan tempat ni terbuka, Abang Majid. Takkan kami nak buat perkara yang tak baik,” ucap Siti.
“Baik ke tak baik ke soalnya sekarang kau orang berdua telah melakukan perkara yang tak elok. Lebih-lebih lagi kau, Siti. Kau anak Tok Ketua. Kau nak bagi malu ayah kau ke?” Majid memandang Azam dan Siti dengan rasa yang amat marah.
“Majid …. Kau jangan buat tuduhan yang melulu ….” Azam tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.
“Ah! Sudah! Hei, Azam! Sedarlah diri kau tu sikit. Kau bukannya ada harta dan wang kalau nak dibandingkan dengan aku. Ayah aku orang yang paling kaya dalam kampung ni. Jadi, aku yang berhak untuk berkahwin dengan Siti. Bukannya kau!” sergahnya dengan sekuat-kuat hati.
Azam hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar penghinaan Majid terhadap dirinya. Siti pula kelihatan cemas kerana bimbang akan terjadi pergaduhan antara mereka berdua. Majid kelihatan bersiap sedia sekiranya Azam bertindak balas.
Tak lama kemudian Tok Ketua muncul.
“Apahalnya ni? Nampak macam nak bergaduh aje. Tak elok kita sesama sekampung bergaduh,” tegur Tok Ketua.
“Kalau tok nak tahu dia orang berdua ni buat perkara yang sumbang!” jelas Majid dalam nada suara yang kasar.
“Sumbang?” soal Tok Ketua dengan rasa penuh terperanjat sambil memandang muka Majid.
“Ya, tok!” angguk Majid dengan pantas.
“Saya dan Abang Azam tak buat perkara yang tak baik ayah …,” Siti bersuara.
“Ya, tok! Kami tak buat!” kata Azam.
“Kamu berdua sabar.” Tok Ketua menenangkan Azam dan Siti anaknya.
“Azam dan Siti anak tok dah buat perkara yang memalukan. Tok sebagai ketua di kampung ni takkan nak berdiam diri aje. Azam ni tak boleh percaya, tok. Depan kita nampak baik. Tapi, di belakang buat perkara yang keji. Siti rosak sebab dia ni, tok. Sebelum lebih ramai lagi anak gadis di kampung ni kita mesti usir dia!” Majid menghasut Tok Ketua dengan panjang lebar.
Tok Ketua tidak termakan dengan hasutan Majid itu.
“Sebagai ketua aku kenal adil. Aku tak boleh jatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Lagipun, tak ada bukti yang mereka berdua melakukan perkara sumbang,” tegas Tok Ketua.
“Nak bukti apanya lagi, tok. Dah terang dan nyata. Azam cuba untuk melakukan perkara yang tak baik pada Siti!” Majid tetap mahu Tok Ketua menjatuhkan hukuman pada Azam.
“Dalam membuat keputusan yang melibatkan hukuman kita perlu menyiasat terlebih dahulu dan bukannya mendengar sebelah pihak saja,” balas Tok Ketua.
“Tok nampaknya macam nak menyebelahkan Azam!” bidas Majid dalam nada suara yang tak puas hati.
“Aku tak sebelahkan dia, Majid. Kalau dia benar-benar terbukti bersalah aku akan jatuhkan hukuman mengikut kesalahan yang dia lakukan termasuk anak aku. Tapi bukti tak ada. Lagipun, dia orang berjumpa di tempat yang terbuka dan bukannya berdua-duaan di tempat yang kita tak nampak. Aku tengok dengan mata aku sendiri dia orang berdua tengah berbual dan tidak melakukan perkara yang sumbang serta melanggar agama dan adat,” jelas Tok Ketua dengan panjang lebar.
Majid sebaliknya tetap tidak mahu menerima penjelasan Majid itu.
“Bila masa tok tengok?” tanya Majid sambil mengangkat kepala tinggi memandang Tok Ketua.
“Aku ada kat kebun. Sebenarnya Siti dah minta izin dari aku nak jumpa Azam. Aku Dia nak bagi semangat pada Azam bila dapat tahu yang budak-budak muda di kampung ni tak nak bersama-sama dengan dia mengusahakan tanah yang terbiar itu. Dari apa yang aku dengar kau hasut dia orang supaya jangan menyokong projek yang Azam nak jalankan tu. Kau memang nak gagalkan usaha murni yang Azam nak buat demi kesejahteraan dan kemakmuran kampung ni,” beritahu Tok Ketua lagi dengan penuh panjang lebar.
Suara angin yang bertiup kencang jelas kedengaran. Pepohonan yang merendang lagi menghijau seperti melenggang-lenggok ditiup angin. Daun-daun kelihatan terbuai-buai mengikut rentak angin yang bertiup.
Majid lalu terdiam seperti kehilangan suara apabila mendengar apa yang dijelaskan oleh Tok Ketua itu. Rancangannya untuk menggagalkan projek tanaman semula di tanah terbiar yang dicetuskan oleh Azam telah diketahui oleh Tok Ketua.
“Tak baik kau buat fitnah dengan menuduh mereka berdua melakukan perkara yang sumbang dan memalukan nama baik keluarga. Aku kenal Azam. Dia mempunyai budi pekerti dan tingkah laku yang baik serta mempunyai semangat yang tinggi untuk membangunkan kampung ini melalui hasil pertanian. Kau seharusnya menjadikan dia sebagai contoh. Siti juga aku beri didikan agama yang sempurna. Dia tahu mana perkara yang baik dan mana perkara yang buruk apabila bertemu dengan lelaki yang bukan muhrimnya,” jelas Tok Ketua dengan panjang lebar.
“Tok! Mana layak Azam ni untuk tok jadikan menantu. Dia bukannya ada apa pun. Lainlah saya ni anak orang kaya!” kata Majid dengan begitu angkuh dan bongkak sekali.
“Aku tak pandang semua tu, Majid. Bagi aku yang penting kejujuran dan tahu tanggungjawab sebagai seorang suami,” ucap Tok Ketua pula sebaliknya.
“Tok memang selalu menyebelahkan Azam. Takpe! Ini Majid. Satu hari nanti Siti akan menjadi milik saya. Tengoklah nanti!” dia berkata dengan meninggikan suara.
Dia kemudiannya lalu berlalu pergi sambil membawa rasa kemarahan yang hangat menyala seperti api yang sedang marak membakar.
“Terima kasih, tok. Nasib baik tok ada. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan terjadi,” ujar Azam.
Tok Ketua lalu memandang Azam sambil tersenyum. Dia kemudiannya lalu menepuk-nepuk lembut bahu Azam yang dianggapnya seperti anaknya sendiri.
“Sudahlah! Hari pun dah lewat petang. Marilah kita balik,” ajak Tok Ketua.
“Baiklah, ayah!” angguk Siti.
Malam kelihatan begitu indah sekali dengan disinari cahaya bulan dan kerlipan bintang di kaki langit hitam.
“Aku rasa lebih baik kita aturkan satu pertemuan dengan budak-budak muda di kampung. Kita terangkan pada mereka keuntungan yang akan kita dapat hasil daripada projek tanaman semula yang diusahakan pada tanah yang terbiar tu,” cadang Tok Ketua.
“Elok sangat tu, tok. Mudah-mudahan pintu hati mereka akan terbuka untuk bersama-sama mengusahakan tanah tu,” sokong Azam.
“Insya-Allah, Zam!” Tok Ketua sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Sama-samalah kita berdoa. Semoga rancangan kita ini akan berhasil,” kata Tok Ketua lagi.
“Yalah, tok!” angguk Azam.
“Marilah kita balik,” ajak Tok Ketua.
Azam mengangguk-angguk diam.
Mereka lalu meninggalkan perkarangan masjid dan pulang menuju ke rumah masing-masing.
Setibanya di rumah Tok Ketua lalu menikmati hidangan makan malam bersama-sama dengan isteri dan anaknya. Selepas makan malam dia duduk di ruang tamu rumah bersama-sama dengan Mak Kiah. Manakala Siti pula berkemas di dapur.
Angin malam bertiup lembut. Rasa dingin angin yang bertiup terasa menyusup masuk melalui atap zink dan celah papan kayu rumah Tok Ketua. Dia menceritakan mengenai perkara yang berlaku siang tadi kepada isterinya.
“Sampai begitu sekali dia menuduh anak kita berkelakuan sumbang dengan Azam?” soalnya dengan rasa terkejut.
Tok Ketua lalu menarik nafas yang panjang.
“Ya, Kiah! Dia suruh abang usir Azam dari kampung ni,” dia memberitahu.
“Sampai begitu sekali?” Sekali lagi Mak Kiah terperanjat apabila mendengar apa yang dikatakan oleh suaminya itu.
“Rupa-rupanya dia selama ni ada hati pada Siti,” kata Tok Ketua lagi.
“Mana abang tahu?” tanya Mak Kiah dengan pantas.
“Dia sendiri yang bagitahu abang,” jawab Tok Ketua.
“Sebenarnya dia cemburu tu bang bila tengok Siti berkawan rapat dengan Azam,” ujar Mak Kiah.
“Memang betul, Kiah!”
“Saya tak berkenan dengan perangai dia tu. Elok lagi Azam. Berbudi bahasa dan rajin bekerja.”
“Abang pun macam tu jugak, Kiah. Kalau ramai anak-anak muda di kampung ni macam Azam dah tentu kampung kita ni makmur dan sejahtera. Ini tidak. Si Majid tu lebih membanggakan ayah dia orang kaya di kampung ni. Bekerja malas. Nak menghabiskan duit ayah dia saja.”
Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti apabila Siti muncul.
“Hah, Siti. Dah siap berkemas di dapur?” ibunya menyoal.
“Dah, mak!” dia menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Mari duduk sini,” arah Tok Ketua sambil memandang wajah anak gadisnya itu.
Siti lalu duduk di kerusi berhadapan dengan ayah dan ibunya.
“Ayah kau dah cerita pada mak perkara yang berlaku siang tadi. Mak dan ayah harap kau sentiasalah menjaga tingkah laku sebagai seorang wanita dan berpegang kuat pada ajaran agama. Ayah dan mak juga berdoa semoga kau dipertemukan jodoh dengan suami yang berakhlak tinggi dan menjadikan agama sebagai panduan hidup,” nasihat ibunya dengan panjang lebar.
“Terima kasih atas doa ayah dan mak. Saya berjanji akan mengikut segala pesanan dan nasihat mak,” dia membalas.
Tok Ketua dan isterinya lalu tersenyum.
“Baguslah kalau macam tu, Siti. Ayah dan mak merasa begitu amat gembira sekali apabila mendengarnya,” kata Tok Ketua pula sebaliknya.
Mereka meneruskan perbualan sehingga ke lewat malam. Tajuk perbualan Tok Ketua bersama-sama dengan isteri dan anaknya ialah mengenai projek tanaman semula di tanah terbiar yang akan diusahakan oleh Azam dan anak-anak muda di kampung ini.
Sepertimana yang dirancang Tok Ketua dan Azam lalu mengadakan pertemuan dengan anak-anak muda di balai raya.
“Assalamualaikum!” Tok Ketua mengucapkan salam sebelum memulakan ucapan.
“Waalaikumsalam!” jawab anak-anak muda yang hadir memenuhi balai raya.
“Terlebih dahulu tok ucapkan terima kasih kepada kamu semua di atas kesudian hadir dalam pertemuan yang diadakan pada petang ini. Tujuan utama pertemuan ini diadakan ialah untuk menerangkan kepada kamu semua mengenai projek tanaman semula di tanah terbiar yang terdapat di kampung ni.”
“Projek ini diusulkan oleh Azam. Sebagai ketua di kampung ni tok berasa begitu amat bersyukur sekali dan menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Azam. Dengan mengusahakan tanah yang terbiar ini hasilnya akan kita nikmati bersama nanti.”
“Jadi, tok minta kamu semua untuk mengusahakan tanah yang terbiar itu bersama-sama dengan Azam. Kamu semua masih muda. Tok dan orang-orang kampung mengharapkan tenaga muda kamu semua untuk mengusahakannya.”
Tok Ketua kemudian mengalihkan pandangan ke arah Azam yang duduk di sebelahnya.
“Zam. Ada apa yang kau nak cakap?” soalnya.
“Terima kasih, tok!” jawab Azam sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Dia kemudian lalu bangun dan memandang rakan-rakan yang sebaya dengannya.
“Saudara-saudaraku sekalian. Di sini kita dilahirkan dan di sini juga kita dibesarkan. Di sini juga kita harus menaburkan bakti dan khidmat. Ayuh saudara-saudaraku. Mari kita bersama-sama membangunkan kampung kita yang tercinta ini!” katanya dengan penuh semangat.
Pohon-pohon yang terdapat di sekitar kawasan balai raya kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin yang datang daripada arah bukit sebagai tanda menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan oleh Azam itu.
“Tanamkanlah tekad dalam diri kita semua untuk bekerja kuat demi kemajuan kampung ini. Jadikanlah projek tanaman semula yang akan kita jalankan nanti sebagai tapak untuk kita menuju ke puncak kejayaan. Boleh atau tidak saudara-saudaraku sekalian?”
Mereka sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Dari raut wajah mereka jelas kelihatan sedang memikirkan dengan sedalam-dalamnya apa yang dikatakan oleh Tok Ketua dan Azam itu.
Salah seorang daripada mereka lalu bangun.
“Aku akan bersama-sama dengan kau Azam untuk mengusahakan tanah tu!”
Kemudian bangun seorang lagi.
“Aku juga akan bersama-sama dengan kau Azam untuk mengusahakan tanah tu!”
Akhirnya mereka semua lalu bangun.
“Kami semua akan bersama-sama dengan kau Azam untuk mengusahakan tanah tu!”
Tok Ketua dan Azam lantas tersenyum gembira.
“Terima kasih semua!” ucap Azam sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Menjelang lewat petang mereka pun beredar meninggalkan balai raya dengan membawa pulang semangat yang membara.
“Syukur alhamdulillah, tok. Doa kita telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Mereka akhirnya nak bersama-sama dengan saya untuk memajukan tanah tu. Saya akan buat kertas kerja untuk dihantar kepada jabatan pertanian bagi mendapatkan bantuan,” kata Azam.
“Baguslah tu. Mana yang baik bagi kau aku ikut aje. Hari pun dah dekat nak masuk waktu maghrib. Marilah kita balik. Nanti kita jumpa di masjid,” balas Tok Ketua.
“Baiklah, tok!” ujar Azam.
Selang beberapa bulan kemudian jabatan pertanian telah meluluskan permohonan yang dikemukakan oleh Azam. Maka projek tanaman semula pun bermula di tanah yang telah sekian lama terbiar. Azam dan anak-anak muda mengusahakannya dengan bersungguh-sungguh dan begitu bersemangat sekali.
“Tak lama lagi sayur-sayur yang ditanam ni dah boleh dipetik. Dah ada pemborong daripada bandar untuk membelinya dan dijual di pasar,” beritahu Azam pada Tok Ketua.
“Alhamdulillah!” ucap Tok Ketua dengan rasa penuh gembira sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Inilah ganjaran yang kita dapat bila berbudi pada tanah. Aku dan orang-orang kampung berasa amat gembira dengan kejayaan kau dan kawan-kawan kau mengusahakan projek ni,” tambah Tok Ketua.
“Saya nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada tok dan orang-orang yang telah memberikan semangat dan sokongan pada saya dan kawan-kawan,” nyata Azam.
“Aku dan orang-orang kampung berasa begitu amat bangga sekali kerana mempunyai anak-anak muda termasuk kau terutamanya yang mempunyai semangat yang tinggi untuk memajukan kampung ini,” sambut Tok Ketua pula sebaliknya.
Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti apabila Majid muncul bersama-sama dengan ayahnya.
“Assalamualaikum!” Orang Kaya Mansor memberi salam.
“Waalaikumsalam!” jawab Tok Ketua dan Azam.
“Apa khabar, tok?” sapanya.
“Alhamdulillah sihat,” balas Tok Ketua.
“Saya datang ni nak minta maaf atas segala pebuatan yang telah dilakukan oleh anak saya selama ni. Banyak saya dengar cerita mengenai anak saya daripada orang-orang kampung. Jadi, saya nasihatkan dia supaya berubah,” jelasnya.
“Ya, tok! Saya minta maaf atas perbuatan buruk saya selama ini,” Majid bersuara dengan rasa penuh penyesalan.
Dia kemudiannya memandang Azam.
“Zam! Aku minta maaf. Kerana cuba untuk menghalang projek tanaman semula yang kau cadangkan demi kebaikan bersama kampung ni dan menuduh kau berkelakuan sumbang dengan Siti,” dia berkata.
“Syukurlah kau dah berubah, Majid. Kau tak ada salah pun dengan tok. Lupakanlah apa yang telah berlaku. Bak kata orang buang yang keruh ambil yang jernih,” ujar Tok Ketua.
“Aku pun begitu jugak, Majid. Sedikit pun aku tidak menyimpan perasaan marah mahupun dendam pada kau. Lagipun, kita hidup sekampung. Tak guna kita bersengketa sesama sendiri kerana akhirnya akan membawa kepada kerugian. Sebaliknya, kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bermuafakat untuk memajukan kampung ini,” tegas Azam pula dengan panjang lebar.
“Memang aku nak bersama-sama dengan kau dan kawan-kawan yang lain untuk mengusahakan projek tanaman semula,” balas Majid.
“Saya juga bersedia untuk membantu dari segi kewangan untuk menjayakan projek ini,” janji Orang Kaya Mansor.
“Alhamdulillah!” ucap Tok Ketua dengan rasa penuh kesyukuran.
Rasa kegembiraan jelas kelihatan di wajah Tok Ketua dan Azam. Matahari yang bersinar indah bersama-sama dengan awan tebal yang memutih dan langit biru serta desiran angin yang bertiup segar dan nyaman turut sama berkongsi rasa gembira.
Demikianlah semangat perjuangan seorang anak kampung demi kemajuan dan kemakmuran kampung yang dicintainya.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~