Cerpen “Semangat Berkobar-Kobar”
Muafakat amat penting dalam
melakukan sesuatu pekerjaan itu.
Tak kiralah apa jenis pekerjaan yang dilakukan sekalipun namun muafakat tetap menjadi keutamaan. Apabila ada muafakat maka kerja yang berat akan menjadi ringan dan cepat dapat diselesaikan.
“Memang cantik apabila kita saling bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain. Tambah pulak macam kita ni yang hidup di kampung. Sejak dari dahulu lagi gotong-royong telah menjadi amalan dalam kehidupan kita,” kata Pak Kadir.
“Bila kita hidup dalam bersatu padu dan bantu-membantu akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim,” balas Pak Bidin.
“Bukan itu sahaja. Malahan sebarang bentuk perpecahan dapat dihindarkan daripada berlaku di kampung kita ni,” celah Pak Ishak pula sebaliknya.
“Aku harap semangat gotong-royong dan muafakat akan terus kekal buat selama-lamanya di kampung kita ni,” ujar Pak Kadir.
Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti. Apabila Pak Salleh muncul bersama-sama dengan dulang yang berisi dengan makanan dan minuman yang dipesan oleh mereka bertiga. Sarapan pagi yang mereka nikmati pada pagi ini ialah pulut cicah dengan sambal tumis ikan bilis campur dengan petai.
Manakala minuman pula ialah Pak Kadir memesan air teh. Sementara Pak Bidin memesan air kopi dan Pak Ishak memesan air Nescafe. Pak Salleh lalu meletakkan perlahan-lahan makanan dan minuman di atas meja yang berbentuk empat segi.
“Pagi-pagi ni kalau tak kena pulut dengan air teh di warung kau ni memang tak sah, Leh,” ujar Pak Kadir.
“Memang betul kata kau tu, Kadir!” sokong Pak Ishak dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Dalam kampung ni tak ada siapa yang boleh lawan pulut cicah dengan sambal tumis ikan bilis campur dengan petai yang kau buat,” pujinya lagi.
“Habis? Selama ni orang rumah masak tak sedaplah,” gurau Pak Salleh sambil tersenyum.
“Aku taklah sampai bermaksud begitu, Leh. Tapi ikhlas aku cakap. Memang sedap pulut dan sambal tumis ikan bilis campur dengan petai yang kau buat ni,” kata Pak Ishak.
“Sebab itulah orang ramai datang ke warung kau ni termasuk dari pekan tu. Nak merasa pulut dengan sambal hasil daripada air tangan isteri kau,” celah Pak Bidin.
“Alhamdulillah!” balas Pak Salleh dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Bila kau orang kata pulut dan sambal kat warung aku ni sedap. Kau orang makanlah, ya. Aku ada kerja nak buat. Bila dah ramai pelanggan memang tak menang tangan jadinya. Kalau kau orang nak tambah nanti hah mintaklah. Nanti aku hantarkan,” sambungnya lagi dengan penuh panjang lebar.
“Yalah! Terima kasih, Leh!” ujar Pak Kadir.
“Sama-sama!” dia membalas sambil beredar membawa dulang yang kosong tanpa makanan dan minuman.
Memang ramai pelanggan yang datang ke warung Pak Salleh untuk menikmati sarapan pagi. Warungnya memang maju dan keuntungan yang diperolehinya setelah ditolak modal perniagaan pun banyak. Itulah yang dinamakan sebagai rezeki buat Pak Salleh yang merupakan pesara polis yang berpangkat sarjan.
Isteri Pak Salleh mendapat resipi untuk menjadikan pulut dan sambal tumis ikan bilis campur dengan petai enak dan sedap daripada ibunya. Sebelum itu resipi ini telah diturunkan oleh neneknya kepada ibunya. Jadi, resipi makanan tradisi ini telah diturunkan daripada ibu, anak dan cucu.
Pak Kadir, Pak Bidin dan Pak Ishak lalu menikmati sarapan pagi dengan begitu amat berselera sekali. Sambil menjamu selera dengan makanan dan minuman yang dipesan daripada warung Pak Salleh. Mereka rancak meneruskan perbualan.
Tajuk perbualan mereka masih lagi mengenai semangat bergotong-royong dan bekerjasama. Sememangnya semangat sedemikian amat diperlukan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan hidup dengan penuh kebersamaan.
“Kau orang tengok masa majlis perkahwinan anak Hassan baru-baru ni. Aku berasa amat gembira. Bila kita semua berjaya melaksanakan majlis kahwin anaknya tu,” ucap Pak Kadir setelah selesai menghirup air teh yang masih lagi panas.
“Mula-mula dia risau jugak. Maklumlah itulah kali pertama dia buat kenduri macam tu. Manalah dia ada pengalaman buat majlis kahwin,” tambah Pak Bidin.
“Kenduri kahwin ni bukan kecik kerjanya. Sebab itulah kita perlu berkampung. Bahagi-bahagikan tugas. Supaya majlis tu nanti berjalan dengan teratur dan sempurna,” celah Pak Ishak.
“Di situlah nampak indah dan cantik apabila kita sentiasa mengamalkan hidup bermuafakat,” tegas Pak Bidin pula sebaliknya.
Dalam melakukan sesuatu perkara terutamanya yang berkaitan dengan pekerjaan muafakat dan kerjasama amat diperlukan. Pekerjaan tidak boleh dilakukan secara berseorangan. Kalau berseorangan maka amat sukar untuk dilaksanakan dan akhirnya tidak dapat diselesaikan. Justeru itu maka pekerjaan perlu dilakukan secara berpasukan dan gandingan tenaga yang mantap.
“Bak kata pepatah berat sama kita pikul. Ringan sama kita jinjing. Kalau ke bukit sama kita daki. Dan kalau ke lurah sama kita turuni,” kata Pak Kadir.
“Batu yang berat akan menjadi ringan apabila kita memikulnya bersama. Sebab itulah kita perlu menjadikan kerjasama dan muafakat sebagai amalan dalam budaya kehidupan kita,” ujar Pak Bidin.
“Gotong-royong dan muafakat bukan sahaja semasa kenduri dan majlis kahwin. Semangat permuafakatan dan kerjasama yang erat juga perlu dibina dalam program dan kegiatan yang diadakan di kampung kita,” ingat Pak Ishak.
“Aku bersetuju sangat dengan apa yang kau katakan tu, Ishak. Bulan lepas kita adakan gotong-royong mengecat masjid. Ramai yang terlibat. Termasuk anak-anak muda. Program macam tu kita perlu adakan secara berterusan. Banyak manfaat dan faedah yang kita dapat bersama,” ulas Pak Kadir pula sebaliknya.
Melalui kegiatan dan program bukan sahaja menjadikan masyarakat di sesebuah kampung itu aktif tetapi juga membentuk mereka untuk mengenali dan memahami dengan apa yang dimaksudkan sebagai muafakat serta kerjasama.
Pada masa yang sama mereka dapat mengetahui betapa pentingnya melaksanakan sesuatu pekerjaan itu secara berpasukan. Dengan adanya semangat yang sedemikian akan menjadikan kita seiring dan sejalan dalam melakukan kerja dalam apa juga bentuk dan peringkat.
Dalam erti kata lain manis sama dirasa. Pahit sama ditelan. Pekerjaan sama-sama digalas. Kejayaan sama-sama dinikmati. Demikianlah cantik dan indahnya apabila sentiasa mengamalkan hidup bermuafakat dan saling tolong-menolong tanpa mengira pangkat mahupun darjat.
“Program seumpama ini perlu diadakan secara berterusan. Barulah terasa semangat gotong-royong dan kerjasama sentiasa tersemat di hati kita sebagai penduduk di kampung ni,” tambah Pak Bidin pula sebaliknya menghangatkan tajuk perbualan.
“Bercakap pasal program ni baru aku teringat. Minggu lepas Tok Ketua ada bagitau aku. Dia nak buat gotong-royong untuk membersihkan sungai di kampung kita,” ucap Pak Ishak.
“Bagus tu. Dah lama kita tak bersihkan sungai kat kampung ni. Sekurang-kurangnya timbul kesedaran di kalangan kita sebagai penduduk kampung untuk mencintai alam sekitar,” sokong Pak Kadir.
“Sungai pun akan sentiasa kelihatan jernih dan bersih. Dalam pada itu apabila ada rasa kesedaran betapa pentingnya kita menjaga alam sekitar yang dianugerahkan Tuhan maka pencemaran tidak akan berlaku dengan sewenang-wenangnya,” tambah Pak Bidin pula.
“Aku akan usulkan perkara ni pada Tok Ketua dalam mesyuarat minggu depan,” kata Pak Ishak.
“Kegiatan yang berbentuk gotong-royong perlu sentiasa diadakan di kampung. Aku akan usulkan juga perkara ni pada Tok Ketua,” ujar Pak Kadir.
“Nampaknya meriahlah kampung kita nanti bila ada banyak program gotong-royong,” celah Pak Bidin.
Memang seronok apabila melakukan pekerjaan dengan secara bergotong-royong dan permuafakatan. Rasa letih tidak akan terasa walaupun pekerjaan yang dilakukan itu amat sukar dan berat. Sebaliknya kegembiraan akan dirasai apabila sama-sama memikul dan berjaya menyudahkannya.
Itulah nikmat yang akan dirasai apabila sentiasa mempunyai semangat hidup bermuafakat dan tolong-menolong tanpa mengira usia mahupun peringkat. Sesungguhnya gotong-royong adalah merupakan antara nilai-nilai murni dan amalan yang mulia dalam kehidupan.
“Memang itulah yang kita nakkan, Bidin. Kampung kita ni sentiasa meriah dengan melakukan gotong-royong. Budak-budak muda pun takdelah membuang masa dengan melakukan perkara yang tak berfaedah. Bila kita ajak mereka bersama-sama,” tegas Pak Kadir.
“Itu memang perlu kita lakukan. Sebab merekalah yang akan mewarisi apa yang telah kita lakukan pada hari ni di masa depan,” ulas Pak Ishak.
“Aku cadangkan kita libatkan mereka dengan gotong-royong membersihkan segala tanah terbiar yang ada di kampung ni. Kita usahakan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. Setidak-tidaknya dapatlah kita nikmati hasilnya nanti bersama-sama dan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung ni. Cadangan ni aku akan usulkan pada Tok Ketua,” ucap Pak Bidin dengan penuh panjang lebar.
“Bagus tu, Bidin!” celah Pak Kadir dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Bila mesyuarat tu?” tanya lagi.
“Hari Sabtu depan,” jawab Pak Bidin pula.
“Aku yakin. Semua cadangan kita ni akan diterima oleh Tok Ketua dan orang-orang kampung,” kata Pak Ishak.
“Perkara yang membawa kepada kebaikan dan kesejahteraan pada kampung ni pasti akan diterima oleh semua,” balas Pak Kadir.
Setelah lama berada di warung Pak Salleh untuk menikmati sarapan pagi dan membincangkan tajuk mengenai kepentingan mengamalkan muafakat dan gotong-royong dalam kehidupan maka Pak Kadir, Pak Ishak dan Pak Bidin lalu beredar dan pulang ke rumah masing-masing dengan membawa semangat yang berkobar-kobar.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~