Cerpen “Kifarah”
Angin yang datang daripada laut
bertiup lembut dan dingin. Matahari bersinar dengan begitu amat indah sekali. Pohon-pohon menghijau yang tumbuh di tepi pantai kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri mengikut irama angin laut yang bertiup.
Desiran sang ombak tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih memutih yang timbul dan menghilang kerana ditolak dan ditarik oleh ombak kelihatan membasahi gigian pantai yang tenang dan damai. Pasir yang memutih dan halus kelihatan berkilauan seperti mutiara apabila disinari cahaya matahari.
Dia ingin kembali semula ke pangkal jalan setelah sekian lama sesat dan hanyut dalam arus kehidupan dunia. Seluruh hidupnya lebih banyak bergelumang dengan noda dan dosa. Sehingga dia lupa akan kewajipan sebagai seorang hamba yang hidup di dunia ini iaitu mentaati dan patuh terhadap perintah Allah SWT.
“Apa tujuan sebenarnya kamu datang ke sini?” tanya Pak Tua.
“Saya nak mencari semula diri saya yang hilang selama ini …,” dia menjawab dalam nada suara yang perlahan.
“Hilang?” ulang Pak Tua pula sebaliknya.
“Ya, Pak Tua …!” angguknya perlahan sambil memandang wajah Pak Tua.
“Kamu selama ini terlalu khayal dan seronok dengan kenikmatan hidup di dunia,” kata Pak Tua.
Dia lalu jadi terdiam apabila mendengar kata-kata Pak Tua itu. Sesungguhnya hidup ini umpama lautan biru yang terbentang luas. Pasang dan surut silih berganti. Rasa suka dan duka mewarnai perjalanan hidup yang dilalui. Hidup juga ibarat roda yang berputar. Adakalanya berada di atas dan adawaktunya berada di bawah.
Memang benar kenyataan itu dan tidak dapat dinafikan lagi. Dahulu hidupnya berada di atas. Tapi sekarang hidupnya di bawah. Kalau dahulu dia menelan rasa yang manis bagaikan madu. Namun kini tidak lagi. Sebaliknya dia menelan rasa yang pahit seperti hempedu.
Barulah dia menyedari kini bahawa Allah SWT yang berkuasa ke atas segala-galanya. Walau sehebat mana dan sekaya mana sekalipun tidak akan dapat menandingi kekuasaan-Nya. Bila-bila masa sahaja kesenangan dan kemewahan hidup boleh diambil kembali. Itulah yang dialaminya kini.
“Apa? Derma anak yatim?” soalnya.
“Ya, tuan!” jawab Alina pembantu peribadinya melalui telefon.
“Dia orang nak jumpa tuan,” ujarnya lagi.
“Pagi-pagi lagi dah mengacau! Suruh dia orang masuk!” arahnya dalam suara yang marah bercampur keras.
“Baik tuan!” balas Alina.
Dia lalu meletakkan gagang telefon semula. Kemudian dia lalu bangun dan menuju ke arah dua orang lelaki daripada rumah anak yatim yang duduk di kerusi.
“Cik! Tuan suruh masuk!”
“Baiklah! Terima kasih!”
“Sama-sama, cik!”
Kedengaran bunyi pintu bilik diketuk.
“Masuk!”
Daun pintu lalu ditarik.
“Assalamualaikum, tuan!”
“Waalaikumsalam! Apahal awak berdua datang pagi-pagi ni jumpa saya!” dia membalas sambil bersalaman dengan kedua-dua lelaki itu.
“Hah! Duduklah!”
“Terima kasih, tuan. Saya minta maaf kalau kedatangan saya ni mengganggu tuan. Terlebih dahulu saya kenalkan diri saya. Saya Kamal. Yang ini pulak Encik Arif. Kami berdua daripada rumah anak yatim ….”
“Awak cakap ajelah. Apa hajat awak datang jumpa saya ni? Saya ada banyak kerja. Jadi, tak usah buang masa saya!” meninggikan suara dalam bilik yang dikepung dengan kesejukan alat penghawa dingin.
Hawanya terpampan pada dinding batu bilik yang dicat dengan warna putih. Melihatkan keadaan biliknya yang begitu amat besar dan dihias dengan perabot mewah jelas dapat menggambarkan bahawa betapa banyak harta kekayaan yang dimilikinya. Dia langsung tidak memandang wajah kedua-dua lelaki itu.
Sebaliknya dia pura-pura sibuk sambil menulis sesuatu di atas kertas. Dari raut wajahnya jelas kelihatan bahawa dia benar-benar berasa tidak senang menerima kedatangan dua orang lelaki daripada rumah anak yatim itu. Baginya kedua-dua lelaki itu tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepadanya.
Kedatangan mereka berdua bukan atas urusan perniagaan. Dia hanya mahu berurusan dengan orang yang boleh membawa keuntungan dan menambahkan lagi kekayaan dalam hidupnya. Bukannya dengan kedua-dua lelaki ini yang datang semata-mata untuk meminta derma anak yatim daripadanya.
Kedua-dua lelaki itu kemudian lalu saling berpandangan.
“Baiklah, tuan! Begini! Kami berdua datang nak memohon sumbangan ikhlas anak yatim ….”
“Dah tak ada tempat lain ke kau orang nak minta sumbangan!” dia pantas memotong sambil meninggikan suara.
“Ya! Saya tahu tuan …!”
“Kau orang berdua ingat duit aku ni macam daun yang gugur daripada pokok, ke. Hah! Senang kutip. Lepas tu bagi kat kau orang. Hei! Aku ni susah payah tau nak cari duit besarkan lagi perniagaan aku. Kau orang pulak senang-senang aje mintak!” dia memaki hamun kedua-dua lelaki itu.
Mereka sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Walaupun dalam hati terasa begitu amat pedih sekali kerana dilemparkan dengan kata-kata penghinaan itu. Namun mereka tetap bersabar dan menganggap ia sebagai ujian daripada Allah SWT. Jauh sekali di sudut hati mereka hendak menyimpan dendam.
Sebaliknya mereka mendoakan agar tuan besar yang mengeluarkan kata-kata cacian ini akan mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT untuk berubah sebelum terlambat. Bagi mereka berdua itulah yang paling baik perlu dilakukan sebagai umat sesama Islam.
“Tak apalah, tuan …. Kami berdua mintak diri dulu. Sekali lagi kami mintak maaf kerana menganggu tuan.”
“Hah! Elok la tu. Pergilah cari derma di tempat lain. Ingat! Kalau kau orang berdua nak jumpa aku atas urusan bisnes sahaja. Faham!”
Kedua-dua lelaki itu pun lalu mengatur langkah dengan tenang dan berlalu pergi.
“Apahalnya dia orang berdua tu datang?” soal Rodiah.
“Dia orang datang nak mintak derma anak yatim. Kesian tau. Dia orang kena halau dengan boss,” jawab Alina.
“Eh! Mana kau tahu ni?” tanya Rodiah lagi.
“Aku dengar tadi. Boss marah-marah kat dia orang. Kuat pulak tu. Sampai boleh dengar kat luar ni,” balas Alina.
“Hai …! Entahlah …!” keluh Rodiah pula sebaliknya sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Apalah nak jadi dengan boss ni? Tak nak bagi derma pun tak apalah. Tapi janganlah marah-marah,” sambungnya lagi.
“Entahlah, Rodiah! Aku pun tak fahamlah dengan perangai dia,” kata Alina.
“Dahlah! Biarlah dia tanggung sendiri apa yang dia dah buat. Tak usahlah kita pikirkan sangat. Kita buat ajelah kerja kita. Oklah! Aku ada banyak kerja nak kena siapkan ni. Nanti tak pasal-pasal aku pulak kena marah bila tak siap. Kau paham-paham ajelah perangai dia tu,” ujar Rodiah sambil berlalu pergi.
Sayup-sayup kedengaran suara ombak menghempas pantai. Angin laut yang tadinya bertiup perlahan lalu bertukar menjadi kencang. Daun-daun kering kelihatan jatuh melayang-layang daripada pokok apabila ditiup angin dan menimpa butiran pasir yang memutih dan halus bagaikan sutera.
Dia lalu menarik nafas yang panjang sambil memandang lautan biru yang luas terbentang. Sambil mengenangkan kembali sikap angkuh dan sombong ketika hidup dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan. Kerana memiliki wang dan harta yang banyak seolah-olah menjadikan dia berkuasa dan memandang rendah orang yang tidak setaraf dengannya.
“Tergamak kamu menghalau dan menghina orang yang datang hendak meminta derma anak yatim,” kata Pak Tua.
Dia sebaliknya tidak mampu untuk bersuara. Mulutnya seperti terkunci rapat dan tidak dapat mengeluarkan kata-kata. Rasa dingin dan segar bayu laut yang berhembus mengusapi seluruh tubuhnya. Barulah dia menyedari kini bahawa langit itu sebenarnya adalah tinggi dan bukannya rendah.
“Tidakkah kamu lupa bahawa kamu juga anak yatim. Sudah menjadi tanggungjawab kamu untuk membantu mereka dan bukannya memandang mereka rendah dan sebagai satu beban kepada kamu,” ujar Pak Tua lagi.
Dia terus membisu sambil memejamkan kedua-dua belah mata. Rasa penyesalan jelas kelihatan di wajahnya. Disebabkan memiliki harta kekayaan dan wang yang banyak maka dia menjadi lupa daratan dan asal usul. Kerana dahulu hidupnya susah dan dengan tiba-tiba menjadi senang dan mewah juga menyebabkan dia jadi begitu. Dia kemudian lalu menarik nafas yang panjang dan membuka semula mata memandang wajah Pak Tua.
“Inilah balasan Tuhan terhadap apa yang telah saya lakukan selama ini ….” Nada suaranya jelas kedengaran tenggelam bersama-sama dengan deruan ombak yang menghempas pantai.
Fikirannya terus melayang jauh mengingati kisah-kisah lama yang pernah menghiasi dalam hidupnya. Hidupnya lebih banyak dihabiskan dengan berfoya-foya, minum arak, berjudi dan melakukan maksiat. Dengan wang dia boleh membeli dan mendapatkan apa sahaja dalam hidup ini.
“Aku dah berjaya dapatkan tender tu!” dia berkata dengan rasa penuh gembira.
“Kau memang hebat! Tender tu bukan senang nak dapat. Tapi akhirnya jatuh jugak ke tangan kau,” ujar Jalil.
“Kalau inginkan hidup yang mewah dan senang maka kita perlu buat apa sahaja,” balasnya.
Jalil lalu ketawa.
“Termasuk menutup pintu rezeki orang lain. Bukan begitu?” ucap Jalil.
“Ya!” angguknya pula dengan pantas.
“Sesiapa yang bersaing dengan aku adalah musuh yang perlu aku hapuskan. Tak kira dalam apa cara sekali pun. Tengok apa dah jadi dengan Pawana Holdings. Lenyap dan berkubur!” sambungnya lagi sambil ketawa terbahak-bahak.
“Oooo …! Kaulah rupanya yang telah memusnahkan syarikat Pawana Holdings!” kata Jalil sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Dah nasib dia tersungkur di tangan aku. Tak dapat cara yang keras aku buat dengan cara yang halus. Mudah, kan?” ujarnya.
“Baru aku tahu sekarang. Pawana Holdings sebuah syarikat yang besar jatuh kerana disabotaj,” balas Jalil.
Dia sebaliknya tersenyum apabila mendengar kata-kata Jalil itu. Rasa kepuasan jelas kelihatan di wajahnya. Pawana Holdings yang menjadi musuh ketat dalam perniagaan telah berjaya dimusnahkannya. Tiada siapa yang boleh menghalang keinginannya untuk terus berkuasa dan menikmati kemewahan dalam hidup.
“Kau sendiri dah tahu jawapannya, bukan. Sudahlah! Sebagai tanda meraikan kejayaan aku dapat tender tu malam ni kau datang di tempat biasa. Kita enjoy. Aku tanggung semuanya!” dia berkata.
Rasa kegembiraan lalu kelihatan di wajah Jalil.
“Aku seorang aje. Macam mana dengan kawan-kawan kita yang lain?”
“Kau ajaklah mereka sekali!”
Matahari semakin meninggi di kaki langit. Sinaran cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kawasan pantai yang bersih dan indah. Sambil memeluk tubuh dia melemparkan pandangan yang tajam ke arah permukaan laut. Bayu laut yang bertiup perlahan dan nyaman mengusapi seluruh tubuhnya.
“Kamu kaya dengan melakukan dosa dan penganiayaan terhadap orang lain. Tapi miskin dalam melakukan amal ibadat,” Pak Tua berkata.
“Entahlah, Pak Tua …. Saya pun tak tahu kenapa saya boleh jadi begitu …,” dia bersuara lemah.
“Kamu lebih banyak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT,” tambah Pak Tua.
“Sekarang baru saya sedar. Selama ini saya banyak melakukan kesilapan.” Dia meluahkan rasa penyesalan.
Pak Tua sebaliknya hanya diam. Rasa simpati jelas kelihatan di wajahnya. Laut tidak sentiasa nampak tenang. Adakalanya dilanda gelombang. Demikian jugalah dengan kehidupan manusia di dunia ini. Keindahan tidak semestinya dapat dinikmati untuk selama-lamanya dalam hidup ini. Satu hari nanti akan bertukar juga menjadi kesuraman walaupun tidak dipinta ia datang.
Sesungguhnya perjalanan dan corak dalam kehidupan sebagai seorang manusia bukan kita yang menentukannya. Sama ada kita dapat meneruskan atau tidak perjalanan dalam hidup ini bukan terletak di tangan kita. Sebaliknya ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Esa yang mencipta alam semesta dan manusia sebagai makhluk di dunia ini.
Pohon-pohon hijau dan rendang yang memenuhi kawasan di tepi pantai kelihatan seperti melenggang-lengguk apabila ditiup angin laut. Sementara itu daun-daun yang terbuai-buai dan bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.
“Saya mintak maaf, tuan. RM 100,000.00 bukannya sedikit,” kata Ramli.
“Awak jangan banyak cakap. Saya pengurus besar di syarikat ni. Apa yang saya arahkan awak kena buat!” dia membalas dalam nada suara yang keras.
“Itu saya tahu, tuan!” jawab Ramli dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Tapi duit syarikat mana boleh digunakan untuk kepentingan peribadi. Saya tak nak bersubahat dalam hal ni!” tegas Ramli lagi dengan menggeleng-gelengkan kepala.
Kemarahannya semakin memuncak apabila mendengar kata-kata Ramli itu.
“Ramli!” tengkingnya sambil menumbuk meja sehingga hampir menggegarkan seluruh bilik.
“Awak nak buat atau tidak! Kalau awak tak buat jugak saya akan berhentikan awak sekarang!” ugutnya dengan meninggikan suara.
“Saya pilih berhenti kerja, tuan,” dia berkata dengan jujur.
“Awak jangan cabar saya, Ramli!”
“Lebih baik saya keluar dari syarikat ini daripada bersubahat dengan tuan melakukan pecah amanah.”
Kata-kata Ramli itu menaikkan lagi api kemarahannya.
“Baiklah! Kalau itu yang awak pilih awak keluar sekarang. Pergi berambus! Saya tak mahu tengok lagi muka awak!”
Ramli pun lalu diberhentikan. Sememangnya dia seorang pekerja yang amat jujur dan amanah. Maka tidak lama kemudian dia diterima untuk bekerja sebagai pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat percetakan. Rezekinya semakin bertambah-tambah semenjak memegang jawatan itu. Inilah hikmah apabila dia diberhentikan kerja dan ganjaran yang diberikan Allah SWT atas kejujuran dan menjaga amanah yang ditunjukkannya selama ini.
“Dahsyat kamu, ya. Kehendak kamu tak boleh ditentang. Sedangkan apa yang kamu lakukan itu adalah salah,” ujar Pak Tua.
“Tak lama selepas itu syarikat saya jatuh bankrap. Puncanya saya terlalu banyak menggunakan wang syarikat untuk memenuhi nafsu dan keinginan untuk terus hidup dalam kekayaan dan kemewahan. Hutang yang saya tanggung juga semakin meningkat dari sehari ke sehari. Sehingga saya tidak mampu untuk membayarnya …,” dia membalas dalam nada suara yang lemah dan panjang lebar.
“Kamu kan ramai kawan. Dia orang tak tolong kamu, ke?”
“Bila saya dah jadi begini dia orang semua menjauhkan diri daripada saya.”
“Itu sudah menjadi lumrah dalam hidup ini. Kawan ketawa memang ramai dan tak payah dicari. Tapi kawan menangis tak ada seorang pun!”
“Saya benar-benar menyesal dan insaf …,” luahnya.
“Syukurlah! Kerana kamu telah diberikan hidayah oleh Allah SWT. Bertaubat dan kembalilah semula ke pangkal jalan. Selagi kamu masih lagi diberi peluang. Mudah-mudahan taubat kamu akan diterima dan segala dosa serta kesalahan yang kamu lakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT maha penyayang dan maha pengampun. Kita sebagai manusia tiada yang sempurna dan tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap,” balas Pak Tua pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
“Terima kasih, Pak Tua …. Kerana memberikan kata-kata semangat …!” ucapnya sambil menitiskan air mata.
Pak Tua lalu menarik nafas yang panjang dan mengangguk-anggukkan kepala.
“Sudahlah! Anggaplah semua yang telah berlaku sebagai kifarah terhadap apa yang telah kamu lakukan selama ini. Jadikanlah ia sebagai pengajaran dan teladan dalam hidup kamu. Dalam pada itu kamu lupakanlah apa yang telah berlaku dan binalah kehidupan yang baru,” kata Pak Tua lagi.
Dia sebaliknya lalu mengangguk-angguk diam. Suara ombak yang menghempas pantai terus bergema memecah suasana. Rasa kesyukuran jelas terpancar di wajahnya kerana dipertemukan dengan Pak Tua yang telah memberikan perangsang dan kata-kata semangat ketika dia kehilangan segala-galanya dalam hidup yang berpunca daripada kelalaian dan kesilapan yang telah dilakukannya selama ini.
Semoga kisah ini akan menjadi ikhtibar dan teladan kepada kita semua. Sebagai hamba seharusnyalah kita sentiasa mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Janganlah sesekali hendaknya kita ingkar dan melakukan kemungkaran di atas dunia yang hanya buat sementara waktu ini.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~