Cerpen “Belia Harapan Bangsa”
Tiga Lelaki ( Bora )
Pagi. Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali.
Sinaran matahari di kaki langit mengeluarkan cahaya yang terang-benderang dan menyinari seluruh kampung yang indah dan permai. Angin bertiup perlahan dan nyaman.
Pohon-pohon yang menghijau melenggang-lengguk apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.
“Tahniah, Hanif. Aku tumpang rasa gembira dan bangga apabila kau dipilih untuk menjadi pengerusi baru persatuan belia,” kata Nazri.
“Aku pun begitu jugak, Hanif. Dengan ciri-ciri kepimpinan yang ada dalam diri kau memang sewajarnyalah kau dilantik untuk menerajui persatuan belia di kampung kita ni,” ujar Amran.
“Terima kasihlah aku ucapkan pada kau orang berdua dan ahli-ahli yang lain kerana telah memberikan kepercayaan. Bagi aku ini adalah amanah dan tanggungjawab yang amat besar yang harus aku laksanakan. Pada masa yang sama aku tidak boleh mengecewakan impian dan hasrat ahli-ahli persatuan. Lebih-lebih lagi apabila persatuan kita tidak bergerak aktif dengan program dan aktiviti,” balas Hanif pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti apabila Mak Kiah ibu Hanif muncul daripada dapur sambil membawa dulang yang berisi tiga cawan air kopi yang masih lagi panas dan sepinggan kuih lepat ubi. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi dan dialas dengan kain yang berwarna merah hati.
“Susah-susah aje Mak Kiah ni,” ucap Amran.
“Air kopi dengan lepat ubi aje, Amran. Jemputlah minum,” pelawa Mak Kiah.
“Jemputlah minum sekali, Mak Kiah,” celah Nazri.
“Kamu bertiga minumlah. Mak Kiah ada kerja kat dapur tu,” dia membalas.
“Terima kasih, Mak Kiah,” ucap Amran sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sama-sama!” dia berkata sambil memegang dulang dan lalu masuk semula ke dapur.
“Hah! Jemputlah minum. Rezeki kau orang ni!” ujar Hanif.
Mereka lalu bersama-sama menikmati air kopi dan kuih lepat ubi yang dihidangkan oleh Mak Kiah. Angin yang tadinya bertiup perlahan dan nyaman lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon yang merendang kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin yang datang daripada arah bukit yang tidak jauh daripada rumah Hanif.
“Banyak program dan aktiviti yang boleh kita lakukan dan boleh memberikan banyak manfaat dan faedah kepada ahli-ahli persatuan kita,” kata Nazri sebaik-baik sahaja selesai meneguk air kopi.
“Memang itulah yang aku harapkan, Nazri!” celah Hanif dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Melalui program dan aktiviti yang dijalankan aku juga berharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan ahli persatuan,” dia menyambung lagi.
“Memang betul kata kau tu, Hanif. Dengan silaturrahim yang kukuh di kalangan ahli persatuan akan menjadikan setiap program dan aktiviti yang kita adakan akan berjaya dilaksanakan,” ujar Amran.
“Dalam pada itu kerjasama dan sokongan ahli juga amat penting. Kalau tak program dan aktiviti yang kita rancang dan laksanakan tidak akan dapat mencapai matlamatnya,” tambah Nazri pula.
Demikianlah rancaknya perbualan ketiga-tiga anak muda itu. Ternyata mereka begitu amat bersemangat sekali untuk menggerakkan pelbagai program dan aktiviti persatuan belia di tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan. Pohon-pohon yang kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin seolah-olah menyatakan sokongan dan menyuntikkan lagi semangat kepada mereka.
Apabila dilantik sebagai pengerusi persatuan belia dalam pemilihan ahli jawatankuasa yang baru yang diadakan baru-baru ini maka banyak perkara yang bermain dalam fikiran Hanif. Baginya bukan sahaja perlu memimpin ahli-ahli tetapi juga perlu memikirkan pelbagai program dan aktiviti yang bukan sahaja dapat menaikkan nama persatuan malahan juga kampung halaman yang dicintai.
“Aku nak ahli-ahli persatuan kita berasa seronok dan gembira dengan program dan aktiviti yang kita adakan. Apabila sudah berasa gembira dan seronok sudah pasti mereka akan memilih untuk tinggal di kampung ini dan tidak keluar ke bandar,” kata Hanif.
“Dalam pada itu mereka juga tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat,” tambah Nazri.
“Aku rasa kau tentu dah ada bermacam-macam program dan aktiviti untuk ahli-ahli persatuan kita,” ujar Amran pula sambil memandang Hanif.
“Aku mahu semua ahli persatuan kita sihat dan cergas. Jadi, kita perlu memperbanyakkan program dan aktiviti yang berbentuk sukan. Lebih menarik lagi jika kita adakan pertandingan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw dan berbagai-bagai lagi yang juga bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan di kalangan ahli persatuan kita,” dia berkata dengan penuh panjang lebar.
Selain daripada bergiat aktif dalam persatuan sejak daripada bangku sekolah dan universiti lagi Hanif yang kini bertugas sebagai guru sekolah menengah juga seorang yang bergiat aktif dalam sukan. Dia menjadikan sukan sebagai tapak untuk membina badan yang sihat dan kecerdasan diri. Jadi, dia mahu semua ini berada dalam diri setiap ahli persatuan yang dipimpinnya.
“Bagus tu, Hanif!” balas Amran dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Selain daripada itu apalagi rancangan kau?” tanyanya lagi dengan penuh minat.
“Kita perlu mengadakan program yang dapat membentuk nilai-nilai murni dan budi bahasa. Sebagai golongan muda semua ini perlu ada dalam diri kita,” dia menjawab.
“Satu program yang sangat baik. Aku setuju sangat!” sokong Nazri.
“Hidup berkampung terutamanya gotong-royong dan bermuafakat perlu kita terapkan ke dalam diri ahli-ahli persatuan kita. Satu program khas perlu kita adakan untuk memberikan kefahaman dan pendedahan ke dalam diri mereka tentang apa yang dikatakan sebagai hidup berkampung dan bermuafakat,” jelas Hanif lagi.
Matahari di kaki langit semakin meninggi. Awan tebal memutih dan langit yang membiru kelihatan begitu amat bersih sekali. Sementara itu angin bertiup tidak menentu. Adakalanya lemah-gemalai dan adaketikanya kencang. Tanda-tanda hujan akan turun tidak kelihatan langsung.
Sebenarnya sudah lama juga hujan tidak turun. Hampir lima bulan lamanya. Bahang terik matahari terasa seperti api yang membakar apabila menghinggapi permukaan kulit. Daun-daun yang berwarna hijau telah bertukar menjadi kekeringan dan keperangan akibat terkena pancaran matahari yang hangat.
Begitu juga dengan rumput-rumput yang menghijau. Seperti juga daun-daun bertukar warna menjadi keperangan akibat daripada cuaca yang panas terik. Tanah-tanah juga banyak yang merekah dan kekeringan akibat daripada musim panas dan kemarau. Daun-daun yang kekeringan dan jatuh berguguran akibat ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan tanah.
“Program untuk menanamkan semangat dan rasa cintakan tanah air juga perlu kita adakan,” ujar Hanif.
“Itu sudah semestinya. Program ini kita perlu adakan setiap kali tibanya sambutan bulan kemerdekaan,” sampuk Amran.
“Apa yang penting ialah kita sebagai generasi muda dapat mengetahui sejarah perjuangan dan pahir getir pejuang-pejuang membebaskan negara daripada cengkaman penjajah termasuk membendung ancaman komunis pada zaman darurat,” tambah Nazri.
“Kita seharusnyalah berterima kasih dan menghargai pengorbanan serta perjuangan mereka yang membolehkan kita dapat menikmati suasana hidup yang merdeka dan aman. Semangat yang telah ditunjukkan oleh mereka harus kita jadikan sebagai teladan dan sumber inspirasi di samping kesetiaan kita terhadap negara yang dicintai ini,” tambah Hanif pula sebaliknya dengan penuh semangat yang berkobar-kobar.
Suara pelepah nyiur di halaman rumah Hanif yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa apabila ditiup angin. Bunyi ranting kayu yang jatuh bergemertap daripada pokok apabila ditiup angin dan menimpa permukaan tanah yang kering juga jelas kedengaran.
Hanif juga berdoa semoga segala program dan aktiviti yang dirancang akan menjadi kenyataan dan berjaya dilaksanakan. Baginya kejayaan program dan aktiviti yang dijalankan adalah bukan miliknya sebagai pengerusi persatuan belia. Sebaliknya adalah hasil daripada kerjasama dan sokongan ahli jawatankuasa termasuk ahli-ahli yang lain.
Jauh sekali di sudut hatinya apabila dilantik sebagai pengerusi persatuan hendak mendapat nama mahupun pujian. Tetapi apa yang disemai dan ditanamkan di dalam dirinya adalah memimpin persatuan belia sebaik mungkin dan membina ahli-ahli yang cemerlang dan berkarisma di samping dapat menyumbangkan khidmat dan bakti kepada masyarakat termasuk juga negara.
“Semakin bersemangat dan menarik aku mendengar perancangan program dan aktiviti yang kau susun untuk persatuan kita,” nyata Nazri.
“Aku yakin. Dalam setahun penuh dengan berbagai-bagai program dan aktiviti persatuan kita,” celah Amran.
“Mudah-mudahan begitulah. Program yang berbentuk keagamaan juga perlu diperbanyakkan. Agar kita dan ahli-ahli persatuan yang lain dapat mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT,” kata Hanif.
“Insya-Allah!” ujar Nazri pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Semoga Allah SWT akan memberkati dan merahmati segala usaha yang kita lakukan ini,” sambungnya lagi.
“Didikan agama sememangnya amat penting dalam membentuk insan yang mulia dan berakhlak tinggi. Dengan mengadakan banyak program keagamaan adalah merupakan usaha yang murni dan jalan yang terbaik untuk menjadikan diri kita insan yang benar-benar taat dan patuh terhadap segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya,” ulas Amran pula dengan penuh panjang lebar.
Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyusup masuk melalui atap zink dan celah-celah dinding papan serta tingkap rumah pusaka peninggalan arwah nenek sebelah ibu Hanif. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyelubungi seluruh ruang tamu rumah.
Daun-daun yang terbuai-buai dan menari-nari akibat disapu angin yang bertiup kedengaran seperti menyanyi-nyanyi riang. Ketenangan dan kedamaian jelas dapat dirasakan di desa yang penuh permai dan indah ini. Pohon-pohon nyiur yang sentiasa melambai-lambai apabila ditiup angin seperti menyeru kepulangan anak-anak muda ke kampung halaman dengan segera agar menaburkan bakti dan tenaga di tempat yang menjadi saksi mereka dilahirkan dan juga membesar.
“Program dan aktiviti yang bertujuan untuk memperkasakan adat dan warisan budaya juga perlu kita adakan,” nyata Hanif.
“Aku benar-benar teruja dan tak sabar-sabar untuk melihat program itu dilaksanakan,” balas Amran.
“Banyak faedah dan manfaat yang akan kita perolehi melalui program itu nanti terutamanya dalam menanamkan rasa kasih dan sayang terhadap warisan budaya dan adat yang telah sekian lama diwarisi sejak daripada datuk nenek moyang kita dahulu lagi,” celah Nazri.
“Dah banyak aku bawak pelajar aku menyertai program yang berteraskan adat dan warisan budaya. Jadi, sebagai kesinambungan yang berterusan aku nak bawak pulak ahli-ahli persatuan kita ke dalam program ini,” jelas Hanif lagi.
“Adat dan warisan budaya harus kita pertahankan. Kita tidak boleh biarkan ia hilang dan hanyut dengan begitu sahaja. Kerana ia adalah khazanah yang terlalu berharga dan tinggi nilainya,” ucap Amran.
“Kita juga harus ingat bahawa kitalah yang akan mewarisi adat dan warisan budaya pada masa depan. Jadi, melalui program yang akan kita adakan ini akan dapat memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam lagi tentang apa yang dikatakan sebagai warisan budaya dan adat itu,” tegas Hanif.
“Memang benar apa yang kau katakan tu, Hanif!” sampuk Amran pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Selama ini kita hanya mendengar sahaja yang adat dan warisan budaya menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Tetapi kita tidak mengetahui dan mendapat gambaran yang jelas mengenainya,” dia menambah lagi.
“Sebab itu program yang berbentuk warisan budaya dan adat perlu diketengahkan kepada kita dan semua ahli persatuan,” kata Hanif.
Nazri dan Amran sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja apabila mendengar kata-kata Hanif itu. Sebagai tanda menyatakan persetujuan dan sokongan sepenuhnya terhadap hasrat Hanif untuk memperkasa dan memartabatkan adat serta warisan ke dalam diri setiap ahli persatuan.
Selain daripada itu, dia juga mahu melihat anak-anak muda yang seusia dengannya berjaya dalam kehidupan. Oleh itu maka program untuk membentuk dan membina kecemerlangan serta sahsiah diri perlu diadakan. Baginya ini adalah sebagai langkah permulaan dan suntikan semangat yang perlu diberikan kepada mereka.
“Program yang bertujuan untuk membina kerjaya yang cemerlang juga menjadi salah satu daripada agenda utama aku. Kita mesti buktikan walaupun hidup di kampung kita juga boleh berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam kehidupan,” katanya.
“Aku berasa begitu amat gembira sekali apabila mendengar yang kau nak bawak program tu. Yalah! Tak semestinya kita harus berhijrah ke bandar untuk mencari kejayaan. Di kampung ni jugak kita boleh mencipta kejayaan asalkan rajin dan sentiasa berusaha,” sokong Amran.
“Seperti kata pepatah di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Di mana-mana sahaja kita boleh berjaya,” tambah Nazri.
“Melalui program ni aku berharap akan dapat menarik minat kita dan ahli-ahli persatuan yang lain untuk menceburi bidang perniagaan atau pertanian seumpamanya. Ini juga adalah merupakan salah satu cara untuk memberikan peluang pekerjaan kepada mereka dan menaburkan bakti kepada penduduk di kampung ni,” ujar Hanif pula sebaliknya.
Disebabkan terlalu rancak berbual maka tanpa disedari telah pun tengah hari. Amran dan Nazri lalu meminta diri untuk pulang ke rumah. Sebelum beredar mereka bertiga juga seempat berbincang mengenai penyediaan kertas kerja program dan aktiviti persatuan yang telah dirancang termasuk perbelanjaan serta cara bagaimana untuk mendapatkannya.
Demikianlah paparan kisah yang diharapkan akan dapat memberikan motivasi dan semangat kepada golongan muda agar melakukan perkara yang mendatangkan impak yang berfaedah serta manfaat bersama-sama dengan masyarakat di samping mencipta kecemerlangan diri dan juga kehidupan. Maka sewajarnyalah kita memberikan sokongan moral dan bantuan agar apa yang mereka impikan akan menjadi kenyataan dan dapat direalisasikan. Ingatlah bahawa golongan belia adalah harapan negara di masa hadapan.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~