Kenapa Lelaki Merajuk Dengan Perempuan?
Apa sebab lelaki selalu merajuk?
Lelaki merajuk itu bukan perkara luar biasa
kerana lelaki juga manusia biasa yang diciptakan Tuhan dengan pelbagai perasaan. Sama ada perasaan itu mereka tunjukkan atau sorokkan seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Maka wanita perlu cuba selami hati dan jiwa mereka juga. Ketahui sebab dan perhatikan perkara apa yang membuat si lelaki selalu merajuk dan berjauh hati.
Jom semak sebab-sebab kenapa lelaki merajuk dengan kita..
SEBAB #1
Melihat Kekasih Berbual Atau Bergurau Manja Dengan Lelaki Lain
Mata lelaki sememangnya tak boleh melihat kekasih bermesra dengan orang lain. Ada masanya, kekasih hanya menjalankan tugas sebagai penjual barang atau perkhidmatan dan sememangnya memerlukan gaya percakapan yang meyakinkan serta personaliti menarik, tetapi si lelaki pasti mudah merajuk apabila melihat orang lain bercakap atau mengusik kekasihnya lebih daripada dirinya sendiri.
Lelaki tak boleh tengok kekasih hati bergurau secara berlebihan dengan orang lain. Hati mereka pasti terasa sakit.
SEBAB #2
Kena Bebel Dengan Kesayangan Hati
Untuk seorang lelaki, apabila dibebel oleh orang yang mereka sayangi, jiwanya mudah terasa dan merajuk. Ianya sama ada apa yang disampaikan itu tepat dan mengena dengan point atau mereka rasa tercabar apabila mendapat bebelan tersebut. Ada jenis lelaki yang terasa rimas kerana tak suka dibebel seperti budak kecil. Maruah mereka terasa seperti dipijak-pijak.
SEBAB #3
Rasa Tidak Dihargai
Sesungguhnya, lelaki akan melakukan yang terbaik buat kekasih hatinya jika dia benar-benar sayang, tapi ada masanya wanita terlepas pandang hal tersebut dan mereka seakan tidak menghargai usaha yang dilakukan.
Sebagai contoh, si lelaki telah berusaha mencari kerja tapi masih tak dapat kerja tetap, maka dengan mudah pihak wanita memarahinya dan menuduh si dia tidak bersungguh serta hanya memberi alasan.
SEBAB #4
Mahukan Perhatian
Si wanita mungkin terlalu sibuk dengan kerja sehingga jarang keluar bersama dengan si lelaki. Ini membuat si lelaki terasa kurang mendapat perhatian kekasihnya.
Dia juga mungkin merasakan bahawa dirinya diperlukan untuk waktu tertentu sahaja. Jadi dengan cara merajuk, tidak membalas mesej atau menjawab panggilan si wanita untuk beberapa jangka masa tertentu, ini dapat menarik perhatian pihak si wanita. Sesungguhnya, si lelaki inginkan perhatian dari kekasihnya, bukan orang lain.
SEBAB #5
Tidak Diberitahu Keberadaan Pasangan
Lelaki sering ingin mengetahui ke mana dan dengan siapa kekasihnya sedang berada atau bersama. Adakalanya, pasangan telah pun sampai ke tempat yang dituju tanpa memberitahu si kekasih terlebih dahulu. Sudah tentu membuat si lelaki tertanya-tanya apakah kepentingan dirinya dalam sesuatu perhubungan itu.
Ingat, hal ini penting untuk memupuk rasa percaya dan jujur dalam diri masing-masing. Bukan itu sahaja malah ia sangat penting untuk mengelakkan salah faham jika terjumpa di tempat lain atau orang lain yang menyampaikan maklumat.
SEBAB #6
Menolak Ajakan
Ya, ini antara punca utama. Jika pasangan wanita tidak mahu menemankan si lelaki makan atau beli barang bersama sewaktu sangat diperlukan, mereka pasti terasa hati.
Mereka ingin anda sahaja di sisi agar selesa membuat aktiviti. Bagi pasangan berkahwin pula, hubungan intim sangat penting, dan jika perkara itu ditolak si isteri, sudah tentu muka suami berubah murung untuk sehari sehingga dua hari.
SEBAB #7
Tidak Membalas Whatsapp Atau Pesanan Mesej
Ini perlu diambil peduli kerana boleh menjadi racun untuk meneruskan perhubungan. Apabila tidak membalas langsung mesej atau panggilan, sudah tentu rasa marah di hati meluap-luap. Kalau betul sayang, kenapa sengaja tidak membalas mesej atau menjawab panggilan.
Lebih merumitkan, sudahla tidak balas, malah block sebab terasa semak dengan notifikasi yang pelbagai. Fuh, terbakar rasa di hati, bukan sahaja merajuk, malah boleh buat putus hubungan yang sedia terjalin.
SEBAB #8
Kantoi Berbohong
Terdapat beberapa kes, si wanita malas mahu berterus terang ke mana beliau pergi dan sebagainya kerana ingin mengelakkan pergaduhan dan salah faham, tapi tiba-tiba si lelaki ternampak kelibat wanita bersama rakan perempuan yang lain. Nah, ini sudah tentu membuat hatinya terasa sangat dengan wanita tersebut.
Apa kedudukan mereka dalam kehidupan kalian, wahai wanita? Jika awal-awal sudah berbohong, bagaimana mahu terus mempercayai antara satu sama lain? Pembohongan adalah racun dalam kisah cinta dua jiwa. Jika tak setulus hati mencintai, janganlah menipu hati sendiri. Katakan dan selesaikan secara baik.
SEBAB #9
Tidak Menyokong Hobi
Ya, apabila tidak mendapat sokongan berkenaan hobi kegemaran, semangat boleh pudar, sudah tentu mereka terasa hati sangat. Jika dia mengharapkan kedatangan si kekasih untuk melihat aktiviti si lelaki, namun si perempuan tetap tidak menyokong, maka ini sangatlah menyukarkan keadaan.
Lelaki itu tersepit antara minat terhadap aktiviti dan kekasih hatinya. Sudah tentu di ketika itu, lelaki akan mula merajuk terlebih dahulu dan berfikir semula.
SEBAB #10
Mempertikai Kebolehan Yang Dimiliki
Jika lelaki tersebut memiliki sesuatu kelebihan, tetapi si wanita seakan tidak menghargai dan tidak mempercayai dengan kemampuan lelaki tersebut, sudah tentu ini sangat menyakitkan hati si lelaki. Mereka akan merasakan bahawa diri mereka tidak berguna di mata si kekasih kerana meragui kebolehan yang dimiliki sedangkan kelebihan mereka itu anugerah dari Tuhan.
SEBAB #11
Membandingkan Dengan Orang Lain
Sangat menyakitkan hati jika seseorang dibandingkan dengan orang lain. Si lelaki pasti merajuk jika wanita membandingkan dirinya yang berada di depan mata bersama dengan orang lain.
Jika dibuat perbandingan terutama dari segi sikap dan kerjaya, kemarahan pasti semakin memuncak dan membuat mereka merajuk dengan pasangan. Hal ini sangat sensitif dan sebagai wanita, jangan sesekali membuat perbandingan antara pasangan dengan orang lain.
SEBAB #12
Tidak Cuba Memahami Kesukaran Yang Dialami
Lelaki sememangnya ingin difahami walaupun perwatakan mereka nampak kasar dan seperti tak kisah. Pada mulanya mungkin mereka beranggapan seperti tiada apa sangat dengan perangai kekasih yang tidak memahami, tapi lama kelamaan, mereka pasti bosan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak memahami dari pasangan sendiri.
Misalnya, si lelaki tidak dapat keluar dating dengan anda kerana terpaksa bekerja lebih masa untuk mencari rezeki lebih demi menghalalkan hubungan atau membantu pasangan namun si wanita pula merajuk dan tidak memahami keadaan.
SEBAB #13
Tidak Dihormati
Lelaki sering ingin dihormati. Seandainya sesuatu keputusan diambil tanpa mengira pendapatnya atau berbincang bersama, lelaki tersebut pasti merasakan dirinya tidak dihormati dan tidak begitu penting dalam hidup perempuan tersebut.
Membelakangkan dirinya boleh menyebabkan lelaki merajuk. Bukan itu sahaja, jika si wanita meninggi suara terhadap si lelaki, ini juga salah satu penyebab mereka rasa tidak dihormati.
Pantang! Ini pasti membuat lelaki bermasam muka dan tak nak bercakap dalam jangka masa yang panjang dengan pasangannya. Sebagai lelaki, sudah tentu mereka tidak menyukai wanita meninggi suara dan mencabar mereka. Jika perempuan menengking lelaki, kesabaran mereka bakal hilang sedikit demi sedikit.
Sayangkan Perhubungan Yang Terjalin?
Para wanita perlu mengambil berat hal-hal di atas, dan perbaiki diri sendiri untuk perhubungan menjadi fasa lebih baik. Elakkan daripada membuat perkara yang boleh membuat si lelaki merajuk.
Jangan dibiarkan pula pasangan merajuk lama kelak menjadi duri dalam perhubungan cinta. Jaga sebaiknya pertalian yang tercipta. Moga saling melengkapi dan mencintai selamanya.
Nona sani seorang blogger yang suka beramah mesra dan sukakan pink. Boleh layari blog beliau : www.NonaSani.com
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~