Cerpen “Menghargai Peninggalan Bersejarah”

Jetty

Jetty ( RichardMc )

Air sungai kelihatan
mengalir dengan begitu tenang sekali.

Matahari yang meninggi di kaki langit biru bersinar indah menerangi seluruh kampung. Pohon-pohon yang menghijau dan rendang mengangguk-angguk apabila ditiup angin.

“Banyak ke kamu dapat ikan, Ariff?” tanya Pak Ismail.

“Ada la sikit, Pak Mail. Ikan baung. Cukuplah untuk dijual di pekan sehari esok. Selebihnya bolehlah untuk dibuat lauk,” dia menjawab.

“Adat orang menjala macam tulah, Ariff. Kadang-kadang dapat banyak. Kadang-kadang dapat sikit. Ada masanya langsung tak dapat,” kata Pak Ismail.

“Semua tu rezeki, Pak Mail,” balasnya pula.

“Memang betul kata kamu tu, Ariff. Rezeki ni Allah yang tentukan. Kita berusaha saja,” tambah Pak Ismail.

“Pak Mail ni dari mana? Datang jumpa saya ni ada hal ke?” dia menyoal.

“Aku ni dari pekan. Beli barang dapur. Mak Bedah kamu suruh. Aku tengok kamu ada kat sungai ni. Jadi, aku singgahlah. Saja nak bersembang dengan kamu dan bertanya khabar,” ujarnya.

“Oh, begitu!” angguk Ariff pula sebaliknya dengan pantas.

“Hah! Kebetulan Pak Mail dah jumpa saya ambillah sikit ikan baung ni,” katanya lagi.

“Tak apalah, Ariff. Kamu kan nak jual ikan tu,” balas Pak Ismail.

Inikan rezeki, Pak Ismail. Saya ikhlas nak bagi ni. Ambillah,” ucapnya sambil menghulurkan beberapa ekor ikan baung kepada Pak Ismail pula.

“Terima kasih banyak-banyak, Ariff. Moga murah rezeki kamu,” dia membalas sambil menyambut ikan baung yang diberikan oleh Ariff itu.

“Sama-sama, Pak Mail! Rezeki kita kongsi sama-sama,” kata Ariff.

“Alhamdulillah! Kalau macam tu aku mintak diri. Nanti tertunggu-tunggu pula Mak Bedah kamu kat rumah tu. Terima kasih sekali lagi, Ariff. Assalamualaikum!” dia memberi salam.

“Waalaikumussalam,” jawab Ariff.

Angin yang bertiup kencang terasa menyusup masuk melalui celah-celah dinding papan rumah Pak Ismail. Pohon-pohon kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut irama angin yang bertiup. Suara merdu angin yang bertiup kedengaran begitu sungguh merdu dan mendamaikan jiwa apabila didengari.

“Mana abang dapat ikan baung tu?” tanya Mak Bedah isterinya.

“Dalam perjalanan balik tadi abang singgah sekejap kat sungai. Jumpa Ariff tengah menjala. Dia pun bagilah sikit ikan baung tu kat abang,” dia menjawab.

“Rajin dia turun ke sungai ya, bang,” kata Mak Bedah.

“Dah itu mata pencariannya. Hasil daripada ikan sungai tulah yang menyara kehidupan keluarganya,” balasnya.

“Oh, ya! Sebelum saya lupa. Tadi Tok Ketua datang carik abang,” beritahu isterinya lagi.

“Ada apa dia cari saya?” soalnya.

“Dia suruh abang jumpa dia. Katanya ada pelajar daripada universiti nak buat kajian mengenai sejarah bekas pangkalan di sungai tu,” jelas isterinya.

“Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya peninggalan bersejarah yang ada di kampung ni tidaklah hilang dengan begitu saja. Yalah! Nanti lepas asar saya pergi ke rumah dia,” ujarnya pula.

Petang itu selepas asar Pak Ismail pun lalu pergi ke rumah Tok Ketua. Cuaca cerah semenjak daripada pagi tadi masih lagi kekal sehingga ke petang. Awan putih menebal dan langit yang terang-benderang jelas kelihatan mewarnai suasana petang.

“Hah, Mail! Rezeki kamu ni. Air kopi dengan lepat pisang. Jemputlah!” pelawa Tok Ketua.

“Alhamdulillah, tok!” dia membalas.

“Tadi aku ke rumah kamu. Bedah bagitahu yang kamu ke pekan beli barang dapur,” kata Tok Ketua.

“Ya, tok. Dia bagitahu yang ada pelajar universiti nak buat kajian tentang sejarah bekas pangkalan di sungai kampung kita tu,” dia menjawab.

“Begitulah ceritanya, Mail. Dia telefon aku. Pelajar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia minta kita bantu dia untuk buat kajian tu,” jelas Tok Ketua lagi.

“Bila dia nak datang buat kajian, tok?” tanyanya.

“Minggu depan katanya,” jawab Tok Ketua.

Perbualan Tok Ketua dan Pak Ismail yang rancak lalu terhenti apabila kedengaran suara orang memberi salam daripada bawah rumah. Tok Ketua dan Pak Ismail lalu menjawab salam. Tok Ketua kemudiannya lalu pergi ke muka pintu untuk menjemput tetamu yang datang naik ke rumah.

“Hah, Sin! Jemputlah naik!” pelawa Tok Ketua.

“Terima kasih, tok,” balas Pak Hussin pula.

“Hah! Kamu pun ada, Mail,” sapa Pak Hussin.

“Tok Ketua ajak bincang pasal ada pelajar nak buat kajian sejarah bekas pangkalan di sungai kampung kita ni,” jelasnya.

“Memang aku jemput dia sekali, Sin. Untuk bincang pasal kajian sejarah yang akan dilakukan oleh pelajar universiti tu. Hah! Jemputlah minum dulu. Rezeki kamu dengan Mail untuk minum air kopi panas dengan lepat pisang di rumah aku petang ni,” ujar Tok Ketua.

“Berapa orang pelajar universiti tu akan datang ke kampung kita untuk membuat kajian, tok?” soal Pak Hussin.

“Katanya sorang saja,” jawab Tok Ketua pula sebaliknya.

“Kita kena kumpulkan orang tua-tua yang ada di kampung ni. Sebab mereka saja yang tahu cerita mengenai bekas pangkalan tu,” cadang Pak Ismail.

“Memang betul kata Mail tu, tok. Hanya dengan cara itu sajalah kita dapat bantu dia untuk menjalankan kajian. Salah seorang yang boleh berikan maklumat tepat tentang bekas pangkalan tu ialah Pak Wahab. Sebab dia orang yang paling tua di kampung ni. Tentu maklumat yang dia berikan nanti tepat dan sahih,” tambah Pak Hussin dengan penuh panjang lebar.

“Aku pun fikir begitu jugak, Sin!” balas Tok Ketua sambil mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Sejarah ini adalah peristiwa yang pernah berlaku pada masa silam dan bukannya rekaan semata-mata. Jadi, maklumat tentang bekas pangkalan yang hendak kita beri pada pelajar tu nanti hendaklah tepat dan betul,” sambung Tok Ketua lagi.

Kajian ini sebenarnya akan dilakukan oleh Haikal iaitu pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengambil bidang Sejarah. Pagi itu dia telah bertemu dengan Profesor Madya Dr. Roslan iaitu pensyarah yang telah memberikannya tugasan untuk menjalankan kajian berkenaan sebuah bekas pangkalan yang terdapat di sebuah kampung yang mempunyai peninggalan bersejarah.

“Bila awak akan ke lokasi kajian?” soal Profesor Madya Dr. Roslan.

“Besok, Dr!” jawab Haikal.

“Awak dah dapat pemberi maklumat untuk membantu awak dalam kajian ni?” tanya Profesor Madya Dr. Roslan.

“Dah, Dr!” dia sebaliknya membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya dah menghubungi Tok Ketua di kampung tu. Dia akan membantu saya dalam kajian ini,” tambahnya pula.

“Bagus!” angguk Profesor Madya Dr. Roslan.

“Saya yakin. Awak boleh menjalankan kajian ini dengan jayanya. Saya doakan semoga awak dapat melakukannya dengan sukses dan cemerlang,” katanya lagi.

“Terima kasih, Dr. kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan kajian ini,” ujar Haikal.

“Sama-sama!” balas Profesor Madya Dr. Roslan.

Keesokan harinya Haikal pun lalu bergerak ke tempat untuk menjalankan kajian.

“Alhamdulillah! Sampai juga kamu ke kampung ni.” Tok Ketua menyambut kedatangannya dengan penuh ramah dan mesra.

“Terima kasih, tok di atas kesudian menerima kehadiran saya di kampung ni,” balasnya pula.

“Tok amat berasa gembira dan berbesar hati menerima siapa saja yang datang ke kampung ni. Tok juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kamu kerana memilih bekas pangkalan yang ada di kampung ni sebagai kajian sejarah. Ini secara tak langsung dapat memulihara dan mengekalkan warisan peninggalan bersejarah yang amat berharga di kampung ni,” tambah Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.

Tak lama kemudian Mak Tom isteri Tok Ketua muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman dan kuih-muih.

“Hah! Kenalkan. Ini isteri tok. Mak Tom. Inilah dia Haikal pelajar universiti yang nak buat kajian bekas pangkalan di tepi sungai kampung kita tu,” perkenal Tok Ketua.

“Apa khabar, Mak Tom?” sapanya.

“Alhamdulillah, baik!” balas Mak Tom pula dengan mengangguk-anggukkan kepala sambil perlahan-lahan meletakkan minuman dan kuih-muih di atas meja.

“Haikal duduklah dulu, ya berbual dengan tok. Mak Tom nak siapkan kerja kat dapur tu,” katanya.

Tok Ketua kemudian lalu menjemput Haikal untuk menikmati minuman dan kuih-muih yang dihidangkan oleh isterinya.

“Berapa lama kamu akan buat kajian tu?” tanya Tok Ketua.

“Dua minggu, tok,” jawab Haikal.

“Selama dua minggu berada di kampung ni kamu tinggal di mana?” soal Tok Ketua lagi.

“Saya tinggal di hotel di pekan tu, tok,” dia membalas.

“Oh, begitu!” angguk Tok Ketua pula sebaliknya dengan pantas.

“Kalau kamu tak ada tempat tinggal tok nak pelawa kamu tinggal di rumah tok ni,” ujarnya lagi.

“Terima kasihlah, tok. Nanti menyusahkan tok dengan Mak Tom pulak,” dia menolak pelawaan Tok Ketua itu dengan penuh sopan.

“Apa pulak susahnya. Kamu sebagai tetamu yang datang ke rumah tok bawak rezeki,” balas Tok Ketua.

“Tak apalah, tok. Biarlah saya tinggal di hotel tu. Oh, ya! Macam mana dengan pemberi maklumat yang saya minta untuk membantu kajian saya tu. Dapat ke, tok?”

“Itu kamu jangan bimbang. Tok dah aturkan semuanya.”

“Terima kasih, tok! Bila boleh saya jumpa dengan mereka?”

“Lepas zuhur nanti. Tok jugak akan bawak kamu tengok bekas pangkalan tu.”

“Baiklah, tok!”

“Hah! Tengah hari ni kamu makan aje di rumah tok. Mak Tom kamu tengah masak tu.”

Sepertimana yang dijanjikan selepas zuhur, Tok Ketua lalu membawa Haikal ke rumah Pak Wahab. Turut menunggu kedatangan mereka berdua ialah Pak Ismail dan Pak Hussin.

“Menurut cerita orang tua-tua sungai di kampung ni pada satu ketika dahulu adalah merupakan laluan yang pernah digunakan oleh para pedagang. Buktinya terdapat sebuah pangkalan di tebing sungai yang dijadikan oleh para pedagang sebagai tempat persinggahan dan menjual barangan dagangan pada waktu itu. Para pedagang tidak lagi menggunakan sungai ini sebagai laluan apabila jalan darat siap dibina,” kata Pak Wahab.

Haikal merakam maklumat yang diberikan oleh Pak Wahab itu dengan telefon bimbit. Dia juga membuat catatan dalam buku yang dibawanya bersama-sama dengan kamera. Sejarah silam sungai dan pangkalan yang diceritakan oleh Pak Wahab benar-benar menjadikan dia berasa teruja untuk menggali maklumat dengan lebih lanjut lagi.

“Saya dapat gambar suasana di sungai pada ketika itu tentu sibuk dengan sampan yang digunakan oleh pedagang-pedagang untuk membawa barang-barang yang mereka jual,” ujarnya.

“Ya!” angguk Pak Wahab pula dengan pantas.

“Pangkalan itu menjadi lubuk rezeki pada mereka. Lama-kelamaan pangkalan itu menjadi masyhur dan para pedagang yang datang berniaga lalu dikenakan cukai. Walaupun dikenakan cukai mereka tetap juga datang berniaga kerana ramai yang membeli barang dagangan mereka pada waktu itu,” tambahnya lagi.

“Selain daripada ramai yang membeli barang yang mereka jual tentu ada sebab lain yang menarik mereka sentiasa berniaga di pangkalan tu,” ujar Tok Ketua pula sebaliknya.

“Penduduk kampung menerima kehadiran mereka dengan baik. Mereka juga dilindungi daripada sebarang ancaman jahat seperti lanun dan perompak,” jelas Pak Wahab.

“Nampaknya mereka mempunyai hubungan yang amat baik dengan orang-orang kampung,” celah Pak Ismail.

“Sebab itulah agaknya mereka tak mahu pergi berdagang ke tempat lain sehinggalah adanya jalan darat sepertimana yang diceritakan oleh Pak Wahab tadi,” tambah Pak Hussin.

“Memang itulah yang aku dengar daripada orang tua-tua tentang pangkalan tu,” kata Pak Wahab.

“Banyak jugak maklumat yang saya dapat daripada Pak Wahab,” ujar Haikal pula.

“Kamu boleh dapat banyak lagi cerita tentang pangkalan tu. Ada beberapa orang lagi di kampung ni yang tahu lebih mendalam lagi berkaitan dengan pangkalan yang hanya tinggal bekas sahaja sekarang ni. Mungkin Tok Ketua boleh bawak kamu jumpa mereka tu nanti,” tambah Pak Wahab.

“Saya dah aturkan, Pak Wahab. Sebagai permulaan saya bawak dia jumpa Pak Wahab dulu. Sebab Pak Wahab orang yang paling tua kampung ni dan banyak tahu pasal sejarah kampung ni termasuk pangkalan tu,” balas Tok Ketua.

Tok Ketua, Pak Ibrahim, Pak Hussin dan Haikal kemudian lalu meninggalkan rumah Pak Wahab. Sepertimana yang telah dirancang mereka kemudiannya lalu pergi ke bekas pangkalan yang terletak di tepi tebing sungai. Ketika berada di tapak kajian Haikal telah mendapat gambaran yang sebenar dan jelas berdasarkan maklumat serta cerita yang didengarnya daripada Pak Wahab tadi.

“Cantik sungai ni. Airnya bersih dan jernih. Tempatnya yang strategik mungkin menjadi antara faktor utama para pedagang datang ke pangkalan ini,” dia berkata.

“Tempat yang baik semua orang suka datang. Sebab itu kita kena sentiasa jaga tempat kita agar menjadi buah mulut yang baik. Termasuklah bekas pangkalan yang mempunyai kesan bersejarah yang menarik ni,” tegas Tok Ketua pula sebaliknya.

“Saya setuju dengan apa yang tok katakan tu. Sebagai penduduk kampung ni kita seharusnya merasa bangga dan mempunyai semangat untuk menjaga peninggalan bersejarah seperti pangkalan yang ada di kampung kita ni,” ucap Pak Ibrahim.

“Saya pun tumpang rasa bangga dan gembira. Walaupun saya bukan anak jati kampung ni. Tapi, sebagai generasi muda saya berasa amat bertuah kerana dapat mengkaji warisan sejarah masa silam yang ada di kampung ni,” tambah Haikal.

“Memang itulah yang kami harapkan, Haikal. Semoga dengan hasil kajian kamu ni nanti akan menarik minat anak-anak muda di kampung ni untuk menyayangi dan memulihara warisan bersejarah yang telah ditinggalkan oleh datuk nenek moyang mereka dahulu,” ucap Pak Hussin.

“Insya-Allah!” dia sebaliknya membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk kajian ini agar dapat menarik minat lebih ramai lagi pengkaji untuk membuat penyelidikan mengenai sejarah pangkalan ini dengan lebih mendalam lagi,” janjinya lagi.

“Alhamdulillah! Baguslah kalau macam tu, Haikal. Tok, Pak Ismail dan Pak Hussin akan membantu kamu sepenuhnya untuk menjayakan kajian kamu ni,” kata Tok Ketua pula.

“Terima kasih, tok!” dia membalas dengan rasa penuh gembira yang jelas kelihatan di raut wajahnya.

“Hari pun dah nak masuk maghrib ni. Eloklah kita balik. Haikal! Besok tok bersama-sama dengan Pak Ibrahim dan Pak Hussin akan bawak kamu berjumpa dengan beberapa lagi orang tua di kampung ni,” ujar Tok Ketua.

“Baiklah, tok!” balas Haikal pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Selepas makan malam dan menunaikan solat Isyak Haikal menaip maklumat yang diterimanya daripada Pak Wahab dengan menggunakan komputer riba. Sedang dia asyik menaip tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya berbunyi.

Dia kemudiannya lalu menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum!” dia memberi salam.

“Waalaikumussalam!” Kedengaran suara ibunya memberi salam.

“Mak, apa khabar?” tanyanya.

“Alhamdulillah! Sihat. Haikal, apa khabar?” balas ibunya pula dalam nada suara yang penuh dengan riang dan gembira.

“Alhamdulillah! Sihat, mak. Ayah apa khabar?”

“Alhamdulillah! Sihat dia. Dia tak ada di rumah ni. Dia keluar jumpa kawan. Dia kirim salam kat Haikal,” beritahu ibunya.

“Waalaikumussalam! Adik-adik macam mana, mak? Sihat ke dia orang?” soalnya.

“Alhamdulillah, Haikal. Semuanya sihat-sihat belaka. Kamu kat mana ni? Dah makan ke belum?” tanya ibunya.

“Kat hotel, mak. Tengah buat laporan kajian. Saya dah makan, mak. Mak dah makan ke belum?” dia menyoal ibunya.

“Mak dah makan dah. Macam mana dengan kajian kamu?” tanya ibunya lagi.

“Alhamdulillah, mak. Semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Tok Ketua banyak membantu saya. Orang-orang kampung menerima dan melayan saya dengan baik,” dia menjawab.

“Baguslah kalau macam tu. Mak doakan semoga kajian kamu tu berjaya disempurnakan dan mendapat hasil yang baik untuk dimanfaatkan oleh semua terutamanya pengkaji dan pencinta sejarah,” ujar ibunya pula.

“Insya-Allah! Berkat daripada doa mak dan ayah saya akan lakukan kajian ini dengan bersungguh-sungguh dan menghasilkan yang terbaik,” katanya.

“Mak dan ayah sentiasa berdoa agar kau berjaya dalam pelajaran di universiti tu. Lagi satu ingat pesan mak dan ayah. Jaga diri baik-baik dan tingkah laku semasa berada di tempat orang,” ingat ibunya.

“Mak jangan bimbang. Saya selalu ingat pesan ayah dan mak tu demi untuk menjaga nama baik sebagai pelajar dan keluarga,” janjinya.

“Baiklah, Haikal. Mak dah mengantuk ni. Mak nak tidur. Kalau kamu ada kelapangan selalu-selalulah telefon ayah dan mak. Sekurang-kurangnya terubatlah rasa rindu mak dan ayah pada kamu,” pinta ibunya.

“Baiklah, mak! Nanti Haikal telefon. Sampaikan salam Haikal pada ayah dan adik-adik,” dia membalas.

“Insya-Allah, Haikal. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum!” Ibunya mengakhiri perbualan dengan memberi salam.

“Baiklah, mak! Waalaikumussalam!” jawabnya.

Bulan dan bintang yang bersinar indah kelihatan menghiasi dada langit yang berwarna hitam. Angin malam berhembus lembut dan dingin. Suara cengkerik yang bersahut-sahutan jelas kedengaran memecah suasana malam yang penuh hening dan tenang.

“Macam mana dengan kajian Si Haikal tu, bang?” tanya Mak Tom.

“Alhamdulillah!” angguk Tok Ketua yang bersongkok dan berbaju Melayu serta berkain pelikat.

“Banyak juga cerita yang dia dapat daripada Pak Wahab mengenai bekas pangkalan tu. Besok abang dengan Ismail dan Hussin akan bawak dia untuk berjumpa dengan beberapa orang tua yang ada di kampung ni,” jelasnya.

“Baguslah tu, bang. Kalau kita tak bantu dia siapa lagi yang dia nak harapkan. Tambah pulak ibu dan ayahnya bukan berasal daripada kampung ni,” balas isterinya pula.

“Itulah yang menjadi kewajipan kita untuk membantu dia. Lebih-lebih lagi dia nak mengetengahkan dan menaikkan semula warisan peninggalan bersejarah yang terdapat di kampung kita ni. Oh, ya! Sebelum abang lupa. Tengah hari besok awak masak lebih,” kata Tok Ketua.

“Masak lebih?” ulang isterinya.

“Ada tetamu nak datang rumah kita ke, bang?” soal isterinya lagi.

“Abang nak ajak Ismail, Hussin dan Haikal makan tengah hari di rumah kita. Abang memang ada hajat nak ajak Haikal makan bersama-sama dengan kita. Hah! Kebetulan Ismail dan Hussin ada sekali abang jemputlah sama dia orang berdua,” jawab Tok Ketua.

“Baiklah, bang!” isterinya membalas.

Setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Dalam pada itu sedar tak sedar tempoh 2 minggu yang diberikan kepada Haikal untuk menjalankan kajian telah pun tamat. Maka tibalah masanya untuk dia berpisah dengan Tok Ketua, Pak Ismail, Pak Hussin dan orang-orang kampung.

Ternyata dia tidak pulang dengan tangan kosong. Sebaliknya dia telah pulang dengan membawa banyak bahan dan seterusnya berjaya melengkapkan kajian yang telah diberikan oleh Profesor Madya Dr. Roslan dengan memperolehi banyak data dan maklumat yang kukuh.

“Terima kasih, tok kerana telah banyak membantu saya menjalankan kajian ini. Begitu juga pada Pak Ismail dan Pak Hussin. Terima kasih banyak-banyak kerana banyak juga membantu saya. Hanya Allah SWT jugalah yang akan membalas segala jasa dan budi baik tok, Pak Ismail dan Pak Hussin,” katanya.

“Sama-sama, Haikal. Tok dan seluruh penduduk kampung juga nak ucapkan terima kasih pada kamu kerana telah menyedarkan kami semua betapa pentingnya menghargai warisan sejarah yang ada di kampung kelahiran kami sendiri,” balas Tok Ketua pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

“Ya, Haikal!” celah Pak Hussin dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Banyak yang kami ketahui tentang sejarah silam kampung ni apabila kamu datang ke sini untuk membuat kajian,” dia menyambung lagi.

“Pak Mail harap kamu datanglah selalu ke sini. Kamu dah Pak Mail anggap macam cucu Pak Mail sendiri,” tambah Pak Ismail.

“Insya-Allah!” jawabnya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan datang lagi ke kampung ini untuk menyerahkan bahan hasil daripada kajian kepada Tok Ketua untuk dijadikan sebagai sumber rujukan sekiranya ada penyelidik atau pelajar universiti yang datang ke kampung ni untuk membuat kajian mengenai pangkalan yang bersejarah. Saya juga akan mengajak pensyarah saya untuk berjumpa dengan Tok Ketua, Pak Ismail dan Pak Hussin,” ujarnya lagi.

Dia kemudiannya lalu bergerak dengan membawa bersama-sama rasa riang dan gembira yang bukan kepalang kerana telah berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya. Menjelang lewat petang dia pun sampai di rumah dan disambut oleh kedua-dua ibu dan bapanya dengan penuh rasa gembira. Semoga dengan paparan kisah ini akan dapat membangkitkan semangat kepada kita betapa pentingnya mempunyai perasaan cinta dan menghargai peninggalan bersejarah masa silam.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *