Cerpen “Sementara Menunggu Waktu Maghrib”
Sesuatu kejayaan itu tidak akan dapat
dinikmati dan dicapai tanpa usaha dan kegigihan.
Dalam erti kata lain tiada jalan mudah mahupun pintas untuk menuju ke puncak kejayaan melainkan dengan rajin dan kerja keras serta tidak mengenal penat lelah dan mengalah.
“Kalau orang lain boleh berjaya dalam hidup kenapa kita tidak boleh menjadi seperti mereka,” kata Pak Saad.
“Rajin dan usaha adalah tangga kejayaan. Kejayaan tidak akan datang bergolek dengan sendirinya,” balas Pak Rashid.
“Bak kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian,” celah Pak Hamid pula sebaliknya.
“Aku rasa gembira bila tengok orang-orang Kampung ni terutamanya anak-anak muda dah berjaya dalam hidup,” ujar Pak Saad.
“Syukurlah. Program yang kita jalankan untuk membimbing anak-anak muda di Kampung ini menuju ke puncak kejayaan telah membuahkan hasil,” tambah Pak Hamid.
“Benih yang baik apabila disemai pasti akan membuahkan hasil yang baik,” tegas Pak Rashid.
Itulah yang menjadi tajuk utama perbualan Pak Saad, Pak Rashid dan Pak Hamid ketika di masjid sementara menunggu masuknya waktu solat Maghrib. Sudah menjadi kebiasaan mereka bertiga akan datang awal ke masjid sebelum masuk waktu untuk menunaikan solat secara berjemaah.
“Bagi aku banyak lagi program yang perlu diadakan untuk menjadikan orang-orang kampung termasuk anak-anak muda terus berjaya dalam hidup,” ucap Pak Hamid.
“Aku amat setuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Hamid!” balas Pak Saad pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sebenarnya banyak kejayaan yang boleh diraih oleh orang-orang kampung dan anak-anak muda di kampung ni. Asalkan ada program yang dapat memberikan manfaat dan faedah dalam usaha mereka untuk memburu kejayaan,” sambungnya lagi.
“Aku sependapat dengan kau, Saad. Kita jangan cepat berpuashati dengan kejayaan yang ada. Sebaliknya kita mesti berusaha dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih besar lagi,” sokong Pak Rashid.
“Dalam hal ini aku cadangkan kita perlu adakan program yang benar-benar menarik minat dan menjadikan orang-orang kampung serta anak-anak muda begitu bersemangat untuk sentiasa berusaha keras dan rajin untuk mencipta kejayaan dalam hidup,” kata Pak Hamid.
“Program yang kita adakan selama ini dah cantik dan kita perlu tambahkan lagi kecantikan supaya ia nampak lebih bersinar dan indah lagi,” ulas Pak Saad pula sebaliknya.
“Aku yakin. Program yang kita cadangkan ini pasti akan diterima dengan baik oleh orang-orang kampung dan juga anak-anak muda,” ucap Pak Rashid.
Begitulah rancaknya perbualan Pak Saad, Pak Rashid dan Pak Hamid. Sementara itu semakin ramai jemaah yang datang ke masjid walaupun waktu solat Maghrib belum masuk lagi. Matahari di kaki langit kelihatan perlahan-lahan terbenam menyambut senja.
Tiada siapa yang tidak mahu berjaya dalam hidup. Itulah yang menjadi impian dan cita-cita kita sebagai manusia selagi masih lagi bernafas di dunia ini. Sesungguhnya kejayaan itu amat indah dan manis sekali apabila berjaya dicapai.
“Perkara yang baik pasti akan diterima. Tapi dalam pada itu kita harus ingat apabila dah berjaya nanti hasil daripada program yang telah dijalankan janganlah hendaknya mereka menjadi leka dan mudah lupa diri,” ingat Pak Saad.
“Memang benar kata kau tu, Saad!” sambut Pak Hamid dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Janganlah hendaknya mereka berubah menjadi bongkak dan sombong apabila kejayaan sudah berada dalam genggaman,” dia menyambung lagi.
“Kalau mereka sedar dan ingat susah payah dan jerih-perih yang perlu dihadapi sebelum berjaya dalam hidup ini perkara yang seumpama itu tidak akan berlaku,” kata Pak Rashid pula sebaliknya.
“Semoga tidak ada yang akan menjadi seperti si kudung mendapat cincin dan kacang lupakan kulit,” harap Pak Saad.
“Sama-samalah kita berdoa. Agar mereka akan menjadi seperti padi yang semakin berisi semakin tunduk,” tambah Pak Hamid.
“Hendaklah kita sentiasa berasa syukur dengan kejayaan yang telah dikecapi,” kata Pak Rashid.
Semakin rancak Pak Saad, Pak Rashid dan Pak Hamid berbual-bual mengenai kejayaan. Dari raut wajah mereka yang telah tua dan dimamah usia jelas kelihatan rasa bangga dan gembira apabila melihat orang-orang kampung dan anak-anak muda telah berjaya menempa kejayaan dalam hidup.
Kejayaan mereka juga bererti kejayaan buat kampung ini. Dalam erti yang lain kejayaan bukan milik seorang tetapi juga kepada semua mereka yang lahir dan membesar di kampung ini tanpa mengira usia mahupun peringkat.
“Nikmat kejayaan akan terus bertambah apabila kita sentiasa bersyukur dalam hidup ini,” kata Pak Hamid.
“Memang itu yang perlu ada dalam diri kita bila sudah berjaya mencapai apa yang kita idamkan selama ini,” tambah Pak Rashid.
“Selain daripada itu, kita juga perlu memikirkan program yang menjadikan anak-anak muda tidak mahu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Sebaliknya menjadikan kampung ini sebagai medan bagi menabur bakti dan khidmat seterusnya memberikan kejayaan dalam hidup mereka,” ujar Pak Saad pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
“Bagus sekali cadangan kau tu, Saad!” balas Pak Rashid dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sekurang-kurangnya kampung ni taklah sunyi nanti dan tinggal kita yang dah tua-tua ni. Apa program yang kau nak cadangkan tu? Bagi aku amat menarik dan membawa keuntungan yang besar kepada kampung kita,” sambungnya lagi.
“Yalah, Saad!” sampuk Pak Hamid pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Aku pun nak tahu jugak,” dia menyambung lagi.
“Dengan mengusahakan tanah yang banyak terbiar di kampung ini juga akan menjadikan mereka berjaya dalam hidup,” jelas Pak Saad.
“Aku setuju sangat dengan apa yang kau katakan tu, Saad. Bila ada program yang dijalankan seumpama itu akan dapat mengatasi masalah tanah-tanah yang terbiar di kampung ni. Hasilnya juga nanti akan kita dapat nikmati bersama-sama,” ucap Pak Rashid.
“Itulah yang dinamakan sebagai kejayaan buat kita semua di kampung ni,” tambah Pak Hamid.
“Aku harap semua program ini dapat dilaksanakan yang bukan sahaja demi kejayaan malahan juga untuk kesejahteraan dan kemakmuran kita sebagai penduduk di kampung ni,” ucap Pak Saad.
“Insya-Allah! Kalau kita sentiasa bermuafakat dan bekerjasama antara satu sama lain sudah pasti kejayaan akan berpihak kepada kita,” celah Pak Rashid.
“Itu sudah semestinya dalam mengejar kejayaan juga perlu ada semangat berpasukan,” sokong Pak Hamid pula sebaliknya.
“Sebab itulah perlunya kita sentiasa mengamalkan hidup bermuafakat,” ujar Pak Rashid.
“Apabila sudah ada semangat yang sedemikian maka kejayaan hasil daripada usaha gigih kita dapat dinikmati bersama-sama dalam sebuah keluarga yang hidup rukun dan damai,” tegas Pak Saad.
Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti apabila kedengaran suara bilal melaungkan azan. Lalu berakhirlah tajuk perbualan mereka sementara menunggu masuknya waktu maghrib. Mereka kemudiannya lalu mengatur langkah masuk ke dalam masjid untuk menunaikan perintah Tuhan Yang Maha Esa.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~