Cerpen “Kebun Ubi Kayu”

Ubi kayu

Ubi Kayu ( Fernando )

Matahari yang meninggi
di kaki langit biru kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali.

Angin yang datang daripada arah bukit bertiup dalam nada sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon yang menghijau seperti melenggang-lenggok ke kanan dan ke kiri apabila ditiup angin.

“Apa? Kau nak tanam ubi kayu di tanah peninggalan arwah ayah kau tu?” soal Latiff.

“Ya!” balas Rozaidi pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Daripada tanah tu terbiar dengan begitu saja lebih baik aku tanam dengan ubi kayu. Dapat jugak hasilnya nanti,” dia menyambung.

Latiff sebaliknya lalu ketawa.

“Kenapa kau ketawa ni, Tiff? Kelakar ke apa yang aku nak buat?” soalnya pula.

“Memang kelakar,” jawab Latiff.

“Kelakar kata kau?” dia menyoal dengan rasa penuh kehairanan sambil memandang wajah Latiff.

“Ini bukan zaman Jepun. Mana ada orang makan ubi kayu,” kata Latiff.

“Oooo! Itu yang kau rasa kelakar sangat,” ujar Rozaidi.

“Kau janganlah buat perkara yang pelik dan boleh buat orang ketawa, Di. Banyak lagi yang kau boleh tanam dan mengeluarkan hasil yang menguntungkan. Ini tak. Ubi kayu yang kau nak tanam. Berapa banyaklah hasil yang kau akan dapat. Kau tengoklah nanti. Percayalah cakap aku ni,” Latiff sebaliknya membalas dengan penuh panjang lebar.

“Tapi sekurang-kurangnya taklah tanah tu terbiar dengan begitu sahaja. Walaupun ditanam dengan ubi kayu,” tegasnya.

Latiff sebaliknya lalu ketawa.

“Kau ni betul-betul peliklah, Di. Orang dah tak makan lagi ubi kayu. Suka hati kaulah. Sebagai kawan aku nasihatkan kau aje. Tapi kau tak nak dengar. Suka hati kaulah,” dia berkata.

Awan putih yang menebal dan langit yang membiru kelihatan terang-benderang. Sinaran cahaya matahari yang terik kelihatan menyinari seluruh Kampung. Angin petang bertiup perlahan dan nyaman. Pohon-pohon nyiur kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin.

“Baguslah kalau kau nak usahakan tanaman ubi kayu di tanah milik arwah ayah awak tu,” ujar Hashimah.

“Terima kasihlah kerana kau memberikan sokongan pada aku,” balas Rozaidi.

“Kan itu perkara yang baik. Mestilah aku sokong,” ucap Hashimah.

“Aku harap apa yang aku hasratkan ini akan menjadi kenyataan,” dia menambah.

“Insya-Allah, Di. Di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan,” ulas Hashimah pula sebaliknya.

“Yalah. Aku ni bukannya ada kelulusan tinggi. Lainlah macam kau. Belajar sampai universiti. Dapat pulak kerja yang baik kat Kuala Lumpur tu,” dia berkata.

“Jangan pandang semua tu, Di. Kita semua sama saja. Tak kiralah sama ada berkelulusan tinggi atau tidak. Yang penting rajin dan usaha adalah tangga utama menuju ke puncak kejayaan,” balas Hashimah.

Selepas balik daripada masjid, Pak Abu lalu menikmati makan malam bersama-sama dengan isteri dan anaknya. Di kaki langit hitam bulan dan bintang kelihatan bercahaya dan berkerlipan dengan begitu amat indah sekali mewarnai suasana malam yang dingin.

Suara angin malam kedengaran bagaikan bernyanyi-nyanyi riang dan menyusup masuk ke celah-celah dinding papan rumah Pak Abu. Pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumahnya kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa apabila disapu angin malam yang berhembus.

“Berapa lama kau cuti, Shimah?” tanya Pak Abu.

“Sampai Isnin depan, ayah,” jawabnya.

“Tentu kau rindu kat ayah dan mak, kan?” usik Mak Kiah ibunya.

“Mestilah, mak!” angguknya pula.

“Sebab itulah Shimah ambik cuti. Nak lepaskan rindu pada ayah dan mak,” sambungnya lagi.

Pak Abu lalu ketawa apabila mendengarnya.

“Anak manjalah katakan,” dia berkata sambil memandang isterinya.

Hashimah sebaliknya tersenyum sambil menyuap nasi ke dalam mulut dengan penuh sopan.

“Kau ada pergi rumah abang kau, Hamdan?” ibunya menyoal.

“Ada, mak!” angguknya.

“Dia bagitahu cuti sekolah nanti dia akan balik dengan Kak Ani dan anak-anaknya,” jawabnya lagi.

“Baguslah kalau macam tu. Rindu sangat ayah kat Amri, Amirah dan Amirul,” balas Pak Abu.

“Cucu saya jugak. Bukan cucu abang sorang aje tau,” gurau isterinya.

“Oh! Lupa pulak. Bila dah makan masakan awak yang sedap ni tak ingat semua tu,” dia berseloroh sambil ketawa.

“Bukan saya yang masak, bang. Shimah yang masak. Dia tak bagi saya masak. Suruh saya duduk tengok dia masak,” kata Mak Kiah.

“Bila Shimah balik biarlah Shimah yang masak. Mak berehat ajelah,” ujarnya.

“Orang sayang mak macam tulah, Kiah,” ucap ayahnya pula.

“Saya pun sayang ayah jugak,” dia membalas.

Pak Abu, Mak Kiah dan Hashimah lalu ketawa. Demikianlah kemesraan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga beranak itu. Memang Hashimah akan mengambil cuti apabila berkelapangan untuk pulang ke kampung menjenguk kedua-dua ibu bapanya yang semakin tua dan dimamah usia itu.

“Macam mana dengan pekerjaan kau di Kuala Lumpur tu?” ayahnya bertanya.

“Alhamdulillah, ayah. Semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Insya-Allah. Kalau ada rezeki dan diizinkan Tuhan nanti bulan depan saya akan dinaikkan pangkat,” jawabnya.

“Syukur alhamdulillah. Kau kerjalah dengan baik-baik. Apabila dah naik pangkat nanti kau janganlah lupa diri dan sentiasa bersyukur. Dan yang paling penting solat jangan sesekali ditinggalkan,” pesan ayahnya.

“Terima kasih, ayah. Saya akan sentiasa ingat nasihat ayah itu,” jawabnya.

Rasa kedinginan menyelubungi suasana pagi dan seluruh kampung yang permai lagi indah. Matahari masih lagi tidak kelihatan. Awan berwarna kelabu. Tengah malam tadi hujan turun dengan begitu lebat sekali. Sudah nak dekat masuk waktu solat Subuh baru hujan berhenti.

Kesan daripada hujan yang turun lebat malam tadi mungkin menyebabkan suasana pagi ini dibungkus dengan kesejukan dan tanpa kelihatan matahari di kaki langit seperti biasa. Pokok-pokok, daun-daun, rumput yang menghijau dan tanah dibasahi dengan air hujan yang turun.

“Hidup kita akan jadi senang bila kerja kat Kuala Lumpur tu,” kata Latiff.

“Kerja apa kita nak buat? Lagipun mana dia orang nak terima macam kita yang tak ada kelulusan ni,” ujar Rozaidi pula sebaliknya.

“Itulah kau. Belum apa-apa lagi. Kau dah fikir yang bukan-bukan. Sebenarnya kat sanalah kita nak merasa hidup mewah dan senang,” balas Latiff.

“Tak semestinya kat Kuala Lumpur tu akan menjadi tempat untuk mengubah hidup kita. Kat kampung ni pun kita boleh berjaya. Asalkan kita rajin dan sentiasa bekerja kuat,” tegasnya.

“Apa yang boleh kita buat kat kampung ni? Cuba kau beritahu aku. Kau tengok kawan-kawan kita yang lain. Semua dah berjaya dalam hidup. Bila kerja kat Kuala Lumpur tu. Tinggal kita berdua aje yang masih lagi tak berubah. Bergantung harap pada menoreh getah dan berkebun. Berapa sangat yang kita dapat. Sedangkan kita terpaksa mengerah tenaga sambil berpanas dan berhujan,” balas Latiff dengan penuh panjang lebar.

“Itu dah rezeki dia orang. Rezeki kita pulak di kampung ni,” dia bersuara dengan penuh tenang.

“Ah! Aku dah bosan hidup kat kampung ni. Aku nak pergi jugak kat Kuala Lumpur tu. Kalau kau tak nak pergi sudah. Kau teruskanlah impian kau tu. Nak hidup senang dengan tanam ubi kayu,” ujar Latiff.

Rozaidi sebaliknya hanya mendiamkan diri sambil menarik nafas yang panjang dan melihat Latiff mengatur langkah berlalu pergi. Dia kemudian menyambung semula menanam batang-batang ubi kayu di kebun peninggalan arwah ayahnya itu.

Menjelang tengah hari barulah matahari kelihatan muncul di kaki langit. Awan yang tadinya kelabu telah bertukar warna menjadi putih semula. Angin bertiup kencang. Pohon-pohon yang menghijau dan rendang bagaikan menari-nari. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.

“Baru balik, Di?” tegur ibunya.

“Ya, mak!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Pergilah mandi. Kejap lagi nak masuk waktu zuhur. Lepas tu boleh kita makan tengah hari dengan Roslan sekali,” suruh ibunya.

“Yalah, mak!” angguknya.

“Lan, dah balik dari sekolah, mak?” tanyanya sambil memandang ibunya yang tercegat berdiri di muka pintu.

“Belum lagi. Kejap lagi baliklah dia tu. Kau pergilah mandi dulu. Mak nak ke dapur,” jawab ibunya pula.

Dia kemudian lalu masuk ke dalam bilik dan menanggalkan pakaian. Pokok-pokok dan daun-daun hijau termasuk yang tadinya basah akibat terkena air hujan yang turun dengan begitu lebat sekali malam tadi kelihatan beransur-ansur kering apabila disinari pancaran matahari yang panas dan terik.

Dari sehari ke sehari Rozaidi terus gigih mengusahakan tanaman ubi kayu. Benarlah kata orang. Berbudi pada tanah pasti akan dapat menikmati hasilnya. Batang-batang ubi kayu yang ditanamnya hidup dengan subur. Pucuk-pucuk ubi dijualnya kepada peniaga-peniaga yang berniaga di pasar tani pada setiap hari Sabtu di Pekan Kuala Pilah.

Manakala ubi-ubi kayu pula dijualnya kepada pengusaha-pengusaha kerepek. Banyak keuntungan yang diperolehinya hasil daripada jualan ubi-ubi kayu dan pucuk-pucuk ubi. Dia berasa begitu amat bersyukur sekali dengan rezeki yang telah dikurniakan Allah SWT.

Sebagai tanda kesyukuran dia menyedekahkan sebahagian daripada duit keuntungan hasil daripada jualan pucuk-pucuk dan ubi-ubi kayu ke dalam tabung masjid. Sekali-sekala dia juga meminta ibunya untuk membuat pengat ubi dan disedekahkan kepada para jemaah masjid terutamanya pada hari Khamis malam Jumaat. Dia niat menyedekahkan wang dan pengat ubi atas nama arwah ayahnya serta memohon terus dikurniakan rezeki yang murah.

“Sedap betul pengat ubi yang kau bawak tu, Di,” kata Pak Abu sewaktu menuju ke tempat meletak motosikal yang terletak di kawasan perkarangan masjid.

“Alhamdulillah. Rezeki Pak Abu dan jemaah malam ni,” katanya.

“Aku tengok ramai orang datang ke kebun kau. Beli pucuk dan ubi kayu,” ujar Pak Abu.

“Rezeki yang saya dapat saya kongsi sama-sama dengan orang-orang kampung,” balasnya.

“Syukur alhamdulillah. Semoga berkat dan murah rezeki kau sentiasa,” tambah Pak Abu.

“Amin. Begitu juga doa saya pada Pak Abu dan orang-orang di kampung ni,” sambutnya pula.

Sementara itu Latiff mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung. Dia gagal untuk mendapat pekerjaan dan mengubah nasibnya di Kuala Lumpur. Dia berasa amat malu kerana memperlekehkan Rozaidi selama ini.

“Aku mintak maaf, Di. Kau telah membuktikan yang hidup di kampung juga boleh berjaya …,” dia bersuara perlahan.

“Sudahlah, Tiff. Kau tak ada buat salah dengan aku pun …!” Rozaidi sebaliknya menepuk-nepuk lembut bahu kawan sekampungnya itu.

“Memang betul kata kau. Macam kita ni memang tak layak nak dapat gaji besar di bandar besar macam Kuala Lumpur tu. Sebab tak ada kelulusan,” ujarnya.

“Lupakanlah semua tu, Tiff. Aku sebenarnya rasa gembira bila kau dah balik semula ke kampung ni. Sebab aku bercadang nak usahakan tanah terbiar di kampung ni dengan tanaman ubi kayu. Jadi, aku nak ajak kau sama sekali usahakan projek tu,” jelas Rozaidi.

“Bagus cadangan kau tu. Aku setuju sangat!” balas Latiff pula dengan pantas.

Tak lama kemudian Hashimah muncul.

“Assalamualaikum!” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Rozaidi dan Latiff.

“Balik cuti ke, Shimah?” tanya Rozaidi.

“Ya, Di!” angguknya.

“Aku nak ucap tahniah pada kau, Di. Sebab berjaya usahakan tanaman ubi kayu,” katanya lagi.

“Terima kasih, Shimah. Itu pun berkat daripada sokongan dan semangat daripada kau jugak,” dia sebaliknya membalas.

“Hah, Tiff! Lama tak nampak kau,” tegurnya.

“Aku ke Kuala Lumpur. Cari kerja. Tapi tak dapat. Dah bukan rezeki aku nak ubah hidup kat sana,” dia memberitahu Hashimah.

“Tak apalah, Tiff. Sekurang-kurangnya kau dah dapat pengalaman hidup di kota besar seperti di Kuala Lumpur tu. Mungkin dah tertulis rezeki kau kat kampung ni,” ulasnya.

“Betul kata kau tu, Shimah. Aku dengan Latiff sebenarnya tengah berbincang. Nak majukan tanah terbiar yang ada di kampung ni dengan tanaman ubi kayu,” terang Rozaidi.

“Bagus sekali projek yang kau nak buat tu, Di. Aku sokong sangat. Sekurang-kurangnya kau dapat kembangkan lagi tanaman ubi kayu yang kau usahakan selama ini,” tambah Hashimah.

“Bagi aku keuntungan hasil daripada projek tu nanti bukan aku seorang yang dapat. Tapi untuk orang-orang kampung termasuk kau jugak, Tiff,” dia berkata sambil memandang Latiff yang berada di sebelahnya.

“Alhamdulillah, Di. Bila kau ada niat macam tu. Mudah-mudahan Tuhan kabulkan impian kita ni,” sambut Latiff pula sebaliknya dengan rasa penuh kegembiraan.

“Insya-Allah, Tiff. Sebagai langkah permulaan kita buat kertas kerja dan bawak jumpa tok ketua,” dia membalas.

“Tentang itu kau orang jangan bimbang. Aku sedia membantu untuk membuat kertas kerja,” celah Hashimah.

“Betul ke ni, Shimah?” soal Rozaidi sambil memandang Hashimah yang cantik dan ayu apabila mengenakan tudung kepala yang berwarna biru muda dan berbaju kurung berwarna merah jambu.

Hashimah sebaliknya lalu membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Betul! Kita kan sama sekolah. Jadi, aku kenalah tolong kau orang berduanya!” ucapnya.

“Terima kasih, Shimah!” kata Rozaidi dengan penuh gembira yang turut dikongsi bersama-sama dengan Latiff.

“Sama!” balasnya pula.

Mereka kemudiannya lalu mengatur langkah pulang ke rumah. Demikianlah berakhirnya kisah seorang pemuda bernama Rozaidi yang tinggal di Kampung Kuala Talang yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Beliau telah berjaya membuktikan bahawa dengan mengusahakan kebun ubi kayu boleh membawa kejayaan dalam hidup. Tanpa perlu berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Sebenarnya ia tidak semestinya berada di kota mahupun bandar besar. Tetapi ada juga di kampung walaupun hanya dengan menanam ubi kayu sahaja.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *