Cerpen “Pewaris Adat”

Jendela

Jendela

Angin yang datang daripada arah bukit
bertiup perlahan dan nyaman menyelubungi seluruh kampung yang indah dan permai. Pohon-pohon yang menghijau dan rendang kelihatan seperti melenggang-lenggok mengikut rentak angin yang bertiup.

Matahari di kaki langit kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali. Selepas menunaikan solat Asar, Hafizul dan Afifuddin lalu pergi ke rumah Tok Ketua. Tujuan mereka berdua berjumpa dengan Tok Ketua pada petang ini adalah untuk membincangkan program adat yang melibatkan anak-anak muda sepertimana yang telah dibincangkan dalam mesyuarat pada minggu lepas.

“Saya dan Afifuddin dah pun siapkan kertas kerja termasuk dengan perbelanjaan untuk mengadakan program ni, tok,” kata Hafizul.

“Alhamdulillah!” balas Tok Ketua dengan rasa penuh gembira sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Program seumpama ini besar manfaatnya. Melalui program ni tok harap anak-anak muda di kampung ni dapat memahami dengan lebih mendalam lagi mengenai adat yang setelah sekian lama kita amalkan semenjak daripada dahulu lagi,” dia menyambung lagi.

“Benar, tok. Sekurang-kurangnya mereka tahu apa sebenarnya yang dikatakan sebagai adat itu dan tidak menganggap ia hanya untuk golongan muda sahaja,” celah Afifuddin.

“Adat ini adalah milik kita semua. Kita seharusnya merasa bangga kerana menjadi masyarakat yang masih lagi mengamalkannya sehingga ke hari ini,” ujar Tok Ketua.

Demikianlah rancaknya perbualan mereka sambil menikmati air teh panas dan pengat ubi yang disediakan oleh isteri Tok Ketua. Pohon-pohon yang menangguk-angguk apabila ditiup angin kencang seolah-olah menyatakan sokongan terhadap usaha murni yang akan lakukan demi untuk memastikan adat terus kekal bertahan walaupun mengalami perubahan zaman yang pesat.

“Saya amat bersetuju sekali dengan apa yang tok katakan itu. Generasi muda seperti saya dan Afifuddin adalah pewaris adat pada masa depan. Begitu juga dengan anak-anak muda yang lain di kampung ni. Rasa kecintaan dan sayang terhadap adat yang telah diwarisi sejak datuk nenek moyang terdahulu perlu bermula daripada peringkat akar umbi lagi,” ujar Hafizul dengan penuh panjang lebar dan begitu bersemangat sekali.
“Tok berasa amat kagum dengan kamu berdua. Dalam usia muda begitu bersemangat untuk mempertahankan adat,” balas Tok Ketua.

“Kami berdua amat sayang pada adat, tok. Sebab itu saya dan Hafizul mengusulkan agar diadakan program adat agar tidak hilang dan hanyut pada satu hari nanti,” ucap Afifuddin.

“Alhamdulillah, tok. Cadangan kami disambut baik dan mendapat sokongan daripada orang-orang kampung,” sampuk Hafizul pula sebaliknya.

“Perkara yang baik pasti akan diterima. Lebih-lebih lagi untuk menarik minat anak-anak muda di kampung ini terhadap adat sebagai peraturan hidup dan mempunyai nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat yang mengamalkannya,” kata Tok Ketua dengan penuh panjang lebar merancakkan lagi perbualan.

“Saya dan Afifuddin telah mencadangkan bermacam-macam pengisian program dalam kertas kerja agar anak-anak muda dapat menjiwainya,” ujar Hafizul.

“Baguslah kalau macam tu!” kata Tok Ketua sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Apa yang kamu berdua fikirkan baik untuk kita semua, tok setuju dan sokong sepenuhnya,” sambungnya lagi.

“Terima kasih tok kerana memberikan kepercayaan kepada kami berdua. Bermacam-macam program yang diketengahkan nanti. Antaranya ialah ceramah, pakaian, makanan, perkahwinan dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan adat,” jelas Afifuddin.

“Menarik sekali program yang kamu berdua susun. Tok yakin. Anak-anak muda di kampung ini akan merasa begitu gembira dan seronok apabila menyertai program yang buat pertama kali kita adakan ini,” ujar Tok Ketua.

Di luar kedengaran bunyi daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu menghiburkan jiwa. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan menutupi permukaan tanah yang kering.

Cuaca masih lagi kelihatan cerah. Sedikit pun tidak kelihatan tanda-tanda hujan akan turun. Bahang panas matahari terasa menyimbah ke seluruh kampung. Angin bertiup tidak menentu. Sekejap perlahan dan sekejap kencang.

“Kita juga akan melibatkan jabatan yang berkaitan untuk bersama-sama dalam program ini. Saya dah pun mengadakan perbincangan bersama-sama dengan pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Mereka akan membantu untuk mengadakan ceramah dan pameran yang berkaitan dengan Adat Perpatih,” nyata Hafizul pada Tok Ketua dengan panjang lebar.

“Saya juga dah berjumpa dengan beberapa jabatan dan agensi yang berkaitan untuk mendapatkan peruntukan bagi penganjuran program ini. Insya-Allah. Mereka sedia membantu. Nanti saya minta tok tandatangan surat untuk dilampirkan bersama-sama dengan kertas kerja untuk dipanjangkan kepada mereka,” beritahu Afifuddin.

“Syukur alhamdulillah. Tok juga akan memohon peruntukan daripada Yang Berhormat ADUN kawasan. Dia ada beritahu tok yang dia akan menyokong semua program yang dijalankan di kampung ni,” tambah Tok Ketua lagi.

“Kita jemput dia nanti untuk merasmikan program,” ucap Hafizul.

“Jumpa dia nanti tok beritahu,” ulas Tok Ketua.

“Konsep muafakat dalam adat juga harus kita ketengahkan dalam program ini,” ujar Hafizul.

“Ya!” celah Tok Ketua dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tok amat bersetuju sekali dengan cadangan kamu tu, Hafizul. Muafakat adalah pegangan utama dalam adat. Seharusnyalah kita tonjolkan kepada anak-anak muda dalam kampung ni,” dia menyambung.

“Demikianlah cantiknya adat. Kerja yang berat akan menjadi ringan dan dapat diselesaikan apabila dipikul bersama-sama. Setiap masalah dan kekusutan dapat diselesaikan dan dileraikan apabila duduk berbincang untuk menyelesaikannya,” sampuk Afifuddin.

“Hebat kamu, Afifuddin. Banyak juga tahu pasal adat,” puji Tok Ketua.

Dia sebaliknya merendah diri.

“Tak jugak, tok. Saya tahu semua ni apabila membaca buku yang berkaitan dengan adat,” katanya.

“Saya pun begitu jugak, tok. Hanya mengikuti ceramah yang dianjurkan oleh pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Walaupun itu sudah memadai namun masih banyak lagi yang perlu saya belajar daripada tok dan mereka yang mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai adat,” celah Hafizul.

“Baguslah bila kamu berdua ada niat macam tu. Insya-Allah. Tok akan penuhi hajat kamu berdua setakat mana yang mampu,” balas Tok Ketua.

Rasa kegembiraan jelas kelihatan di wajah Hafizul apabila mendengar kata-kata Tok Ketua itu. Begitu juga dengan Afifuddin yang duduk bersebelahan dengan Hafizul. Kedua-dua mereka telah menanamkan impian yang tinggi untuk menimba ilmu pengetahuan tentang adat.

Salah satu daripadanya ialah melalui penganjuran program yang melibatkan rakan-rakan yang seusia dengan mereka berdua. Mereka ingin menarik rakan-rakan yang sama peringkat agar sama-sama berjuang mempertahankan adat yang ditinggalkan oleh generasi sebelum ini pada satu hari nanti.

“Adat akan tetap menjadi adat buat selama-lamanya,” tegas Tok Ketua.

“Inilah yang nak kita ketengahkan dalam program tu nanti, tok. Supaya anak-anak muda yang sebaya dengan saya mengetahui akan peranan dan tanggungjawab yang harus dipikul untuk memastikan adat terus kekal dan terpulihara. Selain daripada itu, menerusi penganjuran program ini adalah diharapkan dapat meletakkan adat sebagai harta yang paling tinggi nilainya,” tambah Hafizul.

“Saya tidak mahu apabila hilang nanti sukar untuk dicari ganti. Sebab itu saya dan Hafizul berasa amat perlu diadakan program ini untuk memastikan ia tidak hilang dan diterima oleh semua anak muda di kampung ini,” kata Afifuddin.

Rasa terharu kelihatan di wajah Tok Ketua yang telah dimamah usia itu. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang.

“Memang itulah yang tok harapkan. Apabila tok dan orang-orang kampung yang seusia dengan tok sudah pergi buat selama-lamanya. Pada kamu semualah sebagai pewaris masa depan tok sandarkan harapan untuk meneruskan perjuangan,” dia kata.

“Saya dan Afifuddin berjanji, tok. Akan memastikan adat yang kita amalkan di kampung ini akan terus diperkasa dari satu generasi ke satu generasi,” ikrar Hafizul.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga program yang akan dijalankan nanti tercapai matlamat sepenuhnya,” ujar Tok Ketua.

“Insya-Allah, tok!” angguk Hafizul.

Tanpa disedari hari telah pun memasuki lewat petang. Hafizul dan Afifuddin lalu bergerak meninggalkan rumah Tok Ketua dengan membawa bersama-sama semangat yang penuh berkobar-kobar sebagai pewaris adat bersama-sama dengan rakan-rakan yang seusia pada satu hari nanti.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *