Cerpen “Perbincangan Di Rumah Tok Ketua”

Rumah tok ketua

Rumah Tok Ketua ( Jievoyage )

Matahari yang meninggi di kaki langit
kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali.

Angin bertiup kencang. Pohon-pohon yang merendang dan menghijau menari-nari dengan sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.

“Macam mana dengan mesyuarat tadi, bang?” tanya Mak Senah isteri Tok Ketua sebaik-baik sahaja suaminya pulang ke rumah.

“Alhamdulillah!” jawab Tok Ketua pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Macam-macam usul yang baik dikemukakan orang-orang kampung. Demi untuk kesejahteraan dan kemakmuran kita bersama sebagai penduduk di kampung ni,” jawabnya lagi.

“Baguslah macam tu. Abang sebagai ketua di kampung ni perlu memastikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dan membuahkan hasil yang baik dan membanggakan,” tambah isterinya yang turut berkongsi rasa kegembiraan.

Tok Ketua kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang.

“Memang itulah yang abang harapkan. Abang tak nak nanti kita dianggap hanya pandai bercakap sahaja. Sedangkan hasilnya tak ada langsung. Bak kata orang macam tin kosong. Bunyi saja kuat,” dia berkata.

“Insya-Allah, bang!” celah Mak Senah dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Apabila kita semua bersatu dan bekerjasama di antara satu sama lain pasti apa yang kita rancangkan akan berjaya mencapai matlamatnya,” dia menyambung lagi dengan memberikan kata-kata semangat pada suaminya.

“Terima kasih, Mah. Atas semangat yang Mah berikan tu. Abang berjanji akan melaksanakan dengan sebaik mungkin segala yang telah dipersetujui dalam mesyuarat tadi bersama dengan orang-orang kampung,” balas Tok Ketua.

Mak Semah lalu tersenyum apabila mendengar kata-kata suaminya itu.

“Asyik bercakap aje ni abang dah solat Asar ke belum?” dia menyoal.

“Belum lagi. Kalau macam tu abang solat dulu. Nanti habis pulak waktu asar,” ujar Tok Ketua sambil bangun daripada kerusi.

“Eloklah tu, bang. Lepas solat nanti boleh kita minum petang sama-sama,” kata isterinya.

“Yalah!” jawab Tok Ketua sambil menuju ke bilik.

Keesokan harinya seperti yang telah dijanjikan Razak dan Mansor pun lalu pergi ke rumah Tok Ketua untuk membincangkan program dan aktiviti yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat petang semalam.

“Assalamualaikum!” Kedengaran suara Razak memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Tok Ketua.

“Hah! Razak, Mansor. Naiklah!” pelawanya dengan penuh ramah dan mesra.

Mereka berdua pun lalu naik ke rumah.

“Duduklah!” jemput Tok Ketua.

“Kamu berdua tak ke kebun ke hari ni?” tanya Tok Ketua pada Razak dan Mansor.

“Tak, tok!” jawab Mansor.

“Sebab nak bincangkan semua perkara yang kita putuskan dalam mesyuarat semalam,” katanya lagi.

“Ya, tok. Sebab itulah kami berdua datang jumpa tok pagi ni,” celah Razak pula sebaliknya.

Tok Ketua lalu tersenyum.

“Bersemangat sungguh kamu berdua ni,” ucap Tok Ketua.

“Mestilah, tok. Perkara yang baik mestilah dibawa berbincang dengan segera. Tak begitu, Razak,” balas Mansor sambil berpaling ke arah Razak yang duduk di sebelahnya.

“Betul tu, tok. Saya memang semangat ni. Bila dengar macam-macam program dan aktiviti yang kita nak buat di kampung kita ni,” sampuk Razak pula dengan pantas.

“Baguslah! Kalau kamu berdua ada semangat macam tu,” ujar Tok Ketua.

Tak lama kemudian Mak Senah muncul.

“Hah! Kamu rupanya. Mansor, Razak. Ingatkan siapa yang datang,” sapanya.

“Ya, Mak Semah!” angguk Razak dengan pantas.

“Kami datang ni nak bincang dengan tok. Mengenai perkara yang telah diputuskan dalam mesyuarat yang tok pengerusikan petang semalam,” jelasnya lagi pada Mak Semah.

“Memang itulah yang sebaik-baiknya, Razak. Kamu berdua berbuallah dengan tok. Mak Senah nak ke dapur buat air,” katanya.

“Tak payahlah susah-susah, Mak Senah. Lagipun kami berdua dah minum di warung Pak Tahir tadi sebelum datang ke sini,” balas Mansor.

“Adat tetamu datang ke rumah. Kenalah dihidangkan dengan juadah. Tak banyak sikit,” ucap Mak Senah sambil tersenyum dan kemudiannya mengatur langkah menuju ke dapur.

Tok Ketua, Mansor dan Razak lalu meneruskan semula perbualan.

“Saya amat tertarik dan bersetuju sekali dengan cadangan untuk mengadakan program dan aktiviti seni dan budaya khusus bagi anak-anak muda di kampung ni,” ujar Mansor.

“Aku pun begitu jugak. Sekurang-kurangnya mereka tahu betapa pentingnya menghargai seni dan budaya yang menjadi kebanggaan kita di kampung ni,” balas Tok Ketua.

“Kita harus sentiasa memberikan sokongan terhadap program seumpama ini,” tambah Razak.

“Memang betul kata kau tu, Razak,” jawab Tok Ketua pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Siapa lagi yang harus menyokong program dan aktiviti yang mendatangkan banyak manfaat dan faedah kepada anak-anak muda di kampung ni kalau bukan kita sendiri,” dia menyambung lagi.

“Program untuk memperkenalkan dan mengetengahkan masakan tradisi kaum ibu di kampung ini juga sesuatu yang amat menarik,” celah Mansor.

“Aku pun sependapat dengan kau, Mansor!” sokong Razak.

“Masakan tradisi air tangan kaum ibu di kampung kita ni tidak kurang hebatnya,” dia menambah lagi.

“Pada masa yang sama dapat memelihara dan mengekalkan masakan tradisi kaum ibu di kampung ini agar tidak luput dan hilang pada satu hari nanti,” tegas Tok Ketua.

“Cadangan untuk memperbanyakkan program gotong-royong di kampung ini adalah merupakan satu usaha murni yang sangat baik,” ujar Mansor.

“Dari situlah akan timbul semangat bermuafakat dan saling bekerjasama di kalangan kita,” tambah Razak pula.

“Sejak dari dahulu lagi kita telah di didik dengan mengamalkan cara hidup bermuafakat dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Itulah yang dinamakan sebagai cara hidup berkampung,” ucap Tok Ketua.

Di luar kedengaran suara angin bertiup kencang. Perbualan mereka yang rancak sekali lagi terhenti. Apabila Mak Semah muncul sambil membawa dulang yang berisi tiga cawan air teh yang masih lagi panas dan sepinggan kuih lepat pisang.

Dia kemudiannya lalu perlahan-lahan meletakkannya di atas meja yang dialas dengan kain berwarna biru muda.

“Razak, Mansor. Jemputlah minum!” dia mempelawa sebaik-baik sahaja selesai meletakkan cawan minuman dan pinggan yang berisi kuih di atas meja.

“Terima kasih, Mak Semah!” balas Razak pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sama-sama!” ucap Mak Semah sambil memegang dulang dan kemudian menuju semula ke dapur.

“Hah! Jemputlah minum,” pelawa Tok Ketua pula.

Mereka pun lalu menikmati juadah yang dihidangkan oleh Mak Semah.

“Sedap lepat pisang ni, tok,” puji Mansor.

“Dah rezeki kamu. Pagi semalam aku petik,” kata Tok Ketua.

“Saya tengok buah pisang kat kebun tok tu bertandan-tandan,” ujar Razak.

“Alhamdulillah. Berbudi pada tanah pasti akan dapat menikmati hasilnya,” Tok Ketua melafazkan rasa kesyukuran.

Demikianlah rancaknya mereka berbual-bual sambil menikmati air teh panas dan lepat pisang.

“Kat kampung kita ni banyak tanah yang terbiar dan ditinggalkan dengan begitu sahaja. Saya amat menyokong cadangan agar ia diusahakan dengan tanaman sayur-sayuran,” ucap Mansor.

“Ini juga memberi peluang pekerjaan kepada orang-orang kampung. Lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda. Dengan pekerjaan yang kita sediakan maka dapat mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa kegiatan yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak dan mencemarkan nama baik keluarga,” tambah Tok Ketua pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

“Bila duduk ramai-ramai bermacam-macam pandangan dan buah fikiran yang baik dan membina akan kita dapat demi untuk manfaat dan faedah bersama,” kata Mansor lagi.

“Memang betul kata kau tu, Mansor!” sokong Tok Ketua dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Berbanding dengan duduk seorang. Terasa sempit. Sebab itulah pentingnya kita duduk berbincang sebelum melakukan sesuatu pekerjaan itu,” katanya lagi.

“Hidup bermuafakat memang indah dan cantik,” tambah Razak.

“Program yang membentuk dan membina ke arah hidup bermuafakat perlu diadakan secara berterusan,” ujar Mansor.

“Bak kata pepatah yang berat sama kita pikul dan yang ringan sama kita jinjing,” ucap Razak.

“Bagai aur dengan tebing saling perlu-memerlukan dan sandar-menyandar antara satu sama lain pada setiap waktu dan ketika,” kata Mansor.

“Ke bukit sama kita daki. Begitu juga ke lurah sama kita turuni.” Tok Ketua menghangatkan lagi tajuk perbualan.

Sepertimana hangatnya matahari di kaki langit. Cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang diulit dengan rasa penuh ketenangan dan kedamaian. Angin yang tadinya bertiup kencang dengan tiba-tiba sahaja bertukar irama menjadi sepoi-sepoi bahasa.

Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin. Pelepahnya yang bergeseran di antara satu sama lain apabila ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa apabila didengari.

“Saya amat menyambut baik dengan cadangan gotong-royong untuk membersihkan sungai di kampung kita,” kata Razak.

“Melalui program ini kita dapat menjaga dan mengelakkan daripada berlakunya pencemaran ke atas sungai,” tambah Mansor.

“Paling penting kita dapat menanamkan rasa sayang dan kecintaan terhadap alam sekitar kurniaan Tuhan,” ujar Tok Ketua.

“Menjadikan rumah-rumah lama yang bersejarah dan mempunyai keunikan ciri-ciri senibina sebagai inap desa kepada pelancong daripada luar adalah merupakan satu cadangan yang amat baik dan perlu kita berikan sokongan sepenuhnya,” kata Razak.

“Pada masa yang sama dapat menjana pendapatan kepada pemilik rumah yang dijadikan sebagai inap desa,” balas Mansor.

“Begitulah caranya untuk kita membantu sumber pendapatan penduduk di kampung ini. Di samping untuk menarik kedatangan pelancong luar dan seterusnya mengenali keunikan sejarah, seni dan budaya yang terdapat di kampung kita ini,” ulas Tok Ketua.

Sekali-sekala kedengaran suara angin yang bertiup dengan penuh lemah-gemalai. Rasa segar dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyusup masuk melalui celah-celah dinding papan rumah Tok Ketua.

“Memperbanyakkan lagi bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan di kampung ini adalah merupakan satu usaha murni yang perlu disambut dengan baik,” kata Razak.

“Semoga akan lahir ramai insan yang berilmu dan cerdik pandai di kalangan anak-anak di kampung kita ini pada satu hari nanti,” sokong Mansor.

“Insan yang berilmu perlu seiring dengan didikan agama. Aktiviti keagamaan secara bulanan sepertimana yang dibangkitkan dalam mesyuarat petang semalam adalah merupakan satu usaha dan langkah yang baik. Dalam usaha kita bersama-sama untuk membina insan yang beriman dan bertakwa,” Tok Ketua berkata.

“Perancangan yang rapi perlu kita lakukan dalam menggerakkan segala aktiviti dan program yang telah dirancang,” ujar Mansor.

“Penglibatan dan kerjasama penduduk kampung daripada semua peringkat adalah amat diperlukan agar segala program dan aktiviti dapat dilaksanakan dengan jayanya,” tambah Razak.

“Selama aku menjadi ketua di kampung ni aku dapati tak ada masalah untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada penduduk kampung. Mereka sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan dalam menjayakan program dan aktiviti yang diadakan di kampung ini. Insya-Allah!” angguk Tok Ketua.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT memakbulkan segala yang kita hajatkan,” katanya lagi.

Menjelang tengah hari Razak dan Mansor lalu bergerak meninggalkan rumah Tok Ketua.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *