Cerpen “Memperkasakan Adat, Seni & Budaya”
Angin yang datang daripada arah bukit
bertiup dalam nada suara riang dan sungguh menghiburkan jiwa.
Rasa nyaman dan dingin jelas terasa menyelubungi seluruh
kawasan perkampungan yang penuh dengan keindahan dan kedamaian.
“Aku menyambut baik program yang bertujuan untuk mengetengahkan adat, seni dan budaya,” kata Pak Budin.
“Program seumpama ini seharusnya kita berikan sokongan sepenuhnya. Sekurang-kurangnya generasi muda di kampung ni dapat mengenali dengan lebih dekat lagi adat, seni dan budaya yang menjadi kebanggaan kita semua,” tambah Pak Ismail.
“Adat, seni dan budaya yang setelah sekian lama diperturunkan oleh datuk nenek moyang kita harus dipertahankan buat selama-lamanya. Biarpun zaman sentiasa mengalami peredaran yang pesat,” ujar Pak Rahman dengan penuh bersemangat.
“Itu memang kita tidak dapat nafikan. Setiap yang lama pasti akan digantikan dengan yang baru. Begitu juga dengan zaman yang kita lalui. Pasti akan berubah apabila tiba masanya. Tapi adat, seni dan budaya yang menjadi amalan dalam kehidupan kita tidak boleh dibiarkan hanyut dan hilang dengan begitu sahaja. Apabila berlaku arus permodenan yang pesat,” tegas Pak Budin pula sebaliknya.
Demikianlah rancaknya perbualan antara Pak Budin, Pak Ismail dan Pak Rahman sewaktu singgah di warung Pak Hashim untuk bersarapan pagi selepas menunaikan solat Subuh di masjid.
Tak lama kemudian Pak Hashim muncul sambil membawa makanan dan minuman yang dipesan oleh mereka bertiga. Pak Budin memesan pulut dengan sambal tumis petai dan air Nescafe, Pak Ismail memesan roti canai dan air teh. Manakala Pak Rahman pula memesan nasi lemak telur goreng dan air kopi.
Perlahan-lahan Pak Hashim meletakkan makanan dan minuman di atas meja.
“Ramai pelanggan yang datang ke warung kau ni, Shim!” ucap Pak Budin.
“Alhamdulillah! Rezeki,” dia membalas.
“Makanan di warung kau ni memang sedap,” Pak Rahman menambah.
“Memang betul kata kau tu, Man!” celah Pak Ismail pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Kalau sehari tak singgah kat warung kau ni, Shim tak sah rasanya,” dia menyambung lagi.
“Terima kasihlah kau orang puji dan selalu datang ke warung aku ni. Tapi kau orang mesti ingat. Masakan isteri kau orang kat rumah tu tak kurang juga hebatnya. Kalau dia dengar nanti tak pasal-pasal dia merajuk tak nak masak. Parah kau orang nanti,” usik Pak Hashim.
Mereka lalu ketawa.
“Dahlah! Kau orang makanlah. Aku nak layan pelanggan,” kata Pak Hashim.
Dia kemudiannya lalu beredar sambil membawa dulang.
Selepas menikmati sarapan pagi di warung Pak Hashim, mereka pun pulang ke rumah.
“Assalamualaikum!” Pak Budin memberi salam pada isterinya Mak Tijah setibanya di rumah.
“Waalaikumussalam!” dia menjawab dengan senyuman.
“Lambat abang balik,” ujar Mak Tijah lagi.
“Abang singgah kat warung Hashim. Lepas tu sembang pulak dengan Ismail dan Rahman. Tu yang abang lambat balik,” jelasnya.
“Abang dah minumlah, ya,” ujar isterinya.
Dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Dah!”
“Saya dengar ada program yang berkaitan dengan adat, seni dan budaya yang nak dibuat di kampung kita ni.”
“Ya! Itulah yang abang bincangkan bersama dengan Ismail dan Rahman di warung Hashim tadi.”
“Baguslah tu, bang. Adat, budaya dan seni perlu kita jaga dan pelihara sentiasa.”
“Memang itulah tujuan utama ia diadakan. Melalui program ini juga adalah diharapkan dapat memperkasakan lagi adat, seni dan budaya.”
Dia kemudiannya lalu memberitahu isterinya yang dia hendak bersiap pergi ke kebun.
Kedengaran bunyi pintu bilik diketuk.
“Masuk!” kata Encik Nordin editor akhbar Kilauan Ilmu.
“Encik Nordin nak jumpa saya,” ujar Asmah.
“Ya! Duduklah!” balasnya dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Terima kasih,” kata Asmah.
“Saya ada tugasan khas nak beri pada awak,” jelas Encik Nordin.
“Tugasan apa, Encik Nordin?” soalnya.
“Saya nak awak buat rencana mengenai program adat, seni dan budaya di Kampung Kuala Seberang. Saya pilih awak sebab awak banyak membuat rencana yang berkaitan dengan adat, budaya dan seni. Ramai pembaca yang suka dan memuji tulisan awak. Akhbar kita laris dijual disebabkan tulisan awak yang sangat menarik dan padat dengan maklumat yang berkaitan,” jawab Encik Nordin dengan penuh panjang lebar.
“Terima kasih, Encik Nordin. Kerana telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menulis rencana berkenaan dengan program ini. Sebenarnya saya tidak mengharapkan sebarang pujian terhadap apa yang telah saya lakukan. Cukuplah hanya dengan dapat menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan dengan sebaik mungkin.” Dia sebaliknya hanya merendah diri. Apabila mendengar kata-kata pujian yang diberikan oleh Encik Nordin itu.
Encik Nordin lalu tersenyum.
“Perkara yang baik haruslah dipuji,” dia berkata.
“Bila program itu akan diadakan, Encik Nordin?” tanyanya.
“Oh, ya. Baru saya ingat. Ini surat jemputan daripada mereka. Dalam tu ada tarikh, masa dan tempat program itu akan diadakan. Awak ambillah,” jawab Encik Nordin pula sambil menyerahkan surat kepada Asmah.
Dia lalu menyambut surat itu dan membaca isi kandungan. Terutamanya yang berkaitan dengan tarikh, masa dan tempat program itu akan diadakan.
Rasa kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya termampan pada dinding batu pejal yang dicat dengan warna merah jambu.
Asmah kemudiannya lalu memandang Encik Nordin.
“Baiklah, Encik Nordin!” dia berkata sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya akan balas segala kepercayaan yang Encik Nordin berikan dengan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
“Bagus! Saya yakin. Awak mampu menjalankan tugas ini dengan baik sepertimana yang saya harapkan. Awak boleh pergi sekarang,” balas Encik Nordin pula.
“Baiklah, Encik Nordin! Terima kasih!” ucapnya.
“Sama-sama!” jawab Encik Nordin dengan mengangguk-anggukkan kepala.
Asmah kemudiannya lalu mengatur langkah meninggalkan bilik Encik Nordin.
Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit. Sinaran cahaya matahari yang terang-benderang menyinari seluruh kampung.
“Aku nak buat mesyuarat Sabtu depan. Panggil semua orang kampung. Kita bincang sama-sama. Program yang kita nak buat tu,” kata Tok Ketua.
“Eloklah tu, tok. Sekurang-kurangnya program yang kita nak buat tu nanti berjalan dengan baik dan lancar,” sokong Pak Budin.
“Itulah pentingnya kita bermuafakat dulu sebelum melakukan pekerjaan,” tambah Tok Ketua.
“Kita yang hidup di kampung ni sejak daripada dahulu lagi telah diajar untuk sentiasa bermuafakat,” ucap Pak Budin.
“Memang cantik hidup bermuafakat ni, Din. Yalah! Pekerjaan yang berat akan menjadi ringan. Begitu juga dengan pekerjaan yang payah akan menjadi senang. Itulah berkatnya kita bermuafakat sesama kita. Lebih-lebih lagi dalam program yang berkaitan dengan adat, seni dan budaya,” tegas Tok Ketua.
“Saya dengar ada wartawan nak datang ke kampung ni nak buat cerita pasal program yang kita adakan tu,” Pak Budin berkata.
“Ya, Din!” angguk Tok Ketua pula sebaliknya dengan pantas.
“Aku sendiri yang jemput dia datang. Supaya orang ramai tahu yang kita buat program untuk memperkasakan lagi adat, seni dan budaya. Pada masa yang sama kita dapat mengetengahkan keunikan dan keistimewaan adat, seni dan budaya yang terdapat di kampung kita ini bukan sahaja kepada masyarakat luar tetapi juga pelancong. Ini akan menarik minat mereka untuk datang ke kampung kita untuk melihat dengan lebih dekat lagi adat, budaya dan seni yang diwarisi sejak daripada turun-temurun lagi,” jelas Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.
“Memang cantik tok bila cerita mengenai program yang kita buat tersiar dalam suratkhabar. Selain daripada masyarakat luar dan pelancong dapat mengetahui keindahan dan keistimewaan adat, seni dan budaya yang menjadi milik kita orang-orang kampung juga akan memperolehi hasil pendapatan melalui program yang dijalankan,” Pak Budin menambah.
“Itulah yang menjadi hasrat aku sebenarnya, Din. Di samping untuk memperkasakan adat, budaya dan seni pada masa yang sama aku nak membantu menambah pendapatan penduduk kampung ni,” kata Tok Ketua.
Suara angin yang bertiup kencang jelas kedengaran membelah suasana. Pohon-pohon kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin.
Tok Ketua, Pak Budin, Pak Ismail dan Pak Rahman tidak terus balik ke rumah sebaik-baik sahaja mesyuarat di balai raya selesai pada petang itu. Sebaliknya mereka rancak berbual-bual mengenai perkara yang diputuskan dalam mesyuarat tadi.
“Banyak manfaat dan faedah yang akan kita perolehi daripada program ini,” ujar Pak Rahman.
“Memang betul kata kau tu, Man. Terutamanya kepada anak-anak muda di kampung ni. Mungkin ada di antara mereka yang tak tahu langsung apa yang dikatakan sebagai adat, seni dan budaya itu,” sokong Pak Ismail.
“Nak salahkan mereka tak boleh juga. Sebab mereka lebih terdedah dengan cara hidup yang moden. Sehingga tidak kenal dengan adat, budaya dan seni bangsa sendiri,” tambah Tok Ketua.
“Saya memang bersetuju sekali dengan apa yang tok katakan tu!” sampuk Pak Budin pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sebab itulah program seumpama ini perlu kita ketengahkan kepada mereka. Agar mereka tahu apa yang dimaksudkan sebagai adat, seni dan budaya dengan lebih mendalam lagi,” dia menyambung lagi.
“Dengan penglibatan mereka bersama-sama dengan kita akan dapat memberikan gambaran yang lebih jelas lagi kepada mereka tentang apa yang dikatakan sebagai adat, budaya dan seni,” ucap Pak Ismail.
“Secara tidak langsung rasa sayang dan kecintaan yang menebal terhadap adat, seni dan budaya akan tertanam ke dalam diri mereka,” tambah Pak Budin.
“Mereka adalah pewaris kepada adat, budaya dan seni pada satu hari nanti. Apabila kita sudah tiada lagi nanti. Sepertimana yang telah dilakukan oleh datuk nenek moyang kita,” kata Pak Rahman.
“Bak kata orang kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bermula daripada sekaranglah kita perlu mendidik dan menyemai ke dalam diri mereka agar mencintai dan menyayangi adat, budaya dan seni,” ucap Tok Ketua.
Menjelang lewat petang mereka pun lalu pulang ke rumah.
Sepertimana yang dirancang maka penduduk Kampung Kuala Seberang lalu mengadakan program yang berteraskan adat, seni dan budaya. Ternyata program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan termasuk daripada golongan muda.
Tambah menarik lagi Asmah telah membuat liputan yang meluas mengenai program ini bermula daripada awal sehingga ke akhir. Program yang julung-julung kalinya diadakan ini telah mendatangkan impak yang amat besar kepada penduduk kampung terutamanya anak-anak muda.
“Tok ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Asmah. Di atas kesudian melapangkan masa untuk bersama-sama dalam program ini dan menulisnya di dalam suratkhabar,” kata Tok Ketua dengan rasa penuh gembira.
“Sama-sama, tok!” balas Asmah pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya juga nak ucapkan tahniah kepada tok dan semua penduduk kampung di atas kejayaan program. Semoga ia akan terus diadakan pada masa-masa yang akan datang,” sambungnya lagi.
“Insya-Allah! Program ini tidak akan terhenti setakat di sini sahaja. Demi untuk memperkasakan adat, seni dan budaya kami akan adakan pada setiap tahun. Jabatan dan agensi yang berkaitan dengan adat, seni dan budaya akan menyalurkan peruntukan khas kepada kami untuk mengadakan program ini,” Tok Ketua membalas.
“Syukur alhamdulillah, tok! Nampaknya program yang kita adakan ini mendapat perhatian daripada mereka,” celah Pak Budin.
“Kita telah berjaya membuktikan bahawa program ini telah dapat mengetengahkan adat, seni dan budaya sebagai cara hidup yang diamalkan sejak daripada dahulu lagi dan masih bertahan di kampung yang menjadi tempat kita dilahirkan dan dibesarkan,” tambah Pak Rahman dengan penuh bersemangat.
“Aku tengok anak-anak muda pun seronok dan gembira apabila menyertai program ini bersama-sama dengan kita,” ucap Pak Ismail.
“Benih telah pun kita semai. Hasilnya akan kita nikmati nanti,” celah Pak Budin.
“Melalui program ini banyak yang tertimbus telah dapat kita gali semula. Tidak kurang juga yang tenggelam telah dapat kita timbulkan semula,” Tok Ketua berkata.
“Memang benar, tok!” ujar Asmah.
“Itulah yang saya tekankan dalam rencana yang saya tulis. Semoga usaha murni yang tok lakukan bersama dengan orang-orang kampung akan menjadi contoh kepada mereka yang lain dalam berjuang untuk memperkasakan adat, seni dan budaya,” katanya lagi.
“Memang itulah yang tok harapkan. Perjuangan untuk memperkasakan adat, budaya dan seni sebenarnya tidak akan berakhir dengan begitu sahaja. Selagi namanya adat, seni dan budaya maka selama-lamanyalah ia akan menjadi amalan dan pegangan kita. Maka tidak seharusnyalah kita membiarkan ia berkubur dan lenyap. Tok menaruh harapan yang tinggi. Melalui program yang diadakan ini akan mencetuskan semangat kepada semua penduduk kampung terutamanya anak-anak muda untuk terus mempertahankan warisan khazanah yang tinggi nilainya,” ujar Tok Ketua pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
Sekali-sekala kedengaran suara angin yang bertiup dengan begitu kencang. Pohon-pohon yang mengangguk-angguk ditiup angin seolah-olah menyatakan persetujuan dan memberikan sokongan yang sepenuhnya terhadap kata-kata yang dilafazkan oleh Tok Ketua itu.
“Syabas, tok! Semangat sebeginilah yang kita inginkan. Saya doakan semoga usaha murni tok bersama dengan penduduk kampung akan direstui Allah SWT dan menjadi kenyataan,” kata Asmah.
“Terima kasih atas doa dan sokongan yang Asmah berikan. Adat, seni dan budaya tidak akan berpisah daripada kami sebagai penduduk di kampung ini,” ikrar Tok Ketua.
“Ya, tok! Kami sebagai anak buah akan sentiasa bersama dengan tok dalam mendukung perjuangan untuk memperkasakan adat, budaya dan seni,” janji Pak Budin.
Pak Rahman kemudiannya lalu mengalih tajuk perbualan.
“Bila agaknya cerita mengenai program ini akan keluar dalam suratkhabar?” dia menyoal Asmah.
“Yalah! Takut nanti terlepas pulak beli suratkhabar. Tahu-tahu aje cerita yang kamu tulis ni dah tersiar,” sampuk Pak Ismail pula dengan pantas.
“Kalau ya pun sabarlah. Cik Asmah ni baru nak tulis pasal cerita ni. Kau orang ingat senang ke nak keluar dalam suratkhabar. Macam-macam yang perlu dibuat. Tak begitu, Cik Asmah?” Pak Budin mengangkat kepala sambil memandang Asmah.
Tok Ketua, Pak Budin, Pak Ismail dan Pak Rahman sebaliknya lalu ketawa.
“Bila cerita ni dah keluar dalam suratkhabar saya akan bagitahu Tok Ketua. Nanti Tok Ketua akan beritahu pada Pak Rahman, Pak Ismail, Pak Budin dan semua orang kampung,” jelas Asmah sambil tersenyum.
Rasa keriangan jelas kelihatan pada wajah Tok Ketua, Pak Budin, Pak Ismail, Pak Rahman dan semua penduduk kampung. Matlamat mereka untuk memperkasakan adat, seni dan budaya melalui program yang diadakan telah tercapai sepenuhnya.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~