Cerpen “Tangan Yang Mengukir”
Setibanya sahaja di pejabat pagi itu
aku lalu diberitahu oleh Munirah rakan sekerjaku yang Encik Ramli, Ketua Editor Majalah Seni dan Budaya ingin berjumpa denganku. Sudah tentu ada tugasan baru yang hendak diberikannya kepadaku. Teka dalam hati kecilku.
Tanpa berlengah lagi aku lalu mengatur langkah menuju ke biliknya. Sampai sahaja di biliknya aku lalu mengetuk pintu.
“Masuk!” Kedengaran suaranya dari arah dalam bilik memberikan arahan.
Daun pintu lalu segera kutarik sebaik-baik sahaja mendengar suara Encik Ramli menyuruh aku masuk ke dalam biliknya.
“Encik Ramli nak jumpa saya,” kataku setelah bertentang wajah dengannya.
“Ya, Mal,” dia menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Duduklah!” pelawanya.
“Terima kasih!” aku sebaliknya membalas dengan rasa penuh hormat sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Tujuan saya panggil awak ialah untuk memberikan tugasan yang baru pada awak. Bagi saya hanya awak saja yang layak untuk membuat tugasan ini. Saya pilih awak berdasarkan kemahiran dan pengetahuan yang awak miliki selama ini,” dia memberitahuku.
Memang tepat sekali apa yang aku duga. Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik besar yang berbentuk empat segi itu dengan dindingnya dicat dengan warna biru muda. Aku lalu memandang wajah Encik Ramli yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun sebagai Ketua Editor Majalah Seni dan Budaya.
Dia mempunyai pengalaman yang amat luas dalam mengendalikan Majalah Seni dan Budaya yang menjadi pilihan ramai penyelidik dan pelajar institusi pengajian tinggi yang membuat kajian dalam bidang yang berkaitan.
Sebelum menjadi Ketua Editor, Encik Ramli adalah wartawan sepertiku. Hasil daripada kerja keras dan komitmen yang telah ditunjukkannya dia kemudiannya telah dinaikkan pangkat sebagai ketua editor setelah Encik Hassan menamatkan perkhidmatan atas faktor usia.
Aku banyak belajar daripada dia dalam menghasilkan penulisan rencana yang baik dan ilmiah untuk diterima oleh semua peringkat pembaca selain daripada penyelidik dan pelajar institusi pengajian tinggi.
Dia juga sering diundang sebagai penceramah dan membimbing peserta dalam bengkel yang berkaitan dengan penulisan rencana yang berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan. Baginya ilmu yang ada perlu dikongsi bersama-sama dengan mereka yang memerlukannya sebagai satu amal jariah di dunia mahupun akhirat.
Aku benar-benar kagum dengan ketua majikan tempat aku mencari rezeki. Dia juga sentiasa mengingatkan aku dan rakan-rakan sekerja yang lain agar komited dan beramanah dalam menjalankan tugas yang diberikan di samping mempunyai disiplin ilmu yang tinggi dalam bidang dan kerjaya yang diceburi.
“Tugasan apa tu, Encik Ramli?” aku sebaliknya menyoal dengan rasa penuh minat.
“Saya nak awak tulis tentang rencana khas tentang seni ukiran rumah tradisional masyarakat Melayu,” dia berkata padaku.
“Menarik tajuk ni, Encik Ramli,” aku sebaliknya membalas dengan pantas apabila mendengar kata-katanya itu.
“Memang menarik, Mal!” angguknya dengan pantas.
“Saya nak awak pergi ke Kampung Bukit Tempurung yang terletak di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Awak berjumpa dengan Tok Ketua di kampung tu dulu. Dia akan bawa awak berjumpa dengan Pak Salleh yang pakar membuat ukiran rumah di kampung. Saya dapat maklumat ni daripada kawan saya yang pernah sama belajar dengan saya sewaktu di universiti dulu. Dia yang minta saya masukkan rencana khas ini dalam majalah yang kita terbitkan. Saya akan bagi nombor telefon Tok Ketua untuk awak hubungi sebagai peringkat permulaan,” jelasnya lagi dengan penuh panjang lebar.
Aku sebaliknya lalu membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Baiklah, Encik Ramli!” ujarku.
“Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugasan. Insya-Allah! Saya akan lakukan yang terbaik!” janjiku pula.
Encik Ramli lalu tersenyum gembira apabila mendengar apa yang telah kukatakan itu.
Aku kemudiannya lalu meninggalkan bilik Encik Ramli dengan rasa penuh semangat dan tak sabar-sabar lagi untuk menjalankan tugasan yang telah diberikan. Lebih menggembirakan aku bukan sahaja dapat melaksanakan tugasan yang baru tetapi akan menemui juga penemuan baru hasil daripada rencana yang aku tulis nanti.
“Gembira nampak. Dapat naik pangkat ke?” tegur Munirah.
“Tak adalah!” aku menjawab.
“Habis? Gembira semacam aje aku tengok. Bila kau keluar daripada bilik Encik Ramli. Kau janganlah nak sembunyi daripada aku. Kau kan pekerja yang cemerlang dan menjadi contoh dalam syarikat ni. Tentu kau naik pangkatkan,” desak Munirah tak henti-henti.
Aku sebaliknya lalu tersenyum.
“Kan aku dah kata mana ada naik pangkat. Encik Ramli suruh aku tulis rencana mengenai seni ukiran rumah Melayu tradisional,” jelasku.
“Bagus tu!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Kat mana kau nak buat tugasan tu?” soalnya lagi.
“Kau pernah dengar Kampung Bukit Tempurung yang terletak di Seri Menanti, Negeri Sembilan,” kataku.
“Oh, ya! Baru aku ingat. Aku ada seorang kawan berasal dari sana. Masa dia kahwin aku pergi rumah dia,” ucap Munirah.
“Aku akan buat tugasan yang diberikan oleh Encik Ramli di kampung tu. Ketua kampung akan membawa aku berjumpa dengan Pak Salleh yang merupakan pakar seni ukiran rumah tradisional di kampung tu,” kataku.
“Kalau begitu mudahlah kerja kau bila dah ada orang yang nak bantu,” ujarnya.
“Itu pun hasil daripada bantuan Encik Ramli. Kawan dia yang suruh tulis pasal rencana ni,” aku membalas.
“Aku ucapkan semoga berjaya pada kau,” jawab Munirah setelah mendengar kata-kataku itu.
“Terima kasih!” anggukku dengan pantas.
“Macam mana dengan rencana kau yang bertajuk “Busana Tradisi Masyarakat Melayu? Dah siap ke?” aku menyoal Munirah.
Dia lalu pantas menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Alhamdulillah! Dah siap. Encik Ramli pun dah semak. Bulan depan keluarlah dalam majalah!”
“Tahniah!”
“Tapi, rencana yang aku tulis tu taklah sehebat macam rencana yang kau tulis, Mal.”
“Kau ni, Munirah. Ada-ada ajelah. Aku takdelah sehebat mana pun. Masih banyak lagi yang perlu aku belajar. Dahlah! Aku nak telefon Tok Ketua Kampung Bukit Tempurung tu. Nanti kita sembang lagi.”
“Yalah!”
Aku pun lalu menghubungi Tok Ketua melalui nombor yang diberikan oleh Encik Ramli. Dia berasa amat gembira apabila mendengar aku hendak membuat rencana mengenai seni ukiran rumah Melayu tradisional yang terdapat di Kampung Bukit Tempurung.
Rasa kegembiraan lalu menebal dalam diriku apabila mendengar yang dia akan membantu aku untuk menulis rencana tersebut dengan membawa aku berjumpa dengan Pak Salleh.
“Siapa yang telefon tu, bang?” soal Mak Leha isteri Tok Ketua.
Dia kemudian lalu memandang isterinya yang kelihatan berdiri tercegat itu.
“Kamal!” jawabnya pendek.
“Kamal? Kamal mana pulak?” tanya isterinya lagi.
“Wartawan Majalah Seni dan Budaya,” balasnya.
“Apa dia hendak, bang?” isterinya tak henti-henti menyoal.
“Dia nak buat rencana tentang ukiran rumah lama yang terdapat di kampung ni. Jadi, dia minta abang tolong bawak dia jumpa Salleh,” jelasnya.
“Oh, begitu!” angguk isterinya.
“Bila dia nak datang, bang?” soal isterinya tak putus-putus.
“Minggu depan! Abang nak pergi jumpa Salleh. Bagitahu dia,” Pak Salleh memberitahu isterinya.
“Baiklah, bang!” balas isterinya sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Tok Ketua kemudiannya lalu menghidupkan enjin kereta dan menuju ke rumah Pak Salleh.
“Dia nak temu ramah saya tentang ukiran rumah lama?” tanya Pak Salleh dengan rasa penuh terkejut.
“Ya, Leh!” angguk Tok Ketua sebaliknya dengan pantas.
“Itu adalah satu penghormatan bagi kau sebagai pakar ukiran rumah lama di kampung kita ni,” dia menyambung lagi.
Seperti yang telah dijanjikan aku pun lalu pergi ke Kampung Bukit Tempurung dan bertemu dengan Tok Ketua. Dia menyambut kedatangan aku dengan ramah dan penuh mesra. Kemudian dia lalu membawa aku berjumpa dengan Pak Salleh.
“Inilah Kamal, Leh. Wartawan yang nak temu ramah kau mengenai mengenai ukiran rumah lama.” Tok Ketua lalu memperkenalkan aku pada Pak Salleh.
“Assalamualaikum, Pak Salleh. Apa khabar?” sapaku sambil bersalaman dengannya.
“Waalaikumsalam. Alhamdulillah sihat,” dia membalas.
“Jemputlah duduk,” pelawanya.
“Terima kasih,” ujarku.
“Kamal datang daripada mana?” dia bertanya padaku.
“Kuala Lumpur, Pak Leh,” aku menjawab.
“Asal mana?” soalnya lagi.
“Selangor,” balasku.
“Tok Ketua beritahu yang Kamal nak tahu pasal ukiran rumah lama,” ujarnya.
“Ya, Pak Leh!” aku mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.
Aku kemudiannya lalu mengeluarkan pita perakam suara untuk menyimpan dan menyalin maklumat yang diberikan oleh Pak Salleh.
“Apa yang Kamal nak tahu daripada Pak Salleh?”
“Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Tok Ketua di atas kesudian menerima kedatangan saya ke kampung ni. Terima kasih juga pada Pak Salleh kerana membantu saya untuk menulis rencana khas ini atas arahan daripada ketua pengarang majalah yang diterbitkan oleh syarikat tempat saya bekerja hampir 10 tahun. Itulah sebagai mukaddimah daripada saya. Sebagai peringkat permulaan saya nak tahu bagaimana boleh timbulnya minat Pak Salleh dalam bidang seni ukiran,” kataku dengan penuh panjang lebar.
“Sebenarnya minat Pak Salleh terhadap seni ukiran ni sejak daripada usia muda lagi. Pak Salleh belajar kerja mengukir ni daripada arwah Pak Seman. Daripada situlah timbul minat Pak Salleh untuk membuat ukiran pada rumah-rumah yang terdapat di kampung ni,” jelasnya.
Aku benar merasa kagum dan teruja apabila mendengar kata-katanya itu.
“Kerja mengukir ni memerlukan kesabaran dan ketekunan. Buktinya aku dapat lihat pada ukiran rumah-rumah lama yang kau buat di kampung ni,” celah Tok Ketua.
“Benar, tok!” angguknya dengan pantas.
“Bukan mudah untuk menghasilkan ukiran yang menarik dan menambat hati mereka yang melihatnya melainkan hanya dengan kesabaran dan ketekunan tangan yang melakukannya,” dia menambah lagi.
Aku sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja sebagai tanda faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Pak Salleh itu.
“Tentu ada yang ingin Pak Salleh sampaikan di sebalik ukiran yang Pak Salleh hasilkan melalui corak dan bentuk yang menghiasi bahagian dinding pada sesebuah rumah itu,” ucapku pula.
“Tentang falsafah kehidupan dan alam yang tidak dapat dipisahkan daripada kita sebagai seorang yang bernama manusia. Corak bunga dan daun mencerminkan keindahan dan kedamaian hidup yang kita nikmati. Sebab itulah perlunya sesebuah rumah itu perlu ada seni ukiran untuk menjadikan jiwa sentiasa dalam keadaan tenang dan gembira apabila melihatnya,” dia menjawab.
Tak lama kemudian isteri Pak Salleh muncul sambil membawa dulang yang berisi air teh ‘o’ dan pinggan yang berisi kuih lepat pisang.
“Susah-susah aje kau ni, Tipah. Buat air dengan kuih,” ucap Tok Ketua.
“Kan dah jadi adat, tok. Tetamu datang ke rumah kenalah hidangkan dengan juadah,” dia membalas.
“Kenalkan ni, Mak Tipah isteri Pak Salleh. Inilah Kamal yang abang ceritakan pada Tipah. Nak buat cerita pasal ukiran pada tiang dan dinding rumah lama yang ada di kampung ni.”
“Apa khabar, Mak Tipah?”
“Alhamdulillah, baik.”
Dia lalu meletakkan cawan dan pinggan di atas meja yang berbentuk empat segi yang beralaskan dengan kain berwarna hijau muda.
“Jemputlah minum!” pelawanya setelah meletakkan hidangan di atas meja.
“Terima kasih!” ujarku sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Mak Tipah nak ke dapur. Banyak lagi kerja yang belum siap,” dia berkata sambil membawa dulang dan berlalu pergi meninggalkan ruang tamu rumah.
“Tok, Kamal. Silakan. Rezeki ni ada lepat pisang,” pelawa Pak Salleh pula.
Kami bertiga lalu menikmati juadah yang dihidangkan oleh Mak Timah.
“Tadi Pak Salleh ada bagitahu yang ukiran bukan sahaja terdapat pada dinding malahan juga pada tiang rumah. Apa corak yang Pak Salleh gunakan untuk tiang?” aku menyoal Pak Salleh yang kelihatan sedang menghirup perlahan-lahan air teh ‘o’ yang masih lagi panas.
“Ya, Leh! Aku tengok banyak juga tiang rumah-rumah lama di kampung ini yang kau ukir dengan ukiran yang menarik,” tambah Tok Ketua setelah selesai menikmati lepat pisang.
“Kebanyakan tiang rumah saya ukir dengan corak daun dan paku-pakis. Bagi saya itulah corak yang sedap mata memandang dan penuh dengan falsafah seni kehidupan yang kita lalui setiap masa,” jawabnya.
“Menarik tu!” aku membalas dengan pantas.
“Memang menarik, Kamal. Nanti tok dan Pak Salleh akan bawak Kamal untuk melihat dengan sendiri rumah-rumah yang mempunyai corak ukiran yang menarik pada dinding dan tiang hasil daripada tangan Pak Salleh,” ucap Tok Ketua padaku.
“Saya memang perlu melihatnya dengan sendiri dan mengambil gambar untuk dimuatkan bersama dengan rencana tu nanti,” aku menambah.
“Ukiran juga menjadikan sesebuah rumah itu mempunyai ciri-ciri senibina yang menarik,” kata Pak Salleh lagi.
“Memang benar apa yang Pak Salleh katakan itu. Saya sendiri pun sebelum datang ke sini sudah pun membuat kajian di perpustakaan. Melalui pembacaan buku-buku yang berkaitan dengan senibina rumah yang menarik,” jelasku.
Sememangnya kajian perpustakaan amat penting dilakukan sebelum turun ke lapangan untuk mendapatkan bahan yang berkaitan dengan rencana yang kita tulis agar maklumat yang kita perolehi nanti adalah mantap dan tidak tersasar daripada tajuk utama yang kita ketengahkan kepada pembaca.
Itulah yang sering diingatkan oleh Encik Ramli kepadaku termasuk rakan-rakan yang lain. Bahan tambahan amat penting sebagai sumber rujukan selain daripada temu bual dengan pemberi maklumat utama dalam penulisan rencana yang berbentuk ilmiah.
“Sebagai seorang wartawan yang kerjanya menulis Kamal dah pakar dalam bidang tu berbanding dengan Pak Salleh yang tak berpelajaran tinggi ni,” ujarnya sambil ketawa.
“Pak Salleh pun pakar juga dalam menghasilkan seni ukiran yang menarik pada rumah-rumah lama yang ada di kampung ni.”
“Memang betul kata Kamal tu, Leh. Dalam kampung ni takde siapa lagi yang boleh menandingi kehebatan dan kemahiran sebagai tukang ukir.”
“Saya biasa aje, tok. Selama ini saya menganggap diri saya tidaklah sehebat mana. Mungkin ada lagi yang lebih hebat daripada saya.”
“Bakat dan kemahiran yang kau miliki sebenarnya adalah anugerah daripada Allah.”
“Saya merasa amat bersyukur, tok dengan apa yang telah dikurniakan kepada saya selama ini.”
Ternyata Pak Salleh adalah seorang yang amat merendah diri. Walaupun seluruh kampung tahu yang dia adalah seorang tukang ukir yang hebat. Hasil kerja tangan yang dilakukannya memang tiada tandingan dan akan menjadi buah mulut terutamanya bagi mereka yang datang dari luar apabila melihatnya dengan sendiri.
“Selalunya berapa lama tempoh masa yang Pak Salleh ambil dalam menghasilkan sesuatu ukiran?” aku semakin rancak menyoal.
“Bergantung kepada ilham yang datang dan kesungguhan untuk menyiapkannya sehingga selesai. Bagi Pak Salleh kerja mengukir ni perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan kemas agar hasilnya menarik dan tercapai matlamat apa yang ingin kita sampaikan kepada mereka yang melihat dan menjiwainya,” jawab Pak Salleh pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
“Kerja yang penuh teliti dan cermat pasti akan menghasilkan yang terbaik akhirnya. Berbanding dengan kerja yang nak siap cepat. Dah tentu hasilnya tidak memuaskan dan menggambarkan bagaimana cara kita bekerja.” Tok Ketua merancakkan lagi tajuk perbualan.
“Bila dah seni namanya macam tulah, tok. Halus dan penuh dengan kelembutan. Sebab itulah pentingnya masyarakat terutamanya generasi muda mengetahui bahawa seni ukiran juga adalah warisan yang tinggi nilainya,” kataku.
“Pak Salleh sependapat dengan kamu, Kamal. Sesuatu yang dianggap warisan itu perlu kita jaga dan pelihara untuk tatapan generasi pada masa depan agar tidak hilang dan pupus pada satu hari nanti.” Demikianlah tingginya harapan seorang tukang ukir anak kelahiran Kampung Bukit Tempurung.
“Sebab itulah pentingnya rencana ini ditulis supaya dapat menarik minat masyarakat termasuk generasi muda agar mempunyai rasa kecintaan yang mendalam terhadap warisan seni ukiran. Siapa lagi yang hendak mempertahankannya kalau bukan kita sendiri sebagai bangsa yang kaya dengan khazanah seumpama ini,” aku berkata dengan penuh semangat yang berkobar-kobar.
“Pak Salleh berasa begitu amat gembira sekali apabila kamu mempunyai semangat yang sebegitu. Ukiran yang melambangkan kekayaan seni yang dimiliki oleh bangsa kita memang sewajarnya dipertahankan dan dikekalkan walaupun zaman yang kita lalui sentiasa berubah,” ujarnya.
“Kita boleh menerima sesuatu pembaharuan yang datang dalam hidup kita. Namun kita tidak boleh mengetepikan warisan seni yang setelah sekian lama bertapak semenjak daripada zaman nenek moyang kita lagi,” ucap Tok Ketua sebaliknya.
Selain daripada seorang pengukir, Pak Salleh juga adalah seorang pejuang warisan seni. Jelas nampak hasratnya yang mahu seni ukiran pada rumah-rumah tradisional tidak hilang selepas dia tiada nanti. Sebaliknya diteruskan oleh cucu-cicit atau generasi muda yang menjadi pewaris pada satu hari nanti.
“Apabila menghayati seni ukiran akan menjadikan jiwa kita lembut dan sentiasa berusaha gigih untuk mencapai kejayaan tanpa mengenal putus asa dan mudah menyerah. Corak yang diukir sebenarnya menyuntik semangat yang membara dalam jiwa kita untuk mengenal erti sebenar perjuangan dalam hidup ini. Umpamanya daun yang sentiasa memenuhi dahan pada pepohonan yang rendang dan bunga yang sentiasa mekar mewangi dengan sentiasa disirami dengan air dan dibaja selalu. Begitulah yang perlu kita lakukan apabila hendak berada di puncak dengan selalu bekerja keras dan sentiasa patuh pada ajaran agama,” tegasnya lagi dengan penuh panjang lebar.
“Maksud Pak Salleh seni ukiran yang terdapat pada rumah lama boleh dijadikan sebagai contoh dalam kita mengejar apa yang kita impikan dalam hidup ini?” soalku sambil memandangnya wajahnya yang semakin dimamah usia.
Dia lalu mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.
“Ya, Kamal!”
“Itulah yang sebenarnya ingin Pak Salleh sampaikan melalui seni ukiran,” katanya lagi.
“Baru aku faham sekarang. Apa yang tersirat di sebalik ukiran yang kau hasilkan pada tiang dan rumah lama yang terdapat di kampung kita ni,” tambah Tok Ketua pula.
“Memang itulah yang menjadi harapan saya, tok terutamanya pada anak-anak muda di kampungnya. Dalam menyuntik semangat untuk menempa kejayaan dalam hidup ini bukan hanya sekadar dengan kata-kata sahaja malahan juga melalui seni ukiran turut memainkan peranan ke arah tersebut,” ujar Pak Salleh.
Sememangnya Pak Salleh bukan sahaja hebat dalam seni ukiran tetapi juga dalam menyampaikan maksud yang tersirat kepada masyarakat di Kampung Bukit Tempurung. Segala maklumat yang diberikannya lebih daripada cukup untuk di muatkan dalam majalah.
“Nampaknya dah nak masuk waktu asar,” ucap Pak Salleh.
“Yalah, Leh! Kalau macam tu mari kita ke masjid,” ajak Tok Ketua.
“Eloklah tu, tok. Saya pun dah dapat banyak maklumat daripada Pak Salleh. Lepas asar nanti bolehlah saya ambil gambar ukiran yang dihasilkan oleh Pak Salleh pada rumah-rumah lama yang terdapat di kampung ni,” aku menambah.
Kami bertiga lalu bergerak menuju ke masjid yang terletak tidak jauh daripada rumah Pak Salleh.
Selepas menunaikan solat Asar, aku bersama-sama dengan Tok Ketua dan Pak Salleh lalu pergi melihat rumah-rumah lama yang mempunyai ukiran menarik dan penuh dengan seni warisan masyarakat Melayu.
Kamera yang selalu aku gunakan ke sana sini dalam menjalankan tugasan sebagai seorang wartawan majalah kini penuh dengan gambar ukiran yang dicipta oleh Pak Salleh pada tiang dan dinding rumah lama di sebuah kampung yang terletak di Seri Menanti dalam Daerah Kuala Pilah.
Sebelum bergerak pulang sekali lagi aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tok Ketua yang telah membantu aku untuk menyiapkan tugasan ini. Aku juga berjanji akan memberitahu Tok Ketua dan Pak Salleh apabila rencana ini disiarkan nanti.
Rasa keriangan yang amat jelas dapat kulihat pada wajah kedua-dua mereka. Banyak maklumat dan ilmu pengetahuan yang dapat aku perolehi menerusi tugasan yang aku lakukan ini. Tok Ketua dan Pak Salleh juga berharap aku akan datang lagi ke kampung ini.
Aku pasti akan datang lagi kerana benar-benar terpikat dengan seni ukiran yang terdapat pada rumah-rumah tradisional yang ada di kampung ini. Sesungguhnya tangan mengukir yang dimiliki oleh anak jati yang bernama Pak Salleh di Kampung Bukit Tempurung adalah seni yang tinggi nilainya sebagai khazanah warisan sebuah negeri yang terkenal dengan jolokan sebagai “Negeri Beradat.”
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~