Cerpen “Pencinta Sejarah”

Matahari Terbenam

Terbenam ( Visit361 )

Sesuatu yang dianggap sebagai warisan bersejarah perlu dikekalkan dan dipulihara. Tidak boleh dibiarkan hilang dan hanyut dengan begitu sahaja kerana akhirnya akan membawa kepada kerugian yang amat besar kepada generasi muda.

Demikianlah hebatnya dan tinggi nilainya apa yang dikatakan sebagai warisan bersejarah itu. Walaupun arus perkembangan dunia moden berlaku dengan pesatnya namun kita tidak boleh menolak dan mengetepikan terus warisan bersejarah.

“Aku setuju sangat dengan cadangan kau tu, Man. Program yang berunsurkan sejarah memang patut kita ketengahkan kepada anak-anak muda kampung ni,” kata Tok Ketua dengan rasa penuh gembira.

“Program sebegini memang besar manfaatnya, tok. Di samping menanamkan rasa kecintaan terhadap sejarah ke dalam diri mereka,” tambah Azman.

“Pada masa yang sama kita nak anak-anak muda di kampung ni menghargai sejarah sebagai suatu yang amat bernilai. Walaupun ia adalah peristiwa silam yang pernah berlaku pada satu ketika dulu,” ujar Rashid pula.

“Aku benar-benar bangga dengan semangat kamu berdua!” balas Tok Ketua sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh nak menjadikan anak-anak muda pada kampung ni sentiasa ingat dan tidak lupa pada sejarah,” dia menyambung lagi.

Sememangnya sejarah tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia. Sejarah mengajar kita mengenal tamadun yang wujud sejak daripada ratusan tahun lagi. Selain daripada itu, ia menjadikan kita mengetahui dengan lebih lanjut lagi akan asal usul bangsa kita sendiri.

“Asyik berbual aje ni. Jemputlah minum!” pelawa Tok Ketua pada Azman dan Rashid.

“Terima kasih, tok!” jawab Rashid.

Air teh panas dan kuih kaswi yang dihidangkan oleh Mak Tijah isteri Tok Ketua lalu dinikmati dengan penuh menyelerakan. Tajuk perbualan mereka mengenai kepentingan menjaga dan memulihara warisan bersejarah semakin hangat dibincangkan pada petang yang disinari dengan cuaca cerah.
“Semasa di universiti dulu tok saya mengambil bidang sejarah. Banyak yang saya pelajari. Lebih-lebih lagi mengapa pentingnya sejarah perlu dipertahankan dan tidak boleh dibiarkan hilang pada satu hari nanti,” ucap Azman.

Tok Ketua lalu tersenyum gembira apabila mendengarkan apa yang dikatakan oleh Azman itu.

“Alhamdulillah! Ilmu yang kau pelajari semasa di universiti dulu kini kau sebarkan pada anak-anak muda di kampung ni,” ujar Tok Ketua.

“Sebenarnya saya dan Man dah lama bincang perkara ni, tok. Memang menjadi hasrat kami berdua untuk membentuk diri anak-anak muda di kampung ini sebagai insan yang mempunyai pengetahuan dan ilmu yang tinggi mengenai sejarah dalam diri mereka,” celah Rashid pula sebaliknya.

“Baguslah macam tu, Shid. Perkara yang baik yang kita lakukan pasti akan direstui dan dipermudahkan oleh Allah SWT,” tambah Tok Ketua.

“Mudah-mudahan begitulah, tok. Kami juga berharap tok dan orang-orang kampung akan menyokong penuh program yang nak kami lakukan ini,” kata Azman.

“Aku dan orang-orang kampung akan menyokong penuh program yang kamu berdua nak buat tu. Minggu depan aku ada mesyuarat dengan orang-orang kampung. Aku mintak kamu berdua bentangkan program yang kamu berdua nak buat pada mereka dalam mesyuarat tu nanti,” tegas Tok Ketua.

“Kami berdua dah buat kertas kerja untuk program ni, tok,” ujar Azman.

“Elok sangatlah tu. Sekurang-kurangnya adalah asas yang kukuh untuk orang-orang kampung beri sokongan yang kuat terhadap program tu,” ucap Tok Ketua.

“Dalam kertas kerja tu juga kami dah senaraikan bentuk program yang akan dijalankan nanti,” kata Rashid pula.

“Insya-Allah! Program ini pasti akan berjaya apabila kita bersama-sama melaksanakannya,” tambah Tok Ketua.

Semangat mereka semakin berkobar-kobar. Melalui program yang akan dijalankan nanti adalah diharapkan akan bukan sahaja membawa kepada tercapai matlamat dan kejayaan tetapi yang paling utama akan lahir satu hari nanti pakar sejarah daripada kalangan anak-anak muda di kampung ini.

Mereka juga menaruh harapan agar kesinambungan ini akan diteruskan lagi oleh generasi seterusnya. Andainya sejarah dibiarkan hilang pada satu hari nanti maka sukar untuk dicari ganti semula. Begitu juga andainya dibiarkan cicir maka sukarlah jawabnya untuk dipungut kembali.

Anak-anak muda di kampung ini harus merasa penuh dengan keseronokan apabila mendalami dan mendekatkan diri dengan sejarah. Teladan dan pengajaran di sebalik sejarah yang telah berlaku harus dibajai ke dalam diri anak-anak muda di kampung ini.

Namun mereka tetap menyedari bahawa bukannya mudah untuk menarik minat golongan muda bersama-sama berjuang sepertimana yang mereka lakukan. Maka dengan itu maka pelbagai usaha yang gigih perlu dilakukan untuk menjadikan anak-anak muda di kampung ini sentiasa memberikan sokongan dengan menyertai program yang telah dirancang demi untuk memartabatkan sejarah.

“Apabila anak-anak muda menyertai program ini maka tidaklah mereka membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak baik dan merosakkan nama baik keluarga mereka,” ucap Azman.

“Memang itulah yang aku harapkan, Man. Dalam usia muda memang kita tak dapat nafikan mereka mudah terpengaruh untuk melakukan perkara yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak mereka,” ujar Tok Ketua.

“Sebab itulah kita perlu yakinkan mereka tok bahawa program ini sebenarnya mendatangkan faedah dan keuntungan yang besar pada mereka,” balas Rashid.

“Memang betul kata Rashid tu, tok!” celah Azman pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kami berdua dah fikirkan semua tu, tok. Sebagai peringkat permulaan kita buat program yang berbentuk santai dan menghiburkan mereka,” dia menyambung lagi.

“Program apa yang kau nak buat, Man?” tanya Tok Ketua dengan rasa penuh minat.

“Kat kampung kita ni kan banyak peninggalan bersejarah yang amat berharga dan menarik. Kita jadikan ia sebagai pengenalan untuk menarik minat mereka untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tempat bersejarah yang ada di tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan,” jawab Azman dengan penuh panjang lebar.

“Sebelum mereka mengetahui tempat bersejarah yang lain mereka terlebih dahulu perlu mengetahui sejarah di tempat mereka berada,” tambah Rashid pula sebaliknya.

“Maksud kamu berdua menjadikan sejarah yang ada di kampung ni sebagai tapak permulaan ke arah membina dalam diri mereka insan yang menjadikan sejarah sebagai jati diri,” balas Tok Ketua.

“Ya, tok!” angguk Rashid dengan pantas.

“Itulah tapak yang perlu kita lakukan terlebih dahulu agar mereka dapat menerima dengan mudah hasrat yang kita inginkan,” sambungnya lagi.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Shid. Yalah! Macam kita nak buat rumah. Perlulah buat tapak dulu. Sebelum bahan binaan yang lain,” ujar Tok Ketua yang dapat menangkap apa yang dikatakan Rashid itu.

“Apabila ini dah ada dalam diri mereka maka rasa sayang dan kecintaan terhadap sejarah yang menarik di kampung ini pasti akan subur dalam jiwa mereka,” kata Azman.

“Sebagai tambahan selain daripada ceramah tokoh sejarah yang ada di kampung ini kita juga akan mengadakan pertandingan menulis sejarah tentang kampung ni untuk menyemarakkan lagi program yang kita jalankan,” tambah Rashid pula.

Penerapan nilai-nilai sejarah harus bermula sejak daripada peringkat akar umbi lagi. Kepentingan sejarah bukan sahaja dilihat sebagai satu mata pelajaran yang penting diajar di sekolah malahan perlu digerakkan melalui program dan aktiviti keilmuan termasuk lapangan.

“Aku benar-benar berasa kagum dan teruja bila mendengar program yang kamu berdua nak jalankan dalam usaha mendidik anak-anak muda di kampung ini mempunyai jiwa sejarah yang tinggi. Semoga usaha murni yang kita jalankan ini akan menjadi contoh kepada yang lain,” kata Tok Ketua.

“Memang itulah yang kita harapkan, tok!” balas Azman dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Usaha untuk memperkukuhkan sejarah ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab kita sebagai penggerak utama di kampung ini malahan juga perlu dilakukan secara bersama dengan pihak yang lain,” sambungnya lagi.

“Dalam rancak kita bersembang ni aku terlupa pulak nak bertanya tentang perbelanjaan. Maklumlah nak buat perkara macam ni perlukan belanja yang besar jugak. Barulah program ini berjalan dengan teratur dan lancar,” ucap Tok Ketua.

“Tentang semua tu tok jangan bimbang. Saya akan usahakan melalui pihak yang berkaitan. Kita sama-samalah berdoa. Insya-Allah! Dapatlah nanti,” jawab Azman.

“Aku juga akan usahakan daripada Yang Berhormat kawasan kita. Nanti kita sama-sama pergi jumpa dia. Bawak sekali kertas kerja tu nanti,” balas Tok Ketua.

“Saya dan Azman pun fikir macam tu, tok. Nanti kita jemput Yang Berhormat untuk bersama menghadiri program yang akan kita jalankan nanti,” tambah Rashid.

Tanpa disedari hari telah pun memasuki lewat pentang. Azman dan Rashid lalu meminta diri untuk pulang. Kepulangan mereka membawa rasa penuh kegembiraan dan semangat untuk menjadikan anak-anak muda di kampung pencinta sejarah yang tegar sepanjang masa.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *