Cerpen “Melahirkan Insan Yang Berilmu”

Buku-buku

Buku-buku ( Hermann )

Angin petang yang datang daripada
arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sinaran matahari yang panas dan terik menerangi seluruh kampung. Suara pohon-pohon mengeluarkan irama yang merdu dan menghiburkan jiwa apabila ditiup angin jelas kedengaran.

“Membaca adalah jambatan ilmu,” kata Tok Ketua.

“Kita perlu mengadakan program untuk memupuk minat membaca di kalangan penduduk kampung. Lebih-lebih lagi golongan muda dan mereka yang masih bersekolah lagi,” tambah Pak Wahab.

“Kalau tak silap saya tok perkara ni ada dibangkitkan dalam mesyuarat bulan lepas,” sampuk Pak Jamil.

“Ya, Jamil!” balas Tok Ketua dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sebelum mesyuarat aku dah pun berbincang dengan Encik Rashid, pegawai yang ditugaskan untuk menjaga perpustakaan di kampung kita. Dia dah pun buat kertas kerja termasuk dengan perbelanjaan. Tapi belum sempat program berjalan dia dah ditukarkan ke tempat lain. Sebab dinaikkan pangkat. Katanya ada pegawai baru yang akan menggantikan tempat dia dan meneruskan program yang kita rancang,” jelas Tok Ketua lagi dengan panjang lebar.

“Bila pegawai baru tu akan mula bertugas, tok?” soal Pak Wahab.

“Kita tunggu ajelah. Mungkin dalam masa yang terdekat ni agaknya,” jawab Tok Ketua.

“Harap-harap program membaca akan dapat kita laksanakan bersama dengan pegawai baru tu nanti,” celah Pak Jamil pula sebaliknya.

“Insya-Allah!” Tok Ketua mengangguk-anggukkan kepala.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah mempermudahkan segala perancangan dan usaha murni yang kita lakukan demi untuk melahirkan cerdik pandai di kampung ini,” dia menyambung lagi.

Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti apabila kedengaran azan asar yang dilaungkan oleh bilal masjid.

“Waktu pun dah masuk. Mari kita solat!” ajak Tok Ketua.

Kedengaran bunyi pintu diketuk.

“Masuk!” ucap Encik Osman, pengarah perpustakaan.

Pintu lalu terbuka.

“Hah! Razlan. Duduklah!” jemput Encik Osman yang memakai kot dan bertali leher.

“Terima kasih, Encik Osman,” dia berkata sambil menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan pengarah perpustakaan yang telah berkhidmat hamper 27 tahun.

“Saya harap awak akan bertugas dengan cemerlang dan memberikan yang terbaik di tempat baru.” Encik Osman menaruh harapan pada Razlan yang akan bertugas di tempat yang baru bermula esok.

“Saya berjanji akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk kampung,” ikrarnya.

“Baguslah kalau macam tu. Saya yakin. Awak mampu untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan,” ujar Encik Osman pula.

“Terima kasih, Encik Osman. Kerana telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya,” balas Razlan.

Tiba-tiba Encik Osman teringat kertas kerja yang telah dibuat oleh Rashid.

“Oh, ya! Sebelum saya terlupa. Sebelum Rashid bertukar dia ada buat kertas kerja program membaca. Ini kertas kerjanya,” dia berkata sambil menghulurkannya kepada Razlan.

Dia lalu menyambut kertas kerja yang dihulurkan oleh ketua jabatannya itu. Rasa kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik yang dindingnya dicat dengan warna putih.

“Saya harap awak akan meneruskan tugas yang dittinggalkan oleh Razlan,” ucap Encik Osman.

“Baiklah, Encik Osman!” dia sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Rashid dah pun beritahu saya. Saya akan melaksanakannya dengan memberikan yang terbaik untuk memastikan program ini berjaya,” janjinya.

Encik Osman lalu tersenyum gembira.

“Baguslah kalau macam tu!” ujarnya.

Dia lalu beredar meninggalkan bilik Encik Osman. Kemudian dia berjumpa dengan Rashid.

“Selamat maju jaya, Lan!” ucap Rashid sambil menyerahkan nota serah tugas kepada Razlan.

“Terima kasih, Lan. Aku juga mengucapkan selamat maju jaya kepada kau,” balasnya.

Setibanya di rumah Tok Ketua, Razlan lalu memberi salam. Tok Ketua pantas menjawab dan mempersilakan Razlan masuk ke dalam rumah. Pokok kelapa yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua seperti melambai-lambai apabila ditiup angin kencang yang datang daripada arah bukit.

“Selamat datang dan selamat bertugas, Encik Razlan. Saya harap Encik Razlan akan merasa seronok bertugas di sini,” sambut Tok Ketua.

“Terima kasih, tok. Di atas kesudian menerima saya berkhidmat di kampung ni. Bagi saya di mana saja bertugas perlu memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat,” Razlan membalas dengan begitu penuh bersemangat.

Tak lama kemudian Mak Bedah isteri Tok Ketua muncul.

“Kenalkan isteri tok, Mak Bedah. Bedah. Ni Encik Razlan pegawai perpustakaan di kampung kita ni. Dia menggantikan Encik Rashid yang bertukar kerana dinaikkan pangkat,” beritahu Tok Ketua.

“Apa khabar, Mak Bedah?” sapa Razlan.

“Alhamdulillah, baik. Duduklah dulu berbual dengan tok, ya. Mak Bedah nak ke dapur buat minuman,” jawab Mak Bedah.

Mereka meneruskan semula perbualan.

“Tok dengan Encik Rashid ada merancang nak buat program membaca. Tapi, belum pun sempat program tu berjalan dia dah pun bertukar. Yalah! Rezeki dia dapat naik pangkat. Jadi, tok harap Encik Razlan akan meneruskan program ini untuk mengimarahkan lagi perpustakaan di kampung ini sebagai pusat keilmuan,” ujar Tok Ketua dengan panjang lebar.

“Saya akan tunaikan hasrat tok dan orang-orang kampung. Saya yakin. Melalui kerjasama erat yang kita jalinkan program ini pasti akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung,” kata Razlan pula sebaliknya.

Tok Ketua merasa begitu amat gembira sekali apabila mendengarnya.

“Baguslah kalau macam tu!” angguknya dengan pantas.
“Tok akan adakan mesyuarat bersama dengan penduduk kampung pada minggu depan. Tok akan jemput Encik Razlan sekali. Sambil tu dapatlah kenalkan Encik Razlan kepada mereka,” tambah Tok Ketua lagi.

“Baiklah, tok. Saya akan hadir dalam mesyuarat tu nanti,” ucap Razlan.

Sekali lagi Mak Bedah muncul. Kali ini dia membawa dulang yang berisi dengan minuman dan kuih. Dia kemudian lalu meletakkannya di atas meja.

“Jemput minum, Encik Razlan,” pelawa Tok Ketua.

“Terima kasih. Mak Bedah. Jemput minum sekali,” ajaknya.

“Minumlah. Mak Bedah nak siapkan kerja kat dapur,” dia membalas.

Mak Bedah kemudian lalu masuk ke dapur sambil membawa dulang. Tok Ketua dan Razlan lalu menikmati hidangan sambil rancak berbual.

“Banyak program yang boleh kita buat untuk menanamkan budaya membaca ke dalam diri penduduk di kampung ni,” kata Razlan.

“Memang itulah hasrat tok sebenarnya. Tok yakin. Melalui program yang kita jalankan bersama nanti akan lahir ramai celik ilmu di kampung ni. Lebih-lebih lagi di kalangan anak-anak muda,” Tok Ketua menambah.

“Saya sependapat dengan tok. Sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melahirkan insan berilmu di kampung ni,” sokong Razlan.

“Ya, Encik Azlan!” balas Tok Ketua pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga matlamat kita ni tercapai sepenuhnya,” dia menyambung lagi.

Awan putih dan langit biru nampak bersih serta terang-benderang. Tanda-tanda hujan akan turun tidak kelihatan langsung. Matahari bersinar begitu indah sekali bersama-sama dengan angin yang bertiup lemah-gemalai.

“Saya dengar pegawai perpustakaan yang menggantikan Encik Rashid dah mula bertugas semalam,” ujar Pak Wahab.

“Ya, Wahab. Encik Razlan namanya. Dia dah datang berjumpa dengan aku,” nyata Tok Ketua.

“Baguslah kalau dia dah berjumpa dengan tok,” sampuk Pak Hussin.

“Banyak jugak aku berbincang dengan dia semalam. Salah satunya ialah program membaca. Minggu depan aku nak buat mesyuarat dengan orang kampung. Bincangkan pasal program. Aku jemput sekali Encik Razlan. Nanti dapatlah aku kenalkan dia pada kau orang semua,” jelas Tok Ketua.

“Eloklah tu, tok. Sebelum melakukan sesuatu perkara eloklah kita bermuafakat dulu. Sambil tu dapat jugaklah berkenalan dengan pegawai perpustakaan yang baru datang ke kampung kita ni,” kata Pak Wahab.

Rasa keriangan jelas kelihatan di wajah Tok Ketua.

“Baguslah kalau macam tu. Aku mintak diri dulu. Sebab nak ke bandar ada urusan. Malam nanti kita jumpa di masjid. Assalamualaikum!” mohon Tok Ketua sambil memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Pak Wahab dan Pak Hussin.

Malam disinari dengan cahaya indah bulan dan kerlipan bintang di kaki langit hitam. Rasa dingin angin malam yang bertiup menyusup masuk melalui atap zink rumah Tok Ketua.

“Macam mana dengan program membaca tu, bang?” tanya Mak Bedah.

“Minggu depan abang akan buat mesyuarat dengan orang kampung. Nak bincang dengan lebih lanjut tentang program tu termasuk tarikh,” jawab Tok Ketua yang memakai ketayap, berbaju Melayu dan berkain pelikat.

“Eloklah tu, bang. Perkara yang baik memang elok dibawa berbincang,” sokong Mak Bedah.

“Abang harap orang kampung termasuk anak muda akan bersemangat untuk bersama menjayakan program ini,” kata Tok Ketua.

“Perkara yang membawa kepada kebaikan dan manfaat kepada kita semua pasti akan diterima oleh semua orang,” tambah Mak Bedah.

“Ya, Bedah!” Tok Ketua sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dahlah, bang. Marilah makan,” ajak isterinya.

Tok Ketua mengangguk-angguk diam dan lantas bangun.

Razlan lalu berjumpa dengan Encik Osman untuk membincangkan program membaca yang dicetuskan oleh Tok Ketua.

“Kita harus menyokong program ni,” ujar Encik Osman.

“Program ni amat baik dan banyak manfaatnya,” balas Razlan.

“Saya sependapat dengan awak, Lan!” angguk Encik Osman dengan pantas.

“Melalui program ni dapat menanamkan minat membaca ke dalam diri penduduk kampung. Lebih-lebih lagi kepada generasi muda,” dia menyambung lagi.

“Memang itulah yang dihasratkan oleh Tok Ketua melalui penganjuran program ini,” kata Razlan.

“Kertas kerja program ini termasuk perbelanjaan saya luluskan. Saya yakin. Awak dapat melaksanakan program ini dengan jayanya,” ucap Encik Osman.

“Terima kasih, Encik Osman!” kata Razlan sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Suara desiran angin yang bertiup lembut dan menyegarkan jelas terasa mengusapi seluruh kampung. Sepertimana yang dirancang Tok Ketua lalu mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan penduduk kampung di balai raya.

Cadangan Tok Ketua untuk mengadakan program membaca telah disambut baik oleh orang kampung yang menghadiri mesyuarat. Razlan juga menyampaikan khabar gembira bahawa pihak perpustakaan akan menyalurkan peruntukan untuk membiayai program berkenaan.

“Syukur alhamdulillah. Penduduk kampung menerima dengan baik program membaca,” Tok Ketua berkata sambil menikmati jamuan selepas berakhirnya mesyuarat.

“Saya pun tumpang gembira, tok. Kerana dapat mengadakan program sebagai permulaan saya bertugas bersama dengan penduduk di kampung ni,” ujar Razlan.

“Anak-anak muda juga menyokong program yang akan kita jalankan. Itu tandanya mereka dahagakan ilmu,” sampuk Pak Wahab.

“Memang benar kata kau tu, Wahab. Ilmu kita kena cari sendiri. Ia takkan datang dengan sendirinya. Macam tulah kita mencari air apabila haus,” tambah Pak Hussin pula sebaliknya.

“Wah, Sin! Hebat pulak kau berfalsafah,” usik Tok Ketua sambil ketawa.

“Orang dah semangat, tok. Macam tulah!” kata Pak Wahab.

“Itulah namanya semangat menimba ilmu melalui membaca,” ucap Razlan.

“Hah! Betul kata Encik Razlan tu. Walaupun dah tua namun semangat untuk menimba ilmu tetap membara,” ujar Pak Hussin.

Mereka lalu ketawa. Menjelang lewat petang mereka pun bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

Keesokan harinya Razlan pergi ke rumah Tok Ketua. Dia memberitahu Tok Ketua yang dia telah pun membuat kertas kerja untuk pembelian buku sebagai menambahkan lagi koleksi bacaan di perpustakaan.

Tok Ketua berasa begitu amat gembira apabila mendengarnya.

“Tok berasa begitu amat bersyukur. Kerana mempunyai seorang pegawai perpustakaan macam Encik Razlan. Memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menggembirakan hati kami sebagai penduduk di kampung ni. Terima kasih, Encik Razlan,” pujinya.

“Itu sudah menjadi tanggungjawab saya, tok. Untuk menarik minat penduduk kampung membaca. Selain program, buku-buku juga perlu diperbanyakkan,” Razlan menambah.

Di luar angin bertiup kencang. Pokok rambutan, manggis, nangka, langsat, jambu dan kundang yang ditanam Tok Ketua bagaikan melenggang-lenggok apabila ditiup angin. Daun-daun kering dan layu yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan di sana sini menutupi permukaan tanah yang kering.

“Alhamdulillah!” lafaz Tok Ketua sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan berjumpa dengan pengarah saya dengan membawa bersama kertas kerja ini,” beritahu Razlan.

“Tok doakan semoga permohonan ini akan diluluskan,” balas Tok Ketua.

Razlan lalu berjumpa dengan Encik Osman.

“Ini kertas kerja saya, Encik Osman. Memohon pembelian buku sebagai tambahan kepada koleksi yang sedia ada di perpustakaan kampung tu,” jelasnya.

Encik Osman lalu menyambut kertas kerja yang dihulurkan oleh Razlan. Dia lalu membacanya dengan teliti. Kemudian dia mengangguk-angguk diam sebagai faham dengan isi kandungan kertas kerja yang dibuat oleh Razlan itu.

Selepas membaca kertas kerja dia lalu memandang wajah Razlan.

“Bagus kertas kerja yang awak buat ini! Baiklah permohonan awak saya luluskan!” kata Encik Osman.

“Terima kasih banyak-banyak, Encik Osman!” angguk Razlan dengan rasa penuh gembira.

Mentari bersinar dengan begitu indah sekali seperti turut sama meraikan rasa kegembiraan.

“Tok rasa gembira sangat hari ini. Program membaca berjaya dilaksanakan. Orang kampung termasuk anak-anak muda ramai yang hadir,” Tok Ketua berkata.

“Tahniah, tok! Ini adalah satu permulaan yang baik dalam usaha untuk melahirkan insan yang berilmu di kampung ni sebagaimana yang tok hasratkan,” balas Encik Osman.

“Tok dan orang-orang kampung mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Encik Osman dan Encik Razlan. Tanpa sokongan dan bantuan daripada tuan berdua program tak akan dapat mencapai matlamatnya,” tambah Tok Ketua.

“Kami juga berterima kasih kepada tok dan orang-orang kampung yang telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam program ni. Saya yang baru berkhidmat di kampung ni berasa amat gembira sekali kerana dapat mengadakan program yang besar maknanya kepada kita semua,” ujar Razlan.

“Harapnya selepas ini akan banyak lagi program diadakan untuk menanamkan rasa kecintaan terhadap ilmu ke dalam diri penduduk di kampung ini,” Pak Wahab menyampuk.

“Kita harus sentiasa mengadakan perbincangan bersama dengan pihak perpustakaan untuk memikirkan program yang seterusnya,” ucap Pak Hussin.

“Saya sebenarnya dah menyiapkan beberapa kertas kerja untuk program yang akan datang. Nanti kita adakan satu pertemuan untuk mengadakan perbincangan,” celah Razlan.

“Alhamdulillah!” balas Tok Ketua dengan rasa penuh kegembiraan sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Selesai sahaja menikmati jamuan makan tengah hari mereka semua lalu bersurai.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *