Cerpen “Nasihat Datuk Kepada Cucunya”

Laluan

Laluan ( Anaterate )

Segala pesanan dan nasihat yang berguna
harus kita jadikan sebagai pegangan dan panduan dalam mengharungi perjalanan hidup ini. Begitu juga yang baik kita lihat di depan mata jadikan sebagai ikutan. Itulah yang sering datuk ingatkan kepada cucu-cucunya ketika bersembang pada waktu petang.

“Tidak mengapa kita dipandang tidak berharta asalkan kaya dengan budi pekerti yang mulia,” ujar datuk.

“Maknanya tok kita harus menjadikannya sebagai pegangan dalam meniti kehidupan yang kita lalui,” aku membalas.

Datuk sebaliknya lalu menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Ya, Sham!”

“Jangan sesekali hendaknya kita menunjukkan sombong dan bangga diri. Jadilah seperti padi yang semakin tunduk semakin berisi,” sambungnya lagi.
“Maksud datuk tu biarlah kita merendah diri sentiasa walaupun orang memandang kita sebagai seorang yang hebat dan mempunyai kelebihan,” sampuk Azmi adikku.

Sekali lagi datuk mengangguk-anggukkan kepala sambil memandang wajah Azmi.

“Benar, Mi!”

“Apabila sifat itu ada dalam diri kita maka tidak akan ada sama sekali rasa megah dan angkuh dalam diri kita,” pesan datuk.

“Masa yang ibarat emas harus kita penuhi dengan melakukan perkara yang membawa kepada banyak manfaat dan faedah,” aku merancakkan lagi tajuk perbualan pada petang itu.

“Kita hendaklah menjadi orang yang memperolehi keuntungan dengan menghargai masa berbanding dengan orang yang mengalami kerugian akibat daripada tidak menghargai masa yang telah diberikan,” tambah datuk.

“Saya teringat kata-kata yang menyebutkan bahawa sesuatu kejayaan itu tidak akan datang secara bergolek dan mudah tanpa usaha dan kegigihan,” ucap Azmi.

“Tiada jalan mudah dan pintas untuk kita mencapai kejayaan dalam hidup ini melainkan hanya dengan usaha dan kerja keras sahaja. Dalam menuju ke puncak kejayaan banyak halangan dan rintangan yang perlu kita tempuhi. Maka kita perlu menghadapinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan,” kata datuk dengan penuh panjang lebar.

Mendengarkan kata-kata datuk itu lalu membuatkan aku tidak sabar-sabar lagi untuk mencelah.

“Dugaan dan cabaran yang kita hadapi dalam mendaki puncak kejayaan andainya dilalui dengan penuh tabah dan sabar di penghujungnya akan menikmati kemanisan dan keindahan.”

“Sebab itu kita tidak boleh mudah lupa diri apabila sudah berjaya dalam hidup ini. Sebab banyak kesukaran dan kegetiran yang perlu kita lalui sebelum sampai ke puncak yang kita impikan,” ingat datuk pula sebaliknya.

Aku hanya mengangguk-angguk diam sahaja apabila mendengar apa yang dikatakan oleh datuk itu. Sebagai tanda faham dengan apa yang dimaksudkannya itu. Perlu disimpan dalam diriku sebagai peringatan agar tidak lupa diri apabila sudah menempa kejayaan dalam hidup ini pada satu hari nanti.

“Ilmu adalah umpama cahaya yang menerangi kegelapan dan perlu dipenuhi dalam dada sentiasa,” nyata Azmi.

“Tanpa ilmu hidup kita seperti meraba-raba dalam kegelapan. Sebab itulah pentingnya ilmu sebagai cahaya yang menyuluh dalam kehidupan kita,” ulas datuk.

“Ke mana kita pergi sekali pun tok kita tak boleh lupa pada asal usul dari mana kita datang,” aku menambah.

“Setinggi-tinggi terbang bangau hinggap di belakang kerbau juga akhirnya. Begitu juga dengan ikan kesudahannya pulang juga ke lubuk. Sebab itu kita jangan lupa pada keluarga, guru yang mendidik kita dan kampung walaupun kita sudah berjaya di tempat orang,” tegas datuk.

“Keputusan yang hendak dibuat hendaklah dilakukan dengan penuh pertimbangan dan tepat,” kata Azmi.

“Apabila memandang intan kita nampak berkilauan. Tapi belum tentu ia adalah intan sepertimana yang kita harapkan. Boleh jadi kaca yang tidak kita inginkan. Oleh itu maka kita harus bijak dalam membuat keputusan agar tidak menyesal di kemudian hari,” nasihat datuk.

Sedang kami rancak berbual-bual nenek muncul sambil membawa dulang yang berisi air kopi ‘o’ dan sepinggan biskut.

“Rancak nampaknya kamu berdua berbual dengan datuk. Apa yang disembangkan tu?” nenek menyoal sambil meletakkan cawan dan pinggan di atas.

“Tak ada apalah, nek. Berborak biasa aje. Jemput minum sekali, nek!” aku berkata.

“Minumlah! Nenek ada kerja yang masih lagi belum siap kat dapur tu,” balasnya.

Dia kemudiannya lalu berlalu pergi sambil membawa dulang dan menuju ke dapur.

“Sham! Mi! Mari kita minum,” pelawa datuk.

Kami lalu menikmati air kopi ‘o’ dan biskut yang dihidangkan oleh nenek sebagai juadah minum petang.

“Banyak pesanan dan nasihat yang kami dapat daripada datuk,” ucap Azmi.

“Ya, tok!” balasku pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kami akan ingat sentiasa segala nasihat dan pesanan yang datuk berikan untuk dimanfaatkan bersama dengan kawan-kawan yang lain,” aku menyambung.

“Dalam hidup ini kita harus sentiasa saling berpesan dan ingat-mengingati di antara satu sama lain,” jawab datuk setelah menghirup air kopi ‘o’ yang masih lagi panas itu.

“Ilmu yang kita miliki harus kita kongsi dan manfaat bersama dengan orang lain,” nyata Azmi.

“Barulah ia berkembang. Ilmu yang ada apabila disebarkan dan terus tersebar memang akan mendatangkan manfaat yang amat besar kepada kita semua,” ulas datuk.

“Warisan sejarah, adat dan budaya jangan sesekali kita pinggirkan walaupun dalam zaman yang serba maju ini. Kerana ia adalah harta yang amat bernilai dan adalah satu kerugian besarnya sekiranya dibiarkan hilang dan hanyut pada satu hari nanti,” ujarku.

“Itu memang tidak dapat dinafikan, Sham. Andainya dibiarkan pupus atau hilang pada satu hari nanti maka ia amat sukar untuk didapatkan kembali. Maka sudah menjadi tanggungjawab kita semua tanpa mengira peringkat tua mahupun muda untuk bersama menjaga dan mengekalkannya,” jawab datuk dengan penuh semangat.

“Pekerjaan yang berat akan menjadi ringan apabila dipikul secara bersama berbanding dengan melakukannya secara berseorangan,” kata Azmi.

“Sebab itu pentingnya setiap pekerjaan dilakukan secara bergotong-royong dan muafakat. Sepertimana yang disebut dalam pepatah kalau yang berat sama kita pikul dan kalau yang ringan sama kita jinjing. Melakukan kerja secara berseorangan tidak akan menjadi,” ulas datuk.

“Suka bertangguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan tidak seharusnya dijadikan sebagai amalan,” tambahku pula.

“Memang seharusnya kita tidak menjadikannya sebagai budaya dan amalan dalam bekerja. Kerja yang lama harus disiapkan segera sebelum datangnya kerja yang baru. Takut nanti kerja yang sebelum ini tak dapat disiapkan sudah tentu kerja yang baru pun tak dapat disiapkan. Jadi, kita perlu bijak mengatur dan membahagikan masa dalam menyiapkan kerja yang diberikan,” jawab datuk pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

Semakin hangat nampaknya tajuk perbualan kami dan dalam pada itu semakin banyak pesanan dan nasihat yang datuk berikan pada aku dan Azmi. Memang beginilah setiap kali bersembang dengan datuk lebih banyak membincangkan tentang ingatan dan falsafah kehidupan untuk dihayati dan dijadikan sebagai pedoman pada hari muka.

“Jangan terlalu mengejar nama apabila melakukan kebaikan,” ujar Azmi.
“Lakukanlah dengan hati yang penuh ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran mahupun balasan,” nyata datuk.

“Ringankanlah tangan untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” ucapku.

“Bantulah mereka dengan rasa penuh kasih dan sayang sesama insan. Mereka juga ingin menikmati kesejahteraan dan kesempurnaan hidup sama seperti yang lain,” balas datuk.

“Tiada siapa yang tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap dalam hidup ini. Maka kembalilah semula ke pangkal jalan untuk memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan,” ulas datuk.

“Sudah menjadi lumrah dalam dunia yang dinamakan sebagai kawan ramai bila ketawa namun apabila menangis seorang diri,” kata Azmi.

“Itu memang sudah menjadi ketentuan. Kawan hanya mahu berkongsi kegembiraan bersama dengan kita dan bukannya kesedihan. Jadi, carilah kawan yang benar-benar sejati yang bukan sahaja mahu merasai suka bersama kita malahan juga duka. Begitu juga kawan yang setia akan bersama dengan kita bukan sahaja di waktu senang malahan juga di waktu susah,” pesan datuk.

Aku dan Azmi lantas menangguk-angguk diam. Datuk kemudiannya lalu memandang wajah kami berdua.

“Dah nak masuk waktu maghrib ni. Marilah kita ke masjid,” ajak datuk.

“Baiklah, tok!” aku membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Kami pun lalu beredar meninggalkan ruang tamu rumah sambil membawa cawan dan pinggan ke dapur. Demikianlah berakhirnya sembang aku bersama-sama dengan datuk pada petang itu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *