Novelet “True Colors” (Bab 7)

Lampu Suluh

Lampu Suluh ( tookapic )

BAB 7
XPDC Trauma
=======

Bella baca ‘signboard’ yang cantik tergantung pada pintu gerbang kem Hulu Langat.

Dimana itu adalah titik permulaan bagi pendaki yang ingin menawan puncak Gunung Nuang. Dengan ketinggian 1493 meter, Gunung Nuang adalah salah satu yang menghubungkan banjaran titiwangsa di antara Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Bella peluk tubuh apabila terasa embun pagi mula menyapa badannya. Jam tangan G-shock warna hijau di jelingnya sekilas patutlah sejuk dah pukul 3 pagi. Dia menguap sekejap. Tahap mengantuknya dah sampai tahap tak boleh bawa berbincang dan kalau boleh sekarang juga nak tidur dan lelapkan mata.

Jika tak disebabkan idea Hidayah konon ‘Teringin nak mendaki’ mungkin sekarang ini dia sedang elok tidur di atas katil empuknya siap mimpi sampai ke bulan. Tapi jangan cakap mimpi sampai ke bulan, ini bulan dah penuh masih lagi bersengkang mata. Bella menguap untuk kesekian kalinya.

Dia tak gemar sangat dengan aktiviti mendaki. Inikan pula nak masuk hutan. Aktiviti ini bukan aktiviti yang dia mahu lakukan. Tapi demi Hidayah, dia sanggup redah hutan. Walaupun, dia masih trauma dengan persekitaran yang berlatar belakangkan hutan simpan.

Dulu waktu zaman sekolah rajinlah ikut Hidayah mendaki tapi mendaki pun waktu siang sebelum gelap, mereka sudah selamat turun dari puncak. Kalau tidak Kaklong yang naik ke puncak cari dia. Itu dulu, waktu zaman remaja.

Ada satu kisah yang tak mampu untuk dikenangkan meski kadang ada malam yang terisi dengan kenangan hitam itu. Trauma yang tak boleh Bella buang dari dalam dirinya.

Kini, selepas sekian tahun Hidayah bawa dia masuk semula ke dalam hutan. Pada mulanya, Bella agak keberatan untuk mendaki pada waktu malam. Tapi Hidayah kata, pemandangan waktu Matahari terbit sangat cantik. Biasalah Bella Ammara pantang dipujuk dan dirayu sebab itu saja kelemahan yang dia ada. Demi Hidayah, dia gagahkan diri.

Trauma dan kisah hitam itu di tolaknya tepi.

Hujung minggunya hanya menemani Hidayah mendaki Gunung. Dalam kepala, Bella terfikir apa aktiviti hujung minggu si budak Redza tu agaknya, ya? Bukan main beria ajak kita keluar bersama. Jangan sampai jumpa kat dalam hutan nanti sudahlah. Eh takkanlah? Tengok gaya memang bukan jenis manusia yang layan aktiviti begini.

Haih B? waktu macam ni kau boleh fikirkan dia, kenapa? Dengan selamba tangan kanan diangkat dan ketuk kepala sendiri. Gila agaknya aku ni.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

“Koyak ke? Rilekslah…”

Hidayah siap buat gaya tolak bahu Bella dengan bahu kanannya.

“Kalau Kaklong tahu aku ada kat sini.. Tak tahulah nak cakap apa. Tak aku mungkin kau mati kena sembelih.” Hidayah tergelak mendengar.

“Bukan selalu kita buat aktiviti luar dari comfort zone kita. Sekali-sekala kena juga cabar diri tu.” Bella menguap besar.

Cakap senanglah. Dia tak tahu apa itu ‘trauma’ dan Hidayah tak akan rasa kerana dia tak pernah lalui itu. Tapi, untuk Bella Ammara ia terlalu sakit untuk dilupakan.

Hidayah tak akan faham perasaan orang trauma. Trauma pada sesuatu benda dan tempat. Dia pernah ada di sini, berada di dalam hutan seorang diri tanpa ada seorang pun disisi. Waktu itu dia seorang remaja yang sangat naif. Tak pernah sedar bahawa diri diperbodohkan. Saat itu, dia rasa tiada seorang pun yang datang menyelamatkan dirinya. Waktu itu dia mula sedar satu perkara yang tak pernah dia nampak dengan mata kasarnya.

“B?” Bahu Bella disentuhnya. Bella tersentak.

Hidayah nampak wajah ketakutan Bella Ammara. Dia bukan sengaja mahu Sahabatnya ini mengingati tragedi hitam itu. Tapi, Hidayah hanya sekadar mahu membuang sedikit rasa takut yang selama ini sengaja Bella sembunyikan dari semua orang. Pura-pura tidak ada apa yang terjadi sedangkan diri-sendiri sedang berperang dengan rasa takut yang selama ini disimpannya seorang diri.

Kisah itu pun sudah bertahun berlalu. Tapi kalau dah namanya trauma sampai bila-bila akan melekat dalam diri. Bukan dia sengaja mahu menakutkan Bella atau mahu membuat Bella menderita di dalam hutan tapi dia sekadar mahu Bella mencari semula dirinya yang hilang.

Kisah yang pernah terjadi dahulu telah menghilangkan separuh diri Bella Ammara yang pernah dia kenali dahulu.

“Aku ada kat sini. Jangan risau.” Bahu Bella disentuhnya.

“Make sure kau tak tinggalkan aku macam…”

Dia biarkan ayat itu tergantung sepi. Langkah Remy yang mendekati dia dan Hidayah serta-merta membuatkan perbualan mereka tergantung bergitu saja.

“Ready? Barang semua dah simpan baik-baik?”

Bella angguk kepala. Dia sekadar bawa beg mendaki kecil sekadar memuatkan untuk barang keperluan peribadinya. Lain sangat dengan beg yang disandang oleh Remy merangkap ketua XPDC kali ini. Haruslah bawa beg besar sedikit berbanding dia dan Hidayah.

“Shah dengan Botak mana?”

“Tu ha …”

Bella ketatkan tali kasut. Rambutnya diikat tinggi. Dia sarung baju T-shirt lengan panjang dan hodie diluar. Dia tak pandai nak bergaya macam seorang pendaki jadi dia hanya sarung kasut Nike keluaran terbaru yang sepatutnya digunakan hanya untuk aktiviti berjogging.

Sebelum ini bukan Bella tak pernah ikut Hidayah mendaki. Tapi, hampir setiap aktiviti mendaki hanya dilakukan pada waktu siang sahaja. Ini kira kali pertama dia buat aktiviti mendaki pada waktu tengah malam. Konon nak tengok Matahari terbit macamlah kat Selayang tu tak boleh tengok. Jiwa penulis ni kadang-kadang tak masuk akal pun ada jugak.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

KEM LOLO.

Ini adalah check point pertama. Kata Shah, Gunung Nuang cuma ada tiga check point saja iaitu Kem Lolo, Kem Pacat dan Puncak Pengasih. Bila Remy tanya nak berehat kat check point yang mana? dan dengan laju Bella angkat tangan dan dia hanya mahu berehat di Kem Lolo. Tak terbayang berehat kat Kem Pacat bersama dengan ‘rakyat pacat jelata’.

Kem Lolo lebih besar dari Kem Pacat dan Puncak Pengasih. Kem Lolo juga boleh memuatkan 50 ke 60 orang pendaki dalam satu masa. Lagipun, Kem Lolo juga sudah disediakan kawasan-kawasan yang sesuai untuk memasang khemah.

Asalnya Kem Lolo ini adalah tapak perkhemahan Askar pada suatu ketika dahulu. Kem Lolo juga digelar sebagai Kem Askar. Kawasan tapak perkhemahan yang berdekatan dengan anak sungai yang mengalir dari atas Puncak lagi memudahkan pendaki. Tak perlulah susah payah nak cari anak sungai lagi.

“Dayah? Mana Abang-abang Rembo kau ni? Lama sangat dah ni?” Bella mula bersuara.

Sampai sahaja di Kem Lolo, Remy dan yang lain menghilangkan diri. Katanya, nak pergi cari tempat yang tak berapa basah memandangkan petang tadi hujan lebat. Shah dan Botak pula pergi cari kayu untuk buat unggun api. Dan, dia bersama Hidayah ditinggalkan begitu saja di tepi anak sungai.

“Janganlah! Eeee.. suka sangatlah macam ni!!” Bella sudah tutup muka dengan kedua telapak tangan. Hidayah ketawa melihat reaksi Bella yang nampak ketakutan.

Kalau dah berani masuk hutan kenalah berani berhadapan dengan apa pun jenis kemungkinan yang berlaku. Bak kata Remy, sekali kau dah jejak kaki dalam hutan tak boleh jadi lembik. Keberanian kena letak level paling tinggi.

“Aku pergi cari diaorang kejap…”

Laju saja Bella sambar tangan Hidayah.

“Kau nak ke mana? Nak tinggalkan aku seorang diri kat sini ke?”

Rasanya kalau Hidayah suluh lagi sekali ke muka Bella boleh nampak wajah kecutnya itu.

“Sekejap je. Aku nak buang air kecil sekali ni. Jangan risau okey?”

“Dayah.. Kau tahukan aku pernah…”

“B.. aku tak akan tinggalkan kau. Ini masanya kau buang perasaan takut kau tu. Buang trauma kau tu. Hadap semua yang kau tak boleh nak hadap tu. Dan, ini masanya kau cari balik separuh diri kau yang dah hilang tu, okey?”

“Aku tak boleh.” Mata sudah mula berair. Sikit lagi nak mengalir.

Sumpah! kalau tahu macam ini jadinya memang dari awal dia tak akan setuju ikut Hidayah.

“Percayakan aku.. Aku tak akan buat macam mana diaorang buat kat kau. Aku pergi sekejap aje, okey? Lagipun, kau nampak tak kat sana ada lagi team mendaki? Kalau ada apa-apa kau jerit aje, okey?”

Bella pandang ke atas bukit yang tak berapa jauh dari kawasan mereka. Nafas ditarik dan dihembusnya perlahan. Mungkin ini masanya untuk dia cuba jadi berani melawan rasa takut yang selama ini disimpannya. Buang trauma yang selama ini menghantui dirinya.

“Nak pegang lampu suluh tak?” Hidayah sorok senyum kecilnya. Dia nampak ada sedikit keberanian yang terpancar dari Bella Ammara.

“Jangan lambat!” Bella sudah bersuara tegas.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

Memikirkan beg hiking Remy, Shah dan Botak yang gila berat ni takkan dia nak usung pula sambil mencari dua Abang Rembo tu.

Lampu suluh yang Hidayah tinggalkan untuknya sekadar dipandang sepi. Gelap jangan cakaplah dan memang patut pun dia buka lampu suluh.. Berani Bella! Kau kena berani! Nafas ditarik dan dihembusnya sebelum punat lampu suluh ditekannya dan cahaya keluar dari lampu suluh itu.

Bella angkat lampu suluh separuh dada niat nak suluh ke arah Hidayah yang tadi dia nampak berjalan menyeberangi anak sungai terus terhenti.

Ya allah!

Terjatuh lampu suluh yang dipegangnya. Matanya terus dipejamnya rapat. Bella kejung disitu tak mampu alih kaki setapak pun. Menggigil kedua belah tangannya.

Ya Allah! tolonglah jangan dekat! Bella dah menjerit kuat dalam hati. Dia tak mampu bernafas dengan tenang. Tragedi beberapa tahun lepas mula berputar di depan mata. Perasaan takut dan sedih datang silih berganti. Air mata yang jatuh membasahi pipi sekadar dibiarkan saja.

Dia pejam mata makin rapat apabila bunyi itu seperti makin dekat ke arahnya. Tolong jangan datang dekat. Tolong…

“Haa!! Jembalang !! Tolong jangan makan saya tolong!!” Bella menjerit kuat apabila bahunya disentuh dari depan.

“Tolong!!”

Pap! Laju tangan diangkat dan penampar hinggap pada pipi si jembalang. Tak cukup dengan itu kedua belah tangan diayun sesuka hati.

“Bella? Bella?!” Kedua bahu Bella dipegang mencuba untuk menenangkan keadaan Bella Ammara yang nampak dalam ketakutan. Apa dia buat kat tengah hutan ni?

Redza tahan rasa kebas di pipi. Tangan yang tadi memegang kedua bahu Bella terus beralih ke kedua belah pipi Bella Ammara.

“Redza?”

“Yes yes ni I. Rileks okey? Tarik nafas..” Redza masih cuba menenangkan keadaan Bella yang dalam ketakutan. Dia ingat aku hantu ke? Perlahan dia kembali tenang apabila dapat menghadam suara Redza yang sejak dari tadi meminta dia untuk bertenang.

“Tenang okey? You selamat kat sini.”

“What you doing here?!” Bella bersuara garang dan kedua belah tangan Redza yang memegang pipinya ditolak kasar. Mana-mana pergi mesti ada budak Redza ni. Apa yang dia cakap dulu tu memang satu doa ke apa? I akan sentiasa ada dengan you, you akan selamat dengan I. Naik bulu roma dia apabila ayat itu seperti terngiang-ngiang ditelinganya.

Tapi, sebenarnya dalam diam dia sangat bersyukur sebab yang ada depan matanya manusia bukan orang asing. Lebih-lebih lagi manusia yang dia sangat kenali.

“You buat apa sorang-sorang kat sini B?”

“You tu buat apa kat sini? Jangan cakap you ikut I?”

“Errr… This is my weekend trip. And you? Ini ke weekend plan you tu? Masuk hutan sorang-sorang? Seriouslah B?” Redza sentuh pipi kanannya yang masih terasa sakit dek tamparan hebat dari Bella Ammara.

Dalam gelap Bella masih tetap mahu tarik muka masam.

“I tak gila lagi nak masuk hutan sorang-sorang!”

“Okey you datang dengan siapa? Dan kenapa you sorang-sorang kat sini? You tahu tak bahaya. Bagi sini lampu suluh tu.”

Redza rampas lampu suluh yang langsung tidak digunakan oleh Bella. Dah tahu gelap bukalah lampu suluh. Ini mesti pertama kali mendaki tak pun memang tak pernah tahu soal mendaki.

“Dengan team I..”

Redza suluh lampu ke wajah Bella.

“Redza!”

Cepat-cepat dia tutup wajahnya. Redza tergelak, dia nampak dengan jelas muka pucat Bella. Cukuplah adegan sebabak tadi untuk dia menilai tahap keberanian Bella Ammara berada di tahap mana.

“Kan I pernah cakap you akan selamat bila dengan I. You’re save with me now. Jangan risau.. Khemah I kat atas bukit sana. You nak tinggal sini atau ikut pergi tempat I?”

“Tak nak.” Bella masih berteriak keras. Layanannya masih tetap seperti hari-hari sebelumnya. Tetap juga keras dan dingin walaupun Redza sejak dari tadi melayaninya dengan lembut.

“Okeylah kalau macam tu…” Redza atur langkah dan baru nak angkat kaki selangkah ke depan laju Bella tarik lengan kanannya.

Redza sorok senyum kecilnya. Sekali lagi lampu suluh dihala ke wajah Bella.

“Please turn off! You nak mati dengan I ke?” Bella dah naik hantu. Mencabar tahap kesabaran orang betullah si Redza ni.

Redza tahan gelak seraya lampu suluh dimatikan.

“Stay with me untill my team sampai.”

“Kena ke?” Lengan Redza masih digenggamnya erat. Dia masih tak bergerak seinci pun. Dalam gelap dia masih boleh baca raup wajah Redza yang sedang sorok senyum darinya.

“Cakap tolong dulu..”

Bella pandang Redza tajam. Sumpah! Kalau tak sebabkan dia salah sangka yang tadi tu jembalang takkan punyalah dia nak suruh Redza teman dia sampai Hidayah, Remy dan yang lain datang.

“P… please..”

“Alright… tu yang I nak dengar. Come sit.” Dan dengan selamba badak Redza duduk beralaskan beg askar Remy.

“You tahu tak you duduk atas apa tu?”

“Tahu… Jangan risau owner beg ni takkan marah punya. Pilihlah memana beg yang you selesa.” Lampu suluh ditala ke arah beberapa beg hiking yang tersusun cantik.

Bella turunkan begnya sendiri dan dijadikan tempat duduknya. Dia masih lagi ada adab tak macam si Redza.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

“Matikan lampu suluh tu.”

“Kenapa?”

Lampu suluh disuluh ke wajah Bella.

“Redza! Matikan!”

“Okey okey… Lampu suluh je pun.” Punat lampu suluh dimatikan dan serta-merta keadaan sekeliling menjadi gelap. Bella tutup matanya tapi menghadap wajah Redza. Redza tersenyum melihat tingkah Bella yang berlagak berani tapi sebenarnya dia sedang menyembunyikan rasa takut itu.

“You jangan langkah setapak pun dari situ.” Dia bersuara garang.

Comel pula bila tengok muka Bella Ammara dibawah cahaya bulan.

“Kalau I nak langkah jugak? You nak buat apa?”

“I serious..”

“Ye okey… I stay here by your side. Oh silap? In front of you so that when you open your eyes you only can see me…”

Bella diam untuk beberapa saat. Ayat Redza langsung tak ada tanda noktah. Terus ke depan..

“You nampak lawa bila tutup mata macam ni.”

“Pandang tempat lain.”

Dia bersuara serius tapi masih dengan nada sedikit takut.

“Kenapa pula? I tak pandang you pun. You yang tengah menghadap muka I.”

“Diam Redza..”

“Kenapa tak suka lampu suluh.”

“Pernah ada bad past dengan dia.”

“Oh? Jadi, kalau ada bad past tak boleh nak tolerate ke apa?”

“Tengok jugak situation. Lampu suluh tu buatkan separuh rasa takut dan trauma I datang. Tapi syukur I tak trauma untuk mendaki.” Redza kerut dahi.

Tak faham apa yang cuba disampaikan oleh Bella kepadanya. Dia nampak dengan jelas Bella dalam keadaan ketakutan. Bella Ammara yang sedang duduk berhadapan denganya ini jauh sangat dengan Bella Ammara yang dia jumpa diluar hutan.

“B.. Open your eyes..”

“Buat apa? Tak nak.”

“Buka jelah. Lepas tu you pandang ke atas… I jamin ini permandangan paling tercantik yang you tengok sepanjang 25 tahun you hidup.”

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

Redza sudah mendongak kepala ke atas. Dia suka melihat langit yang cantik terbentang indah di malam hari. Bintang dan bulan saling menerangi. Saling melengkapi dan mengindahkan ciptaan yang Maha Satu.

Ditambah pula, dapat melihat bulan dan bintang bersama dengan wanita yang sedang memandangnya dengan mata terpejam. Redza senyum nipis. Rasa, yang membawa dia pergi sejauh ini. Rasa, yang membawa dia pergi seberani ini. Dia tidak pasti dari mana keberanian ini datang tapi setiap kali berhadapan dengan Bella Ammara rasa takut yang sebelum ini dia rasa hilang begitu saja.

Bella dongak kepala ke langit dan perlahan mata dibukanya. Untuk beberapa saat dia hilang kata. Bintang yang berkelip dan bulan yang cantik menarik senyum di wajahnya. Bila kali terakhir kau hargai keindahan seperti ini Bella Ammara? Hati kecil bersuara.

Dan perlahan-lahan pandangan Bella Ammara jatuh pada wajah Redza apabila Redza bernyanyi dengan nada berbisik siap pandangan ditala ke langit. Lagu itu, lagu yang tak asing pada deria telinganya.

You be with sad eyes,
Don’t be discouraged, oh I realize
It’s hard to take courage
In a world full of people
You can lose sight of it all
The darkness inside you
Can make you feel so small ..

Perlahan suara Redza makin hilang apabila dia melihat Bella yang tertunduk dengan wajah seakan menahan sebuah perasaan yang selama ini disimpannya seorang diri. Apa yang sebenarnya you tanggung B? Apa yang sebenarnya you takutkan?

Tangan kanannya perlahan bergerak pada wajah Bella. Hujung dagu Bella Ammara disentuh dan ditolaknya ke depan menghadap wajahnya..

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

Show me a smile then
Don’t be unhappy
Can’t remember when
I last saw you laughing
This world make you crazy
And you’ve taken all you can bear
Just call me up
‘cause I will always be there
And
I see your true colors
Shining through
I see your true colors
And that’s why …. I hate you

“And I hate you too.”

Pap! Penumbuk kecil hinggap ke bahu Redza.

“Auch!” Bahu disentuh. Redza tergelak.

Sedap dia je tukar lirik lagu. Tahulah suara sedap. Eh sedap ke? Biasa je. Habis tu kalau biasa je kenapa boleh sampai terbuai ni Bella? Laju Bella tolak tangan Redza yang masih memegang dagunya.

“Semua orang yang masuk hutan ni level keberanian dia kena 110%. But you, I tengok just 70%. Keberanian ni satu benda yang penting bila kita masuk ke dalam hutan. Lagi-lagi bila you seorang diri macam ni. I cakap ni atas apa yang I nilai tadi. Jujur, you nampak takut bila dalam hutan. Lain sangat dengan you yang berani bila kat luar hutan. You berani hadap dunia. Tapi, you tak berani nak hadap diri you. Rasa takut yang you rasa tu. Apa yang you takutkan?”

“You tak faham.”

“Bagi I faham.”

“Manusia akan pijak kita bila kita lemah.”

“Manusia mana yang cuba pijak you? Bagi tahu I biar I pijak dia balik.” Bella tersenyum nipis mendengar.

“Cerita ni dah lama dah. Waktu pergi kem dengan satu kumpulan kat Universiti I. Waktu I junior pastu adalah senior-senior lelaki yang taste kat I. Pastu, ada kakak-kakak senior ni pulak tak suka I. Diaorang cakap I fake, acah-acah soft tapi itulah diri I. Happy go lucky senang nak berkawan. I bukan macam apa you nampak sekarang. Sampai satu haritu, kitaorang ada buat jungle tracking midnight. I satu kumpulan dengan kakak-kakak senior tu. Waktu tengah jalan dalam hutan, diaorang suruh I pegang lampu suluh sebab diaorang cakap nak pergi buang air kat tepi semak. Jadi, i ikut jelah. Lama I tunggu lepastu I pergi cari diaorang sebab I risau. Last-last I sesat dalam hutan. Senior tu memang sengaja kenakan I. Sebenarnya diaorang tinggalkan I dalam hutan. Dua hari I dalam hutan. Dan masa I sorang-sorang dalam hutan tu macam-macam I rasa dan I nampak. I mula sedar yang bila kau lemah kau akan dipijak. Jadilah berani macam mana pun depan orang supaya orang nampak yang kita ni bukan senang dipijak. Since that day, I cuba tunjuk berani sebab I tak nak dah dipijak. Tapi, I masih tetap trauma jalan dalam hutan waktu malam dan lampu suluh tu.”

“Sebab tulah you berani sound I kat basement tu.”

“Sebab you naikkan darah I.” Bella senyum nipis.

Redza buka lampu suluh disuluhnya ke tanah sekadar memberi cahaya buat dia menatap wajah Bella Ammara. Redza pegang hujung dagu Bella semula seraya diangkat menatap wajahnya.

Sepasang mata Bella dan matanya saling bertatapan.

“I tak tahu you pernah lalui semua tu. But listen me.. You boleh jadi apa yang you nak B. Anything. Tapi jangan sampai you hilang identiti diri you. Jangan sampai you sendiri tak boleh faham apa yang you nak dalam hidup you. Biar apa orang tu nak buat sebab in the end of the day orang macam tu akan merangkak kat padang masyar cari you minta ampun. Jangan biarkan perasaan takut tu control diri you..”

Redza senyum nipis. Air mata Bella yang seakan bertakung pada kelopak mata itu dikesatnya dengan hujung jari manisnya.

“I pernah trauma dan sampai sekarang I masih trauma dan masih cuba untuk buang rasa takut I tu. I faham apa yang you rasa. Nasihat I.. Be yourself. Keluar dari kelompok selesa you sebab mungkin nanti you akan jumpa sesuatu yang selama ini you cari. Yang selama ini you tak pernah sedar itu yang sebenarnya you nak. Jangan biarkan rasa takut menghantui diri you. You adalah perempuan berani yang I pernah jumpa for the rest of mylife.”

Kata-kata Redza seakan satu motivasi dan semangat. Kata-kata Redza memberi satu perasaan yang berkobar-kobar dalam dirinya. Tidak ada siapa yang tahu apa yang dia rasa. Selama ini dia cuba berlagak normal tapi hakikatnya perasaan takut sentiasa datang menerjah ruang diri.

Sehelai dua rambut yang menutupi mata Bella diselaknya penuh sopan. Bella hanya mampu terdiam kaku. Menatap setiap inci wajah Emir Redza. Menilai setiap kata yang keluar dari bibir lelaki dihadapannya ini. Redza sentiasa sahaja bertindak diluar kotak fikirannya. Apa sahaja tindak laku dan patah kata dari Redza, dia tak mampu baca. Manusia yang satu ini lain dari yang lain.

“So don’t be afraid to let them show
Your true colors
True colors are beautiful
Like a rainbow”

{TAMAT}

=================================

PROLOG

BAB 1 – 100k Like. 3825 Share
BAB 2 – Sesi Kenal-Mengenal
BAB 3 – Benda Bawah Katil
BAB 4 – Bateri Dah Kong
BAB 5 – Adegan Sebabak
BAB 6 – Amanat Papa & Mama
BAB 7 – XPDC Trauma

=================================


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *