Novelet “True Colors” (Bab 4)

BAB 4
Bateri Dah Kong
=======

Bella susun kertas dan pen diatas meja mesyuarat. Makanan untuk minun petang pun sudah dia sediakan.

Hari ini Putra Holding akan mengadakan mesyuarat bersama rakan kongsi untuk projek pembangunan. Dengarnya projek sampai berbilion. Itu apa yang diberitahu oleh Uncle Nazim. Opss! Encik Nazim. Ditempat kerja haruslah beretika sikit. Pakcik tak pakcik bila dah masuk dalam ‘gelanggang’ pekerjaan semua kena tolak tepi.

Hari ini dah masuk tiga bulan Bella berkhidmat sebagai PA kepada Encik Nazim. Tak ada kata yang mampu dia katakan kerana dia terlalu gembira dengan kerjanya kini.

Pengalaman baru yang dia rasakan ini sangatlah bermakna untuk dirinya. Malah, dia belum terfikir lagi bila dia mahu berhenti memandangkan dia juga harus fokus dengan persiapan perkahwinannya.

Entahlah rasa tak nak berhenti pun ada. Aci tak kalau nak terus kerja je kat sini?

>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

“Dah siap ke tu?” Julia muncul di muka pintu. Bella senyum manis seraya mengangguk kepala. Rasanya dah tak ada kerja dah sebab semua sudah selesai, tinggal tunggu tetamu saja datang bertandang.

“Dah lunch? Jomlah makan. You tak makan dari tadi I tengok. Sibuk dengan set up meeting room. Rajin sangatlah you ni.”

“Encik Nazim cakap yang datang kali ini special guest jadi I kenalah make sure everything special.”

“Pekerja terbaik betul you ni. Tapi makan tu pun kena jaga jugak. Jomlah kita makan. I ada beli nasi bungkus. Kita makan kat pantry.”

“Okeylah kalau macam tu.” Bella ikut langkah Julia rakan sekerjanya.

“Coffee or tea?”

“Tea. I tak minum Coffee.”

Bella ambil tempat pada ruang meja makan yang memuatkan untuk 4 orang pekerja. Saja tak nak turun makan di cafe sebab sekejap lagi tetamu akan datang. Walaupun dia langsung tidak terbabit dalam mesyuarat sekejap lagi tapi dia harus memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

“Syarikat mana yang nak datang nanti eh?” Soal Bella sebaik sahaja Julia ambil tempat dihadapannya.

Antara beratus-ratus pekerja di Putra Holding hanya dengan Julia sahaja dia selesa berbicara. Bella memang seorang yang susah untuk menerima rakan baru. Sebab itulah dia cuma ada Hidayah seorang sahaja sahabat baik. Pengalaman lepas telah mematangkan dirinya dari segi memilih teman.

Tapi, Julia bukan seperti apa yang terlintas di kepala Bella Ammara. Julia seorang rakan kerja yang sangat baik dan mudah jika diajak berbual.

Lagipun, sejak hari pertama Bella jejak kaki di Putra Holding, Julialah orang pertama yang ringan mulut dan ringan tangan membantu Bella dari segala kerja yang masih belum Bella faham.

“You tak tahu?” Secawan teh dihulur kepada Bella.

“Tak sempat nak tanya Encik Nazim tadi.”

“I ingat you tahu…”

“Kenapa? I kenal ke?”

“Bella, your sister CEO Empayar Holding, kan?”

Bella angguk kepala. Niat dalam hati nak menidakkannya tapi dari gaya Julia bertanya dia dah boleh agak mesti Julia dah buat research awal-awal sebelum bertanya. Jadi, tak perlulah menidakkan status diri-sendiri.

Kes famous di Facebook tu pun blogger-blogger dah siap tulis tajuk besar-besar kat situ ‘Adik kepada CEO Empayar Holding’..

“Jadi, apa kena-mengena dengan Kakak I?”

“Laa… You tak tahu ke?”

Ingatkan beria set up bilik mesyuarat tu sebab nak impresskan si kakak.

Julia boleh tahan tahap ke paparazian dia. Kes video viral kat Facebook tu masih belum dia lupakan. Selama ini dia fikir Bella masuk ke Putra Holding mungkin kerana dihalau oleh Si Kakak atau mungkin Si Kakak malu dengan perangai Si Adik sebab tu halau sampai ke Putra Holding.

Tapi, apa yang Julia nampak selama 3 bulan Bella Ammara di sini tak ada pula dia lihat perangai Gangster Bella Ammara yang kecoh diperkatakan. Baik je, senang ajak berbual.

Bab kerja mana pernah curi tulang. Nak bezakan Bella dan dirinya sangatlah jauh walaupun di Putra Holding ini mereka sama-sama kerja makan gaji. Tapi, tetap juga tak boleh menidakkan status Bella Ammara.

“Apa yang I tak tahu?”

“Meeting kejap lagi ni dengan company Kakak youlah.”

“Puan Nadiah datang?”

Tak pernah dia ber-puan dengan Kak Long. Tapi bila dah ada dalam dunia pekerjaan haruslah jadi profesional. Dah lama tak jumpa Kaklong bolehlah ajak minum petang sekali nanti.

“Kakak you tu busy mana ada masa nak datang company ni. Selalunya yang datang Encik Emir Redza. You kenal, kan?”

Hampir nak tersembur Teh suam yang baru singgah di anak tekak dan cepat-cepat Bella telan. Mata membulat besar siap pandang Julia.

“What?!”

>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

“Lunch?”

“Oh my!”

Tersandar Bella ke pintu apabila disergah dari luar pintu. Dia yang baru hendak melangkah keluar dari bilik pejabat Encik Nazim terkejut apabila Emir Redza buat gaya ambush tak bertauliah.

“Encik Nazim tak ada.” Langkah diayun. Lain kali nak datang buatlah appointment.

Encik Emir Redza ini makin kerap pula datang bertandang ke Putra Holding ini. Project yang mereka bincangkan tempoh hari masih dalam peringkat permulaan. Nak diikutkan mereka boleh saja berhubung melalui panggilan telefon tak pun email. Rasanya tak perlu kut sampai ke pejabat?

“Tahu.” Redza ikut langkah Bella.

“Nak jumpa you.”

“Silap dengar ke ni? Otak you berfungsi lagi, kan?”

Hampir berbulan tak jumpa Mr.Whatever ni. Pertemuan beberapa hari lepas boleh di kategorikan come back pertama dari Redza dan juga dirinya.

Awkward jangan cakaplah. Sepanjang dia berada di bilik mesyuarat Bella hanya mengunci mulut. Pandangan Redza yang sekejap-sekejap singgah pada wajahnya sungguh buat dia tak selesa!

Redza tayang muka selamba. Dia ikut langkah Bella hingga ke lif.

“Otak I berfungsi lagi. Lama tak jumpa you. Tak sangka pulak kerja kat sini. Kalau I tahu.. Dari awal dah datang sini kacau you..”

Bella pekakkan telinga. Malas nak ringan mulut jawap soalan Redza yang nampak sangat tak nampak kat mana pun point sebenar lelaki ini ke sini. Jelas, nada suara Redza kedengaran sinis. Aku tak kerja dengan Kaklong sebab tak nak tengok muka kaulah!

“Okay.. I jujur. I tadi baru lepas pergi jumpa client kat area sini. Lepastu, I teringat what happen between us beberapa bulan lepas. I tak sempat nak tebus salah I. So, lunch?”

Ayat berterabur sungguh! Redza kutuk diri-sendiri. Jantung berdegup sekencang enjin kapal terbang. Tapi, dia tetap gagahkan jua. Dia cuma ada peluang ini saja untuk mendekati gadis yang sudah lama hilang dari pandangan. Nak terus reveal identiti diri yang sebenar, nampak agak agresif pula.

Lambat pula lif ni! Bella hentak kaki perlahan. Kalau boleh nak cepat-cepat pergi dari sini. Hari ni dia minta pulang awal. Dah lama sangat dia tak luang masa dengan sahabat tercinta. Sekali-sekala, nak juga dia hargai orang yang dah menjaga makan dan pakainya.

“So?” Soal Redza sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam lif.

Dan lif mula bergerak turun.

“Macam mana nak cakap ya? sebelum ni pun I dah pernah cakap kat you. Level you dan level I. And one more, I tak keluar dengan orang yang I tak kenal.”

“Jadi, apa kata kita keluar dan lepas tu kenal-kenal. I’m pretty sure you will like me. Alaa .. come on B.”

Laaa dah siap panggil kita punya nick name dah? Kaklonglah ni mengajar budak ni.

Bella jeling jam di tangan kanan. Berat sungguh hati nak terima pelawaan Redza. Lagipun, dari awal dia memang tak suka dengan Redza. Sorrylah… Bella Ammara kalau dah tak suka tu, tetap tak suka.

“Baik you ajak your parent keluar makan dari you ajak orang yang bukan sesiapa ni. Daa..”

Bella siap lambai tangan sebaik sahaja pintu lif terbuka luas.

Redza sekadar hantar langkah Bella dengan senyuman nipisnya. You pun bukan siapa-siapa juga dalam hidup I, B.

Bella mencekak pinggang siap dengan dada mula berombak saat melihat BMW merah cantik tersergam indah menghalang laluan keretanya. Kali pertama mungkin dia anggap si empunya kereta tidak sengaja atau memang ada emergency. Tapi ini kali kedua dan dia langsung tak nampak kat mana emergencynya.

Dia toleh ke belakang sebaik sahaja mendengar langkah seseorang yang mula mendekat. Dengan senyuman manis yang terukir di wajah, Redza terus buat Bella tarik muka masam.

Pertama kali jumpa Bella tak tahu nak masukkan Redza dalam kategori lelaki seperti apa. Lagak dan gaya nampak terlalu kaku. Kali kedua jumpa lagaknya agak bersahaja dan ini kali ketiga dan nampaknya makin berani.

“Lunch?” Redza mencuba lagi. Usaha selagi mampu. Lagipun, dia memang saja parkir double dibelakang kereta Bella. Tak dapat cara baik, kita buat cara paksa. Hahaha!

“Alih kereta you sekarang.”

“Tak nak.” Redza tayang muka selamba.

Bella dah naik hantu. Basement sunyi. Tolonglah jangan naikkan darah dia. Mahu ada pertumpahan darah pula kat sini.

“Teman I lunch tu je.. Bukan susah sangat pun.”

“I tak nak. Tak faham bahasa ke?”

“Ini pasal level ke sampai you susah nak terima pelawaan I? Okey.. kalau I cakap yang I anak Tan Sri dan Puan Sri, you nak ikut I lunch? Ke you nak I bagitahu you yang Putra Holding ni sebenarnya milik I.” Redza bersuara perlahan siap dengan gaya berbisik betul-betul disebelah telinga Bella Ammara.

Dia angkat kening. Dalam diam Redza cuba untuk memahami sikap dan tindak balas Bella Ammara. Kenapa sikapnya begitu jauh dengan Bella Ammara yang pernah dia kenali dahulu? Bella Ammara yang sekarang nampak terlalu jauh berbeza jika dinilai dari luaran. Apa yang jadi kat you, B?

“Of course bukan you punya! Lagi satu, I don’t care you anak Tan Sri ke Puan Sri ke! Kalau you tak nak kereta merah menyala you ni hancur. Baik alihkan, now!”

Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Nak tengok aku punya gila? Mari sini. Orang dah cakap tak nak, maksudnya tak naklah! Kisah apa aku yang kau anak Tan Sri dan Puan Sri pun! Mari aku tunjuk siapa anak Ahmad ni.

Eh?! Dahi berkerut. Enjin cuba dihidupkan sekali lagi.

Alaa! dah kenapa dengan kereta ni. Kau jangan buat hal time-time macam ni! Peluh di dahi disekatnya masih jua mencuba.

Dan untuk ke sekian kali enjin kereta masih tetap tidak berfungsi.

Tok tok! Cermin kanan diketuk dari luar. Bella angkat muka masam pada Redza. Cermin kereta diturunkan.

“Kenapa?”

“Tak nampak? Ke buta?” Redza sorok senyum kecilnya.

“Sini I tengokkan.. Jangan risaulah.. I ikhlas ni..” Dia memujuk.

Akhirnya, Bella akur. Terus dia melangkah keluar dari kereta.

“Hm.. patutlah. Bateri kereta you kong. Dah berapa lama tak servis ni?”

Soalan Redza tidak dia endahkan terus telefon bimbit dikeluarkan. Masa sekarang ini cuma nama Hidayah sahaja yang bermain difikiran. Malas dia lama-lama disini. Baik suruh Hidayah datang jemput dan nanti pandai-pandailah suruh mekanik datang tengok kereta.

Kereta Honda civic ni pun dah lama sangat. Hadiah Kaklong waktu dia masuk Universiti. Nak minta Kaklong hadiahkan lagi satu kereta, melampau sangat. Kalau dulu boleh merengek minta itu dan ini. Tapi bila dah makin dewasa ni, makin segan nak minta apa-apa dari Kaklong melainkan jika sesuatu itu sangat penting.

Haih, pergi mana pulak dia ni? Bella dengus kasar seraya peluh di dahi dikesatnya. Baru terasa membahang berada di basement ini. Lagi bertambah membahang bila Redza keluar dari kereta dan berdiri rapat disebelahnya.

“I hantar you balik. Kereta ni nanti I suruh mekanik datang tengok.”

“Housemate I datang pick up.” Nombor Hidayah di dailnya untuk kesekian kali.

Redza rampas telefon bimbit Bella dan terus dibawanya lari ke arah keretanya.

“Hei!” Bella dah mula menyinga. Sumpah! Tak ada mood langsung nak layan si Redza ni. Langkah diayun laju mendapatkan Redza yang sudah berdiri pada bahagian pintu pemandu.

“Bak phone!”

“Bagi sini!”

Tangan diangkat tinggi cuba untuk mencapai telefon bimbitnya yang sudah keawang-awangan bersama irama langkah Redza. Redza tinggi lampai nak dilawannya? Memang kalahlah ceritanya. Dia tinggi pun tak berapa sangat, jika nak dibandingkan dengan lelaki ini.

“I hantar you. Jangan degil. You tu adik boss I . Anything happen I kena tolong.”

“I ada cakap I perlukan bantuan you ke? Tak ada, kan? Bak sini phone….”

Tak sempat habiskan kata-kata. Dengan laju Redza pegang kedua bahunya dan serta-merta Bella tersandar ke pintu kereta. Mata bertentang mata. Bella tergamam buat beberapa saat. Senyuman manis Redza menjadi santapan mata. Deras nafas Redza menjadi penghubung sebuah rasa.

Redza pandang tajam wajah kaku Bella Ammara. Perlahan jari-jemari menyelak lembut rambut yang menutupi wajah Bella Ammara. Dengan senyuman yang terukir di wajah, Redza bersuara.

“Jangan degil. I just nak make sure you selamat sampai rumah. Itu je.. Okey? Hm..” Bella terus tolak kasar badan Redza apabila wajah lelaki dihadapan makin dekat pada wajah.

“I tak nak makan budi. Jadi, I tak anggap ni sejenis bantuan.” Redza ukir senyum manis.

“I tak kisah. Dah jom?” Cepat-cepat dia bukakan pintu buat Si permaisuri yang nampak sudah berubah wajah separuh pucat. Hilang terus aura harimau dia.

Kereta mula bergerak meninggalkan tempat kejadian. Bagi Bella ini sungguh-sungguh memalangkan. Kereta rosak dan terpaksa pula naik satu kereta dengan Emir Redza. Jatuh saham sungguh!

Konon level kita tak sama. Tapi akhirnya, kereta BMW yang selama ini disumpah ini juga yang ditumpangnya. Ikutkan boleh saja dia ambil Uber atau Grabcar tapi Encik Emir Redza ini pastilah bukan calang-calang manusia yang akan melepaskan dia pulang seorang diri.

>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

“B…”

“Bella Ammara. Orang tertentu je boleh panggil nama tu.”

“Tapi I dah biasa panggil you macam tu..”

“Sorry? Kita kenal pun tak. Borak pun jauhlah sekali. Dan you cakap you dah biasa?”

Redza berdehem perlahan. Mata masih fokus pada pemanduannya. Kenapalah Bella Ammara ini terlalu naif hingga tak mengenali siapa Emir Redza ini? Salah aku ke sebab waktu dulu selalu sangat menyorok bila nampak dia ni?

Itu kisah dulu, dia terlalu kebudak-budakan waktu itu. Tak berani berhadapan dengan seorang wanita bernama Bella Ammara yang telah mencuri hatinya.

7 tahun Emir Redza bawa diri pergi ke tempat yang tiada nama Bella Ammara. Dia pulang semula ke Malaysia. Diterima bekerja di Empayar Holding sebuah syarikat yang ternama tapi tak pernah dia sangka akan bertemu dengan Bella Ammara.

Pertemuaan pertama itu sangat mengejutkan buat Redza bertambah terkejut saat diberitahu Bella Ammara adalah adik kandung kepada pemilik syarikat dia bekerja.

Malah, kali pertama bertemu dengan Bella Ammara. Dia tak nak percaya orang yang berhadapan dengannya adalah Bella Ammara kerana sikap Bella sekarang sangat jauh dengan Bella yang lemah lembut dan sopan seketika dahulu. Nak sangat dia tahu apa yang buatkan Bella Ammara menjadi sekasar ini. Malah, dia nampak dengan jelas di dalam diri Bella masih ada Bella Ammara dibangku sekolah dahulu tapi sengaja disembunyikannya.

“Bella Ammara tu terlalu panjang untuk I. Kalau B itukan singkat dan makna pun mendalam.” Bella terus jeling mata ke atas. Muka dibuang keluar cermin.

“Tekak I rasa nak makan cendol durianlah pulak kita berhenti sekejap, okay?

“Terus hantar I balik.” Bella mula bersuara garang.

“Sekejap je. I teringin sangat ni. Alang-alang kita dah ada kat area Kampung Baru.” Bella dengus kasar.

Dia dah agak dah Redza punya bantuan mesti ada maksud tersirat punya!

=================================

PROLOG

BAB 1 – 100k Like. 3825 Share
BAB 2 – Sesi Kenal-Mengenal
BAB 3 – Benda Bawah Katil
BAB 4 – Bateri Dah Kong
BAB 5 – Adegan Sebabak
BAB 6 – Amanat Papa & Mama
BAB 7 – XPDC Trauma

=================================


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *