Bagaimana Untuk Menjadi Seorang Isteri Yang Penyayang Teramat Sangat?
Selesai membaca sebuah buku, saya terfikir untuk bertanya kepada isteri saya, adakah dia menyedekahkan saya Al-Fatihah dalam doanya.
Isteri saya menjawab, bukan sedekah tapi menghadiahkan dan dia melakukannya dalam setiap doanya.
Alhamdulillah.
Dua perkara yang jelas adalah dia tidak takut untuk memperbetulkan saya dan dia juga menjaga perhubungan keluarga kami dengan Allah SWT.
Jadi, apabila datangnya sebuah persoalan yang berbunyi ” Bagaimana Untuk Menjadi Seorang Isteri Yang Penyayang Sangat-Sangat?”, dari perspektif seorang lelaki, ini adalah jawapan saya.
Seorang isteri yang penyayang sangat-sangat perlulah:
Menjaga Perhubungan Dengan Allah..
Pegangan agama si isteri yang kukuh memungkinkan sesebuah keluarga dapat bertahan dalam keadaan yang sukar sekalipun.
Jika ada yang jatuh, akan sentiasa ada yang membantu untuk bangkit.
Doa sang isteri akan menyelamatkan suami dari kebahayaan dan pemasalahan.
Gambaran isteri yang solehah inilah yang mendekatkan keluarganya kepada Allah.
Inilah sifat isteri yang penyayang sangat-sangat.
Patuh Kepada Suami
Patuh adalah tanda menghormati.
Kepatuhan inilah yang akan menjaga maruah si suami ketika si isteri berada di kalangan orang lain, walau jauh dari pandangan si suami.
Dia akan menjaga tutur kata dan tindak tanduknya.
Dia akan menjaga tertib dan kelakuannya.
Kepatuhan ini menampakkan si suami adalah pendidik yang baik, dan si isteri adalah pendokong yang teguh.
Dia menunjukkan rasa homat dengan tidak menjatuhkan maruah suaminya andai tidak bersependapat di hadapan anak-anak dan orang lain.
Dia tidak akan membicarakan kesalahan suaminya di tempat awam.
Dia melakukan perkara yang menjaga nama suaminya dan sentiasa menggaguminya.
Dia menunjukkan rasa hormat dengan memberi sokongan kepada pilihan dan keputusan suaminya.
Kesetiaan dan kepatuhan ini adalah lambang kasih sayang yang tinggi, meski suami jauh di mata, kehormatannya masih terpelihara.
[ Kenali 13 Jenis Mak Mertua Yang Ada Di Atas Muka Bumi ]
Berkomunikasi Dengan Suami..
Seorang isteri penyayang sangat-sangat tahu bahawa lelaki itu keras sikapnya dan logik fikirnya.
Dia akan memberitahu si suami perasaannya.
Dia tidak menjangkakan si suaminya tahu segala jadi dia meluahkan.
Saat dia menangis, saat dia gembira, saat dia penat, saat dia kesunyian, dia akan luahkan kepada suaminya pada masa yang sesuai.
Seorang isteri yang penyayang sangat-sangat tahu bahawa si suami ingin si isteri menjadikan dia tempat sokongan.
Perkahwinan mereka menjadikan mereka satu, dan dengan menjadi satu, mereka perlulah saling mendokong sesama mereka.
Menjadikan Si Suami Ketua Keluarga..
Seorang isteri yang penyayang sangat-sangat tidak akan mengambil alih melainkan menyokong dan membuka jalan untuk si suami memimpin keluarga.
Saat si suami menjadi lemah atau jatuh, dia akan membantu untuk membangkitkan.
Sokongan, dorongan dan galakan si isteri akan membantu si suami kekal menjadi ketua.
Itulah sebabnya, ketika solat, si suami sentiasa menjadi imam kepada si isteri.
Jatuh sakit si suami, penat si suami, kedudukan mereka tetap tidak berubah.
Dia akan kekal menjadi ketua dan si isteri akan mengekalkan kedudukan itu.
Benarlah ini sifat isteri yang penyayang sangat-sangat.
Rajin Menambat Hati Suami..
Seorang isteri sedar bahawa masa muda hanya sementara, penampilan gadis muda akan berubah menjadi wanita matang dan dewasa sesuai usia.
Namun, si isteri yang penyayang sangat-sangat tidak akan berhenti menjaga penampilan untuk suaminya.
Dia menjaga makan dan senamannya.
Dia menggunakan losyen untuk melembutkan kulitnya, dia memakai pakaian yang cantik untuk mengekalkan keterampilanannya.
Meski memerlukan belanja, dia tahu bahawa kegembiraan suaminya tidak dapat dibandingkan dengan wang ringgit.
Istimewanya isteri yang penyayang sangat-sangat ini, dia menjaga kecantikannya tanpa melebih-lebih dalam pengurusan kewangannya.
Dia bersederhana namun masih indah di depan suami dan keluarganya.
Dia memasak masakan kegemaran suaminya, dia tidak pernah mengeluh akan usahanya.
Di akhir hari, dia tahu bahawa si suami adalah insan yang amat bersukacita memilikinya sebagai isteri.
Kesimpulan..
Sejujurnya, ramai isteri yang memiliki ciri-ciri ini dalam diri mereka, seolah-olah sudah tercatat dalam kod DNA mereka.
Sebab itulah tapak tangan mereka halus, lenggok mereka santun, suara mereka lembut alunannya walau berbagai kerja dan aktiviti mereka lakukan.
Mewakili suami-suami yang memiliki isteri sebegini dalam rumahtangga mereka, terima kasih sangat-sangat.
Luqman Mikhail adalah seorang penulis dan blogger.
www.luqmanmikhail.com
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~