Buat Apa Jadi Cantik Kalau Sengsara & Terseksa?
Hai korang semua!
Sebenarnya agak janggal pada mulanya untuk aku menulis artikel ini.
Sebab aku pun pernah tergolong dalam salah satu perempuan yang sanggup berhabis-habisan untuk tampak cantik.
Kecantikan itu adalah sesuatu yang subjektif.
Setiap orang mempunyai definisi cantik yang berbeza-beza.
Ada yang rasa bila putih itu cantik, tapi ada juga yang beranggapan hitam manis itu menawan.
Bagi yang rasa nak putih sebab rasa dia cantik bila kulit dia macam minah salleh, dia mulalah berhabis wang untuk membeli produk komestik dan collagen di pasaran.
Tak cukup dengan itu, ada yang sanggup menyuntik vitamin C dan melakukan rawatan laser dan bleaching untuk mendapatkan kulit yang diinginkan.
Ada yang sanggup berhutang untuk merealisasikan impian itu, sehingga memudaratkan diri sendiri.
Persoalannya sekarang, berbaloikah semua kesengsaraan itu?
Biar aku cerita pengalaman aku sendiri…
Sejak dari dulu, aku rasa ‘’KURUS ITU CANTIK’’
Antara benda yang paling aku sensitif sekali adalah berat badan aku.
Aku sentiasa rasa diri aku ni gemuk.
SENTIASA.
Bila berat aku mencecah 50 kilogram dan lebih aku dah mula gelabah, diet sana sini nak kuruskan berat badan.
Padahal dengan ketinggian aku iaitu 161 cm, BMI aku masih berada dalam tahap normal.
Orang pun tak pernah cakap pun berat aku naik ke apa.
Aku je yang meratap sengsorang atas mesin penimbang tu huhu.
Tak salah kalau aku nak kurus, tapi yang salah adalah method aku untuk melaksanakan impian aku itu.
Aku tak berdiet dengan cara yang sihat.
Bersenam langsung tak buat.
Aku lebih suka menelan pil-pil di pasaran yang menjanjikan kurus dalam masa singkat dan tak makan dengan cara yang sepatutnya.
Aku lapar sampai kadang-kadang aku rasa nak pitam masa kuliah, tak boleh tumpukan perhatian.
Nasi aku langsung tak sentuh, makan bijirin saja gara-gara nak mencapai hasil dalam masa yang singkat.
Akhirnya, aku mulai sakit sebab tak makan.
Dari saat itulah, aku tak diet secara ekstrem lagi.
Pil pun aku dah tak telan, sebab aku tahu tak ada jalan singkat nak kurus.
Bila aku rasa berat aku dah naik je sekarang, aku diet juga, tapi secara teratur.
Aku hanya kurangkan jumlah nasi yang aku makan dan banyak makan lauk-pauk.
Aku tak suka jogging, jadi aku menari sengsorang dalam bilik tu.
Kira bersenam jugaklah kan kikiki.
Alhamdullillah, berat aku berjaya jugak turun.
Dan kemudian aku kembali makan macam naga, dan aku diet balik.
Dan begitulah seterusnya sampai bila-bila haha.
Ada beberapa sebab kenapa perempuan tak perlu sengsara untuk kelihatan cantik secara luaran. Antaranya ialah:
Kebijaksanaan
Pada pandangan kebanyakan orang, kebijaksanaan itu adalah cantik!
Kebijaksaan itu banyak cabangnya.
Contohnya, aku suka bila melihat perempuan yang fasih berbahasa Inggeris dan lancar dalam percakapannya.
Dan bila perempuan itu membuat pembentangan di depan kelas, dia begitu tenang, yakin dan tangkas menjawab setiap pertanyaan yang diajukan.
Bila dia menonjolkan diri dengan kebijaksaan seperti itu, secara automatik aku rasa dia seorang yang ‘’cantik’’.
Tak kisahlah kalau perempuan secantik Izara Aisyah pun berdiri sebelah dia masa tu, aku tetap akan pandang perempuan yang bijak itu sebab aku dah tertarik dengan kebijaksaan yang ditonjolkan.
Sikap Yang Baik
Orang selalu cakap, kalau muka cantik tapi perangai tak elok, tak guna juga.
Lebih baiklah mempunyai luaran yang tak begitu cantik tapi dalamannya bersih dan elok.
Aku pernah ada dua orang kawan yang menyukai lelaki yang sama.
Biarlah aku namakan mereka A dan B.
A orangnya cantik, tapi perangainya sedikit gedik dan setiap kali keluar, lelaki itu saja yang kena mengeluarkan duit untuk semuanya.
B pula mempunyai paras yang biasa-biasa saja, tapi dia seorang yang bertimbang rasa dan dia akan bayar sendiri perbelanjaannya sebab dia tahu, lelaki itu juga hanya seorang pelajar.
Akhirnya, B yang dapat lelaki yang dia suka tu.
Sebab lelaki itu suka dengan sifatnya yang tak suka menyusahkan sesiapa dan memahami.
Pointnya, korang tak cantik pun tak apa.
Cuma bersikap baik saja, okey!
Berpakaian Sopan
Bagi sesetengah perempuan, seksi itu cantik!
Tapi tahukah korang, sebagaimana perempuan suka melihat lelaki memakai baju melayu, seperti itu jugalah lelaki suka melihat perempuan memakai baju kurung.
Sebab bila memakai baju tradisional Melayu itu, secara automatik seseorang perempuan itu bukan saja kelihatan cantik, malah ayu dan sopan.
Contohnya seperti penyanyi Ana Raffali yang menjadikan baju kurung sebagai trademarknya setiap kali membuat persembahan di atas pentas.
Macam inilah perempuan yang boleh buat bini sopan je, bak kata seorang kawan lelaki aku.
Aku nak bagi tahu koranglah, lelaki memang suka tengok perempuan yang pakai seksi-meksi ni.
Tapi bila sudah sampai seru nak kahwin, tengok perempuan macam mana yang diorang pilih.
Kebanyakannya pasti akan memilih perempuan yang sopan dan paling kurang pun bertudung.
Percayalah!
Kecantikan Semulajadi
Berdasarkan apa yang aku nampak, orang zaman sekarang lebih suka menonjolkan kecantikan semulajadi yang mereka ada.
Maksud aku, mekap dah tak tebal macam opera Cina.
Dan ‘’no make up make up’’ tutorial yang ada di Youtube tu pun semakin digilai ramai, termasuklah aku hehehe.
Bagi aku, mekap yang tebal tu memudarkan kecantikan asli yang kita miliki.
Padahal tujuan mekap adalah untuk menaikkan seri muka kita, bukannya mengubah wajah kita sepenuhnya.
Jadi tak payahlah nak berhabis duit tak makan semata-mata nak beli barang-barang komestik yang mahal tu.
Beli yang mana patut cukuplah, yang boleh menaikkan seri muka kita tapi dalam masa sama tetap menonjolkan kecantikan semulajadi kita.
Penampilan Menarik
Bila aku sebut penampilan menarik, aku tak maksudkan korang kena beli pakaian dan aksesori berjenama untuk tampil bergaya.
Kalau korang pandai mix and match, baju yang korang beli dari pasar malam pun boleh nampak lawa.
Yang paling penting dalam soal penampilan adalah KEYAKINAN.
Kalau korang tampil berkeyakinan dalam setiap apa yang korang pakai, kemeja T dan denim pun akan membuatkan diri korang tampak sophisticated.
Senyuman
Selain dari sedekah, senyuman juga mampu membuatkan seseorang itu tampak cantik pada mata orang lain.
Sebab bila korang senyum, korang akan nampak baik.
Dan orang yang baik ni sentiasa cantik.
Pada pandangan mata akulah hehe.
Banyak sebab sebenarnya kenapa perempuan nak cantik..
Ada yang nak cantik sebab nak tingkatkan keyakinan diri, nak pikat lelaki yang dia suka atau nak mengkagumkan orang lain.
Tak salah nak nampak cantik, tapi tak perlulah sampai ke tahap nak menyeksa diri sendiri untuk mencari kecantikan yang tak kekal itu.
Buat dengan cara yang sihat dan diyakini.
Dan yang paling penting, ingatlah, kecantikan fizikal bukan segala-galanya.
Jagalah kecantikan dalaman itu yang insha ALLAH akan berkekalan sampai bila-bila.
Adios!
Seorang penulis novel, suka berangan dan mengabadikan kenangan dalam bentuk penulisan.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~