Cerpen “Tradisi Muafakat & Gotong-Royong”

Titisan air

Titisan air ( Kumar24 )

Tak lama lagi Pak Samad akan mengadakan
majlis perkahwinan anak lelakinya. Maka dia pun lalu
menjemput Tok Ketua semua orang kampung berkumpul di
rumahnya pada petang itu selepas waktu asar.

Tujuan dia memanggil mereka semua berkumpul di rumahnya ialah untuk membincangkan gerak kerja agar majlis yang akan diadakan nanti berjalan dengan penuh lancar dan sempurna.

Maklumlah dia bukan sahaja akan menerima tetamu daripada adik-beradik dan saudara-mara termasuk sebelah isteri tetapi juga daripada luar. Selesai sahaja bermuafakat maka dia pun menjamu mereka yang hadir dengan minum petang yang disediakan oleh isterinya.

Selepas menikmati hidangan mereka pun pulang. Rumah Pak Samad yang tadinya dipenuhi dengan orang-orang kampung kini telah pun lengang. Cuma tinggal dia dan Tok Ketua di ruang tamu. Manakala isteri dan anak perempuannya sibuk berkemas di dapur.

“Kenduri kahwin ni bukannya mudah. Banyak perkara yang perlu dilakukan,” kata Tok Ketua.

“Memang betul, tok!” balas Pak Samad dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Sebab itulah perlunya kita bermuafakat dulu. Bahagikan tugas supaya masing-masing tahu apa kerja yang nak dibuat nanti,” ujarnya lagi.

“Tradisi bermuafakat sebelum majlis perkahwinan berlangsung dah lama kita amalkan di kampung ni. Semenjak daripada datuk nenek moyang kita lagi. Alhamdulillah. Sehingga sekarang kita masih lagi dapat meneruskannya,” tambah Tok Ketua pula sebaliknya.

“Saya juga berasa tumpang gembira, tok. Nilai-nilai gotong-royong dan semangat bantu-membantu antara satu sama lain masih lagi dapat kita kekalkan di kampung ini. Sesuatu pekerjaan itu tidak akan berjaya disiapkan tanpa dilakukan secara bersama,” ucap Pak Samad.

“Itu memang aku tak nafikan, Samad. Kerja sorang-sorang memang payah. Berbanding dengan kerja ramai-ramai,” tegas Tok Ketua.

Pak Samad lalu membalas pantas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Betul, tok!”

“Macam kenduri kahwin yang saya buat ni manalah mampu saya nak buat sorang,” katanya lagi.

Sememangnya muafakat amat penting sebelum menjalankan sesuatu pekerjaan itu. Lebih-lebih lagi dalam kenduri kahwin yang akan berlangsung di rumah Pak Samad pada bulan depan. Melalui permuafakatan akan menjadikan pekerjaan yang berat menjadi ringan walaupun terpaksa memikul batu yang besar untuk melakukannya.

Selain itu, dengan memupuk semangat bekerjasama dalam melakukan pekerjaan akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain tanpa mengira peringkat. Rasa kegembiraan akan dinikmati apabila menjalankan pekerjaan sebagai satu pasukan dan menikmati kejayaan bersama.

Kalau bangun sama-sama bangun. Berdiri sama-sama berdiri. Mendaki bukit sama-sama mendaki. Turun ke lurah sama-sama dituruni. Apabila semua ini ada dalam jiwa kita sebagai masyarakat yang sentiasa menjadikan muafakat dan gotong-royong dalam kehidupan maka rasa penat dan letih kerana bekerja tidak akan terasa. Sebaliknya keseronokan dan kepuasan akan dapat dinikmati apabila pekerjaan besar yang dilakukan seperti kenduri kahwin terlaksana dengan sempurna dan jayanya.

Sebagai pemimpin utama yang menerajui sebuah kampung, Tok Ketua sering mengingatkan anak-anak buahnya agar hidup bersatu padu dan menghindari sebarang bentuk yang membawa kepada perpecahan. Paling utama bermuafakat dahulu sebelum melakukan sesuatu pekerjaan kerana banyak manfaat dan faedah yang akan diperolehi nanti hasil daripadanya.

“Kita sama-sama doa. Mudah-mudahan kenduri kahwin anak kau nanti berjalan dengan baik dan lancar,” ucap Tok Ketua.

“Mudah-mudahan begitulah hendaknya, tok!” celah Pak Samad pula dengan pantas.

Tok Ketua kemudiannya lalu mengangguk-anggukkan kepala.

“Insya-Allah, Samad!”

“Orang-orang kampung akan membantu kau nanti. Lagipun inilah masanya untuk mereka bertemu dan beramah mesra antara satu sama lain,” dia menyambung lagi.

“Saya amat bersetuju sekali dengan apa yang tok katakan tu. Memang meriah bila ada majlis perkahwinan di kampung ni. Masing-masing dah tahu peranan dan tanggungjawab semasa majlis berlangsung. Maklumlah tuan rumah sibuk melayan tetamu yang datang. Mana pikir apa yang kurang dan yang tak ada waktu tu,” kata Samad.

Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti apabila Rosnah anak Pak Samad yang bongsu muncul sambil membawa dulang yang berisi air teh yang masih lagi panas dan pinggan yang berisi dengan kuih-muih.

“Apa ni, Rosnah? Susah-susah aje bawak air dengan kuih. Kan tok dah minum dengan tetamu yang datang tadi. Masih kenyang lagi,” ucap Tok Ketua.

“Mak yang suruh hidangkan pada tok. Lagipun ada lagi kuih yang tak habis. Sayang kata mak membazir tak dihabiskan,” dia membalas sambil meletakkan hidangan dengan penuh sopan di atas tikar mengkuang.

“Kamu masih belajar lagi ke Rosnah?” soal Tok Ketua.

“Ya, tok!” angguk.

“Saya ambil Ijazah Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Tahun depan tamatlah pengajian saya,” jawabnya lagi.

“Alhamdulillah!” balas Tok Ketua.

“Tok, ayah! Jemputlah minum. Rosnah nak masuk semula ke dapur tolong mak,” ujarnya.

“Yalah!” ucap Tok Ketua dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Rosnah kemudiannya berlalu pergi sambil membawa dulang.

“Silalah, tok! Rezeki ni,” pelawa Pak Samad pula.

“Terima kasih, Samad,” jawab Tok Ketua.

Mereka lalu sama-sama menikmati air teh dan kuih-muih sambil rancak berbual.

“Sejak dari dahulu lagi kita telah dididik hidup bermuafakat dan saling bantu-membantu di kampung ni,” ujar Tok Ketua.

“Memang cantik bila kita sentiasa mengamalkannya. Bak kata orang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing,” tambah Pak Samad.

“Aku berharap sangat generasi muda di kampung ni akan meneruskan semangat yang telah sekian lama kita bina,” tegas Tok Ketua.

“Saya pun berharap begitu jugak, tok. Tradisi ini harus dikekalkan walaupun kita tidak lagi bersama dengan mereka pada satu hari nanti,” balas Pak Samad.

Ternyata Tok Ketua dan Pak Samad menaruh harapan yang tinggi menggunung agar apa yang mereka lakukan pada hari ini akan diteruskan oleh anak-anak muda di kampung ini sebagai pewaris di masa depan. Seharusnya semangat hidup bergotong-royong dan sentiasa bermuafakat perlu disemai ke dalam diri anak-anak muda agar tidak mudah hilang dan hanyut walaupun peredaran zaman sentiasa berlaku dengan pesat.

Sepertimana yang disebut dalam pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam memperolehi sesuatu hasil yang baik hendaklah bermula daripada peringkat awal lagi. Inilah yang ingin diterapkan oleh Tok Ketua dan Pak Samad ke dalam diri anak-anak muda di kampung ini.

“Aku sependapat dengan kau, Samad. Zaman yang mereka lalui tak sama dengan zaman yang pernah kita tempuhi. Waktu dulu bila ada kenduri kahwin orang-orang muda macam kita menjadi tenaga utama untuk memastikan ia berjalan dengan baik dan penuh kesempurnaan,” ingat Tok Ketua.

Pak Samad lalu mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Tok Ketua itu.

“Ya, tok!”

“Saya masih ingat lagi. Banyak kerja yang kita lakukan. Dari mula sehinggalah akhir,” sambungnya lagi.

“Sebab itulah kita perlu menarik minat mereka supaya dapat merasai apa yang pernah kita lalui pada satu ketika dahulu. Kata orang memang tak menang tangan bekerja bila ada majlis kahwin. Makan pulak tanggung,” tambah Tok Ketua.

“Makan tanggung tu yang paling seronok,” celah Pak Samad dengan pantas.

Mereka lalu ketawa apabila mengenangkan kenangan silam yang pernah mereka alami pada satu masa dahulu.

“Jangan lupa, Samad. Waktu tu jugak kita bertemu jodoh. Yalah! Ramai anak-anak dara yang datang menolong,” tambah Tok Ketua.

Sekali lagi mereka ketawa sehingga mengejutkan isteri Pak Samad dan Rosnah anak perempuannya yang sedang sibuk berkemas di dapur.

“Lain dulu lain sekarang. Semua tu tak berlaku lagi di kampung kita. Tapi tradisi bermuafakat dan bergotong-royong tetap kita jaga dan pelihara,” ujar Tok Ketua.

“Benar tok!” jawab Pak Samad pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Bila dah namanya tradisi perlu kita pertahankan buat selama-lamanya,” sambungnya lagi dengan penuh semangat.

“Bagi aku itulah harta yang paling bernilai buat kita semua di kampung ni,” tambah Tok Ketua pula sebaliknya.

“Biar kita tidak mempunyai harta asalkan kaya dengan peninggalan tradisi daripada generasi yang terdahulu,” sokong Pak Samad.

“Siapa lagi yang hendak meneruskannya kalau bukan kita sebagai generasi selepas mereka.” Tok Ketua menghangatkan lagi tajuk perbualan.

“Hendaknya tradisi yang menjadi kebanggaan kita bersama ini diteruskan bukan sahaja oleh anak-anak muda di kampung ini tetapi juga cucu cicit kita,” ucap Pak Samad.

“Sebab itulah perlunya kita dedahkan mereka dengan majlis sebegini supaya mereka dapat melihat sendiri betapa indahnya hidup mengamalkan gotong-royong dan muafakat agar menjadi ikutan kepada mereka suatu masa nanti,” ulas Tok Ketua.

Disebabkan terlalu asyik berbual tanpa disedari hari telah pun memasuki lewat petang. Tok Ketua lalu meminta diri untuk pulang. Demikianlah cantiknya tradisi bermuafakat dan bergotong-royong yang menjadi amalan kehidupan masyarakat di kampung.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *