Cerpen “Apabila Sudah Berjaya Dalam Hidup”
Sejauh mana sekalipun
kita pergi dan melangkah menuju ke depan jangan sesekali kita lupa pada asal usul dan kampung halaman tempat kita dilahirkan dan dibesarkan.
Janganlah hendaknya kita lupa pada tempat kita mengatur langkah sebelum menuju ke puncak kejayaan.
“Saya datang daripada kampung. Keluarga saya bukan daripada golongan yang berada. Ayah saya hanya seorang petani. Adik-beradik saya ramai. Jadi, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. Membela nasib keluarga saya. Alhamdulillah. Berkat daripada usaha dan kegigihan saya sekarang sudah berjaya dalam hidup. Begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain,” kata Encik Halim pengurus syarikat tempat aku bekerja untuk mencari rezeki dengan penuh panjang lebar.
“Saya benar-benar berasa kagum dengan semangat yang Encik Halim tunjukkan,” aku sebaliknya membalas.
“Tidak semestinya kejayaan dalam hidup ini menjadi milik mereka yang berasal daripada keluarga yang berada. Maklumlah hidup mereka lengkap dan mewah segala-galanya. Mereka yang datang dari kampung seperti saya ni juga boleh berjaya dalam hidup. Asalkan di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan,” tambahnya lagi.
“Memang benar apa yang Encik Halim katakan itu!” anggukku pula dengan pantas.
“Kemiskinan dan kesusahan hidup yang kita alami tidak boleh dijadikan sebagai alasan dan halangan untuk menempa kejayaan dalam hidup ini,” ujarku lagi.
“Penderitaan hidup yang kita lalui akan menjadikan kita kuat dan bersemangat untuk mencipta kejayaan sepertimana yang dilakukan oleh orang lain,” tegasnya.
“Semua orang inginkan kejayaan dan menikmati kesenangan dalam hidup ini,” ucapku.
“Itu memang tidak dapat dinafikan sebagai impian dan harapan kita sebagai manusia selagi masih bernafas dan hidup di dunia ini. Tapi kita juga harus ingat. Jangan kerana hanyut dilambung gelombang lautan kejayaan maka kita menjadi lupa daratan dan tidak ingat pada asal usul,” ingatnya padaku.
Kata-kata Encik Halim itu benar-benar menyedarkan aku. Sebenarnya tidak salah untuk kita memburu kejayaan dan kegemilangan dalam hidup ini. Kerana itu sudah menjadi tujuan dan matlamat utama dalam kehidupan yang kita lalui.
Namun kita juga harus ingat bahawa kejayaan dan kesenangan hidup yang kita nikmati akan menjadikan kita lalai dan lupa kewajipan kita sebagai seorang hamba terhadap Allah SWT yang mencipta kita sebagai makhluk di dunia ini termasuk alam semesta yang indah dan luas terbentang.
Aku sebenarnya berasa amat takut sekali. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh pengurus tempat aku bekerja itu. Bukan sahaja lupa pada asal usul malahan menjadi sombong dan bongkak kerana menganggap dengan kekayaan dan kemewahan yang dimiliki merasa seolah-olah berkuasa segala-galanya.
Sedangkan kita lupa bahawa tiada yang berkuasa ke atas segala-galanya melainkan Tuhan Yang Maha Esa sahaja. Segala yang kita miliki di dunia ini terutama usia hanyalah sementara sahaja. Begitu juga dengan kesenangan dan kemewahan hidup. Bila-bila masa sahaja boleh hilang dan ditarik oleh Allah SWT.
Maka kita hendaklah sentiasa merasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita dalam hidup ini. Semakin kita banyak bersyukur dan tidak lupa diri maka semakin banyak nikmat dan ganjaran yang akan kita perolehi nanti.
“Tapi ada yang mudah lupa diri apabila menikmati kemewahan dan kesenangan dalam hidup ini,” aku berkata merancakkan lagi tajuk perbualan.
“Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sebagai manusia. Tak semua begitu sepertimana yang awak cakapkan tadi. Mungkin hanya segelintir sahaja. Tapi kalau kita ingat susah payah yang kita hadapi sebelum berjaya dalam hidup ini ia tidak akan berlaku,” balas Encik Halim pula sebaliknya.
“Kata-kata Encik Halim itu mengingatkan saya tentang ungkapan yang pernah saya dengar. Apabila memandang langit yang tinggi rumput menghijau jangan dilupakan. Begitu juga apabila mengatur langkah ke hadapan maka sesekali menolehlah ke belakang,” aku menambah.
“Memang kita perlu memandang ke bawah apabila sudah berada di puncak. Supaya kita ingat betapa susah payahnya pendakian yang terpaksa dihadapi sebelum sampai ke puncak yang tertinggi,” balasnya.
“Banyak dugaan yang terpaksa ditempuhi sebelum sampai ke puncak yang dituju. Kalau kita tidak mempunyai semangat dan jiwa yang kental kita tidak akan menjejakkan kaki di puncak yang kita impikan,” ujarku pula sebaliknya.
“Bukan mudah untuk kita menggenggam kejayaan dalam hidup ini. Sehingga adaketikanya kita mengalah kerana gagal mencipta kejayaan. Disebabkan mudah tunduk dan kalah pada cabaran yang datang. Namun itu sudah menjadi lumrah dan asam garam dalam perjuangan kita untuk meletakkan diri di puncak kejayaan dalam hidup ini,” katanya.
“Memilih untuk mengalah setelah mengalami kegagalan dalam hidup ini bukanlah keputusan atau jalan yang terbaik dan tepat,” tambahku.
“Sekali kita gagal bukanlah bererti kita telah gagal selama-lamanya dan pengakhiran dalam kehidupan yang kita lalui. Sebaliknya kita perlu melupakan kegagalan semalam yang dialami dan memulakan hari ini untuk memburu kejayaan,” ucap Encik Halim.
“Tapi ada yang mudah kecewa dan berputus asa apabila mengalami kegagalan dalam hidup ini,” aku membalas.
“Sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik kegagalan yang dihadapi oleh seseorang itu. Kerana dapat beajar bagaimana cara untuk memperbaiki kelemahan diri,” dia berkata.
“Saya berasa begitu amat teruja sekali apabila mendengar apa yang Encik Halim katakan itu. Satu perkongsian ilmu yang sangat menarik. Belajar memperbaiki kelemahan diri akan menjadikan kita mengenal siapa diri kita yang sebenarnya,” aku sebaliknya menambah.
“Sebab itu kita jangan menjadikan kegagalan sebagai penamat dalam perjalanan hidup yang kita tempuhi,” ucapnya.
“Dalam meniti perjalanan hidup ini jatuh dan bangun sudah menjadi lumrah dan kenyataan yang harus kita terima. Walaupun dengan rasa yang amat menyakitkan dan memedihkan,” balasku pula.
“Seharusnya kita menjadikan halangan mahupun rintangan yang dilalui untuk tidak mudah lupa diri dan asal usul dari mana kita datang walaupun sudah berjaya dalam kehidupan,” ingatnya.
Mudah lupa diri dan asal usul apabila sudah berjaya dalam hidup ini seharusnya dihindari dan dibuang jauh. Sebaliknya bersikap merendah diri seperti padi yang semakin tunduk semakin berisi itulah yang perlu menjadi pegangan dan amalan.
Memang amat menarik sekali apabila membincangkan tajuk jangan mudah lupa diri apabila sudah berjaya dalam hidup bersama-sama dengan Encik Halim. Banyak perkongsian ilmu dan motivasi diri yang akan perolehi daripada pengurus syarikat tempat aku bekerja yang sudah 10 tahun lamanya.
“Sentiasalah meringankan tangan untuk membantu mereka yang mengalami kesusahan dalam hidup ini. Sudah ketentuan nasib mereka menjadi sebegitu. Kita berasa gembira dengan kesenangan hidup yang kita nikmati pada hari ini. Tapi esok belum pasti lagi. Mungkin tiba pula giliran kita untuk menjadi seperti mereka,” ujarnya dengan penuh panjang lebar.
“Hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Ada waktunya kita berada di atas dan adaketikanya kita berada di bawah. Hari ini kita merasa suka. Tapi esok mungkin akan datang rasa duka ke dalam hidup kita,” tambahku.
“Itulah sebenarnya yang dinamakan sebagai kehidupan. Seperti air laut yang pasang dan surut silih berganti. Bagi saya walaupun tidak lagi merasai penderitaan dan tangisan setelah mengecapi kesenangan dan kegembiraan dalam hidup ini jangan ada rasa riak dan sombong dengan menganggap diri kita adalah lebih baik dan hebat daripada orang lain.
Sebenarnya itu tidak boleh dijadikan sebagai ukuran dan jaminan. Bahawa kita telah berjaya melepasi belenggu kesusahan hidup selama ini. Maka sebab itulah saya sentiasa mengingatkan diri saya supaya tidak mudah lupa diri biarpun mempunyai kedudukan yang tinggi sepertimana yang saya miliki sekarang,” pesannya padaku dengan penuh panjang lebar.
“Terima kasih, Encik Halim!” aku membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya akan ingat segala pesanan dan ingatan Encik Halim itu!” sambungnya lagi.
Dia lalu mengangguk-angguk diam dan tersenyum. Aku kemudiannya lalu beredar meninggalkan biliknya untuk menyambung semula kerja. Demikianlah berakhirnya perbualan aku dengan Encik Halim pada hari itu agar tidak mudah lupa diri dan pada asal usul apabila sudah menjadi orang yang berjaya dalam hidup ini.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~