Suka Atau Tidak, Inilah 11 Watak Hero-Hero Novel Kesukaan Saya

Hero Iron Man Kena Sumpah (Foto: Ramdlon)

Hai semua!

Bertemu lagi kita di segmen penulisan novel pada kali ini.

Hari ini, aku nak cerita dengan korang pasal hero-hero novel yang membuatkan aku tak tidur lena saban malam.

Meratap sendirian kenapalah lelaki-lelaki macam tu tak muncul-muncul dalam hidup aku sob sob sob.

Semua orang ada cita rasa masing-masing.

Ada yang jenis suka lelaki jahat.

Ada yang jenis suka lelaki baik pijak semut tak mati.

Kalau aku, kebanyakan watak hero yang aku suka adalah watak yang baik-baik.

Takpun, ada sesuatu yang unik pasal perwatakan atau nama dia sampai aku teringat-ingat.

Sekarang ni aku sangat jarang membaca novel.

Jadi dalam senarai aku, banyak watak hero dari novel-novel lama.

Janganlah marah aku kalau watak hero kesukaan korang tak ada dalam senarai, ya.

=> Mari “Mengintip” 13 Rahsia Lelaki Yang Bukan Lagi Rahsia


1. IKHMAL HISYAM

Ikhmal merupakan watak hero dalam novel Permata Hati, karya Ma Lee Chuswan.

Terbitan Creative Enterprise.

Dalam novel, watak Ikhmal berumur dalam lingkungan 30-an dan merupakan pengarah syarikat. (Sorrylah kalau silap. Dah lama aku tak baca novel ni).

Inilah watak hero novel Melayu pertama yang aku tangkap cintan gila-gila punya.

Dalam Permata Hati, Ikhmal digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat tegas dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia nak.

Aku suka sangat bila baca tentang pelbagai usaha yang dia lakukan untuk merebut hati Ariana.

Dahlah dia selalu cemburu bila tengok Doktor Irwan dan adik lelaki dia cuba mendekati Ariana.

Tersengih sampai ke telinga aku bila baca.


2. NAZRUL

Nazrul adalah watak hero daripada novel Prince Charming, karya Ratu Bulan.

Terbitan Fajar Pakeer.

Nazrul berusia dalam lingkungan belasan tahun dan merupakan seorang pemain bola sepak di sekolahnya.

Aku suka sangat dengan watak Nazrul ni sebab dia lain daripada watak-watak hero dalam novel lain yang pernah aku baca.

Nazrul ni macam bodoh-bodoh alang sikit, poyo, suka sangat tidur sampai dapat gelaran Sleeping Handsome, muka biasa-biasa saja.

Dan dia selalu tak ingat apa yang dia buat .

Of course lah ada rahsia di sebaliknya kan *senyum simpul*


3. CARL ZAFRAN

Carl adalah watak hero dalam novel Cinta Pertama, karya Norhayati Berahim.

Terbitan Alaf 21.

Carl berumur dalam lingkungan 30-an dan bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat.

Perkara pertama yang aku suka pasal Carl ni adalah nama dia.

Ala-ala campuran Inggeris dan Melayu gitu.

Carl digambarkan sebagai seorang lelaki yang dingin.

Dia bencikan perempuan disebabkan apa yang mama dia buat pada ayah dia.

Curang kalau tak silap.

Tapi dalam masa yang sama, dia seorang yang sangat bertanggungjawab dan jenis yang tak ambil kesempatan pada perempuan walaupun dia boleh je buat kalau dia nak pada satu masa tu.

Masa aku baca novel ni, aku rasa Carl ni macam ada split personality.

Dia dingin, tapi dalam masa yang sama dia caring.

Stress aku.


4. AIMAN

Aiman adalah watak hero dalam novel Sambutlah Cintaku, karya Bikash Nur Idris.

Terbitan Alaf 21.

Aiman berumur dalam lingkungan 20-an dan bekerja sebagai pengurus di syarikat ayah Datul, heroin novel ni.

Aku suka dengan watak Aiman sebab walaupun dia tu memang baik, tapi tak adalah baik sampai pijak semut pun tak mati.

Ada juga masa bila dia menjadi garang dan nakal bila bersama heroin.

Sampai menangis si Datul tu dibuatnya.

Tapi bila tiba masa konflik yang besar tu, memang aku rasa nak tampar je muka dia.

Sangat menyakitkan hati.


5. MUHAMMAD HARITZ

Haritz adalah watak hero dalam novel Zulaikha, karya Jessy Mojuru.

Terbitan Rhythm Enterprise.

Novel ni memang sangat legend dulu.

Kalau korang tak tahu pasal novel ni, jangan korang berani menggelarkan diri korang pembaca novel tegar awal tahun 2000 hahaha.

Haritz merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan bekerja sebagai peniaga kedai runcit di kampungnya.

Antara salah satu sebab aku suka dengan si Haritz ni, sebab dia orang Sabah.

Bukanlah bermaksud yang taste aku adalah orang Sabah.

Tapi hello, selalu ke korang baca novel yang ada hero dari Sabah?

Takkan.

Jadi di situlah, aku merasakan uniknya watak Haritz.

Aku memang senang suka benda-benda unik macam ni, walaupun simple.


6. IAN HANIF

Aku tak ingat nama novel dan penulis dia, sebab masa tu aku baca novel ni kat perpustakaan.

Sekali tu saja aku baca, tapi ceritanya melekap di kepala aku sampai hari ini.

Yang aku ingat, novel ni terbitan Creative Enterprise.

Heroinnya pula bernama Dania.

Apa yang aku suka pasal Ian ni, adalah nama dia.

Cool gila bagi aku.

Nama dia ringkas, tapi lain dari yang lain.

Perwatakannya sama saja macam tipikal novel-novel Melayu yang lain.

Baik, tapi nakal dan suka mengusik heroin.

Jalan cerita pun menarik bagi aku.

*Nama Novel tersebut adalah Seraut Wajah Memori


7. IMAN HAKIMI

Hakimi adalah watak hero dalam novel Air Mata Kasih, karya Syamimi Aminolah.

Terbitan Creative Enterprise.

Hakimi berusia dalam lingkungan 30-an dan merupakan seorang pengarah syarikat.

Perwatakannya sama macam Carl Zafran, dingin dengan perempuan.

Cuma sebab saja yang lain.

Kehadiran Ain yang buatkan dia perlahan-lahan berubah, dan aku suka membaca proses perubahan dia tu.

Tapi akhirnya, dia juga yang membuatkan aku berendam air mata.


8. DANNY

Danny adalah watak dalam novel Erti Cinta, karya Camelia.

Terbitan Karya Seni.

Danny sebenarnya bukan hero cerita ni.

Tapi aku suka dia lebih daripada hero.

Dan kalau dia tak ada, cerita ni takkan bergerak.

Aku sukakan watak Danny sebab dia tu bukan manusia, sebaliknya hantu!

Dia merupakan roh tidak tenteram yang berkeliaran di sekitar tempat kematiannya untuk menyelamatkan tunangnya yang masih hidup dari turut menjadi mangsa.

Sepanjang penceritaan, dia hanya memunculkan diri di hadapan Anis, heroin cerita ni.

Dan Anis pun jatuh cinta pada Danny, tanpa mengetahui Danny sebenarnya sudah mati.

Menarik, kan?


9. SYED ABID

Syed Abid adalah watak dalam novel Dia Lebih Mengerti, karya Norhayati Berahim.

Terbitan NB Enterprise.

Syed Abid berumur dalam lingkungan 30-an, dan dia bekerja sebagai pengurus di syarikat yang berkaitan dengan surat-menyurat milik bapa dia.

Apa yang aku suka pasal Syed Abid, dia tu sangatlah berani, agresif, dan kadang-kadang bila dia marah, dia boleh bertindak di luar kewarasan.

Bagi aku, itu sangat cool dan manly.

Dengan jalan cerita yang sangat menarik dan mantap walaupun banyak sangat bab yang menceritakan tentang penanaman anggur, watak Syed Abid diserlahkan dengan baik sekali.


10. HAKIMI ADAM SONG

Hakimi adalah watak dalam novel Bintang Hati Saya, karya Riley Fizan.

Terbitan PTS Publication.

Hakimi adalah seorang pelajar Kolej Budiman dan Presiden Kelab Pemerhati Bintang.

Aku sukakan Hakimi kerana dia lain dari yang lain.

Hero novel mana lagi yang digambarkan sebagai seorang yang sangat menyukai bintang?

Siap ada nickname lagi.

Polaris.

Jalan cerita yang digarap oleh penulisnya juga sangat mempengaruhi aku untuk menyukai watak Hakimi yang baik, bijak tetapi sayang, tidak begitu bernasib baik.

Serius aku cakap, walaupun watak Hakimi ni sekadar dipaparkan dalam bentuk flashback saja, tapi berjaya membuatkan aku menangis pada akhirnya sob sob sob.


11. TENGKU FIRDAUS AMSYAR

Firdaus adalah watak dalam novel Dia Si Katak Puru, terbitan Buku Prima.

Hasil karya Farrah Izzlorna, yakni aku sendiri.

Nak juga masukkan novel sendiri kan, hahaha.

Firdaus berumur 29 tahun, dan bekerja sebagai penolong pengurus di syarikat Pak Long dia.

Sebenarnya, watak Firdaus diinspirasikan daripada kawan aku.

Aku menggunakan perwatakan dia dalam manuskrip aku dan terhasillah watak Firdaus dalam novel Dia Si Katak Puru.

Apa yang aku tulis dalam novel aku, macam tulah perangai dia dalam kehidupan yang sebenar.

Baik, pendengar yang setia,banyak cakap, dan kawan aku yang sangat memahami.

Jadi disebabkan itulah, aku suka dengan watak Firdaus.

Sebab watak Firdaus membuatkan aku sentiasa teringat tentang antara kawan aku yang paling baik dalam dunia

Jadi, inilah watak-watak hero kesukaan aku.

Korang pulak macam mana?


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~



Farrah Izzlorna

Seorang penulis novel, suka berangan dan mengabadikan kenangan dalam bentuk penulisan.

Banyak Lagi Di Saudari

1 Response

  1. Qisha says:

    Saya pun ada baca novel prince charming mmg best….

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *