Novelet “True Colors” (Bab 6)

Scaffolding ( Ulleo )

BAB 6
Amanat Papa & Mama
=======

Saya tengok Encik Emir Redza bukan main gigih nak mendekat dengan B.”

Bella sibuk conteng sesuatu pada buku nota hitam miliknya. Tulis nota yang penting untuk esok. Meeting tadi ada yang dia ambil alih juga. Jadi, PA Encik Nazim haruslah ambil tahu semua perkara.

“Tak adalah.”

“Uncle nampak… Uncle tak buta lagi. Dengarnya, dialah orang yang Bella sound kat basement tu. Betul ke?”

Bella angkat muka. Ini mesti Kak Long yang rajin bercerita dengan Encik Nazim kita ni.

Encik Nazim senyum manis pada Bella Ammara. Nak tergelak pun ada tengok wajah gadis di hadapan. Tadi dia nampak Emir Redza begitu gigih usaha mendekat tapi Bella sedaya-upaya menjauh diri mungkin dia sedar yang dia bakal menjadi milik orang lain.

Emir … Emir.. Encik Nazim geleng kepala. Dalam kepala, dia sibuk menghitung berapa kali dia sempat berbual secara peribadi dengan Emir Redza? Hanya beberapa kali. Susah sangat nak berbual lari dari topik pekerjaan. Redza pun pandai ubah topik. Nampak sungguh tak nak bersoal jawap tentang masalah peribadi.

“Alaa dia cuba macam mana pun. B tetap milik orang lain.” Bella tergelak pada diri-sendiri. Entah ya entah tidak Redza nak mendekati. Entah-entah saja nak mengacau aku.

“Dengar nak kahwin?”

“Ceritanya macam itulah. Tapi…” Bella tarik nafas panjang siap buat muka simpati depan Encik Nazim.

“Dah tarik nafas panjang macam tu mesti pasal Kak Longlah tu..” Encik Nazim teka sendiri.

“Dia nak yang terbaik untuk B. Bukan nak cakap Muhamad tak baik tapi Kak Long tu nak B belajar berdikari dulu dengan hidup B. Nanti dah kahwin B tak boleh main-main macam sekarang dah.”

“B faham.. Tapi B dengan dia pun dah lama sangat. Tak naklah jadi benda yang bukan-bukan.”

“Yang tu Uncle faham. Tapi B kena percaya dengan takdir dan jodoh Allah SWT.”

Cara Encik Nazim beri nasihat seperti abang kepada Adik. Lagipun, dia kenal Bella Ammara sejak gadis ini sekolah lagi. Dah anggap darah daging sendiri pun ada jugak. Muhamad pun bukan orang yang dia tak kenal langsung pun, anak saudara sendiri. Pastilah, dia mendukung Bella berkahwin dengan Muhamad.

“Betullah tu apa yang Uncle cakap tu.. Takpe B tunggu Muhamad balik sini dulu lepas tu bincang macam mana.”

“Good! Dah Uncle nak pergi site sekejap.”

“Nak ikut.” Laju dia bersuara.

“Pergi site?” Encik Nazim kerut dahi. Pelik pula tak pernah-pernah ikut pergi site kali ini rajin pula. Ni kes nak ambil hati ke apa ni?

“B tak pernah pergi. Jadi, nak juga tahu apa yang ada kat sana.”

“Okeylah kalau macam tu. Jom!”

Cepat-cepat dia capai beg tangan dan buku nota hitamnya terus mengejar langkah Encik Nazim.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

“Weekend ni pergi mana?”

Redza kejar langkah Bella Ammara yang laju sahaja menapak ke arah keretanya. Hari ini dia teman Encik Nazim ke tapak pembinaan. Saja nak tengok dan belajar apa yang ada di sini. Tak sangka pula Encik Emir Redza ini pun ada. Kalau tahu memang taklah dia nak ikut. Baik lepak office layan si budak Julia tu lagi syok.

Redza tanggal topi di kepala. Panas terik tak menghalang dia untuk mengejar wanita ini. Sejak tragedi di tepi jalan Kampung Baru tempoh hari hingga kini Bella Ammara sentiasa mengelat setiap kali dia dan lelaki ini bertembung di pejabat Putra Holding mahupun Empayar.

“Pergi mana? Hm..”

Pintu kereta dipegangnya apabila Bella nak menutup pintu kereta.

“You siapa eh? Sibuk nak tahu mana I pergi?”

“I saja tanya. Mana tahu you tak ada plan. Boleh ikut I weekend ni.”

Baju kemeja lengan panjang sudah basah dek peluh. Redza sisip baju kemeja hingga melepasi siku. Peluh yang meniti di dahi dikesatnya selamba depan Bella Ammara. Nampak jelas aura kelelakian Redza saat dia sisip rambut ke belakang. Hari ini rambut Encik Redza kita ada macam ala-ala k-pop. Ini mesti kes tak sempat nak wax rambut.

“I ada plan. Kalau tak ada plan sekali pun. I takkanlah ikut you. Dah tepi.”

“Betul ni tak nak ikut?”

“Tak nak!”

Badan Redza ditolaknya seraya sedaya-upaya menarik pintu tetapi masih tetap ditahan oleh tangan sasa Emir Redza.

“Ooookay.. But I wish mana pun you pergi weekend ni kita akan bertembung.”

“Eeeee… malam ni I nak buat doa banyak-banyak supaya weekend I tak hancur sebab you.”

Minggu ini dia dah rancang dengan Hidayah nak ikut kumpulan Remy pergi mendaki. Dan yang pasti dia tak akan beritahu Redza. Mana tahu mulut Redza macam mulut murai lepastu pergi report kat Kak Long. Mahu runtuh Gunung Nuang dengan suara Kak Long. Ish, tak nak tak nak!

“Okeyla. I gurau je. Tengok muka you mencuka je dari tadi. PMS eh?”

Bella ketap gigi terus kaki diangkat.

“Ini PMS kau!

Kaki Redza disepaknya kasar. Cepat-cepat dia tutup pintu kereta. Redza sedang terhinjut-hinjut menahan sakit dek sepakan padunya.

Padan muka! Sempat lagi jelir lidah sebelum kereta bergerak meninggalkan Redza.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<

“Susah betul Paksu nak dapat berbual dengan Emir, kan?” Redza sekadar tayang senyuman nipisnya. Silap langkah pula dia tadi, patutnya lepas Bella pergi dia pun harus angkat kaki jugak. Kan tak pasal-pasal kena angkut dengan Encik Nazim merangkap bapa saudara.

Ini kalau Bella Ammara tahu status dia kat Putra Holding agak-agak budak tu meroyan tak?

“Yelah, jumpa kat pejabat pun asyik sibuk dengan kerja tak sempat nak berbual panjang.” Redza berbasa-basi. Mata tak habis meratah ruang café yang cantik dengan dekorasi yang sangat ringkas. Sebenarnya, dia bukan nak sangat pun meratah sekitar café ini cuma tak nak mata dia dan Paksu bertembung.

“Okay kerja dengan Empayar?”

“Alhamdulillah…”

“Asyik sibuk majukan company orang lain bila nak tolong company sendiri pula?”

Redza hanya balas dengan bahu dijungkitnya. Bila cakap tentang Putra Holding dia lebih suka kunci mulut. Jawapannya tetap sama dan tak akan ada yang mampu mengubahnya. Dia sudah memilih jalan hidupnya sendiri. Bukan mahu buang keluarga sendiri tapi ini yang terbaik.

Redza sedar apa yang dia buat dulu telah melukakan dan memecah-belahkan ahli keluarganya sendiri. Malah, dia sedar dia bukanlah seorang abang yang terbaik. Dia bukan seorang abang yang patut dicontohi.

Tapi, dia sendiri tiada pilihan.

Dia muak hidup bersama manusia yang tamak. Dia muak hidup dengan mereka yang hanya mahu ambil kesempatan pada kemewahan orang lain. Dia rela hidup sebatang kara.

“Emir… Tok Mak dah tak ada dah Mir. Sampai bila Mir nak lari dari semua ni? Kalau dulu Paksu faham kenapa Mir tak nak semua ni tapi sekarang Tok Mak dah tak ada. Takkan Mir masih nak berdendam? Mir abaikan Putra Holding. Mir abaikan adik-adik Mir.”

“Mir tak pernah abaikan siapa-siapalah Paksu. Lagipun, masing-masing pun dah besar. Diaorang pun pandai menilai apa yang jadi dulu. Lagipun, Putra bukan hak Mir sorang je. Emir dah tinggalkan semuanya pada Muhamad dan Diana. Mir tak nak satu pun.”

“Tapi Mir…”

“Sebab harta Tok Mak sampai sanggup buat sampai Mama mati. Papa meninggal dunia sebabkan orang dengki dengan kemewahan dan kejayaan yang arwah Papa capai. Kalau sebab harta manusia ni sanggup jadi pembunuh.. Mir lagi rela hidup susah.”

Luah dia penuh perasaan. Nak marah lebih-lebih dah tak ada untungnya sebab arwah pun dah tak ada. Dia sendiri pun sudah maafkan tapi masih mencuba untuk melupakan apa yang sudah arwah Tok Mak lakukan pada dia sekeluarga.

Encik Nazim hanya mampu geleng kepala. Susah untuk dia faham jiwa Emir Redza. Jiwa yang sentiasa mahu hidup berdikari tetapi dibebani dengan tanggungjawab dan amanat.

“Mir… Apa pun Putra Holding milik Mir.. Mir menidakkan macam mana pun tetap juga tak boleh ubah nama Mir dalam amanat arwah Papa dan Mama Mir. Paksu ni cuba menjaga harta korang. Paksu jalankan amanat yang arwah nak..”

“Muhamad nak balik dah, kan? Mir setuju dia ambil alih Putra.” Laju Redza mencelah. Dia tak suka berbicara soal Putra Holding dan segala aset yang ditinggalkan untuk dia dan adik-adiknya. Redza sudah berikan segalanya kepada Muhamad dan Diana, itu yang pasti.

“Habis Emir macam mana?”

“Mir happy dengan life Mir sekarang ni Paksu.”

“Pastu, adik-adik?”

“Mir ada je contact Diana dengan Muhamad. Paksu jangan risaulah. Mir ni rasa bersyukur sebab dapat adik-adik yang faham Mir. Ikutkan Diana nak ikut jejak Mir tapi Mir halang sebab Mir tak nak dia rasa terpaksa. Dia ada hak untuk pilih apa yang dia nak. Muhamad pun sama… Mir yang suruh dia pergi belajar dan lepas je dia habis belajar Mir memang nak dia yang ambil alih Putra.

Ikutkan Muhamad, dia nak Paksu yang usahakan tapi dah amanat arwah Papa dan Mama nak kami adik-beradik yang usahakan kami ikutkan. Mir cuma hantar Muhamad dengan Diana untuk gantikan tempat Mir. Tengoklah.. kalau hati Mir rasa nak masuk Putra, Mir sendiri akan datang.”

“Baguslah kalau korang adik-beradik dah plan macam tu. Paksu bukan apa tak nak korang pula yang bergaduh adik-beradik.”

“Tak ada apalah Paksu. Kami ni yang kena terima kasih dengan Paksu sebab Paksu banyak tolong kami. Tolong jagakan Putra Holding dengan baik. Ikutkan kami adik-beradik memang nak Paksu je yang jadi CEO.”

“Mana boleh macam gitu. Hak korang semua ni. Paksu cuma tolong jagakan je..”

“Tapi.. satu jelah Mir nak minta tolong kat Paksu, Boleh?”

“Apa dia?”

“Kalau boleh Paksu jangan bagitahu sesiapa yang Mir ni ada kena-mengena dengan Putra Holding. Mir tak naklah nanti orang fikir bukan-bukan sebab orang luar bukan tahu pun cerita sebenarnya pasal keluarga kita.”

“Terutamanya, dari orang Empayar?” Encik Nazim angkat kening. Redza angkat kepala perlahan.

Paling penting tak nak sampai ke pengetahuan Bella Ammara. Dia tak nak sampai Bella rasa tak selesa bila tahu pemilik Putra Holding adalah Emir Redza. Lelaki yang diletakkan sebagai musuh ketat.

Lagipun, Redza sendiri nampak betapa wanita itu sangat selesa bekerja di Putra Holding.

Redza masih merasakan belum waktu yang sesuai untuk dia mempersembahkan dirinya yang sebenar pada Bella. Lagipun, buat masa ini dia masih berusaha untuk mendekati wanita yang nampak begitu sukar didekati.

Ingatkan selepas insiden di Kampung Baru tempoh hari. Hubungan dia dan Bella akan semakin membaik tapi Redza silap.

Bella Ammara tetap seorang wanita yang sukar didekati.

=================================

PROLOG

BAB 1 – 100k Like. 3825 Share
BAB 2 – Sesi Kenal-Mengenal
BAB 3 – Benda Bawah Katil
BAB 4 – Bateri Dah Kong
BAB 5 – Adegan Sebabak
BAB 6 – Amanat Papa & Mama
BAB 7 – XPDC Trauma

=================================


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *