Sebuah Cerpen Bertajuk: “SINAR HARAPAN”

Sinar Harapan

Gambar Hiasan ( akubernamarazy / CC BY-ND )

‘’SABDA Rasulullah SAW, barangsiapa memenuh akan dua matanya dengan yang haram, ALLAH akan memenuh akan dua matanya dengan api neraka. Dan barangsiapa berzina dengan perempuan, dibangkitkan ALLAH akan dia dari kuburnya sangat dahaga dan bertelanjang dan menangis dia dukacita lagi hitam mukanya. Dan pada lehernya belenggu dari api neraka dan pakaiannya dari minyak tanah, dan tiada berkata-kata ALLAH Taala akan dia, dan baginya seksa yang sangat pedih.’’

Nur Farah mendengar ceramah yang diberikan oleh Ustaz Hafizul itu dengan khusyuk. Sesekali dia mengesat air mata yang mengalir dengan hujung baru kurungnya.

Rasa sebak, sedih, kesal dan menyesal, semuanya bercampur-baur menikam ke dasar hatinya yang paling dalam. Tetapi benarlah kata-kata orang tua-tua dahulu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Nur Farah binti Mohd Nasir, nama yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapanya sejak dia dilahirkan lagi. Nama yang mempunyai maksud yang cukup indah.

Nur bermaksud ‘’cahaya’’ dan Farah pula bermaksud ‘’kesenangan’’. Kalau digabungkan kedua-duanya, jadilah ‘’cahaya kesenangan’’.

Cahaya yang mampu membawa kebahagiaan kepada kehidupan rumah tangga Mohd Nasir dan Siti Raudhah. Cahaya yang boleh memberikan mereka kehidupan yang lebih baik apabila sudah besar nanti.

Cahaya yang boleh menjaga mereka apabila usia mereka sudah menginjak tua. Segala keperluan, tumpuan dan kasih sayang diberikan kepadanya, tetapi apa yang dia berikan kembali kepada mereka sebagai balasan?

Hanya tuba!

Air mata Nur Farah mengalir lagi membasahi pipi.

Serentak dengan itu, kenangan masa lalu yang memeritkan kembali bermain di fikirannya seperti rakaman video….

‘’Farah, jaga diri baik-baik nak. Bila dah sampai ke Kuala Lumpur tu nanti, jangan lupa telefon mak dan ayah. Belajar rajin-rajin, nanti boleh jadi orang yang berjaya, boleh tolong mak dan ayah kat kampong ni.’’

Pesan Siti Raudhah kepada anaknya itu.

Wajah anaknya yang manis bertudung itu direnung dengan penuh kasih sayang.

‘’Betul apa yang mak kamu cakap tu, Farah. Jaga diri baik-baik masa kamu berada di sana nanti. Di Kuala Lumpur tu banyak dugaannya. Sentiasalah jaga adab dan tatasusila kamu sebagai gadis Timur.’’

Pesan Mohd Nasir pula.

Di kala mata isterinya sudah mulai berkaca-kaca kerana sudah sampai masa untuk berpisah dengan anak kesayangan mereka itu, dia kelihatan jauh lebih tenang. Baginya, kesedihan tidak perlu ditunjukkan dengan air mata.

‘’Baiklah, Farah akan ingat pesan mak dan ayah tu. Farah sayang sangat dengan mak dan ayah.’’

Ujar Farah dengan suaranya yang mulai serak kerana menahan tangis.

Inilah kali pertama dia akan berpisah dengan kedua-dua ibu bapanya. Jadi, kesedihannya memang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

‘’Mak pun sayang sangat dengan Farah.’’

Kata Siti Raudhah seraya memeluk anak gadisnya itu erat.

Suara tangisan menghiasi suasana buat beberapa ketika.

‘’Saya risaulah abang dengan keadaan Farah. Sebelum ni dia tak pernah berenggang dengan kita. Tiba-tiba sekarang dia kena pergi belajar di universiti di Kuala Lumpur tu. Entah macam manalah keadaannya di sana nanti.’’

Kata Siti Raudhah sambil ekor matanya mengekori kereta yang dinaiki oleh Farah sehingga hilang dari pandangan.

‘’Farah tu anak yang baik, Raudhah. Sejak kecil lagi, kita dah berikan dia didikan agama yang cukup. Insya-ALLAH, dia takkan menghampakan harapan kita. Sebagai ibu bapanya, sama-samalah kita berdoa agar tiada perkara buruk yang terjadi pada dia.’’

 * * * * * * * * * * * * *

FARAH melangkah masuk ke bilik yang sederhana besar itu. Terdapat dua buah katil, almari dan meja belajar di dalamnya.

Cukup selesa untuk orang kampung sepertinya yang hanya tinggal di rumah kayu sebelum ini.

‘Moga-moga aku dapat belajar dengan baik di sini’, ujar Farah dalam hatinya.

Dia tersentak apabila mendengar bunyi pintu ditolak dengan kasar dari belakangnya. Farah menoleh.

Seorang gadis yang berpakaian agak menjolok mata masuk dengan membawa sebuah beg roda. Terkejut Farah apabila melihat cara pemakaian gadis itu.

Dengan mekapnya yang tebal lagi.

‘’Kau ni mesti roommate aku, kan?’’

Sapaan gadis itu mengejutkan Farah. Farah hanya mengangguk.

‘’Nama aku Laila. Tapi kawan-kawan aku panggil aku Lily je.’’

Gadis itu menghulurkan tangannya kepada Farah.

Farah semakin terkejut apabila melihat kuku gadis itu yang beraneka warna. Dia mula berasa tak selesa.

Seumur hidupnya, inilah pertama kali dia bertemu dengan gadis Melayu seperti ini. Yang boleh berpakaian begitu seksi, yang boleh mewarnakan kukunya dengan macam-macam warna, yang bermekap tebal macam opera Cina.

Kalaulah di kampungnya ada gadis seperti ini, memang habis!

‘’Kau ni apahal? Tengok-tengok aku macam tu?’’

Gadis itu menarik tangannya apabila Farah hanya diam.

Dia tersenyum sinis.

‘’Kenapa? Terkejut tengok aku pakai macam ni? Hei, kalau kau nak tahu, nilah pakaian trend sekarang. Bukan macam kau, panas-panas macam ni pun boleh pakai baju kurung. Siap pakai tudung berlilit-lilit bagai lagi. Aku yang tengok pun naik rimas tau tak.’’

‘’Maafkan saya.’’

Hanya itu yang mampu dikatakan Farah.

Sesungguhnya dia tak biasa dengan apa yang dialaminya sekarang.

YA-ALLAH, lindungilah aku!

DUA bulan berada di universiti itu, tiada satu hari pun berlalu tanpa Farah diejek oleh Lily dan rakan-rakannya. Semuanya mempersendakan cara dia berpakaian, yang kononnya tak up-to-date.

Tetapi apa yang mampu dia lakukan hanyalah bersabar.

Dia sering kali muhasabah diri dengan mengingatkan bahawa tujuannya berada di situ adalah untuk menuntut ilmu, jadi tak perlu peduli dengan semua tohmahan yang dilemparkan orang lain. Tetapi kesabaran setiap manusia ada hadnya.

Suatu hari, Farah terus membalas apabila Lily mengutuknya di dalam bilik mereka.

‘’Kenapa dengan awak ni, hah? Kenapa awak tak habis-habis nak cari pasal dengan saya? Apa salah saya pada awak?’’

Soal Farah bertibu-tibu.

‘’Salah kau adalah, kau tu tak tahu nak berfesyen! Naik berbulu mata aku tengok apa yang kau pakai hari-hari tau tak. Asyik-asyik baju kurung, baju kurung, baju kurung!’’

‘’Sebab saya ni tak kaya macam awak! Jadi, saya manalah mampu nak beli semua pakaian yang mahal-mahal tu!’’

‘’Oh, jadi duitlah masalah kau ni. Kenapa tak beritahu awal-awal.’’

Lily mengeluarkan sehelai baju yang agak seksi dan seluar sendat dari dalam almarinya dan melemparkannya kepada Farah.

‘’Nah, pakai ni! Lepas ni confirm kau akan jadi cantik terus!’’

Pada mulanya Farah enggan, tetapi setelah didesak berkali-kali oleh Lily, akhirnya Farah akur juga. Setelah memakai baju dan seluar itu, Lily mendandan rambut Farah dan mekap wajahnya.

Farah amat terkejut setelah melihat hasilnya di cermin. Dia bagaikan tak percaya, gadis yang cantik dan seksi itu adalah dirinya.

Hasutan syaitan mula menghantui fikiran Farah.

Setelah itu, Farah mula terpengaruh dengan Lily. Dari cara pemakaian sehinggalah ke pergaulan sosial.

Sedikit demi sedikit, Farah bertukar menjadi gadis yang hidup dengan gaya barat, bukan lagi gadis kampung yang penuh dengan nilai-nilai ketimuran dalam dirinya. Tudung yang selalu dipakainya juga sudah hilang entah ke mana.

Wang pinjaman pelajarannya dihabiskan untuk menghias diri, dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Keputusan peperiksaannya juga semakin merosot.

Tidak lama kemudian, Farah akhirnya mempunyai seorang teman lelaki yang bernama Amir. Amir adalah sepupu kepada Lily dan berasal dari keluarga yang berada.

Lelaki itulah yang menjerumuskan diri Farah ke lembah maksiat yang lebih dalam.

Kelab malam, karaoke, arak, semua itu telah menjadi kewajipan untuk Farah pada setiap malam minggu. Apatah lagi, semua perbelanjaan ditanggung oleh Amir.

Tetapi, hanya satu sahaja perkara yang masih dipertahankan oleh Farah.

Kehormatan diri!

Kerana baginya, apabila dia hilang kehormatan diri, maka dia sudah kehilangan segala-galanya.

Dan sudah menjadi adat, lelaki hidung belang seperti Amir tidak akan puas selagi dia tidak dapat apa yang dia mahu.

 * * * * * * * * * * * * *

Pada Hari Valentine’s Day

‘’Sayang, malam ni I nak bawak you pergi ke satu tempat yang istimewa.’’

Ujar Amir sambil membelai-belai rambut Farah.

‘’Tempat apa, sayang?’’

‘’Rahsia. Tapi I yakin, you mesti suka tempat ni.’’

Kata Amir, sambil mengukir senyuman penuh makna.

Malam itu, Amir membawa Farah ke sebuah restoran lima bintang yang sangat terkenal di Kuala Lumpur. Kehadiran mereka disambut dengan gesekan biola, dan mereka mempunyai makan malam yang sangat romantik.

Farah berasa sangat gembira ketika itu, apatah lagi sikap Amir kepadanya begitu romantik sekali.

Pada penghujung makan malam mereka, Amir melutut di hadapan Farah dan menyarungkan sebentuk cincin berlian di jarinya.

‘’Happy Valentine’s Day, sayang. I love you… till the end of my life. Will you marry me? ’’

Ucap Amir lembut.

Farah terasa bagaikan terbuai-buai di awangan ketika itu.

Wajahnya mulai memerah apabila Amir mengucup pipinya. Tetapi dia tidak menolak.

Dia hanya membiarkan saja apabila Amir bertindak lebih jauh.

‘’APA yang you cakap ni Amir? I tak fahamlah.’’

Jerkah Farah apabila Amir tidak mahu bertanggungjawab terhadap kandungannya yang sudah mencecah dua bulan.

‘’Hei, you ingat I bodoh ke? Entah berapa banyak lelaki yang you dah tidur, bila you dah bunting senang-senang je you nak jadikan I pak sanggup!’’

‘’Amir, hanya you sajalah satu-satunya lelaki dalam hidup I. Sumpah!’’

‘’Ah, persetankan saja semua tu. Mulai hari ni,aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau lagi. Pasal kandungan tu, kau jangan nak libatkan aku. Nahas kau nanti!’’

Ugut Amir seraya pergi dari situ.

Farah jatuh terduduk. Air mata mengalir deras membasahi pipinya.

Dunianya terasa begitu gelap ketika itu.

Pada masa itu, barulah dia teringat akan kedua-dua ibu bapanya yang berada di kampung.

Dan bermula dari saat itulah, nasib malang bertubi-tubi menimpanya. Dia bukan saja dibuang dari universiti kerana gagal dalam peperiksaan dan biasiswanya ditarik balik, malah ayahnya sering sakit-sakit apabila mendapat tahu tentang hal itu.

Kini, dia tak boleh lagi pulang ke kampung kerana tak sanggup menanggung malu. Apa yang membuatkan dia lebih menderita, mak dan ayah sehingga kini masih tidak mampu memaafkannya.

Mujurlah, ada pensyarah di universiti tempatnya belajar dahulu bersimpati dengan keadaannya dan membawanya ke Rumah Nur Ihsan ini. Dan di sinilah tempat dia menumpang teduh bersama gadis-gadis lain yang senasib dengannya.

Menunggu bayi yang tanpa bapa ini lahir, kemudian mengharungi masa depan yang tidak pasti, tanpa restu daripada ibu bapa yang mungkin tidak akan memaafkannya sampai bila-bila.

‘’YA-ALLAH, ampunilah aku atas kekhilafanku selama ini. Moga-moga masih ada sinar harapan yang menungguku di luar sana.’’

Doa Farah dengan hati yang penuh mengharap.

Moga-moga, masih ada ruang untuknya menebus kesilapan dirinya di masa lalu.

Insha-ALLAH…

 * * * * * * * * * * * * *


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Farrah Izzlorna
Seorang penulis novel, suka berangan dan mengabadikan kenangan dalam bentuk penulisan.

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!